Semasa berehat-rehat di hadapan televisyen pada petang Ahad yang lalu sambil menonton Formula One Grand Prix of China di Astro, saya terbaca berita ini melalui laptop yang setia menemani di hari-hari cuti hujung minggu sebegini. Masih ada spekulasi yang mengaitkan pemain sayap Valencia ini dengan Liverpool rupanya. Namun sehingga kini, Silva masih menafikan mengenai spekulasi ini dan menegaskan beliau masih komited dengan Valencia. Mari kita jenguk apa perkembangan yang berlaku dalam masa 2-3 hari ini.
David Jimenez Silva atau lebih dikenali sebagai David Silva oleh peminat-peminat bolasepak dunia amnya. Berumur 23 tahun dan merupakan seorang pemain sayap kiri yang amat berbakat dan ianya terserlah ketika beliau bermain bersama-sama skuad Sepanyol di Euro 2008 yang lepas. Selepas pertandingan itu nama Silva memang menarik perhatian kelab-kelab ternama dunia seperti Real Madrid, Juventus dan juga Liverpool yang tidak terlepas dari spekulasi tersebut kerana pengurus Liverpool, Rafael Benitez adalah bekas pengurus Valencia. Sejauh manakah benarnya spekulasi ini dengan Liverpool?
Spekulasi terbaru di media mengatakan Rafa telah menghantar wakilnya ke Valencia untuk mengadakan rundingan dengan pengarah-pengarah kelab itu mengenai perpindahan David Silva ke Liverpool. Pada asalnya rundingan ini dijalankan secara sulit tetapi menurut Rafa, seseorang di Valencia telah membuka mulut kepada media dan mendedahkan mengenai rundingan tersebut kepada umum. Akibatnya Valencia telah mengenakan harga perpindahan sebanyak 20 juta pound untuk Silva. Rafa yang menganggap keadaan ini sebagai tidak memberi kelebihan kepada Liverpool, telah menarik diri dari terus mengadakan rundingan tersebut. Rafa dikatakan tidak kecewa dengan keadaan ini dan akan mencari pemain sayap lain sebagai ganti kepada kegagalan rundingan Silva ini.
Menurut spekulasi tersebut lagi, Rafa cuba mengambil kesempatan di atas masalah bebanan hutang yang dihadapi oleh Valencia sekarang. Keadaan ini membolehkan Rafa mendapatkan Silva pada harga yang lebih murah dari harga pasaran pemain. Tindakan Valencia yang mengumumkan meletakkan harga 20 juta pound itu dikhuatiri akan menyebabkan berlakunya perang bidaan di antara kelab-kelab ternama yang mahukan khidmatnya. Jika ini berlaku, anda pasti maklum, Valencia pasti akan mendapat untung jika mendapat bidaan yang lebih tinggi dari 20 juta pound. Saya pasti ada kelab di luar sana yang pasti berminat untuk mengeluarkan lebih dari 20 juta pound bagi mendapatkan khidmat Silva. Beliau merupakan salah seorang pemain sayap terbaik di benua Eropah dan pasti kehadirannya ke sesebuah kelab akan membantu menaikkan prestasi kelab tersebut.
Walau bagaimanapun, ini hanyalah spekulasi media yang tak kunjung sudah. Sejauh mana kebenarannya agak sukar untuk ditentukan. Kita semua tahu mengenai pengurus Liverpool, Rafael Benitez. Perancangan beliau dalam urusan perpindahan pemain amat sukar untuk dijangka. Anda lihat sahaja bagaimana beliau membawa masuk Torres ke Liverpool. Tanpa ada angin ribut dalam pasaran perpindahan pemain, Torres telah menandatangai kontrak dengan Liverpool pada musim panas 07/08. Memang itulah cara Rafa, rundingan perlu dilakukan tanpa diganggu oleh unsur-unsur luar yang boleh menjejaskan urusan tersebut. Buat Silva, jika anda mahu menyertai tentera Sepanyol di Anfield, kami mengalu-alukan kedatangan anda untuk mengatasi masalah sayap Liverpool yang tidak konsisten sejak dahulu lagi. Tapi biarlah rundingan perpindahan dibuat dengan cara baik dan bukannya dengan penuh kontroversi yang akan menjejaskan reputasi Liverpool sebagai antara kelab ternama di Eropah.
YNWA
3 comments:
huhu..
dah lama rumours nih
mintak2 jadik kenyataan
harap2 rafa leh buat magic la pancing mamat ni ... hehehe
biorlee dapat.
Post a Comment