Showing posts with label Kenny Dalglish. Show all posts
Showing posts with label Kenny Dalglish. Show all posts

Wednesday, March 2, 2011

LFC : In King Kenny We Trust!!!


King Kenny kata "Kami akan belajar dari kesilapan dan memperbaiki segala kelemahan pada perlawanan yang lalu. Seminggu latihan pasti tidak akan memberikan masalah kepada Liverpool." Nampaknya pengurus kita ini pasti mempunyai perancangan yang rapi bagi menghadapi perlawanan pada hari Ahad nanti.

Dengan rehat yang cukup dan persediaan yang lengkap sebelum turun ke medan peperangan pada hari Ahad nanti, Liverpool wajar memberikan persembahan terbaik di atas padang. Bermain di hadapan para penonton sendiri di Anfield diharapkan mampu memberi semangat kepada para pemain Liverpool. Kecederaan pemain seperti Martin Kelly serta Daniel Agger dan Raul Meireles pasti sedikit sebanyak memberikan impak ke atas persediaan Liverpool. Namun itu bukanlah alasan untuk menghalang Liverpool mempamerkan prestasi terbaik pada hari Ahad nanti. Tidak kira siapa yang bakal diturunkan pada perlawanan ini, sila buktikan anda layak untuk menyarung jersi keramat Liverpool!!! WALK ON REDS!!!


YNWA

Sunday, January 16, 2011

Kenny Dalglish : Menjelang Merseyside Derby

Ramai penyokong yang kecewa dengan kekalahan demi kekalahan yang diterima Liverpool walaupun kini Liverpool kembali menerima sentuhan lagenda kelab iaitu King Kenny Dalglish. Namun harus diingatkan, seperti yang King Kenny pernah suarakan sebelum ini, para peminat Liverpool perlu lebih realistik dengan keadaan skuad Liverpool sekarang. Tidak dinafikan memang banyak perkara yang perlu dilakukan oleh King Kenny untuk memulihkan kembali skuad kini bermain di bawah tahap kemampuan sebenar mereka. Tiga perlawanan di dalam masa seminggu adalah tugas yang amat berat buat King Kenny kerana beliau baru sahaja mengambilalih tugas sebagai pengurus Liverpool pada hari Sabtu yang lepas (8/1/2011) dan terus menghadapi perlawanan pertama Liverpool pada keesokkan harinya (Piala FA) di tempat lawan. Kemudian pertembungan dengan Blackpool di perlawanan pertengahan minggu Liga Perdana Inggeris juga di tempat lawan cukup jelas menghadirkan cabaran getir buat mana-mana pengurus pasukan pun. Perlawanan dengan Blackpool ini perlu diadakan pada pertengahan minggu kerana ianya merupakan perlawanan yang ditunda pada penghujung Disember 2010 disebabkan masalah salji tebal di Bloomfield Road (gelanggang Blackpool). Untuk mendapatkan kejayaan dengan segera adalah perkara sukar kerana Liverpool bukan kelab yang akan menabur semua pengurusnya dengan kewangan yang mewah. Lebih-lebih lagi belum tentu duit akan mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh Liverpool sekarang. Menurut King Kenny, skuad Liverpool yang sekarang tidak mempunyai banyak masalah jika dilihat daripada sudut kemahiran individu namun kurangnya keyakinan serta tidak mahu bermain dengan semangat berpasukan dengan lebih tinggi menjadi punca utama skuad Liverpool kini kelihatan seperti pincang. Inilah antara perkara utama yang menjadi tumpuan King Kenny. Kesannya kita dapat lihat pada perlawanan menentang Blackpool dimana penyerang utama Liverpool Fernando Torres kelihatan lebih yakin serta berani membuat percubaan ke arah pintu gol lawan. Cuma nasib tidak menyebelahi Liverpool apabila sedikit kealpaan barisan tengah dan barisan pertahanan menafikan usaha Liverpool untuk membawa pulang mata pertama King Kenny ke Anfield.

