Monday, February 8, 2010

Kuyt : Kami Mengharapkan Kamu

Gol ke 50 beliau untuk Liverpool sudah cukup untuk memastikan tiga mata penuh diraih Liverpool semasa turun menentang jiran sekampung Merseyside pada hujung minggu yang lalu. Walaupun sentuhan penyudah beliau tidaklah sebahaya penyerang utama Liverpool, Fernando Torres namun beliau masih boleh diharapkan untuk mendapatkan gol buat Liverpool. Kini setelah Torres mengalami kecederaan dan terpaksa berehat sehingga Mac ini, beliau perlu memikul tugas untuk mengetuai barisan serangan Liverpool di setiap perlawanan. Sebagai pemain senior, jelas beliau tidak menghampakan kita semua sehingga ke hari ini. Saya akui beliau bukanlah seorang pemain yang lengkap seperti Torres dan Gerrard namun kelebihan beliau berbanding pemain-pemain Liverpool yang lain adalah sikap tidak putus asa di atas padang. Pada setiap perlawanan Liverpool, kita pasti akan melihat kelibat beliau mengejar bola di atas padang tanpa mengenal erti penat. Saya pasti beliau bukanlah pemain yang disukai oleh semua peminat namun di saat ini, beliau adalah pilihan terbaik untuk memastikan cabaran Liverpool terus berkibar di baki perlawanan pada musim ini. Beliau yang saya maksudkan adalah pemain antarabangsa Holland, Dirk Kuyt. Kepada Kuyt, teruskan kecemerlangan anda di atas padang dan kami semua menghargai usaha tidak mengenal erti penat anda untuk Liverpool.


YNWA

Sunday, February 7, 2010

Carragher : Penting Tanpa Bolos

Pemain pertahanan tengah senior dan juga penolong kapten Liverpool, Jamie Carragher menyatakan Liverpool kini kembali memiliki barisan pertahanan yang ampuh untuk bertahan daripada asakan pasukan lawan. Keupayaan barisan pertahanan Liverpool yang kini semakin sukar untuk ditembusi tiba tepat pada masanya apabila Liverpool kini berjuang untuk baki perlawanan musim ini. Di sepanjang tujuh perlawanan tanpa kalah setakat ini, Liverpool (dengan lima kemenangan dan dua seri, membawa 17 mata daripada 21 mata maksimum) hanya bolos satu gol sahaja kepada Stoke ketika seri 1-1 di tempat lawan sebelum ini. Hasil daripada keputusan perlawanan yang semakin memberangsangkan ini, Liverpool telah kembali ke tangga keempat liga perdana inggeris buat pertama kali semenjak awal bulan Oktober yang lepas. Namun dengan ujian lebih getir menanti Liverpool pada perlawanan liga awal pagi Khamis nanti menentang skuad senapang di tempat lawan, sebarang kecemerlangan ini tidak mempunyai makna jika Liverpool gagal mendapatkan keputusan positif di sana. Carragher tahu kemenangan yang dicapai ke atas pasukan jiran sekampung pada hujung minggu lepas bukan sekadar kemenangan untuk tiga mata sahaja, ianya satu kemenangan yang menaikkan semangat kem Liverpool sebelum bertandang ke Emirates nanti. Carragher bagaimanapun mengakui perlawanan menentang skuad senapang sentiasa sukar buat mereka dan adalah penting untuk membuat persediaan yang cukup rapi sebelum menentang mereka. Carragher mahukan persembahan terbaik daripada barisan pertahanan Liverpool untuk perlawanan ini kerana beliau yakin jika Liverpool berjaya menghalang gawang mereka daripada dibocori, kemenangan sulung di Emirates tidak mustahil untuk diperolehi.


