Showing posts with label Steven Gerrard. Show all posts
Showing posts with label Steven Gerrard. Show all posts

Wednesday, July 21, 2010

LFC : 14 Hari Mencari Setia

Gerrard telah menyatakan komitmen untuk bersama-sama Liverpool.
Torres bila lagi?


YNWA

Friday, July 16, 2010

Gerrard : Siapa Tua?


Perez, rasanya ko tu lebih tua!!!


YNWA

Sunday, March 28, 2010

Gerrard : BPL Akan Kembali Ke Anfield

Kapten Liverpool Steven Gerrard percaya beliau mampu untuk menggapai kejuaraan liga perdana inggeris bersama-sama Liverpool di dalam masa lima tahun. Gerrard menyatakan beliau kini komited untuk membawa pulang kejuaraan liga kembali ke Anfield setelah mencecah usia 30 tahun. Masa kini adalah cukup penting buat Gerrard kerana beliau sedia maklum mengenai peningkatan usianya dan ianya merupakan sebagai peringatan (memenangi kejuaran liga) pada baki karier bolasepak beliau. Gerrard menambah walaupun usia kini semakin meningkat, beliau tetap menjaga kecergasan fizikalnya agar mampu memberikan yang terbaik kepada Liverpool dan beliau yakin masih mempunyai lima tahun lagi untuk memenangi sebanyak mana kejuaraan (terutama sekali liga perdana) bersama-sama Liverpool. Untuk mencapai sasaran tersebut, Gerrard kini bersedia untuk melakukan apa sahaja agar beliau mampu mencapai sasaran tersebut. Walaupun banyak spekulasi yang timbul mengenai kedudukan beliau pada musim panas nanti, Gerrard tetap komited untuk bersama-sama Liverpool. Sebagai seorang pemain yang lahir di Liverpool (seperti Carragher), tiada yang lebih penting daripada membawa pulang kejuaraan liga perdana inggeris kembali ke Anfield. Mungkin sesetengah pihak lebih mementingkan duit tetapi jika bercakap mengenai Gerrard, bukan beliau yang mengejar duit tetapi duit yang mengejar beliau. Di Liverpool, Gerrard telah diberikan segalanya oleh kelab dan hampir kesemua kejuaraan telah dimenangi beliau bersama-sama Liverpool. Saya percaya Gerrard mampu membawa Liverpool untuk merampas kembali kejuaraan liga perdana inggeris. Hanya menunggu masa dan ketika sahaja untuk kita melihat kapten Liverpool ini menjulang kejuaraan yang diidamkan oleh kita semua ini.


YNWA

Monday, March 22, 2010

Gerrard : Kecoh Satu Dunia!

Beberapa minggu kebelakangan ini, Kapten Liverpool Steven Gerrard dikritik hebat oleh media kerana dikatakan tidak berdisiplin di atas padang. Saya cukup hairan kerana apabila ada sahaja kejadian (walaupun sekecil kuman) yang membabitkan pemain Liverpool, dunia seperti hendak runtuh dibuatnya bila membaca kritikan yang tidak berasas dari media. Bukanlah saya bersetuju dengan tindakan Gerrard tetapi kita harus ingat, beliau juga adalah manusia dan manusia itu mempunyai hati dan perasaan. Gerrard dikatakan menunjukkan isyarat V kepada pengadil ketika perlawanan menentang Wigan dan dikatakan menyiku kepala Brown pada perlawanan menentang Pompey di Anfield. Dan di dalam kedua-dua kejadian, Gerrard terlepas daripada tindakan pengadil dan juga FA England. Tidak adil rasanya jika kita melihat pandangan daripada sudut mereka yang mahu menjahanamkan Liverpool. Sebagai peminat, ini adalah merupakan pendapat saya. Bukan semata-mata untuk membela Gerrard tetapi ini adalah fakta di dalam kedua-dua perlawanan. Pada perlawanan dengan Wigan, keputusan pengadil banyak dilihat berat kepada Wigan (walaupun kita tahu pengadil semakin tidak melindungi pemain-pemain Liverpool). Jesteru itu tidak hairanlah mengapa timbul rasa marah Gerrard. Sebagai kapten, beliau banyak kali memprotes kepada pengadil agar lebih melindungi pemain Liverpool daripada terjahan-terjahan kasar pemain Wigan. Isyarat V itu muncul akibat pengadil gagal mengawal permainan dengan baik. Semua daripada kita memang tahu, jika berhadapan dengan pasukan yang bermain dengan kekasaran (bukan agresif), niat mereka lebih kepada untuk mencederakan pemain dan bukannya menghalang bola (dalam bahasa lebih mudah tidak faham cara yang betul untuk tackle pemain lain). Pengadil perlu lebih bertanggungjawab secara profesional untuk mengawal permainan dan bukannya terlalu banyak memberi kelebihan (advantage) kepada pihak lawan. Di dalam perlawanan dengan Wigan ini, pengadil Marriner memberikan laporan kepada FA England yang kesalahan Gerrard tidak setimpal untuk diberikan kad kuning atau merah. Mungkin Marriner cuba menyeimbangkan tindakan beliau di atas padang dengan tidak menghukum Gerrard?

Pada pertemuan dengan Pompey di Anfield pada awal pagi Selasa yang lepas, Gerrard sekali lagi dituduh dengan sengaja menyiku bahagian belakang kepada kapten Pompey Brown. Sekali lagi, Gerrard terlepas tindakan apabila FA England dan pengadil Attwell bersetuju tindakan Gerrard tidak boleh dihukum oleh kad merah atau kuning. Sebenarnya jika sesiapa menonton perlawanan tersebut boleh melihat tindakan Brown daripada awal perlawanan yang menggunakan pelbagai taktik kotor untuk menghalang Gerrard daripada membuat gerakan untuk Liverpool. Brown sudah lama terkenal dengan taktik permainan kotor beliau dan telah beberapa kali bertembung dengan Gerrard di liga perdana inggeris. Ketika kejadian, Gerrard cuba mara ke hadapan untuk menyambar bola tetapi Brown telah bersedia untuk menggunakan badannya bagi menghalang Gerrard. Mungkin sedar dengan tindakan lawan yang mahu menggunakan taktik kotor, Gerrard dengan tidak sengaja mengangkat tangan dengan tujuan untuk memberi laluan bagi mara ke hadapan. Jika ada pihak yang perlu dihukum, Brown lebih layak diberi kad di atas padang. Anda bayangkan jika anda hendak bergerak ke depan tetapi ada tembok yang menghalang, apa yang akan anda lakukan? Berita Gerrard bebas daripada sebarang tindakan jelas menimbulkan kemarahan mengyu a.k.a syaitan merah. Mereka mula berangan-angan Gerrard akan terlepas perlawanan di kandang mereka jika digantung perlawanan. Bagi syaitan merah, Gerrard patut dihukum seperti pemain mereka Ferdinand. Mungkin mereka lupa, pengadil banyak kali menghadiahkan masa tambahan tidak betul kepada mereka sebelum ini sehingga mereka dapat menjaringkan gol. Takkan takut dengan Gerrard kot? Begitu juga kritikan yang datang daripada bekas pengadil liga perdana Graham Poll. Pengadil pencen ini mahukan Gerrard lebih berdisiplin atau berhadapan dengan kemungkinan dihantar pulang awal pada Piala Dunia nanti. Encik Poll, anda harus ingat satu fakta bahawa, Gerrard tidak akan bertindakbalas jika beliau tidak diprovokasi oleh pihak lawan. Nasihat anda juga harus pergi kepada pemain-pemain yang mengamalkan taktik kotor dan bukan hanya menyerang kepada satu individu sahaja. Terima Kasih Encik Poll di atas nasihat tersebut, mungkin berguna untuk Gerrard bermain dengan lebih tenang di atas padang nanti. Kepada Gerrard, anda adalah kapten kami dan merupakan sumber inspirasi pasukan. Kami mahukan anda berikan yang terbaik di atas padang. Usah dilayan provokasi yang cuba ditimbulkan oleh pihak lawan.


