Monday, November 16, 2009

Kaka : Gerrard Seorang Ikon

Pemain tengah antarabangsa Brazil dan juga bintang Real Madrid iaitu Kaka telah memberikan pendapat peribadi beliau mengenai Kapten Liverpool Steven Gerrard. Kaka menyatakan Gerrard adalah seorang pemain bolasepak yang mempunyai hati seperti singa. Kedua-dua pemain ini telah bertembung di dalam dua final Liga Juara-Juara Eropah sebelum ini dan Kaka mengakui Gerrard telah meninggalkan rasa hormat yang berpanjangan daripada beliau sendiri. Menurut Kaka, England memang mempunyai pemain individu yang mantap dan beliau sendiri merupakan antara peminat Steven Gerrard. Tambah Kaka, Gerrard merupakan satu ikon dunia bolasepak moden dimana beliau bukan hanya mampu menyerang tetapi mampu juga bertahan dengan baik. Tinggi sungguh pujian dari Kaka ini dan saya berharap pujian beliau ini adalah ikhlas untuk mengiktiraf Gerrard sebagai antara pemain tengah terbaik dunia buat masa sekarang. Saya bukan mahu berburuk sangka tetapi harapnya bukanlah Ada Udang Di Sebalik Mee, di mana pujian ini adalah untuk menarik perhatian Gerrard supaya berpindah ke Real Madrid.


YNWA

Sunday, November 15, 2009

Hernanes : Samba Terbaru Di Anfield?

Pemain antarabangsa Brazil dan juga playmaker kelab pendahulu Liga Brazil, Sao Paulo, Anderson Hernanes de Cavalho Andrade Lime a.k.a Hernanes telah dikaitkan dengan perpindahan ke gergasi Liga Inggeris Liverpool pada bulan Januari nanti. Rafa Benitez dikatakan berminat dengan pemain yang digelar “Kaka Baru” ini dan beliau dikatakan sedang meningkatkan usaha untuk mendapatkan pemain berusia 24 tahun ini. Hernanes sebelum ini turut dikaitkan dengan kelab-kelab Itali seperti AC Milan dan Juventus tetapi mereka gagal untuk memenuhi tuntutan yuran perpindahan oleh Sao Paulo. Pemain tengah Brazil ini dikatakan berminat dengan Liga Itali tetapi jika terdapat tawaran menarik dari Liga Perdana Inggeris, beliau pasti tidak keberatan untuk menelitinya. Pemain-pemain Brazil di Liverpool iaitu Lucas Leiva, Fabio Aurelio serta Diego Cavalieri mungkin memainkan peranan penting untuk menarik perhatian Hernanes ke Anfield. Saya tidak pasti berapakah yuran perpindahan yang diminta oleh Sao Paulo namun saya percaya jumlahnya tidak sedikit sehingga AC Milan serta Juventus juga mempunyai masalah untuk menyediakannya. Jika ditawarkan pada harga yang betul, Liverpool mungkin boleh melihat pemain ini secara serius.


YNWA

Saturday, November 14, 2009

LFC : Pilihan Melalui Pinjaman

Dengan musim perpindahan pemain yang akan dibuka kembali pada bulan Januari 2010 nanti, Liverpool tidak terkecuali untuk dikaitkan dengan nama-nama pemain yang dikatakan berminat untuk menyertai pasukan dari Merseyside ini. Berikut adalah beberapa nama pemain yang dikaitkan dengan Liverpool dan mereka dikatakan boleh diperolehi melalui pinjaman :

Rafael Van der Vaart
Pemain antarabangsa Holland ini dikatakan akan berpindah daripada Real Madrid pada musim panas yang lepas. Namun disebabkan Sneijder dan Robben telah dilepaskan oleh Real, Van der Vaart terus dikekalkan di dalam skuad mereka. Van der Vaart dikatakan akan menimbangkan secara serius untuk berpindah pada bulan Januari nanti setelah beliau hanya memanaskan bangku simpanan Real. Rafa Benitez dikatakan amat berminat untuk mendapatkan beliau secara pinjaman dari Real pada bulan Januari nanti. Pilihan terbaik melalui perjanjian pinjaman kepada Liverpool kerana Van der Vaart boleh bermain di bahagian sayap, tengah dan juga sebagai penyerang sokongan kepada Torres. Beliau juga mempunyai kebolehan membuat umpanan yang baik kepada bahagian serangan.