Berbalik kepada pertembungan Merseyside derby, nampaknya jiran biru Liverpool kelihatan semakin angkuh walaupun nasib mereka sekarang juga tiada baiknya berbanding Liverpool. Mungkin mereka masih terbawa-bawa kejayaan menewaskan Liverpool di kandang mereka sebelum ini. Komen-komen yang dibuat oleh pemain serta pengurus mereka juga banyak membicarakan tentang kelemahan Liverpool. Biarlah mereka terjun dengan labu-labunya, sementara itu Liverpool perlu fokus sepenuhnya kepada pertemuan ini untuk kembali ke landasan kemenangan. Itu adalah agenda utama King Kenny walaupun jelas kehadiran beliau kembali buat kali pertama sebagai pengurus Liverpool di Anfield pasti akan menimbulkan nostalgia kepada semua peminat-peminat Liverpool. Namun bagi King Kenny, misi utama beliau jelas dimana walaupun tidak menafikan nostalgia yang akan timbul, beliau tetap fokus sepenuhnya untuk mencapai kemenangan. King Kenny juga mahukan para pemain Liverpool lebih menggunakan kebijaksanaan di atas padang jika mahukan kemenangan. Walaupun usaha para pemain ini semakin jelas tetapi itu masih belum mencukupi untuk menjamin kemenangan. Liverpool tanpa pemain utama seperti Steven Gerrard dan Jamie Carragher pasti mahu membuktikan bahawa kemenangan pasti boleh dicapai di Anfield. Manakala jiran biru Liverpool pasti akan berusaha untuk menghalang usaha Liverpool ini. Mereka juga kehilangan beberapa pemain utama sepertimana Liverpool. Walaupun apapun yang berlaku, marilah kita semua bersama-sama menyokong pemain-pemain Liverpool dan juga King Kenny di dalam usaha mereka untuk mengembalikan Liverpool ke landasan kemenangan. Jalan berliku itu yang pasti tetapi jika bukan kita semua peminat Liverpool yang menyokong kelab, siapa lagi bukan? Seperkara lagi, John W Henry berada di Anfield untuk perlawanan ini, harapnya beliau memberikan berita baik buat kita semua dengan King Kenny diberikan dana yang mencukupi untuk membeli beberapa pemain baru untuk Liverpool.


YNWA

Sunday, January 9, 2011

Kenny Dalglish : The Return Of The King

Sebelum memulakan bicara, mohon maaf kepada rakan-rakan semua kerana agak lama tidak membuat entri di Liverpool Malaya. Bukan hanya kesibukan kerja tetapi juga disebabkan terlalu banyak berita negatif di media dan juga internet mengenai Liverpool di kebelakangan ini yang turut membuatkan saya mengambil pendekatan untuk memerhatikan perkembangan semasa yang berlaku di Anfield. Terima kasih buat rakan-rakan yang masih sudi singgah di Liverpool Malaya. Sokongan anda sekalian amat saya hargai. Ok kembali kepada berita gembira yang kita semua nanti-nantikan, pada hari ini 8 Januari 2011 menandakan kembalinya semula seorang lagenda Liverpool sebagai pengurus baru The Reds. Lagenda yang kita semua sanjungi ini adalah King Kenny Dalglish. Semua peminat-peminat Liverpool di seluruh dunia cukup gembira dengan berita ini kerana sememangnya kita semua mengharapkan beliau kembali memimpin Liverpool. Hatta selepas pemergian Rafa sebelum ini, Kenny adalah antara calon utama yang dimahukan peminat untuk mengemudi Liverpool. Jelas kegembiraan para peminat Liverpool di mana laman sosial Facebook, Twitter dan juga blog dipenuhi dengan ucapan kegembiraan para peminat Liverpool di seluruh dunia. Itulah bukti bahawa Liverpool tidak pernah kekurangan sokongan di masa kejatuhan mahupun di masa kegemilangannya. Syabas saya ucapkan kepada para peminat Liverpool. Teruskan sokongan anda sekalian kerana ini yang Liverpool perlukan untuk bangkit kembali berjuang di persada liga dan juga eropah. Terdapat juga persoalan yang menjadi tanda tanya para peminat Liverpool iaitu adakah kita semua akan mencemuh King Kenny jika beliau gagal di dalam misinya untuk membangkitkan kembali Liverpool di separuh kedua musim 2010/2011 ini? Jawapannya mudah, sukar untuk saya melihat para peminat Liverpool akan marah jika King Kenny tidak berjaya kerana semua peminat Liverpool amatlah menghormati beliau. Bagi saya, kita semua patut bersyukur dan berasa bertuah kerana King Kenny sanggup mengambilalih Liverpool di pertengahan musim ini dimana keadaan Liverpool amatlah menyedihkan. Biarkan King Kenny melakukan kerja beliau tanpa gangguan daripada kita semua. Sokonganlah beliau sepertimana kita pernah menyokong mana-mana pengurus Liverpool sebelum ini. Diharapkan segala perancangan King Kenny akan lebih baik dan berjalan dengan lancar. Kita semua amat gembira kerana kehadiran beliau kembali sebagai pengurus Liverpool namun janganlah kita terlalu mengharapkan sebarang keajaiban yang mampu dilakukan beliau pada masa yang singkat ini. Keajaiban tidak akan berlaku di dalam masa yang singkat tetapi kita semua mendoakan agar King Kenny mampu mengembalikan semangat Liverpool yang kian menghilang di dalam diri pemain. Kepada King Kenny, Selamat Kembali Ke Liverpool dan Selamat Berjaya di dalam misi anda untuk mengembalikan kegemilangan Liverpool!!!


