Tuesday, April 21, 2009

Berwaspada Dengan Skuad Senapang

Setelah berehat lebih kurang seminggu dari bolasepak, Liverpool kembali menyambung perjuangan di medan peperangan Liga Perdana Inggeris pada esok pagi (Rabu jam 3 pagi untuk lebih tepat). Liverpool turun di Anfield kali ini untuk menentang skuad senapang (mana lagi tepat, meriam or senapang?) yang baru sahaja terkeluar dari saingan Piala FA Inggeris pada Sabtu lepas. Kedua-dua pasukan perlu bangkit dari kekecewaan masing-masing sebelum ini. Saya masih teringat gol cantik jaringan penyamaan oleh Robbie Keane ketika perlawanan di Emirates dan gol tersebut telah dinobatkan gol terbaik bulan Disember 2008. Harap-harap Torres mampu menjaringkan gol sedemikian nanti. Berikut adalah analisis mengenai persediaan dan kekuatan kedua-dua pasukan.

Saya mulakan dengan skuad senapang yang rata-rata dibarisi oleh bintang-bintang muda seperti yang dikatakan oleh pengurusnya Wenger. Tidak dinafikan skuad senapang ini memang berbakat dari segi individu. Masalahnya mereka ini kekurangan pengalaman jika dibandingkan dengan 3 lagi pasukan utama di dalam Liga Perdana Inggeris. Bukan saya memandang rendah, tapi itulah hakikat yang harus diterima oleh peminat-peminat mereka. Mungkin jika diberi sedikit lagi masa dan dengan syarat Wenger tidak menjual bintang-bintangnya maka peluang skuad senapang untuk bersaing dengan pasukan-pasukan utama Liga Perdana Inggeris adalah amat cerah.

Jika diperhatikan skuad senapang ini mula menunjukkan peningkatan selepas kehadiran Arshavin dan kembalinya kapten mereka Fabregas. Untuk mengejar kejuaraan Liga Perdana Inggeris adalah amat tipis (walaupun masih ada yang menaruh harapan), peluang terbaik serta realistik skuad senapang ini hanyalah mengejar kedudukan keempat Liga Perdana Inggeris dan seterusnya layak ke Liga Juara-Juara Eropah musim 09/10. Mereka menggunakan sepenuhnya kemerosotan Aston Villa yang kini berada di tangga kelima untuk mengukuhkan kedudukan mereka di situ. Malah Wenger telah merehatkan Arshavin dan Nasri dalam perlawanan Piala FA Inggeris tersebut untuk memastikan mereka bersedia menghadapi Liverpool di Anfield nanti.

Padah untuk Liverpool jika memandang rendah keupayaan skuad senapang ini. Barisan serangan yang diterajui oleh Adebayor dan Van Persie serta bahagian tengah mereka yang terdiri dari Fabregas, Arshavin, Nasri dan Denilson mampu mengugat Liverpool jika alpa dan mengambil mudah perlawanan ini. Mereka juga mempunyai Walcott yang telah pulih dari kecederaan. Cuma satu kelebihan kepada Liverpool adalah barisan pertahanan skuad senapang yang goyah setelah kehilangan Gallas, Sagna dan Clichy, hanya tinggal Toure sahaja sebagai pertahanan senior yang dibantu oleh Silvestre. Skuad senapang juga kehilangan penjaga gol utama mereka iaitu Almunia yang cedera dan diganti oleh Fabianski yang nyata masih cetek pengalaman. Wenger pasti akan mencari jalan untuk mengatasi masalah ini dan Liverpool pula sepatutnya mengambil kesempatan ke atas kekurangan ini untuk menjaringkan gol.

Berbalik kepada Liverpool, skuad Sang Merah ini berada pada tahap yang terbaik untuk perlawanan ini. Cuma ketiadaan Kapitan Gerrard yang cedera dijangka akan memberi sedikit kesan kepada bahagian tengah. Saya tidak mahu membuat spekulasi mengenai siapa yang harus menggantikan Gerrard untuk bertindak sebagai penyerang sokongan kepada Torres. Jelas memang Lucas tidak layak untuk bermain di posisi tersebut kerana pergerakan beliau yang memang perlahan serta tidak mempunyai visi untuk membuat umpanan yang boleh memecahkan benteng pertahanan lawan. Pilihan saya untuk posisi ini samada Benayoun atau Babel, dua pemain yang saya rasa dapat melakukan tugas ini dengan lebih baik berbanding Lucas. Babel dengan lariannya pantas dan Benayoun pula dengan daya kreativiti yang menarik pasti akan mampu menjana barisan serangan Liverpool. Tetapi sebagai peminat, saya hanya boleh memberi cadangan dan buah fikiran. Hanya Rafa yang boleh menentukan kesebelasan utamanya. Jikalau Lucas pilihan beliau, saya pasti Torres akan kesorangan di bahagian depan seolah-olah beliau berada di planet lain. Kuyt-Alonso-Mascherano-Riera akan mengisi 4 lagi tempat untuk bahagian tengah Liverpool. Babel dan Benayoun juga mampu bermain untuk bahagian sayap jika Lucas terpilih untuk bermain dengan Torres di hadapan.

Di bahagian pertahanan, Reina pasti di gol dan 4 pertahanan di hadapan beliau akan diterajui oleh Carragher. Gandingan Carra di pertahanan tengah, jika diberi pilihan saya ingin melihat Agger kembali di situ. Agger akan menawarkan sengat tambahan ke bahagian depan Liverpool dengan larian dan sepakan jauh oleh beliau seperti dalam perlawanan menentang Blackburn sebelum ini. Tapi saya agak pasti pemain kesayangan Rafa, Skrtel akan mengisi posisi itu. Di sebelah kanan pasti milik Arbeloa dan sebelah kiri saya jangka Aurelio akan diturunkan walaupun terdapat saingan dari Insua dan Dossena.

Dengan rehat selama seminggu, Liverpool sepatutnya telah membuat persediaan yang rapi untuk perlawanan ini. Dengan rehat yang cukup, pemain-pemain Liverpool adalah lebih cergas untuk perlawanan ini. Liverpool perlu menang dan meneruskan tekanan ke atas pendahulu liga hingga ke akhir musim. Walaupun mempunyai sedikit kelebihan, jangan terlalu yakin kerana ianya akan memakan diri. Bermainlah mengikut strategi serta taktikal yang dibuat oleh pengurus Rafael Benitez. Ulasan yang saya buat dibuat di atas berdasarkan keupayaan serta senarai kecederaan terkini kedua-dua pasukan. Jika ada perubahan pada saat akhir ianya bergantung kepada perancangan pengurus pasukan masing-masing. Berita terbaru yang diterima Van Persie dan Adebayor diketepikan untuk perlawanan ini kerana kecederaan. Tempat mereka akan digantikan oleh Bendtner dan Eduardo. Sagna juga telah pulih dan bersedia untuk diturunkan. Banyak kelebihan kepada Liverpool dan terpulanglah kepada Rafa dan anak-anak buahnya untuk bertindak pada awal pagi ini.



YNWA

Gambar Dari LIVERPOOLKITA

2 comments:

ateng said...

ak lebih risau lawan senapang dr chelshit or man yoo!!

beemer said...

senapangnye attacking bagus gak ...
tp kalu defend kita fokus mlm ni ..
Torres n Co should do the job upfront ...