Klaas Jan Huntelaar
Penyerang antarabangsa Holland ini dikatakan semakin hilang taringnya setelah menyertai Real dan kemudiannya menyertai AC Milan. Walaupun menjaringkan beberapa gol ketika mewakili Real, Huntelaar masih gagal menyinar di Milan. Huntelaar kini semakin diketepikan oleh Milan dan beliau jika diberi peluang, pasti mahu bermain kembali dan menjaringkan gol. Pilihan yang agak berisiko buat Liverpool kerana rekod jaringan beliau sekarang tidak cukup baik. Namun jika perjanjian pinjaman boleh dilakukan, Liverpool pasti akan mendapat seorang pemain yang lebih baik daripada penyerang simpanan yang ada sekarang.

Roman Pavlyuchenko
Penyerang Rusia yang kini bermain mewakili Tottenham. Dikatakan sudah hampir berpindah pada musim panas lepas namun berjaya dipujuk oleh Harry Redknapp untuk kekal di White Hart Lane. Namun beliau semakin kecewa kerana tidak dapat beraksi dan hanya memanaskan bangku simpanan. Kekurangan beliau hanyalah kurang pengalaman di Liga Perdana Inggeris kerana peluang untuk beraksi amatlah terhad. Anfield menyediakan platform terbaik buat beliau untuk kembali beraksi di Liga Perdana Inggeris melalui perjanjian pinjaman.

Emile Heskey
Bekas pemain Liverpool yang kini beraksi untuk Villa. Rafa pada musim panas lalu dikatakan cuba mendapatkan beliau namun Heskey memilih untuk menyertai Villa. Heskey kini cuba mendapatkan perjanjian pinjaman dengan pasukan lain kerana beliau perlu lebih kerap bermain untuk memastikan tempat beliau di dalam skuad antarabangsa England. Heskey kini lebih kerap berada di bangku simpanan kerana pengurus Villa lebih banyak menggunakan Agbonlahor dan juga Carew.


YNWA

Friday, November 13, 2009

LFC : Senarai Kecederaan 13/11/09

Sempena masa rehat dua minggu yang diperolehi oleh kelab-kelab bolasepak Eropah berikutan perlawanan persahabatan serta play off Piala Dunia 2010, pengurus Liverpool Rafa Benitez agak lega kerana kebanyakan pemain-pemain kesebelasan utama beliau berpeluang untuk pulih daripada kecederaan. Berikut adalah senarai kecederaan terbaru pemain-pemain kesebelasan utama Liverpool :

Glen Johnson
Mengalami kecederaan ringan semasa melaporkan diri ke kem skuad England. Tetapi beliau telah menarik diri selepas mengetahui keadaan hamstring beliau tidak begitu baik. Kini sedang menjalani rawatan di Melwood dan Rafa Benitez menjangkakan beliau akan pulih sepenuhnya untuk perlawanan menentang citeh nanti.

Yossi Benayoun
Mengalami kecederaan hamstring ketika perlawanan menentang Birmingham pada awal pagi Selasa lepas. Dijangkakan akan berehat selama tiga minggu sebelum boleh beraksi kembali. Rafa memberitahu Benayoun bermain terlalu banyak perlawanan di dalam masa yang singkat tanpa mendapat rehat yang secukupnya.

Albert Riera
Juga mengalami kecederaan hamstrings yang sama seperti Benayoun ketika perlawanan menentang Birmingham. Kecederaan yang sama dengan kecederaan beliau sebelum ini. Juga memerlukan masa selama tiga minggu untuk pulih. Tidak dapat menyertai skuad Sepanyol untuk perlawanan dengan Argentina.