YNWA

Wednesday, June 23, 2010

Dalglish : Komited Selamatkan The Reds


Perkhabaran terbaru yang diterima dari Anfield menyatakan lagenda Liverpool Kenny Dalglish kini telah bersedia untuk meninggalkan kelab jika pihak pengurusan mengambil keputusan untuk melantik pengurus Fulham, Roy Hodgson untuk menggantikan Rafa Benitez sebagai pengurus baru Liverpool. Pihak pengurusan Liverpool telah menegaskan bahawa peranan Dalglish bersama-sama pengarah urusan Christian Purslow untuk mencari pengurus baru Liverpool tidak melayakkan beliau sendiri untuk dilantik sebagai pengurus Liverpool. Walaupun begitu Dalglish sendiri dikatakan tidak bersetuju dengan pilihan pihak pengurusan (lembaga pengarah) Liverpool iaitu Hodgson dan beliau tidak dapat menyokong keputusan mereka ini meskipun Dalglish bersahabat baik dengan pengurus Fulham tersebut. Dalglish juga yakin beliau mampu mengemudi Liverpool di saat sukar yang yang kini dilalui oleh gergasi dari Anfiled ini. Walaupun kekurangan dana untuk membeli pemain baru serta masalah dengan pemilikan kelab yang tidak kunjung sudah, Dalglish dikatakan komited untuk membantu Liverpool. Jika Liverpool kehilangan Dalglish apabila Hodgson dilantik sebagai pengurus baru Liverpool, pengarah urusan Christian Purslow pasti akan terasa bahangnya kerana beliau mempunyai hubungan yang baik dengan Dalglish.

Persoalan yang masih belum terjawab adalah kenapa pihak pengurusan Liverpool dilihat seperti cuba mengelak daripada melantik Dalglish sebagai pengurus baru Liverpool? Bermacam-macam alasan yang diberikan oleh mereka apabila ditanya mengenai kedudukan Dalglish di Anfield. Saya melihat tindakan Dalglish untuk keluar dari Anfield (jika terjadi) bukan kerana merajuk atau membawa diri kerana tidak dipilih untuk mengemudi Liverpool tetapi lebih kepada tanda protes kepada pihak pengurusan yang semakin kurang prihatin terhadap kedudukan kelab. Saya akui Hodgson merupakan pengurus yang baik untuk mengemudi Liverpool tetapi jika kita mempunyai pilihan yang sebaik Dalglish, kenapa perlu dilihat ke tempat yang lebih jauh? Bukan berniat untuk menidakkan peluang Hodgson sebagai pengurus Liverpool kerana beliau juga layak untuk mengisi kerusi panas yang dikosongkan Benitez ini. Perlu diingatkan Dalglish adalah antara pengurus terbaik yang dapat mengenalpasti pemain-pemain muda yang berpotensi di England. Dalglish mungkin mengambil sedikit masa untuk memulihkan Liverpool tetapi perkara yang paling penting adalah untuk menstabilkan kelab di saat yang sukar sekarang ini. Bermula daripada itu, perancangan untuk memulihkan Liverpool boleh direncanakan mengikut idea Dalglish sendiri.