YNWA

Saturday, February 6, 2010

BPL : Gusti Di Anfield

Tengok pertarungan gusti atau perlawanan bolasepak? Siap dengan sepak terajang dan ditambah dengan pengadil seperti kayu, cukup untuk menggambarkan betapa sengitnya perlawanan Liverpool dengan jiran sekampung Merseyside yang baru berakhir tadi. Jelas perancangan pasukan jiran sekampung Merseyside ini adalah untuk bermain bukan lagi secara fizikal tetapi lebih kepada mahu mencederakan pemain-pemain Liverpool. Ini bukan tuduhan semata-mata tetapi jika kita lihat Kyrgiakos yang terpaksa keluar padang berjahit, Kuyt yang disepak muka serta Mascherano dihentam pada betis kering dan beberapa lagi insiden yang memanaskan lagi pertemuan pada kali ini. Namun seperti yang kita tahu jika perbuatan jahat adalah niat pasukan jiran sekampung ini maka buruklah padah yang diterima mereka. Bermain menentang Liverpool yang beraksi dengan sepuluh orang juga mereka masih gagal untuk menang. Saya bukan mengatakan pemain-pemain Liverpool bermain baik namun mereka tetap dihukum dengan kad kuning dan juga merah. Pengadil perlu lebih adil kerana pemain-pemain lawan seperti Fellaini dan juga Pienaar jelas perlu dibuang padang lebih awal sebelum Kyrgiakos diarahkan keluar padang kerana kekasaran ke atas Fellaini sedangkan Fellaini turut memijak betis kering Kyrgiakos. Keputusan yang adil adalah untuk membuang kedua-dua pemain di atas padang. Sementara Pienaar hampir mematahkan betis Mascherano dengan stud kasut bolanya. Pienaar dikenakan kad kuning dan Fellaini terlepas kerana dikatakan cedera. Kesan daripada tindakan lembab pengadil inilah yang menyebabkan perlawanan semakin panas kerana saya pasti kita sebagai peminat Liverpool sepertimana pemain-pemain Liverpool berasakan pengadil jelas berat sebelah. Jika ini tarafnya pengadil untuk mengadili perlawanan sebegini, maka bersedialah untuk berhadapan dengan situasi yang lebih tegang pada perlawanan-perlawanan yang akan datang.

Walaupun beraksi dengan sepuluh orang selama lebih daripada sejam, semangat juang Liverpool ternyata mengatasi jirannya. Daripada segi percubaan melalui serangan, Liverpool berjaya disaingi oleh jirannya ini. Pemain antarabangsa Holland, Dirk Kuyt nyata merupakan pemain yang membezakan antara pasukan yang kalah dan menang. Jaringan ke 50 beliau untuk Liverpool daripada tendangan sudut kapitan Gerrard jelas menggembirakan warga Anfield. Itulah akibatnya terlalu memandang rendah Liverpool, upahnya adalah kekalahan double kepada The Reds pada musim ini. Adakah masih berbunyi mulut-mulut busuk Fellaini, Hetinga dan juga Cahill? Pada perlawanan ini, kita dapat melihat dengan jelas peningkat persembahan kapitan Gerrard yang semakin meningkat. Persembahan Kuyt, Mascherano, Agger, Insua, Rodriguez serta Carragher jelas memberikan petanda Liverpool akan terus bangkit pada baki musim ini. Lucas dengan Ngog, saya tidak mahu komen kerana masih banyak ruang untuk mereka mempertingkatkan prestasi. Satu kerugian jika mereka bermain dan terus bermain pada tahap yang ada sekarang. Memalukan jika difikirkan pemain seperti Rodriguez yang baru beberapa perlawanan beraksi untuk Liverpool turut menunjuk prestasi yang semakin meningkat dari satu perlawanan ke satu perlawanan. Dengan kemenangan ini, Liverpool kini telah menghadapi tujuh perlawanan tanpa kalah (lima menang, dua seri dengan mengutip 17 daripada 21 mata maksimum). Selain daripada itu Liverpool menambahkan koleksi kemenangan ke 84 ke atas jiran sekampung. Ujian pertarungan gusti telah berjaya dilalui Liverpool dan kini pasukan senapang dan juga citeh akan menguji skuad The Reds selepas ini. Saya menjangkakan perlawanan sukar menentang kedua-dua pasukan ini kerana Liverpool perlu bertandang ke kandang lawan. Namun kemenangan dengan jiran sekampung Meseyside ini jelas merupakan tonik terbaik kepada Liverpool untuk berhadapan dengan mereka. Saya tidak mengharapkan keajaiban untuk Liverpool tetapi jika kita berjaya mencuri mata daripada tempat lawan, itu adalah satu keputusan yang cukup positif. Buat pasukan jiran sekampung, mereka ibarat Menang Sorak Tetapi Kampung Tergadai.