YNWA

Friday, February 12, 2010

Gerrard : Kapitan Kuasa Dua

Nampaknya Liverpool kini telah mempunyai pengganti yang sesuai untuk kaptennya Steven Gerrard apabila beliau bersara nanti. Siapakah yang mampu menggantikan Gerrard? Jawapannya adalah klon Steven Gerrard yang dihasilkan oleh Muzium Madame Tussauds yang berpengkalan di London. Masalahnya hanya satu iaitu, Steven Gerrard klon ini diperbuat daripada lilin dan mungkin akan cair dengan tekanan di liga perdana inggeris. Jika benar Liverpool mempunyai dua orang Steven Gerrard, maka ianya pasti akan menggembirakan semua peminat The Reds. Patung lilin Gerrard ini sebenarnya adalah untuk pameran di Muzium Madame Tussauds di London. Berikut adalah beberapa fakta menarik mengenai penghasilan patung lilin Gerrard ini :

Patung lilin ini dipersembahkan untuk tonton umum di Anfield sebleum dibawa untuk dipamerkan di Muzium Madame Tussauds di London.

Pengukir menggunakan 300 ukuran tepat daripada badan Gerrard berserta dengan katalog-katalog bergambar sebagai rujukan di dalam pembuatan patung lilin ini.

Patung lilin Gerrard mengambil masa empat bulan untuk disiapkan dan menelan belanja sebanyak 150 ribu pound secara keseluruhan.

Kasut dan kit Liverpool untuk patung lilin ini adalah daripada sumbangan Gerrard dan bukannya diperbuat daripada lilin.

Gerrard meluangkan masa selama lima minit untuk memeriksa patung ini ketika dipersembahkan di Anfield dan beliau sempat memperbetulkan rambut pada patung lilin ini.

Amat jarang patung lilin Madame Tussauds dipersembahkan kepada umum di luar London, disebabkan jadual ketat Gerrard, pihak muzium telah membawa patung lilin ini ke Anfield.

Pihak Madame Tussauds berharap patung lilin Gerrrad ini mampu menjadi tarikan kepada pengunjung menjelang Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan pada bulan Jun nanti.

Patung lilin Gerrard ini akan diletakkan bersama-sama patung-patung pemain bolasepak England yang lain di Madame Tussauds London.


YNWA

Thursday, January 28, 2010

Gerrard : Mahukan Prestasi Terbaik

Kapten Liverpool, Steven Gerrard berazam mahu kembali ke prestasi terbaik beliau secepat mungkin dan membantu Liverpool kembali ke kedudukan empat teratas di liga perdana inggeris. Musim ini Gerrard dihantui oleh masalah kecederaan yang tidak kunjung sudah dan ini telah menyebabkan prestasi semasa beliau tidak seperti yang diharapkan Liverpool. Menurut Gerrard sudah menjadi tugas beliau sebagai Kapten Liverpool untuk berusaha sedaya upaya untuk membawa rakan sepasukan supaya bermain dengan lebih baik dan kembali untuk meletakkan Liverpool di tempat yang betul. Kini sasaran utama beliau adalah untuk memperbaiki tahap kecergasan beliau untuk perlawanan-perlawanan berikutnya. Gerrard juga berasa lega kerana berjaya menghabiskan 90 minit permainan semasa menentang Wolves pada pertengahan minggu lepas setelah berehat hampir dua minggu akibat kecederaan. Tambah Gerrard lagi, beliau mengharapkan Liverpool akan terus berjuang untuk mendapatkan kemenangan dan rekod telah menunjukkan Liverpool kini berjaya mengharungi lima perlawanan tanpa kalah. Gerrard tahu prestasi Liverpool agak tidak menentu pada musim ini, namun itu bukanlah satu alasan untuk mereka tidak meneruskan perjuangan pada musim ini. Dengan prestasi yang semakin baik hari demi hari, Gerrard yakin nasib Liverpool akan lebih baik pada baki musim ini. Dengan dua perlawanan di Anfield selepas ini menentang Bolton dan Everton, Gerrard mensasarkan enam mata penuh diperolehi untuk menghampiri kedudukan empat teratas di liga perdana inggeris. Masih banyak perlawanan yang harus dilalui dan ini bukannya masa untuk berputus asa, tambah Gerrard lagi. Kita amat mengalu-alukan azam kapitan Gerrard ini kerana kita semua tahu beliau bermain di bawah tahap kemampuan beliau pada musim ini disebabkan masalah kecederaan yang tidak kunjung sudah. Diharapkan kita mampu untuk melihat kelibat sebenar Kapten Fantastik Liverpool pada baki perlawanan musim ini.


YNWA

Saturday, January 2, 2010

Gerrard : Laluan Sukar Menanti

Walaupun berjaya menewaskan Aston Villa iaitu salah satu pencabar utama untuk merebut tempat ke Liga Juara-Juara Eropah pada musim depan, Kapitan Gerrard menegaskan tugas Liverpool masih belum selesai dan mereka bakal menghadapi saingan lebih sukar selepas ini. Gol kemenangan yang dijaringkan oleh Torres merupakan gol ke 50 beliau di liga perdana inggeris dan beliau merupakan pemain terpantas berjaya menjaringkan jumlah tersebut untuk Liverpool dan Torres melakukannya di dalam 72 perlawanan. Walaupun Berjaya merapatkan jurang hanya kepada 4 mata daripada spur yang menduduki tangga keempat sekarang ini, Liverpool percaya Liverpool berusaha dengan lebih keras jika masih berhajat merebut tempat ke Liga Juara-Juara Eropah pada musim depan. Bagi Gerrard, kemenangan ke atas Villa tidak memberi apa-apa makna jika mereka gagal menempatkan diri di empat tempat teratas pada bulan Januari nanti. Gerrard pasti citeh, spur dan villa akan berusaha untuk menghalang Liverpool dan kapten Liverpool ini memberitahu, beliau dan rakan sepasukannya kini telah bersedia untuk bertarung habis-habisan pada musim ini. Kemenangan ke atas Villa merupakan satu tonik bagi Liverpool untuk meneruskan perjuangan pada musim ini. Walaupun persembahan Liverpool masih belum berada pada tahap terbaik, namun Liverpool kini semakin menemui rentak permainan sebenar. Jika beberapa pemain yang baik dapat diperolehi pada bulan Januari ini, tidak mustahil misi untuk menduduki empat tempat teratas liga perdana akan tercapai.