Secara peribadi saya berpendapat pihak pengurusan Liverpool (lembaga pengarah) berkemungkinan mahu mengelakkan peristiwa yang sama berulang kembali jika melantik pengurus yang cukup berpengaruh di kalangan peminat sepertimana yang berlaku kepada Rafa Benitez. Jika reaksi ke atas pemecatan Benitez menimbulkan kemarahan para peminat Liverpool di Anfield, bagaimana agaknya reaksi peminat (yang kini menyokong sepenuhnya perlantikan Dalglish) jika Dalglish pula mengalami nasib yang serupa? Alasan untuk mencari pengurus yang kini masih aktif di dalam bidang pengurusan bolasepak hanyalah sebagai gimik untuk menidakkan peluang Dalglish untuk mengemudi Liverpool. Seperti yang kita semua sedia maklum, Dalglish mempunyai pengalaman yang cukup luas sebagai pemain dan juga sebagai seorang pengurus. Selain daripada rekodnya yang cukup baik sebagai pemain/pengurus Liverpool, Celtic, Blackburn Rovers serta Newcastle, adakah kita sudah boleh menganggap kemahiran beliau sudah berkarat setelah sepuluh tahun meninggalkan dunia pengurusan bolasepak? Bak kata Jamie Redknapp, Dalglish masih mengikut perkembangan dunia bolasepak walaupun kini tidak lagi menjadi seorang pengurus. Dalglish selain masih menghadiri perlawanan yang membabitkan Liverpool, masih arif dengan sepak terajang dunia bolasepak (terutama Liverpool) kerana beliau bukanlah bersara sepenuhnya daripada bolasepak. Jika saya bertanya kepada rakan-rakan sekalian, siapa yang lebih mengenali asam garam Liverpool, Hodgson ataupun Dalglish?


YNWA

Wednesday, June 9, 2010

Dalglish : Pilihan Terbaik Liverpool

Lagenda Liverpool Kenny Dalglish a.k.a King Kenny diberitakan mahu dikeluarkan daripada panel pemilihan pengurus baru Liverpool. Dalglish kini dilaporkan berminat untuk mengemudi kembali Liverpool menjelang musim baru nanti. Kelab dari Anfield ini sedang giat untuk mencari pengganti kepada Rafa Benitez yang telah melepaskan tugas beliau sebagai pengurus Liverpool sebelum ini dan Dalglish serta pengarah urusan Christian Purslow diberikan tugas untuk mencari pengganti Benitez. Desas-desus ini timbul apabila sasaran utama Liverpool Roy Hodgson masih mahu kekal bersama Fulham di London dan ini menyebabkan Dalglish berminat untuk menabur bakti kepada Liverpool. Dalglish sebelum ini pernah menjadi pengurus Liverpool daripada tahun 1985 hingga 1991 dan selepas itu mengambilalih tugas pengurus di Blackburn, Newcastle dan juga Celtic. Beliau kembali ke Anfield pada tahun lepas dan menjalankan tugas sebagai duta Liverpool selain daripada mengawasi program pembangunan pemain-pemain muda di Akademi Liverpool. Tiada calon yang lebih sesuai untuk menggantikan Benitez di Anfield selain Kenny Dalglish. Beliau mempunyai pengaruh yang cukup kuat untuk kembali menstabilkan Liverpool yang dilihat terumbang-ambing sekarang ini. Persoalannya, mahukah dua ekor petualang besar tersebut melantik King Kenny sebagai pengurus Liverpool? Mereka pasti sedar pengaruh King Kenny yang lebih besar daripada Rafa Benitez di Anfield akan mudaratkan mereka di kemudian hari.


YNWA

Tuesday, December 22, 2009

Dalglish : Menjejaki McGeady

Perkhabaran terbaru dari Scotland telah menyatakan bahawa Liverpool kini sedang mengikuti perkembangan pemain sayap lincah Celtic, Aiden McGeady. Liverpool dikatakan berminat dengan McGeady dan bersedia untuk melancarkan bidaan sebanyak 8 juta pound kepada Celtic bagi mendapatkan McGeady apabila urusan perpindahan pemain dibuka semula pada bulan Januari nanti. McGeady merupakan antara pemain yang menjadi pujaan peminat di Parkhead. Pemain kelahiran Glasgow ini berusia 23 tahun telah membuat 14 penampilan dengan Celtic dan menjaringkan 5 gol serta membuat 6 assists pada musim ini. McGeady juga merupakan pemain antarabangsa skuad Republik Ireland. McGeady yang sebelum ini kerap dikaitkan kontroversi dengan bekas pengurus Celtic Gordon Strachan. Setelah Strachan meninggalkan Celtic, McGeady adalah antara pemain yang cukup lega dengan situasi tersebut. Pada musim 2007/2008, McGeady telah merangkul anugerah Pemain Terbaik Tahunan SPFA serta Pemain Muda Terbaik Tahunan SPFA selain daripada kejuaraan Liga Perdana Scotland bersama-sama Celtic.