YNWA

Friday, February 5, 2010

BPL : Buku Bertemu Ruas

The Reds meneruskan perseteruan dengan jiran sekampung Merseyside di dalam perlawanan liga perdana inggeris pada hujung minggu ini. Pasukan biru Merseyside ini akan bertandang ke Anfield untuk menghadapi The Reds pada perlawanan terawal liga perdana inggeris hujung minggu ini. Bukan saya hendak bercakap besar mengenai pasukan jiran sekampung ini tetapi cukuplah saya katakan, pemain-pemain mereka yang bermulut lancang dan bergebang besar di media setiap sebelum perlawanan bermula. Kali ini, mulut-mulut busuk seperti Cahill dan Fellaini sesuka hati mengeluarkan kenyataan memperkecil-kecilkan Liverpool di media dan juga internet. Mungkin rasa sakit hati dibenam 2-0 di tempat sendiri oleh Liverpool pada awal musim ini masih terasa agaknya. Saya bukan berniat untuk memperkecilkan sesiapa tetapi jika ini sikap pemain-pemain pasukan biru Merseyside ini, maka hanya setakat itulah mentaliti bolasepak mereka. Pemain-pemain mereka berasakan ini adalah peluang terbaik untuk menang di Anfield setelah Liverpool kehilangan pemain-pemain utama seperti Torres dan juga Johnson.Hairan tetapi kemenangan Liverpool di tempat mereka sebelum ini adalah tanpa kehadiran Torres yang cedera pada ketika itu. Mungkin mereka berasakan mereka adalah antara pasukan yang paling form sekarang ini dan ditambah dengan kehadiran pemain negara uncle sam, Donovon mereka sudah boleh mendabik dada dan dengan mudah untuk menang di Anfield. Sungguh dangkal dan cetek pemikiran pemain-pemain pasukan biru Merseyside ini. Ingat Liverpool masih lagi mempunyai kapten Steven Gerrard yang pasti akan bermain bermati-matian untuk memanangi perlawanan ini.

Buat pengetahuan pemain-pemain pasukan biru dan pengurus Moyes, jangan harap Liverpool akan memberi laluan mudah di Anfield. Jika berhajat mahu menang di Anfield dengan sekadar persembahan yang dikatakan telah meningkat, berhati-hatilah agar tidak menelan kembali muntah sendiri. Pendapat media dan internet mengatakan pasukan biru Merseyside ini adalah antara pasukan yang tengah form setakat ini, itu adalah pendapat mereka. Liverpool tidak perlu peduli dengan apa yang mereka katakan kerana ianya tidak berkaitan langsung dengan corak permainan Liverpool semasa menentang mereka di Anfield nanti. Bahasa yang mudah, lebih baik fokus kepada latihan dan taktikal di atas padang pada pertembungan itu nanti. Jangan dilayan permainan psikologi tahap kanak-kanak yang dipamerkan oleh mereka. Baiklah, Liverpool turun pada perlawanan ini dengan kehadiran semula pemain pertahanan/sayap kiri dari Brazil, Fabio Aurelio. Beliau dilaporkan telah cergas serta pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialaminya sebelum ini. Peminat-peminat Liverpool pasti mahu melihat kelibat Kyrgiakos di dalam kesebelasan utama Liverpool. Kehadiran pemain Greek ini amat penting untuk mengatasi taktik bola lambung yang amat gemar digunakan oleh pasukan jiran sekampung Merseyside ini. Bahaya bakal menimpa jika Rafa memilih untuk menurunkan gandingan Agger-Skrtel yang masih belum serasi setakat ini. Begitu juga dengan kehadiran Aquilani amat penitng di bahagian tengah Liverpool. Jika beliau diketepikan dan Lucas dimasukkan dengan Mascherano maka kita bakal melihat jentera tengah Liverpool yang lembab dan tidak kreatif untuk melakukan serangan. Kita semua pasti mahukan Kuyt meneraju barisan depan Liverpool berbanding dengan Ngog yang semakin diragui persembahannya. Jika Kuyt dikatakan sedikit tumpul namun sekurang-kurangnya beliau bukanlah malas untuk mengejar bola. Di bahagian sayap, mungkin kehadiran Rodriguez dan Riera mampu memberikan lebih sengat kepada Liverpool. Walau siapapun yang diturunkan oleh pengurus Rafa Benitez dan bagaimana corak permainan Liverpool nanti, yang penting kita perlu menang untuk terus mengukuhkan cabaran ke liga juara-juara eropah musim hadapan. Saya jangkakan perlawanan ini sengit dan Liverpool akan menang dengan jaringan yang tipis. Berikut adalah barisan kemungkinan pemain-pemain yang akan diturunkan oleh Rafa Benitez pada perlawanan ini nanti :


Formasi : 4-4-1-1

Barisan Kemungkinan :

RIENA

CARRAGHER AGGER KYRGIAKOS AURELIO

RODRIGUEZ AQUILANI MASCHERANO RIERA

GERRARD

KUYT

Keputusan : 1-0 kemenangan kepada Liverpool. Gol dijaringkan oleh Gerrard.