YNWA

Thursday, December 10, 2009

Gerrard : Belum Capai Lagenda


Kapten Fantastik Liverpool Steven Gerrard telah mengakui beliau masih lagi belum mencapai status lagenda di Liverpool. Gerrard telah turun untuk perlawanan ke 500 beliau untuk Liverpool ketika menentang Blackburn di Ewood Park pada hujung minggu lepas. Bagi Gerrard, beliau masih belum layak untuk mengakui dirinya sebagai seorang lagenda kerana kariernya bersama-sama Liverpool belum lagi berakhir. Lagenda menurut Gerrard adalah seorang pemain yang telah bersara daripada bolasepak dan menempa banyak kejayaan bersama-sama sesebuah kelab. Terlalu banyak pihak yang memberikan status lagenda kepada beliau walaupun masanya masih belum tiba. Bagi Gerrard bekas-bekas pemain Liverpool seperti Kenny Dalglish, Alan Hansen dan Ian Rush layak digelar lagenda. Ini kerana mereka semua telah bermain dan mencapai pelbagai kejayaan bersama-sama Liverpool. Gerrard juga berharap pada satu masa nanti apabila beliau bersara daripada bolasepak, beliau mampu menoleh kembali ke belakang untuk melihat segala kejayaan yang dicapai bersama-sama Liverpool dan pada ketika itulah barulah beliau layak menjadi sebahagian lagenda di kelab ini.

Sungguh merendah diri nampaknya pandangan kapten Liverpool ini, namun itu adalah hak beliau untuk berbuat sedemikian. Mungkin jika beliau beranggapan sebegini, motivasi untuk mengejar lebih banyak kejayaan bersama-sama Liverpool tidak akan pudar. Biar apapun pendapat Gerrard, beliau memang layak untuk digelar sebagai seorang lagenda di Liverpool. Komitmen serta kesungguhan yang ditunjukkan oleh beliau di atas padang jelas menunjukkan status sebagai lagenda tidak dapat dipisahkan oleh beliau walaupun karier bolasepaknya belum lagi berakhir. Pengaruh yang dibawa beliau ke atas pasukan Liverpool cukup besar semenjak beliau mula mewakili pasukan dari Merseyside ini melebihi sedekad yang lalu. Kepada Gerrard, anda memang layak berada sebaris dengan Dalglish, Hansen dan juga Rush.


YNWA

Friday, December 4, 2009

Gerrard : Semangat Lima Ratus


Kapten Fantastik Liverpool, Steven Gerrard bakal mempunyai sebab lebih kukuh untuk bermain dengan lebih baik dan membantu Liverpool mencapai kemenangan ke atas Blackburn di Ewood Park esok. Ini kerana beliau bakal membuat penampilan ke 500 buat Liverpool di sepanjang karier bolasepak beliau di Anfield. Gerrard bagaimanapun dengan rendah diri menyatakan, masih banyak yang perlu beliau menangi dengan Liverpool jika mahu memahat nama sebagai seorang lagenda di Anfield. Pada umur 29 tahun, kapten Liverpool ini masih mempunyai masa selama 4 sehingga 5 tahun lagi untuk menambahkan lagi caps Liverpoolnya dan tidak mustahil ianya bakal mencecah 700 hingga 800 penampilan buat Liverpool. Gerrard amat gembira dengan pencapaian 500 caps ini memandangkan beliau adalah seorang pemain tempatan Merseyside yang beraksi untuk Liverpool. Jika pada masa kecil dahulu, jika dapat beraksi sekali untuk Liverpool pun Gerrard sudah cukup gembira. Namun menurut Gerrard, sasaran utama beliau masih belum berubah iaitu mahu membawa pulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris kembali ke Merseyside dan beliau tidak akan berhenti berusaha selagi menyarung jersi Liverpool. Walaupun beliau tahu peluang Liverpool pada musim ini amat sukar, namun untuk mengalah terlalu awal bukan satu pilihan. Tambah Gerrard, sebarang kemungkinan boleh berlaku dan beliau bersama-sama rakan-rakannya akan mengambil pendekatan perlawanan demi perlawanan. Sasaran utama ketika ini adalah untuk membawa Liverpool kembali kepada tangga kelayakan Liga Juara-Juara Eropah pada musim hadapan. Dan selepas itu, barulah Gerrard mahu melihat sejauh mana Liverpool dapat meneruskan cabaran mereka pada musim ini.

Saya pernah menulis mengenai penampilan ke 500 kapten Liverpool ini dan ianya datang pada masa yang tepat ketika menentang Blackburn esok. Kita berharap kapten Liverpool ini dapat beraksi dengan cemerlang esok setelah prestasi beliau yang agak mendatar di beberapa perlawanan sebelum ini. Dengan semangat perlawanan ke 500, kita harap Gerrard mampu memberikan kemenangan kepada Liverpool di Ewood Park esok. Kem Blackburn sudah mula kedengaran gebangan besar daripada panjaga golnya, Robinson. Mungkin tengah merasa hebat setelah menewaskan skuad jambatan runtuh di dalam Piala Carling di pertengahan minggu ini. Biarlah mereka berkata sedemikian, yang penting bagi Liverpool, turunkan kesebelasan terbaik utnuk mengatasi corak permainan ganas mereka. Jangan membuang masa melayan komen mereka kerana lebih baik Liverpool fokus untuk memenangi perlawanan esok yang saya jangka akan berlangsung sengit.