Daniel Agger
Bermain di dalam keadaan kesakitan kerana kecederaan belakang beliau belum pulih 100 peratus. Terpaksa diturunkan kerana Carragher telah digantung tiga perlawanan liga. Agger telah menarik diri daripada menyertai skuad antarabangsa Denmark untuk menentang USA dan Korea Selatan. Rafa bagaimanapun menjangkakan Agger akan kembali berlatih di dalam masa 2-3 akan datang setelah menerima rawatan di Melwood.

Fernando Torres
Masih menjalani rawatan berterusan untuk kecederaan groin yang dialami beliau. Dijangkakan akan pulih di dalam masa 2-3 minggu. Memepunyai peluang yang samar untuk beraksi ketika menentang citeh dan juga Debrecen. Rafa memberitahu perkembangan rawatan Torres adalah positif dan beliau berharap penyerang Sepanyol ini mampu berlari pada minggu hadapan dan dari situ Rafa akan membuat penilaian seterusnya ke atas kecederaan Torres.

Fabio Aurelio
Menyertai kem skuad Brazil untuk perlawanan persahabatan antarabangsa menentang England di Doha, Qatar. Namun beliau telah menarik diri disebabkan kecederaan calf yang dialaminya masih belum pulih sepenuhnya. Penilaian ke atas kecederaan beliau akan dibuat sepenuhnya apabila beliau kembali ke Melwood nanti.

Steven Gerrard
Kapten Liverpool ini baru pulih daripada kecederaan groin yang dialaminya dan beliau kini sedang menumpukan usaha untuk mengembalikan tahap kecergasannya. Rafa memberitahu Gerrard kini berlatih sepenuhnya bersama-sama rakan sepasukan beliau.

Alberto Aquilani
Telah sembuh sepenuhnya daripada demam yang dialami beliau sebelum ini. Aquilani kini sedang berusaha untuk meningkatkan tahap kecergasan beliau di atas padang dan telah turun berlatih sepenuhnya bersama-sama raka sepasukan. Rafa berharap pemain tengah Itali ini akan menyertai kesebelasan utama Liverpool sedikit masa lagi.


YNWA

Thursday, November 12, 2009

Rush : Kita Masih Berpeluang

Penyerang lagenda Liverpool, Ian Rush masih yakin Liverpool tetap berpeluang untuk meneruskan kemaraan ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah pada musim ini. Walaupun ramai yang menganggap peluang Liverpool bakal terkubur di dalam masa dua minggu lagi, Rush masih mempunyai keyakinan pertarungan untuk merebut tempat ke pusingan kalah mati ini bakal ditentukan d dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan nanti. Liverpool bakal menyambut kedatangan Fiorentina di Anfield untuk perlawanan tersebut. Rush menjangkakan Lyon akan memperolehi keputusan yang mereka mahukan di Florence nanti (samada seri atau menang) dan Liverpool pula menewaskan Debrecen untuk memastikan satu perlawanan epik peringkat Eropah bakal berlangsung di Anfield nanti. Bagi Rush, apabila melihat Liverpool menguasai permainan di Lyon, amat sukar untuk dipercayai Liverpool bakal tersingkir awal.

Rush bagaimanapun berpendapat, jika Liverpool gagal mara, mereka harus meneliti semula prestasi semasa di Florence dan juga Lyon. Gol pada minit terakhir oleh Lisandro nyata akan menentukan nasib Liverpool pada Liga Juara-Juara Eropah pada musim ini. Jika tidak berjaya pada kali ini, Rafa dan anak-anak buahnya perlu menumpukan fokus mereka untuk memastikan Liverpool akan kembali semula di dalam pertandingan ini pada musim hadapan. Kita semua berharap apa yang dikatakan oleh Rush akan menjadi kenyataan. Satu lagi perlawanan epik peringkat Eropah di Anfield pastinya merupakan buah tangan yang ditunggu-tunggu oleh para peminat The Reds.


