Thursday, July 16, 2009

Reyes : Alternatif Terbaru Rafa?

Masihkah anda semua ingat kepada pemain Sepanyol, Jose Antonio Reyes? Beliau merupakan bekas pemain pasukan Arsenal a.k.a skuad senapang satu ketika dahulu. Beliau hadir ke Liga Perdana Inggeris dengan reputasi hebat di La Liga bersama-sama pasukan Sevilla. Namun penghijrahan beliau ke skuad senapang pada masa itu tidak membuahkan hasil buat Reyes dan kegagalan beliau dikaitkan dengan masalah untuk menyesuaikan diri dengan rentak Liga Perdana Inggeris dan juga masalah teringatkan kampung halaman di Sepanyol. Selepas itu, Reyes telah berhijrah ke Real Madrid sebelum ke Atletico dan dipinjamkan ke Benfica pada musim lepas. Prestasi Reyes agak sederhana semasa beliau di ketiga-tiga pasukan tersebut. Kenapa saya mahu membincangkan tentang Reyes di blog Liverpool-Malaya pada kali ini? Yang sebenarnya, terdapat khabar angin yang mengatakan 2 pasukan utama Merseyside Liverpool dan Everton akan melancarkan perang bidaan terhadap pemain Sepanyol ini. Mari kita sama-sama lihat kenapa kedua-dua pasukan ini dikatakan berminat untuk mendapatkan Reyes.

Atletico Madrid yang memegang hak pemilikan Reyes sekarang dikatakan bersedia melepaskan Reyes pada harga hanya 25% dari nilai sebenar kontrak beliau di pasaran pemain iaitu kira-kira 3 juta pound (4 juta euro) sahaja. Benfica dilaporkan telah meletakkan bidaan dengan jumlah tersebut kepada Atletico untuk membawa Reyes dengan kontrak rasmi ke Estadio da Luz pada musim depan. Namun Atletico masih membuka pintu kepada pasukan-pasukan lain untuk membuat bidaan terhadap Reyes dengan harapan agar harga beliau dapat dinaikkan lagi. Di sinilah datangnya khabar yang mengatakan Liverpool dan Everton sedang berkira-kira untuk membawa Reyes kembali ke Liga Perdana Inggeris pada musim depan. Pengalaman Reyes selama 3 musim bersama-sama skuad senapang telah berakhir dengan penghijrahan beliau ke Real walaupun beliau telah menempa beberapa kejayaan dengan skuad senapang. Kegagalan beliau menyesuaikan diri dengan rentak pasukan utara London itu dikatakan punca penghijrahan Reyes. Selepas penghijrahan ke Real, prestasi Reyes agak tidak menentu dan sederhana. Prestasi Reyes dikatakan tidak lagi sama semasa beliau dikatakan antara permata bolsepak eropah semasa mewakili Sevilla di La Liga satu ketika dahulu. Namun di sebalik minat untuk mendapat Reyes, Rafa dan juga Moyes harus menyakinkan Reyes untuk kembali ke England dan mereka berdua mampu untuk melonjakkan kembali nama Reyes di persada bolasepak setelah percubaan pertama Reyes di England berakhir dengan kekecewaan.

Saya pasti ramai yang meragui kemampuan Reyes untuk bermain dengan baik di Liga Perdana Inggeris. Ramai yang mengaitkan prestasi beliau di skuad senapang sebelum ini sebagai perbandingan. Saya amat bersetuju dengan anda semua. Tapi cuba anda semua fikirkan, Reyes bernilai hanya 3 juta pound, baru berusia 25 tahun (sama dengan Torres), beliau pemain Sepanyol dan masih mempunyai larian yang pantas di bahagian sayap. Liverpool pula mempunyai pengurus Sepanyol dan juga sekumpulan pemain Sepanyol yang beraksi di skuad utama. Anda nampak apa kelebihan Liverpool yang saya cuba timbulkan? Beginilah, saya berpendapat jumlah 3 juta pound yang dibelanjakan jika Liverpool mahu mendapatkan Reyes agak berbaloi. Kenapa? Selain daripada usia beliau yang masih muda dan masih mempunyai kepantasan larian di bahagian sayap, apa yang diperlukan Reyes adalah seorang pengurus/jurulatih yang bagus seperti Rafa untuk mendapatkan kembali sentuhan terbaik pemain Sepanyol ini. Anda lihat sendiri apa yang telah Rafa buat dengan Alonso dan juga Arbeloa. Daripada pemain yang sederhana, mereka berdua telah menjadi tunggak utama skuad Liverpool. Dan dengan pemain-pemain Sepanyol yang kini telah berada di Liverpool, Reyes pasti tiada masalah untuk menyesuaikan diri di Anfield. Faktor-faktor lain bagi Liverpool mencuba untuk mendapatkan Reyes adalah kerana Pennant telah berhijrah ke Zaragoza dan pada masa yang sama Rafa mahukan setiap pembelian Liverpool adalah berbaloi dengan keadaan kewangan Liverpool yang sederhana. Mungkin ada di antara anda yang berpendapat, musim depan bukan musim untuk membuat eksperimen dengan skuad Liverpool tetapi penyertaan Reyes adalah untuk mempelbagaikan pilihan di bahagian sayap Liverpool yang memang sejak dahulu lagi bermasalah. Jika pembelian Reyes tidak berjaya, Liverpool pasti boleh menjual beliau kembali dengan kerugian yang minimum. Tetapi jika Reyes memang sesuai dengan corak permainan Liverpool, kita mungkin akan menang loteri pada musim depan! Bayangkan apa yang boleh ditawarkan oleh Reyes pada harga yang lebih murah dari Lucas (hampir separuh harga). Mungkin ada yang mengatakan Lucas dan Reyes adalah pemain yang berbeza, betul tanggapan tersebut namun sasaran utama adalah untuk membantu Gerrard dan Torres untuk memburu gol. Reyes mampu memberikan sengat tambahan kepada bahagian depan Liverpool. Cabaran dari Everton untuk mendapatkan Reyes? Tiada masalah jika Liverpool dan Rafa benar-benar menunjukkan minat untuk membawa beliau ke Anfield. Dengan pengurus serta pemain-pemain Sepanyol yang telah berada di Anfield dan tawaran untuk bermain di Liga Juara-Juara Eropah serta status sebagai pencabar utama Liga Perdana Inggeris, saya amat pasti Reyes akan berminat ke Liverpool.


YNWA

3 comments:

Firol said...

pilihan yang agak bijak,kos yang agak boleh ,memandangkan Lvpl bukan pasukan limpahan kemewahan..

bawak je mamat ni ke Anfield..mana tau dia bleh hidup dengan taktikal kat Anfield...

beemer said...

belum cuba belum tahu si reyes ni ...
kalu mengena dgn taktikal liverpool ... mng loteri la jwbnya! hehehe ...
kalu under achieve pun ... kerugian adalah minima ...

CrAyOn said...

reyes yer....hmm..boleh la kot.. lg pon harga dia xbape nak mahal pon...bleh jadi geng torres...