YNWA

Thursday, November 26, 2009

Gerrard : Tugas Belum Selesai

Kapitan Fantastik Liverpool Steven Gerrard mengajak rakan-rakan sepasukan serta para peminat Liverpool di seluruh dunia agar melupakan kekecewaan yang dialami di Liga Juara-Juara Eropah dan menumpukan kepada tugas yang masih belum selesai pada musim ini. Gerrard berkata kini adalah masanya untuk Liverpool kembali bangkit untuk meneruskan perjuangan di liga perdana inggeris, Piala FA serta Liga Europa yang bakal disertai Liverpool nanti. Kapten Liverpool ini mengakui persembahan Liverpool yang tidak konsisten pada musim ini dan persembahan ini belum cukup untuk membawa Liverpool ke peringkat seterusnya di Liga Juara-Juara Eropah. Namun bagi Gerrard itu bukanlah satu alasan untuk Liverpool terus mengalah pada musim ini. Tugas yang berada di tangan di dalam saingan domestik dan juga eropah tidak perlu dipandang mudah. Jika Liverpool tidak mahu pulang dengan tangan kosong pada musim ini, Liverpool harus menunjukkan peningkatan yang ketara bermula dengan perlawanan menentang musuh setempat Merseyside iaitu Everton pada hari Ahad nanti. Jika kapten Liverpool boleh berpendapat sedemikian, saya berharap kita semua sebagai peminat Liverpool bersama-sama menyokong beliau untuk berjuang di sepanjang musim ini. Saya yakin dengan senarai kecederaan kita yang semakin pendek dan jika kita berjaya memperolehi beberapa pemain baru pada bulan Januari nanti (samada secara belian atau pinjaman), musim Liverpool pada kali ini adalah jauh daripada tamat dengan lebih awal. Perlu diingat, kita masih ada lebih kurang enam bulan sebelum musim tamat ini pada pertengahan Mei 2010 nanti.


*Salam Aidiladha Buat Semua Pembaca Setia liverpool-malaya


YNWA

Monday, November 16, 2009

Kaka : Gerrard Seorang Ikon

Pemain tengah antarabangsa Brazil dan juga bintang Real Madrid iaitu Kaka telah memberikan pendapat peribadi beliau mengenai Kapten Liverpool Steven Gerrard. Kaka menyatakan Gerrard adalah seorang pemain bolasepak yang mempunyai hati seperti singa. Kedua-dua pemain ini telah bertembung di dalam dua final Liga Juara-Juara Eropah sebelum ini dan Kaka mengakui Gerrard telah meninggalkan rasa hormat yang berpanjangan daripada beliau sendiri. Menurut Kaka, England memang mempunyai pemain individu yang mantap dan beliau sendiri merupakan antara peminat Steven Gerrard. Tambah Kaka, Gerrard merupakan satu ikon dunia bolasepak moden dimana beliau bukan hanya mampu menyerang tetapi mampu juga bertahan dengan baik. Tinggi sungguh pujian dari Kaka ini dan saya berharap pujian beliau ini adalah ikhlas untuk mengiktiraf Gerrard sebagai antara pemain tengah terbaik dunia buat masa sekarang. Saya bukan mahu berburuk sangka tetapi harapnya bukanlah Ada Udang Di Sebalik Mee, di mana pujian ini adalah untuk menarik perhatian Gerrard supaya berpindah ke Real Madrid.


YNWA

Monday, October 19, 2009

LFC : Gerrard - Torres Untuk Ballon d'Or

Penyerang utama Liverpool, Fernando Torres dan Kapten Liverpool, Steven Gerrard telah disenarai pendek untuk menerima anugerah berprestij Ballon d’Or untuk tahun ini. Prestasi mantap kedua-dua pemain utama Liverpool ini di dalam tempoh 12 bulan terakhir membolehkan mereka terpilih sebagai antara calon untuk anugerah ini. Pemenang akan diumumkan pada 1Disember nanti. Berikut adalah senarai penuh 30 pemain yang dipilih sebagai calon pada tahun ini :

Fernando Torres (Liverpool)
Steven Gerrard (Liverpool)
Andrey Arshavin (Arsenal)
Karim Benzema (Real Madrid)
Iker Casillas (Real Madrid)
Cristiano Ronaldo (Real Madrid)
Diego (Juventus)
Didier Drogba (Chelsea)
Edin Dzeko (Wolfsburg)
Samuel Eto'o (Inter Milan)
Cesc Fabregas (Arsenal)
Diego Forlan (Atletico Madrid)
Ryan Giggs (Manchester United)
Yoann Gourcuff (Bordeaux)
Thierry Henry (Barcelona)
Zlatan Ibrahimovic (Barcelona)
Andres Iniesta (Barcelona)
Julio Cesar (Inter Milan)
Kaka (Real Madrid)
Frank Lampard (Chelsea)
Maicon (Inter Milan)
Lionel Messi (Barcelona)
Luis Fabiano (Sevilla)
Franck Ribery (Bayern Munich)
Wayne Rooney (Manchester United)
John Terry (Chelsea)
Nemanja Vidic (Manchester United)
David Villa (Valencia)
Xavi (Barcelona)
Yaya Toure (Barcelona)

YNWA

Wednesday, October 7, 2009

Gerrard : Bukti Kesetiaan Masih Wujud



Kapten Fantastik Liverpool, Steven Gerrard kini menghampiri penampilan ke 500 beliau untuk Liverpool, namun kapten Liverpool ini menegaskan sasaran utama beliau adalah untuk memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris. Ketua pasukan Liverpool ini telah membuat 494 penampilan sehingga sekarang dan beliau dijangkakan bermain pada perlawanan ke 500 beliau ketika menentang Lyon di tempat lawan bulan hadapan. Sehingga kini Gerrard telah menjaringkan 123 gol untuk Liverpool. Gerrard berbangga kerana beliau kini bermain hampir 500 kali untuk Liverpool. Tambah Gerrard semasa beliau membesar, mewakili Liverpool adalah satu impian dan beliau akan berasa cukup gembira jika hanya sekali sahaja berpeluang mewakili Liverpool. Namun kini setelah menghampiri 500 penampilan buat Liverpool, pasti ianya istimewa buat Gerrard dan keluarganya serta rakan-rakan beliau. Gerrard yang kini berusia 29 tahun berkemungkinan akan dapat mengatasi rekod yang dipegang oleh lagenda Liverpool Kenny Dalglish yang telah membuat 515 penampilan, menjaringkan 172 gol dan memenangi 19 kejuaraan utama bersama-sama Liverpool. Menurut Gerrard, King Kenny adalah lagenda dan beliau merupakan antara pemain bolasepak terbaik di sepanjang zaman dan untuk berada di kalangan individu sebegini merupakan satu penghormatan buat Gerrard. Kenny yang telah memenangi banyak kejuaraan utama bersama-sama Liverpool termasuklah gelaran liga, menjadi inspirasi buat Gerrard untuk lebih berjaya di dalam karier bolasepak beliau. Gerrard mahu memenangi lebih banyak kejuaraan utama bersama-sama Liverpool di masa akan datang.