YNWA

Wednesday, November 11, 2009

BPL : Sudah Ada Yang Melatah

Di dalam kesejukan penghawa dingin pejabat, hati saya tiba-tiba terasa panas. Kenapa tiba-tiba hati terasa panas? Nampaknya semakin banyak pihak memandang rendah keupayaan Liverpool. Terbaru pemain pertahanan mentah citeh, Pablo Zabaleta menyatakan pasukannya tidak akan memberikan belas kasihan ke atas Liverpool pada pertemuan liga minggu hadapan. BELAS KASIHAN? Sedar atau tidak pemain ini apa yang sedang diperkatakannya? Siapa yang mahukan belas kasihan pasukan yang sekadar berkelas pertengahan ini? Dan siapakah kamu Zabaleta untuk bercakap mengenai belas kasihan? Jangan mengata kepada orang lain sedangkan pasukan sendiri pun turut tunggang langgang seperti pasukan lain. Seri 3-3 dengan Burnley di tempat sendiri? Hanya itu sahaja tahap permainan pasukan kamu Zabaleta? Sedangkan Burnley telah diajar bermain bolasepak oleh Liverpool dengan jaringan 4-0. Bukan niat saya untuk membesarkan diri, namun agak melampau komen yang dikeluarkan pemain Argentina ini. Gunakan otak dan akal fikiran sebelum hendak mengeluarkan komen sebodoh ini di media. Jangan ingat pasukan kamu yang dipenuhi oleh bintang-bintang dan berbelanja 200 juta pound dengan mudah untuk menewaskan Liverpool di Anfield. Tutup mulut busuk kamu Zabaleta jika ayam belum lagi berlaga di atas padang. Kami sedikit pun tidak takutkan pasukan kamu Zabaleta, pasukan yang belum lagi berlaga tapi sudah riuh sekampung.

Saya akui prestasi Liverpool perlu lebih konsisten jika mahukan kemenangan ketika menentang citeh nanti. Dua kali seri (Lyon dan Birmingham) bukanlah keputusan terbaik yang kita semua mahukan. Namun dari sudut positif, sekurang-kurangnya kita mampu mengelak badi kekalahan demi kekalahan yang jelas menjejaskan mentaliti pemain-pemain Liverpool pada musim ini. Tempoh rehat selama dua minggu perlu digunakan sepenuhnya oleh Liverpool dengan pemain-pemain utama seperti Torres, Gerrard, Johnson serta Agger akan berehat di Melwood dan tidak menyertai pasukan negara mereka untuk perlawanan antarabangsa. Saya berharap pemain-pemain utama Liverpool akan kembali cergas sepenuhnya dan kita mampu menurunkan kesebelasan terbaik semasa menentang citeh nanti. Kepada rakan-rakan peminat, teruskan sokongan anda kepada Liverpool dan apa yang mereka katakan kepada Liverpool kita jadikan pembakar semangat untuk terus berjuang pada musim ini. Kepada Zabaleta, rasanya bukan kami yang perlukan belas kasihan tetapi pasukan kamu yang lebih memerlukannya kerana jika kamu terus menerus memperlekehkan Liverpool, kami bersedia mengajar kamu bagaimana cara yang betul untuk bermain bolasepak di Anfield. Bak kata pepatah melayu, “Mengata Dulang Paku Serpih, Mengata Orang Dia Yang Lebih”.


