Satu lagi berita baik untuk para peminat Liverpool, pertahanan tengah berbakat Liverpool, Daniel Agger semakin hampir untuk menandatangani kontrak baru dengan Liverpool. Kontrak jangka panjang itu akan dipersetujui tidak lama lagi setelah agen Agger mengakui perbincangan pihak mereka dengan Liverpool telah berjalan dengan baik dan mereka hampir mencapai kata putus.
Pertahanan tengah Denmark ini telah terlibat dalam perbincangan kontrak beliau dengan Liverpool sejak sekian lama dan pada satu ketika beliau dikhuatiri akan membeli baki setahun kontrak beliau dengan Liverpool. Agger dikatakan menarik minat AC Milan, Juventus serta Barcelona ketika perbincangan kontrak beliau dikatakan tersekat pada permintaannya untuk mendapatkan kenaikan gaji sehingga mencecah 70,000 pound seminggu. Namun Agger menafikannya dan bukan soal kewangan yang menjadi halangan tetapi betapa beliau perlu bermain di kesebelasan utama Liverpool bagi memantapkan lagi permainannya untuk Denmark serta Liverpool itu sendiri. Tambah beliau lagi, hatinya tetap milik Liverpool dan mahu diberikan lebih peluang untuk berbakti kepada kelab ini.
Nampaknya kelab telah mendengar rintihan (bukan ugutan) pemain pertahanan tengah berbakat ini dan kita semua berharap Agger akan terus bersama-sama Liverpool pada musim-musim akan datang. Kita mahu melihat pada satu hari nanti, gandingan Agger-Skrtel akan menerajui bahagian pertahanan tengah Liverpool. Berapa saja kontrak yang ditawarkan kepada beliau, saya pasti ianya akan berbaloi untuk setiap sen yang dibelanjakan. Jangan dilepaskan permata yang telah kita temui ini, gilapnya untuk lebih bersinar dan pastikan Agger terus berbakti untuk Liverpool.
YNWA
No comments:
Post a Comment