Menghampiri 500 penampilan buat Liverpool dan Gerrard masih ada kontrak selama 4 tahun bersama-sama Liverpool. Mungkin beliau dengan mudah untuk menambahkan 200 penampilan (jika beliau tidak mengalami kecederaan jangka panjang) lagi di dalam tempoh tersebut. Rekod penampilan terbanyak Liverpool di pegang oleh Ian Callaghan dengan 857 penampilan kelihatan agak jauh dari jangkauan Gerrard, namun jika Gerrard kekal bermain dengan Liverpool sehingga berumur 35-36 tahun, tidak mustahil beliau akan memecahkan rekod tersebut. Walaupun terdapat ura-ura mengatakan ini merupakan kontrak terakhir Gerrard dengan Liverpool, sebarang kemungkinan tidak boleh diketepikan sama sekali. Gerrard merupakan antara pemain yang masih kekal dan kenal erti kesetiaan. Di zaman bolasepak moden ini, golongan sebegini hanya tinggal sedikit sahaja. Lebih banyak pemain zaman ini yang mementingkan duit daripada kelab. Gerrard menjadi bukti dan model bahawa untuk berjaya tidak semestinya menyertai kelab yang kaya-raya sahaja. Gerrard cukup dihormati oleh para peminat Liverpool dan nama beliau akan tercatit sebagai salah seorang lagenda Liverpool apabila beliau bersara dari dunia bolasepak pada suatu hari nanti.


YNWA

Sunday, July 19, 2009

Gerrard : Lagenda Sepanjang Zaman

Di dalam satu undian secara online yang telah dibuat oleh laman web Eurosport-Yahoo!, Kapten Liverpool Steven Gerrard telah dipilih sebagai Lagenda Liverpool Sepanjang Zaman.Gerrard telah merangkul kira-kira 49% undi atau 14,454 undi daripada jumlah keseluruhan 26,923 undi yang dibuat oleh para pembaca laman web tersebut. Gerrard telah mengatasi pemain-pemain lagenda Liverpool yang lain seperti Kenny Dalglish, Ian Rush dan Kevin Keegan. Namun pengundian ini tidak mewakili keseluruhan peminat The Reds di dunia dan ianya hanyalah sebagai bancian yang dilakukan oleh laman web tersebut. Sama-sama kita lihat pilihan yang telah dibuat oleh pembaca laman web tersebut dan juga ramalan yang telah dibuat oleh pihak laman web tersebut :

Steven Gerrard dominated the voting in our latest poll as Eurosport-Yahoo! readers named him Liverpool's greatest ever player.

The talismanic skipper may never have led his team to the league title, but it has not been due to a lack of effort.

In 11 years with the club he has often made it seem like he's the only thing standing between the top four and a slide into mid-table obscurity - and that's even before you start thinking about the cups.

Kenny Dalglish finished a distant second with 19 per cent of the vote, though many of the comments celebrated the Scot's brilliance both as a player and a double-winning manager.

In third place on 15 per cent was Eighties goal machine Ian Rush, a worthy result for the Welshman.

Past greats Billy Liddell and Kevin Keegan barely registered on the voting board, however, while our number three pick - Graeme Souness - came in second to last.

Eurosport-Yahoo! verdict:
1. Kenny Dalglish
2. Steven Gerrard
3. Graeme Souness

Readers' verdict (26,923 votes):
1. Steven Gerrard - 49% - 14,454 votes
2. Kenny Dalglish - 19% - 5,762
3. Ian Rush - 14% - 4,303
4. Kevin Keegan - 7% - 1,985
5. Robbie Fowler - 5% - 1,594
6. John Barnes - 3% - 778
7. Graeme Souness - 1% - 427
8. Billy Liddell - 1% - 377


YNWA

Saturday, July 11, 2009

Gerrard : Rasmi Di Anfield Hingga 2013



Kapten Fantastik Liverpool, Steven Gerard telah menurunkan tandatangan secara rasminya kepada kontrak baru beliau bernilai 26 juta pound untuk tempoh 4 tahun akan datang. Berita ini pasti merupakan satu lagi perkhabaran gembira buat skuad Liverpool yang baru memulakan latihan pra musim di Melwood. Gerrard sebelum ini telah bersetuju dengan tawaran kontrak sebanyak 125 ribu pound seminggu dari Liverpool pada bulan April yang lalu. Beliau telah mengotakan janji beliau dengan menurunkan tandatangan kepada kontrak baru sebaik sahaja pulang dari bercuti dan menyertai rakan-rakannya untuk memulakan latihan. Dengan kontrak ini, Gerarrd yang mengumumkan ada kemungkinan beliau akan bersara selepas tamatnya kontrak ini, akan menjadikan pemain yang hanya setia dan mewakili satu kelab sahaja iaitu Liverpool FC di sepanjang karier bolasepaknya. Gerrard menjadi pemain utama Liverpool yang terbaru menyatakan komitmen jangka panjang kepada kelab dari Merseyside ini. Dan sasaran utama beliau adalah untuk memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris dengan Liverpool sebelum beliau bersara dari dunia bolasepak.

Sementara itu, Pengurus Liverpool, Rafael Benitez telah melahirkan rasa lega setelah berjaya mengesahkan kedudukan Gerrard secara rasmi di Anfield. Pengurus Liverpool ini sibuk pada musim panas ini memastikan para pemain utama beliau komited kepada Liverpool. Rafa amat berbesar hati kerana sehingga kini Kuyt, Torres, Agger, Benayoun dan Gerrard telah bersetuju menyambung kontrak jangka panjang dengan Liverpool. Rafa juga amat gembira dengan pemain-pemain di dalam skuad yang sedia ada, dimana mereka semua mahu kekal, menang dan bersaing untuk mengisi kesebelasan utama Liverpool. Mesej yang sama dari Rafa untuk musim 09/10, Liverpool akan berada di dalam persaingan, menjadi pencabar dan akan bersaing dengan mana-mana pasukan di Liga Perdana Inggeris. Jika Liverpool berjaya memenangi gelaran ke 19 Liga Perdana Inggeris, ianya merupakan satu pencapaian yang menakjubkan tambah Rafa lagi.

Berita yang melegakan buat semua peminat Liverpool setelah Gerrard menurunkan tandatangan secara rasmi kepada kontrak baru beliau dengan Liverpool. Setelah diasak bertalu-talu dengan desas-desus perpindahan Alonso dan Mascherano sehingga menyesakkan nafas, sekurang-kurangnya komitmen Kapten Liverpool ini akan meredakan sedikit kegusaran para peminat sekalian dan menambahkan keyakinan kita semua yang Liverpool telah berada di landasan yang betul di bawah pimpinan Gerrard. Diharapkan Alonso dan Mascherano juga akan komited kepada Liverpool sepertimana Gerrard. Kontrak baru Gerrard ini penting kerana melalui komitmen beliau kepada Liverpool, pemain-pemain lain harus tahu dan faham yang Gerrard dan Liverpool sangat serius untuk memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim depan. Dan untuk mencapai kejuaraan tersebut, Liverpool memerlukan pemain terbaik di Liga Perdana Inggeris!


YNWA

Wednesday, June 17, 2009

Gerrard : Pencen Menjelang 2013?