Perlawanan akan disiarkan secara langsung di Astro ESPN Rangkaian 812

06/02/10 Jam 0840 Malam


YNWA

Thursday, February 4, 2010

Riera : Mahu Kekal Di Anfield

Pemain sayap kiri Liverpool dari Sepanyol, Albert Riera memberitahu beliau mahu menamatkan karier bolasepaknya di Anfield. Pemain sayap Sepanyol yang yang dikatakan akan kembali ke La Liga bulan lepas, masih kekal di Anfield sehingga ke hari ini. Riera yang baru pulih dari kecederaan, kini telah kembali beraksi di kesebelasan utama Liverpool. Bagi Riera jika Liverpool menawarkan kontrak lima, enam atau tujuh tahun, beliau tanpa teragak-agak untuk menurunkan tandatangan ke atas kontrak tersebut dengan memejam mata. Tiada pasukan yang sebaik Liverpool untuk meneruskan karier bolasepak dan jika berpindah ke pasukan lain, ianya satu langkah ke belakang, menurut Riera lagi. Riera kini gembira berada di Liverpool dan beliau ada segala-gala yang diperlukan di sini. Riera juga yakin rakan sepasukannya iaitu Torres dan Reina akan kekal di Liverpool, tidak kira apa yang berlaku kepada pengurus Liverpool, Rafa Benitez. Mereka berdua cukup gembira di sini dan mahu mencapai lebih kejayaan bersama-sama Liverpool, tiada sebab untuk bertukar kepada pasukan lain, tambah Riera lagi. Diharapkan apa yang dikatakan oleh Riera ini ada kebenarannya kerana Liverpool tidak mampu untuk kehilangan Torres dan Reina daripada kesebelasan utama.


YNWA

Wednesday, February 3, 2010

Kyrgiakos : Tandukan Senjata Ampuh

Boss Liverpool Rafael Benitez mendakwa sikap positif yang dibawa oleh pemain pertahanan tengah Liverpool daripada Greek, Sotirios Kyrgiakos kini semakin menular di Melwood. Kyrgiakos a.k.a The Spartan adalah merupakan antara pemain terbaik Liverpool semenjak dari Krismas lepas. Beliau adalah antara sebab mengapa Liverpool kini berjaya enam perlawanan tanpa sebarang kekalahan. Menurut Rafa, Kyrgiakos terbukti adalah antara pembelian beliau paling bebaloi pada musim panas yang lepas. Kecemerlangan Kyrgiakos berterusan pada perlawanan menentang Bolton yang lalu dimana beliau berjaya mengekang penyerang Bolton Kevin Davies daripada menjaringkan gol. Benitez mengakui kualiti tandukan yang dimiliki oleh Kyrgiakos kini menjadi aset penting di bahagian pertahanan Liverpool. Kyrgiakos disifatkan oleh Benitez sebagai seorang pemain yang kuat dan berani untuk berhadapan dengan sebarang cabaran di dalam kotak penalti Liverpool. Buktinya, semasa menentang Bolton, Kyrgiakos kehilangan sebatang gigi untuk membuktikan betapa komitednya beliau kepada tugas yang diberikan di atas padang. Liverpool kini memiliki lima permainan tanpa bolos di dalam enam perlawanan terakhir mereka setelah perubahan ketara berlaku di bahagian pertahanan. Kehadiran Kyrgiakos setelah Liverpool kehilangan Daniel Agger kerana kecederaan merupakan satu bonus kepada The Reds. Jelas sekali kehadiran beliau banyak mempengaruhi corak pertahanan Liverpool yang semakin sukar untuk ditembusi. Walaupun masih terdapat kesilapan-kesilapan kecil yang berlaku di barisan pertahanan, namun itu merupakan kesilapan yang berjaya dihalang daripada memudaratkan Liverpool. Kudrat Kyrgiakos dituntut ketika Liverpool turun menentang jiran kampung sebelah Merseyside nanti. Kenapa? Tandukan beliau cukup berguna untuk menghalang taktikal pasukan yang suka menggunakan bola lambung seperti pasukan jiran kampung sebelah Liverpool ini. Samada gandingan Skrtel – Kyrgiakos ataupun Agger – Kyrgiakos, Rafa perlu pastikan kehadiran Kyrgiakos di dalam kesebelasan utama Liverpool nanti. Jika gandingan Skrtel – Agger digunakan, benteng pertahanan Liverpool pasti akan goyah dengan serangan bola lambung daripada pasukan jiran kampung Merseyside nanti.