Liverpool dilaporkan telah menghantar dutanya iaitu Kenny Dalglish ke Motherwell pada minggu lepas ketika Celtic menewaskan tuan rumah 3-2. Liverpool dikatakan telah mengikuti perkembangan pemain muda Republik Ireland ini di sepanjang musim melalui Dalglish. Dan duta Liverpool ini dilaporkan telah mengikuti perkembangan McGeady bermula ketika beliau menjadi Pengarah Bolasepak di Parkhead pada tahun 2000. McGeady pada ketika itu baru berusia 14 tahun dan merupakan salah seorang pemain muda yang mempunyai masa depan yang cukup cerah. Mulai saat itu Dalglish telah mengikuti perkembangan pemain muda ini yang kini bergelar bintang di Celtic. Saya berpendapat agak sukar untuk Liverpool mendapatkan McGeady kerana pemain ini cukup popular di kalangan peminat di Parkhead. Saya juga pasti Celtic tidak begitu mudah untuk melepaskan pemain utama mereka ini. Lebih menyukarkan keadaan, Celtic tidak mempunyai masalah kewangan yang boleh memaksa mereka untuk menjual pemain-pemain utama mereka. Namun ianya sesuatu perkara yang tidak mustahil kerana hubungan baik di antara Liverpool dan juga Celtic akan membolehkan sebarang rundingan diladakan. Dan Liverpool diwakili oleh Dalglish yang juga merupakan antara pemain lagenda Celtic. Namun jika Liverpool benar-benar berminat untuk mendapatkan pemain sayap lincah ini, sebarang usaha rundingan haruslah dilakukan dengan baik dan mendapat persetujuan daripada Celtic terlebih dahulu. Gunakan saluran yang lebih berdiplomasi tanpa mewujudkan sebarang kontroversi yang mungkin tidak disenangi oleh Celtic.


YNWA

Friday, October 23, 2009

LFC : Rush, Hansen, McMahon Dan Dalglish Bersuara




Empat Lagenda Liverpool iaitu Ian Rush, Alan Hansen, Steve McMahon dan Kenny Dalglish, hari telah menyeru semua peminat Liverpool samada di Anfield dan juga di seluruh dunia supaya bangkit menyatakan sokongan kepada pengurus serta pemain-pemain Liverpool menjelang perlawanan penting pada hari Ahad ini. Keempat-empat lagenda Liverpool ini berpendapat kini sudah tiba masanya para peminat Liverpool bersatu untuk membantu kelab gergasi Merseyside ini keluar daripada kemerosotan prestasi ini. Rush amat yakin para peminat Liverpool pasti akan menyokong sepenuhnya pasukan mereka di Anfield pada hari Ahad nanti. Namun menurut Rush, semuanya tidak akan bermakna jika pemain-pemain yang diturunkan oleh pengurus di atas padang gagal untuk beraksi pada tahap terbaik mereka untuk memenangi perlawanan tersebut. Tambah Rush semuanya bergantung kepada pemain yang bakal diturunkan nanti, pengurus telah melaksanakan tugas dengan memilih pemain terbaik untuk perlawanan tersebut. Rush amat yakin dengan kerjasama daripada semua pihak, Liverpool pasti akan kembali bangkit ke prestasi terbaik sedikit masa nanti.

Manakala lagenda Liverpool yang berpengalaman selama 14 tahun sebagai pemain dan pengurus Liverpool, Kenny Dalglish pula memberitahu, pihak pengurusan Liverpool kini berdiri teguh di belakang Rafa Benitez dan percaya beliau akan membawa Liverpool keluar daripada kemerosotan prestasi ini. Dalglish juga percaya para penyokong Liverpool akan memainkan peranan mereka pada hari Ahad nanti untuk memberikan sokongan sepenuhnya kepada pemain di atas padang supaya mereka dapat beraksi pada tahap terbaik. Berdasarkan pengalaman beliau sebagai pemain dan pengurus, Dalglish berpendapat kedua-dua pihak tersebut mempunyai keyakinan dan kepercayaan di antara satu sama lain. Dalam perkataan yang lebih mudah, pengurus perlu mempunyai keyakinan serta kepercayan kepada pemain dan begitu juga pemain harus yakin serta percaya kepada pengurus. Dalglish seperti juga Rush berpendapat, adalah amat penting untuk semua pihak di Liverpool bersatu untuk membawa kelab ini keluar daripada kemerosotan prestasi terburuk di dalam masa 22 tahun.