Kapten Fantastik Liverpool, Steven Gerrard telah membayangkan bahawa ada kemungkinan yang beliau akan bersara daripada bolasepak di akhir kontraknya dengan Liverpool pada 2013. Gerrard yang baru menyambung kontrak 4 tahun dengan Liverpool berkata, beliau akan memberi pertimbangan tersebut apabila menghampiri penghujung kontraknya itu nanti. Pemain berusia 29 tahun ini juga menjangkakan kontrak yang baru ditandatanganinya dengan Liverpool mungkin akan menjadi kontrak terakhirnya di dunia bolasepak. Menurut Gerrard, beliau akan berusia 33 tahun di penghujung kontraknya dan terdapat kemungkinan yang beliau akan meneruskan persaraan dari bolasepak pada ketika itu. Jika Gerrard menetapkan untuk bersara, beliau akan bangga kerana menghabiskan seluruh kariernya dengan hanya satu kelab iaitu Liverpool. Gerrard juga memberitahu beliau hampir meninggalkan Liverpool untuk ke Chelsea terutama pada 2005 tetapi telah menukar fikiran di saat-saat akhir. Kejadian ini telah berlaku selama 2 kali di sepanjang karier bolasepak Gerrard. Namun sehingga kini, beliau amat gembira tidak membuat keputusan untuk berpindah kerana keputusan untuk kekal di Liverpool merupakan satu keputusan yang tepat. Sehingga kini, Gerrard telah memenangi hampir kesemua trofi yang mampu dimiliki Liverpool. Cuma trofi kejuaraan Liga Perdana Inggeris yang masih menjadi buruan Gerrard dan beliau pasti akan meneruskan perjuangan bersama rakan-rakan sepasukan untuk membawa pulang trofi tersebut ke Anfield sebelum persaraannya nanti. Komitmen Gerrard, jika tidak berjaya memenangi trofi tersebut pada musim depan, beliau akan mencuba lagi pada musim akan datang sehinggalah berjaya dan saat itu merupakan detik paling gembira buat Gerrard di sepanjang karier bolasepaknya.

Kita sebagai peminat tidak boleh menghalang hasrat Kapitan Gerrard untuk bersara dari bolasepak. Mungkin masanya akan tiba nanti apabila Kapitan Gerrard mahu menumpukan perhatian beliau kepada keluarga. Namun jika benar perkara ini berlaku, saya berharap Kapitan Gerrard dapat membawa pulang trofi Liga Perdana Inggeris dalam masa 4 tahun sebelum kontrak beliau berakhir. Walaupun saya masih ingin melihat beliau meneruskan kontrak tersebut 1-2 tahun lagi sehingga 2015, namun kita harus menghormati pilihan Gerrard apabila tiba masanya nanti. Terbayang juga jika Gerrard masih terlibat dengan Liverpool selepas persaraannya nanti. Tidak kiralah samada sebagai jurulatih atau pengurus Liverpool seperti yang diidamkan oleh Carragher selepas persaraan nanti. Mungkin kita juga masih boleh mendengar suara Gerrard sebagai pengulas bolasepak satu hari nanti. Walau apapun pilihan Kapitan Gerrard, kami semua peminat menyokong penuh keputusan tersebut dan tidak akan lupa segala jasa bakti anda untuk Liverpool. Dan kesetiaan anda kepada Liverpool harus dijadikan model kepada pemain-pemain bolasepak yang lain, masih ada erti kesetiaan di dalam dunia bolasepak yang semakin hari semakin dikuasai oleh wang ini. Buat Kapitan Gerrard, anda adalah antara pemain terbaik yang pernah dilahirkan oleh Liverpool dan tanpa sebarang keraguan, anda adalah seorang lagenda di Liverpool!


YNWA

Monday, June 8, 2009

Gerrard : Majalah Penghargaan Buat Anda

Sempena pemilihan Kapten Liverpool, Steven Gerrard sebagai Pemain Terbaik Tahunan oleh Persatuan Penulis-Penulis Sukan Bolasepak, sebuah majalah telah diterbitkan untuk meraikan pencapaian beliau ini. Ini merupakan kali pertama dalam masa 19 tahun seorang pemain Liverpool telah memenangi anugerah ini. Gerrard telah mengikut jejak langkah lagenda Liverpool seperti John Barnes, Ian Rush, Kenny Dalglish dan Ian Callaghan yang telah memenangi anugerah ini di dalam jersi Liverpool. Majalah setebal 68 mukasurat ini telah memperincikan segala butiran mengenai musim terbaik kapten Liverpool tersebut dimana Gerrard dan rakan-rakannya telah berjaya membawa cabaran liga hingga ke akhir musim. Setiap jaringan Gerrard dari musim 08/09 turut disiarkan di dalam majalah yang berada di pasaran pada hari ini, termasuklah jaringan ke 100 beliau untuk Liverpool serta jaringan hatrik pertama yang diperolehi beliau di dalam Liga Perdana Inggeris.

Tahniah diucapkan kepada kapten pasukan kita, Steven Gerrard. Beliau sememangnya layak untuk anugerah tersebut tanpa sebarang keraguan. Gerrard juga telah merakamkan penghargaan kepada keluarga, rakan sepasukan, pengurus Rafael Benitez serta para peminat yang sentiasa menyokong perjuangan beliau sebagai seorang pemain bolasepak. Gerrard pada mulanya agak terkejut menerima anugerah ini namun beliau mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah memilih beliau pada kali ini. Kita semua berharap dengan anugerah ini, lebih ramai pihak yang akan mengiktiraf kapten kita ini adalah antara pemain terbaik dunia buat masa sekarang. Kepada Gerrard, misi kejuaraan Liga Perdana Inggeris bersama Liverpool belum selesai dan hanya masa yang akan menjadi penghalang bagi anda menyempurnakan misi tersebut.


YNWA

Thursday, June 4, 2009

Gerrard : Bawa Owen Kembali Ke Anfield

Micheal Owen, nama yang sinonim dengan para peminat Liverpool semenjak dari dahulu lagi. Owen pada satu masa adalah antara pemain yang memang dihormati serta disanjungi oleh para peminat Liverpool. Dengan 158 gol di sepanjang 7 musim berkhidmat untuk Liverpool, Owen sepatutnya telah menjadi lagenda Liverpool. Tetapi langit tidak selalunya cerah buat Owen, gelapnya masa depan Owen bermula apabila beliau berpindah ke Real Madrid pada musim 04/05. Alasan beliau pada ketika itu ialah untuk menyertai pasukan yang mampu menjadi “juara” tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Saya masih ingat pada ketika itu, Rick Perry dan Rafa amat bersungguh-sungguh cuba untuk memujuk Owen supaya kekal di Anfield. Tetapi disebabkan termakan dengan kononnya status “Galaticos” di Real Madrid, Owen akhirnya terperangkap di dalam jerat ciptaan beliau sendiri. Penghijrahan ke Newcastle juga gagal menghidupkan semula karier bolasepak beliau. Rafa juga dikatakan telah menawarkan kontrak kepada Owen sebelum beliau menyertai Newcastle. Tetapi para peminat Liverpool agak bingung kerana ini adalah kali kedua Owen menolak untuk menyertai Liverpool. Beliau telah memilih untuk menyertai Newcastle kerana pada ketika itu tawaran dari Newcastle adalah lebih lumayan berbanding Liverpool. Jadi saya rasa tidak hairanlah Rafa hanya melihat sebelah mata sahaja kepada Owen apabila namanya disebut-sebut supaya dibawa pulang ke Anfield pada musim depan. Ditambah lagi dengan keadaan Owen sekarang yang mudah cedera dan prestasinya terganggu akibat keadaan tersebut. Dengan Newcastle terjerumus ke Liga Championship serta terus diketepikan oleh pengurus England, Fabio Capello, di manakah letaknya masa depan Owen?