YNWA

Tuesday, November 10, 2009

Smicer : Selamat Tinggal Bolasepak

Salah seorang hero Istanbul 2005 Liverpool, Vladimir Smicer iaitu pemain sayap Republik Czech hari ini telah mengumumkan beliau bersara sepenuhnya daripada bolasepak pada usia 36 tahun. Smicer yang kini bermain untuk kelab di negaranya iaitu Slavia Prague, menyatakan beliau bersara kerana tidak boleh lagi memberikan komitmen 100% kepada kelabnya itu disebabkan oleh masalah kecederaan yang dialami beliau. Walaupun hati beliau masih mahu bermain namun tenaga beliau tidak lagi mengizinkan Smicer untuk terus beraksi di atas padang. Smicer yang telah membuat 184 penampilan untuk The Reds selama 6 musim di Anfield dari tahun 1999 – 2005 dan menjaringkan 19 gol. Smicer yang memulakan karier di Slavia Prague pada tahun 1996 sebelum berhijrah ke RC Lens pada 1997. Beliau kemudian tiba di Anfield pada 1999 untuk menyertai rakan senegaranya iaitu Patrik Berger di Liverpool. Smicer juga antara merupakan tenaga penting di sebalik kejayaan treble Liverpool pada tahun 2001. Beliau bermain di bahagian sayap dan juga sebagai penyerang sokongan di sepanjang kariernya di Liverpool. Namun yang paling bermakna buat Smicer adalah beliau menjaringkan gol kedua Liverpool selepas masuk menggantikan Harry Kewell di Istanbul 2005. Smicer juga turut menjaringkan salah satu gol penalty Liverpool sebelum Jerzy Dudek bertindak hebat menghalang sepakan penalti Shevchenko dan membawa pulang kejuaraan Eropah kelima Liverpool ke Anfield. Itu merupakan perlawanan terakhir Smicer untuk Liverpool dan beliau melangkah keluar dari Anfield dengan status seorang lagenda. Kepada Smicer, terima kasih kami ucapkan diatas semua jasa dan bakti anda di Anfield dan kami semua tidak akan lupakan seorang lagenda seperti anda.


YNWA

Monday, November 9, 2009

BPL : Masa Untuk Bangkit

Awal pagi Selasa ini, Liverpool akan menyambut kunjungan seteru Aston Villa, Birmingham City di Anfield. Skuad yang diterajui oleh Alex Macleish ini amat bersungguh-sungguh mahu menambahkan lagi penderitaan Liverpool. Sungguh sedap mendengar gebangan daripada kem skuad yang turut dikenali sebagai The Blues ini. Mungkin mereka rasakan rekod mereka dengan Liverpool sebelum ini agak baik dan Liverpool sedang menghadapi masalah (pada mereka) sekarang maka mudah untuk menjinakkan Liverpool. Ingatan saya, jangan pandang sebelah mata kepada skuad Liverpool ini, lebih-lebih lagi apabila bermain di Anfield. Liverpool yang mendapat masa rehat yang lebih disebabkan perlawanan ini diadakan pada hari Selasa pagi pasti mahu mengorak langkah daripada keputusan seri dengan Lyon sebelum ini. Dengan beberapa pemain utama seperti Fabio Aurelio, Martin Skrtel dan juga Albert Riera yang kini dilaporkan telah pulih dan sudah mula menjalani latihan, Liverpool pasti akan kembali dengan skuad yang lebih mantap pada perlawanan ini. Walapun kehilangan Carragher serta Degen akibat pergantungan perlawanan, kembalinya Skrtel diharapkan dapat mengukuhkan pertahanan Liverpool. Glen Johnson dan Alberto Aquilani juga dilaporkan akan diberi peluang oleh Rafa untuk pulih sepenuhnya menjelang perlawanan ini. Steven Gerrard turut menjalani latihan ringan dan ada kemungkinan untuk bermain namun peluang beliau agak tipis. Penyerang utama Liverpool, Fernando Torres bersedia untuk diturunkan jika Rafa memerlukan khidmat beliau. Torres telah menyatakan komitmen beliau untuk membantu Liverpool keluar dari situasi sekarang ini walaupun telah diberikan nasihat untuk berehat dan menjalani rawatan selama tiga minggu. Berikut adalah kesebelasan utama yang mungkin akan diturunkan oleh Rafa Benitez di dalam perlawanan ini :

Formasi : 4-2-3-1

Barisan Kemungkinan :

RIENA

JOHNSON AGGER SKRTEL INSUA

LUCAS MASCHERANO

KUYT BENAYOUN AURELIO

TORRES


Keputusan : 2-0 kemenangan kepada Liverpool. Gol dijaringkan oleh Torres dan Kuyt.

Perlawanan akan disiarkan secara langsung di Astro ESPN Rangkaian 812

10/11/09 Jam 0355 Pagi


YNWA