Sementara itu, seorang lagi lagenda Liverpool iaitu bekas pemain pertahanan tengah, Alan Hansen pula berpendapat Liverpool bakal melakukan kejutan di Liga Perdana Inggeris dengan menumpaskan musuh tradisi mereka pada hari Ahad nanti. Hansen mengakui Liverpool kini bukan berada pada tahap prestasi terbaik mereka namun beliau amat yakin Liverpool pasti akan berusaha berhabis-habisan untuk mencapai kemenangan pada hari Ahad nanti. Menurut Hansen, jangan terkejut jika melihat peningkatan mendadak Liverpool pada perlawanan Ahad nanti. Tambah Hansen, kecederaan kepada pemain-pemain utama Liverpool seperti Gerrard, Torres dan juga Johnson sedikit sebanyak menyumbang ke arah kemerosotan prestasi ini. Pemain-pemain lain juga menurut beliau gagal beraksi di tahap terbaik apabila diturunkan oleh pengurus di atas padang. Hansen juga berpendapat Liverpool terlalu bergantung kepada Gerrard dan juga Torres namun menurut beliau, tidak banyak yang boleh dilakukan Rafa Benitez kerana pilihan pemain adalah terhad. Hansen juga pasti pengurus musuh tradisi Liverpool juga akan berhati-hati di dalam perlawanan ini. Menurut Hansen, jika silap percaturan maka mereka pasti akan dibaham oleh singa yang sedang luka ini.

Seorang lagi lagenda Liverpool iaitu Steve McMahom yang kini bertugas sebagai salah seorang Pengarah di Profitable Group dan juga sebagai pengulas bolasepak di rangkaian ESPN pula berpendapat, jangan tertipu dengan prestasi Liverpool sekarang ini. Bekas pemain tengah Liverpool ini berpendapat, Liverpool mempunyai peluang untuk memenangi perlawanan pada hari Ahad nanti. Menurut Macca, semua orang tahu bagaimana Liverpool dan para peminat mereka di Anfield, mereka akan bangkit dan peperangan pasti akan berlaku di sana nanti. Jika Liverpool berjaya memenangi perlawanan pada hari Ahad nanti maka mereka akan kembali ke dalam persaingan untuk merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris. Macca juga berpendapat Liverpool terlalu bergantung kepada kekuatan tiga pemain iaitu Torres, Gerrard dan juga Mascherano. Tanpa mereka bertiga, Liverpool pasti akan menghadapi masalah. Seperti juga Hansen, Macca juga berpendapat Rafa Benitez mempunyai pilihan pemain yang amat terhad di bangku simpanan dan tidak banyak yang boleh dilakukan oleh beliau. Macca juga tidak terkejut jika lebih banyak mata akan dicicirkan oleh pasukan-pasukan utama Liga Perdana Inggeris pada musim ini kerana liga ini menjadi semakin kompetatif. Dan tiada lagi mata mudah seperti musim-musim sebelum ini. Semua pasukan utama termasuk Liverpool bepeluang untuk berada di dalam saingan liga dan memenangi kejuaraan pada musim ini. Macca juga memberi nasihat kepada Rafa agar memperkukuhkan pertahanan Liverpool dan menggunakan pemain yang ada dengan lebih efisen agar potensi mereka dapat dimaksimumkan semasa berada di atas padang.

Kepada rakan-rakan peminat, jika lagenda-lagenda Liverpool ini bersama-sama bersatu hati untuk menyatakan sokongan mereka tanpa berbelah bagi kepada kelab, kenapakah kita tidak boleh menjadi seperti mereka? Saya faham anda semua amatlah kecewa dengan prestasi Liverpool sekarang ini, namun saya menyeru anda semua supaya bersatu di belakang kelab kita ini. Lupakan sebentar segala masalah yang timbul di Liverpool. Tidak kira ideologi mana yang anda semua bawa, saya mahu kita semua bersatu untuk membawa Liverpool keluar daripada kemerosotan prestasi ini. Saya yakin serta percaya Liverpool akan kembali kepada prestasi terbaik sedikit masa nanti bermula dengan perlawanan pada hari Ahad nanti.