Sudah terdengar suara dari kem Liverpool di Anfield mencadangkan agar pengurus Liverpool, Rafael Benitez membawa pulang Owen semula ke Liverpool. Kapten Liverpool sendiri, Steven Gerrard berkata, adalah amat baik untuk membawa Owen pulang semula ke Anfield dan beliau percaya yang karier antarabangsa serta kelab Owen akan dapat dipulihkan. Dengan Gerrard yang mahukan pemain baru bertaraf dunia seperti Torres, kehadiran Owen pasti akan memberikan lebih pilihan kepada barisan serangan Liverpool yang diterajui oleh Torres. Menurut Gerrard jika Liverpool mampu mengekalkan kecergasan Torres serta membawa masuk beberapa pemain bertaraf dunia, pasti kejuaraan akan menjadi milik Liverpool pada musim depan. Tambah Gerrard, sebagai rakan kepada Owen, beliau ingin melihat Owen berhijrah ke kelab yang lebih besar dan memulakan kembali karier bolasepaknya bersama-sama England. Dua tahun lepas, Owen dilihat akan mengatasi rekod jaringan terbanyak England yang dimiliki oleh Sir Bobby Charlton tetapi dengan pelbagai kisah yang terjadi kepada Owen, rekod itu kelihatan semakin jauh daripada genggaman beliau.

Pasti ada antara rakan-rakan peminat yang menganggap saya ini adalah antara peminat yang anti-Owen kerana tulisan saya pada kali ini dan juga yang sebelum ini. Jawapannya tidak sama sekali. Memang saya masih kecewa dengan tindakan Owen yang berhijrah ke Real Madrid dahulu serta ke Newcastle selepas itu. Kecewa tidak bermakna saya menafikan Owen adalah penyerang yang baik. Memang kita tidak boleh menyalahkan kelab dan Rafa jika mereka tidak berminat untuk mendapatkan Owen pada ketika ini. Dua kali peluang telah diberi kepada Owen tetapi beliau masih mengenepikan Liverpool. Untuk peluang kali ketiga? Saya amat pasti Rafa akan berfikir dengan sedalam-dalamnya sebelum membuat sebarang keputusan. Dengan bajet perpindahan Liverpool yang agak terhad, kemasukan Owen ke Liverpool boleh menyelamatkan sedikit bajet tersebut bagi Rafa mendapatkan pemain lain. Owen adalah sebaya dengan Gerrard dan saya yakin beliau boleh bermain dengan baik untuk 3-4 tahun yang akan datang. Tetapi beliau perlu pastikan faktor kecergasan serta kecederaan tidak menghantui beliau di musim-musim yang akan datang. Owen boleh berpindah ke Liverpool secara percuma kerana kontrak beliau dengan Newcastle telah tamat dan saya berharap jika beliau benar-benar berminat menyertai Liverpool, beliau perlu mengurangkan permintaan terhadap gaji yang melebihi 100 ribu pound seminggu dan Owen perlu bersedia untuk menjadi penyerang sokongan kepada Torres. Amaran kepada Owen, jangan anda sertai Everton kerana anda pasti akan lebih dibenci oleh para peminat Liverpool. Jika ada tawaran dari Liverpool selepas ini, ketepikan dahulu soal gaji kerana anda bukanlah seorang pemain bolasepak yang miskin. Sertai Liverpool dan jaringkan lebih banyak gol di Anfield dan saya pasti soal gaji boleh dibincangkan dengan pengurusan Liverpool. Jika tiada tawaran dari Liverpool, lebih baik Owen menyertai pasukan seperti lain seperti Bolton atau Stoke. Mungkin langit boleh kembali cerah buat Owen jika pandangan beliau tidak digelapkan dengan duit. Sama-samalah kita lihat pasukan mana yang akan diwakili Owen nanti.


YNWA

Sunday, May 31, 2009

Gerrard : Tribute Kepada Seorang Lagenda



Semalam Kapten Liverpool, Steven Gerrard genap 29 tahun dan sempena dengan itu saya ingin membuat tribute untuk kapten fantastik kita ini. Setelah melayari beberapa blog rakan-rakan penyokong Liverpool dan juga membaca ulasan serta pendapat daripada laman web yang berkaitan dengan bolasepak, saya bersetuju dengan anda semua. Steven Gerrard a.k.a Kapitan Gerrard memang amat layak untuk memperolehi anugerah Pemain Terbaik Tahunan daripada Persatuan Penulis-Penulis Sukan Bolasepak England pada tahun ini. Yang pasti anugerah ini akan menaikkan lagi reputasi Kapitan Gerrard sebagai pemain serba boleh di dunia bolasepak. Ramai yang agak terkilan apabila Gerrard tidak mendapat anugerah Pemain Terbaik Tahunan daripada Persatuan Pemain Bolasepak England yang telah dibolot oleh Giggs. Ramai yang berpendapat, Gerrard lebih layak untuk anygerah tersebut berdasarkan prestasi semasa beliau sekarang. Bagaimana Giggs boleh menang anugerah tersebut? Takkan kerana menang banyak piala dalam jangka masa berpuluh tahun baru boleh mendapat anugerah ini? Atau kerana sistem pengundian yang tidak sampai ke penghujung musim Liga Perdana Inggeris? Saya tidak mempertikaikan anugerah yang dimenangi Giggs jika beliau bermain sepanjang musim dan menjaringkan gol yang banyak untuk pasukannya. Tetapi Giggs hanya sekadar watak tambahan di dalam pasukannya pada musim ini dan beliau sepatutnya telah lama memperolehi anugerah ini di zaman kegemilangannya dahulu. Mungkin anugerah tersebut diukur menggunakan faktor sejarah barangkali pada kali ini. Yang agak memeranjatkan juga bagi para peminat, Frank Lampard langsung tidak tersenarai sebagai calon walaupun prestasi beliau juga baik pada musim ini. Apa pun, anugerah yang diperolehi Gerrard ini menunjukkan para wartawan serta penulis sukan lebih tepat untuk menilai pemain mana yang harus mendapat anugerah pada musim ini. Pengiktirafan untuk Gerrard ini menunjukkan keadilan masih wujud di dunia ini dan beliau selayaknya adalah pemain terbaik Liga Perdana Inggeris pada musim 08/09.