YNWA

Tuesday, February 2, 2010

Reina : Pertahanan Adalah Kunci

Satu-satunya pemain Liverpool yang paling konsisten pada musim ini adalah penjaga gawang Jose “Pepe” Reina. Jikalau tidak kerana persembahan mantap beliau, mungkin lebih banyak gol akan membolosi gawang Liverpool pada musim ini. Reina merasakan bahagian pertahanan Liverpool semakin fokus dan mantap di beberapa perlawanan kebelakangan ini. Buktinya, persembahan Liverpool di atas padang semakin baik dengan lebih banyak keputusan positif berjaya dicapai oleh Liverpool. Yang terbaru adalah kejayaan menewaskan Bolton di Anfield dengan dua jaringan tanpa bolos. Menurut Reina lagi, pasukan yang baik bermula dengan asas yang kukuh di bahagian pertahanan dan Kapten Liverpool Steven Gerrard turut menyatakan Liverpool kini semakin sukar untuk ditewaskan. Dengan pertahanan yang semakin baik serta fokus yang tepat, pemain-pemain Liverpool kini tahu mereka kini telah berada di landasan yang betul, tambah Reina lagi. Walaupun begitu, Reina tetap menyatakan sebaik mana sesebuah pasukan itu, yang paling penting adalah untuk mencapai kemenangan. Dan kini fokus Liverpool adalah untuk berhadapan dengan Everton pada hujung minggu ini kerana The Reds kini tidak berada pada situasi yang sama dengan musim lepas. Sekurang-kurangnya bagi Reina, pemain-pemain Liverpool kini semakin yakin dengan rekod enam perlawanan tanpa kalah setakat ini dan mereka akan terus memperbaiki pencapaian ini dari satu demi satu perlawanan. Reina menjangkakan lebih banyak onak dan duri akan dilalui Liverpool pada musim ini. Namun itu bukannya alasan untuk menyerah kalah sebelum berjuang pada musim ini. Jika kita berjaya ke Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan, jasa Reina harus kita kenang sebagai antara pemain yang memberikan sumbangan yang cukup besar kepada Liverpool pada musim ini.


YNWA

Monday, February 1, 2010

Tomkins : Dikaitkan Dengan Liverpool

Dengan perpindahan Januari yang semakin ke penghujung, Liverpool tidak dapat mengelak daripada terus dikaitkan dengan pemain-pemain yang dikatakan menarik minat kelab dari Merseyside ini. Yang terbaru, pemain pertahanan muda pasukan West Ham iaitu James Tomkins diberitakan telah menarik minat pengurus Liverpool, Rafa Benitez. Rafa dikatakan telah memantau perkembangan pemain pertahanan tengah West Ham yang berusia 20 tahun dengan penuh minat. Tomkins yang diserapkan ke dalam akademi West Ham setelah berjaya dikesan oleh West Ham ketika bermain di liga tempatan. Pemain pertahanan yang memliki ketinggian 6 kaki 3 inci ini membuat penampilan di skuad utama West Ham dua tahun dahulu ketika mereka seri 1-1 dengan Everton. Waluaupun melakukan kesalahan yang menyebabkan penyerang Everton Yakubu berjaya menjaringkan gol penyamaan, senarai kecederaan yang panjang di dalam skuad Hammers telah memberi peluang kepada beliau untuk terus beraksi bersama-sama skuad dari kota London ini. Pada musim tersebut juga Tomkins dianugerahkan sebagai pemain muda terbaik West Ham. Beliau telah dipanggil pulang daripada pinjaman di kelab Derby County pada musim lepas dan ditawarkan kontrak jangka panjang oleh West Ham setelah beliau berjaya menempatkan diri di skuad utama Hammers. Pilihan yang agak baik oleh Rafa jika beliau memang berminat untuk mendapatkan khidmat Tomkins. Selain daripada masih muda, Tomkins juga merupakan pemain tempatan England yang mempunyai pengalaman bermain di liga perdana inggeris. Namun ini hanyalah sekadar desas-desus yang tidak dinyatakan sejauh mana kebenarannya. Dan belum ada bidaan rasmi daripada Liverpool ke atas Tomkins. Sejauh mana minat Rafa untuk mendapatkan pemain ini tidaklah diketahui, mungkin Tomkins akan menyertai Liverpool pada masa hadapan.


YNWA