YNWA

Thursday, July 30, 2009

Dalglish : Statistik Kegemilangan

Berikut adalah statistik yang menceritakan penglibatan Lagenda bolasepak Liverpool, Kenny Dalglish a.k.a King Kenny di dalam bolasepak. Dalglish merupakan antara pemain terbaik yang pernah menyarung jersi Liverpool. Selain dari menjadi pemain yang cukup cemerlang, Dalglish turut menjadi pengurus Liverpool yang cukup berjaya di dalam sejarah penubuhan kelab dari Merseyside ini. Kini Dalglish telah meneruskan semula pertalian beliau dengan Liverpool dan beliau kini adalah pengarah di akademi bolasepak Liverpool serta bertindak sebagai duta antarabangsa Liverpool. Statistk yang saya perolehi daripada laman rasmi liverpoolfc.tv ini cukup untuk menggambarkan kejayaan yang telah dicapai oleh King Kenny. Sama-sama kita lihat statistik King Kenny di bawah :

440,000 pounds. That's how much Bob Paisley paid Celtic in August 1977. Dalglish was brought to the club to replace Kevin Keegan after his move to Hamburg

30,461 fans turned out for The King's testimonial at Anfield in 1990, helping raise in the region of £150,000 gate receipts. The Reds beat Real Sociedad 3-1

836 club games

515 Liverpool appearances

339 club goals

321 Celtic appearances

307 games in charge at Anfield

259 games to score 100 league goals

180 consecutive first-team appearances between 1977-78 and 80-81

172 Liverpool goals

167 Celtic goals

102 caps. On becoming the first Scot to make a century of appearances, Dalglish was presented with a silver cap by Franz Beckenbauer

97 minutes to score his first Liverpool goal. After failing to get on the scoresheet in the Charity Shield against Man Utd, King Kenny netted just seven minutes into his league debut versus Middlesbrough

41 goals for Celtic in 1972-73

38 years old when he played his last game for Liverpool, coming on as a sub for Jan Molby against Derby County in May 1990

37 games unbeaten as Liverpool manager from August 1987 to February 1988

37 goals for Cumbernauld United, Celtic's nursery side, during the 1967-68 season.

31 goals in his first season at Anfield

30 goals for Scotland - a record shared with Denis Law

23 goals in just 49 appearances during his first season as a regular at Celtic

19 pieces of major silverware in the Anfield trophy room, accumulated in just 13 seasons

15 Wembley appearances as a Liverpool player

15 years old when he first had a trial at Liverpool in 1966. He played in a B team match against Southport, but no transfer transpired

10 major trophies with Celtic

8 league championships with Liverpool; five as a player, three as player/manager

7 was The King's number

4 Manager of the Year awards with Liverpool and Blackburn

3 European Cup winner's medals

3 World Cups. He would have played in four had a knee injury not kept him out of Mexico '86

2 FA Cup final victories over Everton

2 Football Writers' Player of the Year awards

2 hat-tricks for Liverpool, against Wrexham and Man City

1 MBE

1 red card, against Benfica in 1984-85

1 Kenny Dalglish


YNWA

Sunday, July 5, 2009

Dalglish : Kepulangan Seorang Raja

Berita yang amat menggembirakan apabila lagenda Liverpool, Kenny Dalglish secara rasmi menyertai Liverpool. Kepulangan beliau adalah hasil usaha pengurus Liverpool, Rafael Benitez. Dalglish akan membantu Akademi Liverpool dan juga menjadi duta antarabangsa Liverpool di dalam usaha promosi global. Dalglish amat gembira dan beliau amat komited untuk meneruskan usaha membantu Liverpool. Kini tugas utama beliau adalah untuk membantu Akademi Liverpool menghasilkan lebih ramai pemain muda berbakat di Liverpool. Selain itu sebagai duta Liverpool, beliau akan turut membantu usaha untuk mempromosikan Liverpool di peringkat global. Rafa telah lama berminat untuk mendapatkan khidmat Dalglish dan beliau percaya pendapat serta buah fikiran Dalglish akan membantu Liverpool untuk jangkamasa panjang. Pengarah Urusan Liverpool, Christian Purslow berkata pada peringkat awal perbincangan beliau dengan Rafa, mereka telah bersetuju untuk berusaha membawa Dalglish kembali ke Anfield. Purslow amat gembira Dalglish telah bersetuju menyertai Liverpool dan beliau berharap Dalglish dapat membantu Rafa untuk membawa Akademi Liverpool ke arah lebih baik.