Saya terbaca juga beberapa pendapat daripada rakan-rakan sepasukan Gerrard mengenai pengiktirafan kepada kapten mereka ini. Di antaranya pendapat dari penjaga gawang Liverpool, Jose Reina. Reina berpendapat, tanpa sebarang keraguan, Gerrard adalah pemain terbaik pada tahun ini. Menurut Reina, Liverpool pasti akan kelihatan seperti sebuah pasukan lain jika beraksi tanpa Gerrard. Dan kehadiran Gerrard inilah membentuk tulang belakang skuad Liverpool. Bukan menafikan sumbangan rakan-rakan yang lain, tetapi di dalam sesebuah pasukan, perlu ada faktor pendorong yang membolehkan sesebuah pasukan itu bermain dengan lebih baik dan dengan semangat yang lebih tinggi. Dalam hal ini, Gerrard adalah faktor pendorong utama kepada skuad Liverpool. Reina amat gembira untuk Gerrard dan beliau berpendapat tiada yang lebih layak menerima anugerah ini selain daripada Gerrard. Pengamal media telah membuat keputusan yang tepat dengan memilih prestasi pemain berbanding dengan sentimen di dalam membuat pemilihan untuk anugerah tersebut.

Gerrard juga merakamkan ucapan penghargaan serta terima kasih kepada Pengurus Liverpool, Rafael Benitez dan juga rakan-rakan sepasukannya yang turut membantu beliau di dalam memperolehi anugerah ini. Menurut Gerrard beliau mendapatkan bantuan serta sokongan penuh di dalam menjalankan tugas beliau di Liverpool. Keluarga, rakan-rakan serta peminat sentiasa bersama-sama beliau setiap kali turun menyarung jersi Liverpool di Anfield. Mereka memainkan peranan yang besar kerana sentiasa bersama-sama Gerrard 24 jam sehari, 7 hari seminggu di dalam perjalanan karier bolasepaknya. Rafa pula amat gembira dengan pencapaian kapten pasukannya itu. Menurut Rafa, Gerrard sentiasa bersaing dengan yang terbaik dan beliau memang selayaknya memiliki anugerah tersebut. Anugerah itu juga menunjukkan sejauh mana pencapaian Gerrard setakat ini di dalam dunia bolasepak, tambah Rafa lagi.

Bila menulis tentang Gerrard ini, saya masih teringat semasa beliau mula-mula sekali diperkenalkan kepada Liga Perdana Inggeris. Gerrard Houllier merupakan pengurus yang bertanggungjawab memperkenalkan beliau kepada dunia bolasepak yang sebenar. Bermula sebagai pemain simpanan pada waktu itu, Gerrard tidak lagi menoleh kebelakang dengan menjadi pemain kesebelasan utama serta dilantik kapten pasukan oleh Rafa dan sehingga kini beliau masih kekal menjadi peneraju utama Liverpool. Gerrard bergandingan dengan Jamie Redknapp di bahagian tengah Liverpool pada awal kariernya. Di bawah bimbingan Rafa, permainan Gerrard bertambah mantap dari hari ke hari. Setelah memiliki trofi Liga Juara-Juara Eropah, Gerrard pasti tidak akan melepaskan trofi Liga Perdana Inggeris yang amat diidamkan oleh beliau selain dari trofi Piala Dunia yang turut diinginkan beliau pada 2010 nanti. Kita semua berharap agar Gerrard terus cemerlang di dalam karier bolasepaknya dan manakan tahu, mungkin tahun 2010 adalah tahun untuk Gerrard dan Liverpool!


YNWA

Tuesday, May 12, 2009

Gerrard - Torres : Gandingan Masa Depan Liverpool

Saya bersetuju dengan Kapitan Gerrard apabila beliau menyatakan pandangan beliau tentang musim perpindahan dan juga gandingan beliau dengan Torres. Menurut Gerrard, Skuad Liverpool yang ada sekarang cukup mantap untuk memberikan cabaran musim depan dan ianya hanya memerlukan beberapa perubahan minimum untuk mengelakkan keserasian yang diperolehi musim ini tergugat. Dalam hal in Gerrard menyatakan Liverpool hanya menambah 2 pemain baru ke dalam skuad yang sedia ada. Saya sependapat dengan beliau, hanya perubahan kecil sahaja yang diperlukan di Liverpool dan harapan saya agar pemain bertaraf dunia boleh dibawa masuk ke Liverpool dan terbukti boleh beraksi untuk kesebelasan utama.

Gerrard juga telah memberikan amaran kepada manyoo, Liverpool akan memberikan cabaran lebih hebat pada musim depan jika beliau dan Torres tidak dibelenggu oleh masalah kecergasan serta kecederaan. Gandingan Gerrard-Torres hanya bermula bersama-sama di dalam 13 perlawanan sahaja musim ini tetapi telah menghasilkan 16 jaringan di antara mereka. Bukanlah mengatakan Liverpool hanya bergantung kepada gandingan Gerrard-Torres kerana terdapat pemain kain seperti Kuyt dan Benayoun yang turut menyumbang gol buat Liverpool. Tetapi secara psikologi, jika mereka berdua hadir di dalam skuad Liverpool, ianya pasti akan mengundang rasa gerun kepada pihak lawan. Ianya pasti akan membuatkan pihak lawan memberikan perhatian kepada mereka dan peluang akan turut terbuka kepada pemain lain untuk membuat jaringan. Kepada yang suka mengkritik, pasukan-pasukan lain turut ada bintang mereka sendiri yang pasti akan memberikan kelebihan dalam memburu kemenangan. Ianya hakikat dan bukan omongan kosong dari saya semata-mata.

Menurut Gerrard lagi, bukan beliau sombong tetapi kehadiran beliau dan Torres akan membolehkan seluruh skuad Liverpool beraksi dengan lebih yakin untuk memburu kemenangan. Mereka berdua agak kecewa kerana peluang mereka berdua untuk bermain bersama-sama agak terhad musim ini berikutan masalah kecergasan dan kecederaa yang membelenggu mereka berdua. Jika tidak, pasti skrip liga musim ini akan berlainan ceritanya. Gerrard turut memberikan kredit untuk Torres dengan menyatakan beliau adalah antara penyerang terbaik dunia dan kehadiran beliau di Liverpool amat diperlukan oleh rakan sepasukan dan juga para peminat. Amat mengecewakan apabila beliau tidak dapat beraksi di kesebelasan utama Liverpool. Mark Noble, pemain tengah Skuad Tukul Besi juga memuji Gerrard dan beliau percaya Gerrard akan memenangi Liga Perdana Inggeris satu hari nanti dengan satu-satunya pasukan yang menggambarkan Gerrard yang sebenarnya iaitu Liverpool. Dan Noble turut berkata, jika beliau boleh beraksi hampir sama dengan Gerrard, ianya merupakan sesuatu yang cukup memuaskan hati beliau. Semakin banyak penghargaan serta pujian yang diberikan kepada Gerrard dan beliau memang layak untuknya.



YNWA