Monday, April 27, 2009

King Kenny : Sireh Pulang Ke Gagang

Beberapa hari yang lepas saya terbaca di internet mengenai desas-desus kembalinya salah seorang Lagenda Liverpool, Kenny Dalglish ke Anfield. Berita yang tersebar di internet mengatakan King Kenny akan menyertai pasukan Rafael Benitez di Anfield. Warga Scotland yang berumur 58 tahun ini akan diberi tugas untuk membantu pembangunan Akademi Bolasepak Liverpool atau lebih tepat untuk membimbing pemain-pemain muda Liverpool supaya lebih ramai pemain berbakat seperti Gerrard dan Carragher dapat dilahirkan.

Selang beberapa hari selepas itu, King Kenny memberikan jawapannya. Beliau semenjak dari dahulu lagi bersedia membantu Liverpool dalam sebarang aspek yang diperlukan. Syarat beliau amat mudah iaitu ianya mestilah berasaskan kepada ada keperluan di kelab dan Rafael Benitez mahu beliau membantu Liverpool. Jika kelab atau Rafa merasakan kehadiran beliau akan menganggu perancangan Liverpool, Kenny tidak mempunyai masalah dengan perkara itu dan menghormati keputusan tersebut. King Kenny yang mempunyai sejarah selama 14 tahun sebagai pemain dan pengurus Liverpool amat berbesar hati untuk membantu kelab kesayangan beliau ini. Menurut Kenny lagi, tidak banyak yang boleh beliau perkatakan sekarang tetapi jika ada perkembangan terbaru, pasti peminat-peminat Liverpool adalah yang pertama akan mengetahuinya.

Seorang lagi Lagenda Liverpool yang pernah bermain di bawah Kenny, John Barnes pula berkata, kehadiran Kenny di Anfield akan memberi inspirasi kepada semua yang terbabit dengan Liverpool. Kesannya sama seperti yang berlaku di Newcastle setelah kembalinya Alan Shearer untuk membantu mereka sekarang. Menurut Barnes lagi, ramai peminat masih menyanyikan nama beliau dan Kenny dinobatkan sebagai pemian terbaik untuk Liverpool dan juga pengurus terakhir yang membawa pulang piala Liga Inggeris ke Anfield pada tahun 1990. Tiada calon yang lebih tepat untuk mengetuai Akademi dan menghasilkan generasi baru Liverpool selain dari King Kenny, tambah Barnes lagi.

Saya pasti jika benar perkara ini berlaku, satu semangat baru akan lahir di Anfield. Semangat untuk memburu trofi kejuaraan Liga Perdana Inggeris yang sudah lama tidak mengisi kabinet piala di Anfield. Kehadiran King Kenny pasti akan mengujakan kita semua sebagai peminat Liverpool. Apa-apa pun kita berharap Rafa dan pengurusan Liverpool sependapat dengan semua peminat-peminat Liverpool. Jika anda membawa masuk Kenny Dalglish ke Anfield, ianya satu tindakan yang cukup tepat dan bijak. Kehadiran beliau pasti akan mengukuhkan lagi kedudukan Liverpool di persada liga dan eropah amnya. Kepada King Kenny, kami semua menanti kepulangan seorang lagenda ke Anfield.


YNWA

2 comments:

Amberan said...

harap Rafa akan terima King Kenny sebagai tuan penasihat...

beemer said...

he's the best for Liverpool!
simply awesome!