Lagenda Liverpool yang berusia 54 tahun ini adalah merupakan pengurus terakhir yang berjaya membawa kejuaraan Liga Perdana Inggeris pulang ke Anfield pada tahun 1990. Dalglish juga telah memenangi kejuaraan tersebut pada tahun 1986 (Liverpool menang kejuaraan berganda) dan 1988. Kesemua 3 kejuaraan yang dimenangi beliau ketika masih berdaftar sebagai pemain Liverpool. Piala FA telah dimenangi Dalglish pada tahun 1989 namun beliau mengejutkan Liverpool dengan mengambil keputusan untuk meninggalkan Liverpool pada 1991. Selepas itu Dalglish menjadi pengurus di Blackburn dimana beliau turut memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris pada ketika itu. Beliau juga menaburkan bakti di Newcastle dan Celtic selepas itu. Rekod Dalglish ketika beliau tiba untuk menggantikan Kevin Keegan di Anfield dari Parkhead pada 1977 adalah 172 gol di dalam 515 perlawanan. Di sepanjang waktu itu, Dalglish telah memenangi 3 kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah pada tahun 1978, 1981 dan 1984. Status beliau sebagai Lagenda Liverpool terpahat di Anfield semenjak dari itu. Diharapkan kepulangan Dalglish ini akan membuahkan hasil kepada Akademi Liverpool untuk melihat lebih banyak pemain muda berbakat dilahirkan dan mungkin klon Steven Gerrard serta Jamie Carragher dapat dilihat di Anfield pada masa akan datang!


YNWA

Monday, April 27, 2009

King Kenny : Sireh Pulang Ke Gagang

Beberapa hari yang lepas saya terbaca di internet mengenai desas-desus kembalinya salah seorang Lagenda Liverpool, Kenny Dalglish ke Anfield. Berita yang tersebar di internet mengatakan King Kenny akan menyertai pasukan Rafael Benitez di Anfield. Warga Scotland yang berumur 58 tahun ini akan diberi tugas untuk membantu pembangunan Akademi Bolasepak Liverpool atau lebih tepat untuk membimbing pemain-pemain muda Liverpool supaya lebih ramai pemain berbakat seperti Gerrard dan Carragher dapat dilahirkan.

Selang beberapa hari selepas itu, King Kenny memberikan jawapannya. Beliau semenjak dari dahulu lagi bersedia membantu Liverpool dalam sebarang aspek yang diperlukan. Syarat beliau amat mudah iaitu ianya mestilah berasaskan kepada ada keperluan di kelab dan Rafael Benitez mahu beliau membantu Liverpool. Jika kelab atau Rafa merasakan kehadiran beliau akan menganggu perancangan Liverpool, Kenny tidak mempunyai masalah dengan perkara itu dan menghormati keputusan tersebut. King Kenny yang mempunyai sejarah selama 14 tahun sebagai pemain dan pengurus Liverpool amat berbesar hati untuk membantu kelab kesayangan beliau ini. Menurut Kenny lagi, tidak banyak yang boleh beliau perkatakan sekarang tetapi jika ada perkembangan terbaru, pasti peminat-peminat Liverpool adalah yang pertama akan mengetahuinya.

Seorang lagi Lagenda Liverpool yang pernah bermain di bawah Kenny, John Barnes pula berkata, kehadiran Kenny di Anfield akan memberi inspirasi kepada semua yang terbabit dengan Liverpool. Kesannya sama seperti yang berlaku di Newcastle setelah kembalinya Alan Shearer untuk membantu mereka sekarang. Menurut Barnes lagi, ramai peminat masih menyanyikan nama beliau dan Kenny dinobatkan sebagai pemian terbaik untuk Liverpool dan juga pengurus terakhir yang membawa pulang piala Liga Inggeris ke Anfield pada tahun 1990. Tiada calon yang lebih tepat untuk mengetuai Akademi dan menghasilkan generasi baru Liverpool selain dari King Kenny, tambah Barnes lagi.

Saya pasti jika benar perkara ini berlaku, satu semangat baru akan lahir di Anfield. Semangat untuk memburu trofi kejuaraan Liga Perdana Inggeris yang sudah lama tidak mengisi kabinet piala di Anfield. Kehadiran King Kenny pasti akan mengujakan kita semua sebagai peminat Liverpool. Apa-apa pun kita berharap Rafa dan pengurusan Liverpool sependapat dengan semua peminat-peminat Liverpool. Jika anda membawa masuk Kenny Dalglish ke Anfield, ianya satu tindakan yang cukup tepat dan bijak. Kehadiran beliau pasti akan mengukuhkan lagi kedudukan Liverpool di persada liga dan eropah amnya. Kepada King Kenny, kami semua menanti kepulangan seorang lagenda ke Anfield.


YNWA