Showing posts with label Albert Riera. Show all posts
Showing posts with label Albert Riera. Show all posts

Monday, May 24, 2010

Riera : Cabut Ke Jerman?

Kelab Bundesliga Jerman VfB Stuttgart kini bercadang untuk mendapatkan khidmat pemain sayap Liverpool dari Sepanyol, Albert Riera. Pemain antarabangsa Sepanyol ini dilihat tidak akan kekal di Anfield dan dijangka beliau akan dijual pada musim panas ini. Riera yang sebelum ini menyerang Pengurus Liverpool Rafa Benitez serta pihak pengurusan Liverpool dengan menyatakan beliau tidak mendapat pembelaan sepenuhnya ketika berada di Anfield. Stuttgart dilaporkan akan menawarkan jalan keluar daripada Anfield kepada Riera setelah mendapat lampu hijau daripada Liverpool. Kelab Jerman ini yang kini diuruskan oleh Christian Gross sedang mencari pemain sayap kiri untuk pasukan itu dan Riera dilihat oleh Gross sebagai calon yang sesuai untuk mengisi kekosongan tersebut. Mungkin tidak menjadi masalah untuk Stuttgart membayar yuran perpindahan yang yang diminta Liverpool namun adakah mereka mampu memenuhi kontrak yang bakal diminta oleh Riera nanti? Jangan peristiwa yang sama berulang kembali apabila permintaan melampau Riera menghalang beliau berpindah ke Rusia pada awal Januari yang lalu.


YNWA

Friday, April 2, 2010

Riera : Mahu Berdamai

Pemain sayap Sepanyol Albert Riera yang kini diketepikan daripada skuad utama The Reds kini sedang berusaha untuk memperbaiki hubungan beliau dengan pengurus Liverpool Rafa Benitez. Riera yang kini masa depannya terumbang-ambing akibat perpindahan beliau ke Rusia yang masih tergantung, cuba menjernihkan hubungan beliau dengan Rafa. Komen pedas beliau ketika Liverpool sedang berjuang menentang Lille di Liga Europa bulan lepas jelas menjejaskan kedudukan beliau di Anfield. Nada Riera kini berbeza apabila menyatakan beliau masih mahu berada di Liverpool kerana kelab ini antara merupakan salah satu kelab terbaik di dunia. Riera telah mendapatkan nasihat daripada Torres dan juga Reina dan kedua-duanya mereka bersetuju mengenai kehebatan kelab ini. Semakin terdesak nampaknya Riera, beliau tersepit di antara kedudukan di Liverpool dan perpindahan beliau ke Rusia. Saya tidak mahu komen banyak mengenai kedudukan Riera kerana di dalam bolasepak, sesuatu masalah boleh diselesaikan secara dalaman dan bukannya dengan menyerang pengurus atau kelab secara terbuka. Tidak dinafikan Riera adalah seorang pemain sayap yang baik namun jika disiplin dan sikap profesional yang nipis, kerjaya seseorang pemain itu tidak akan kemana. Sejauh mana nasib Riera di Anfield tidaklah diketahui kerana Rafa dilaporkan masih berusaha untuk memindahkan Riera ke Rusia sebelum tempoh perpindahan di sana tamat pada 8 April ini. Jika beliau benar-benar mahu berbakti di Liverpool, beliau harus bersungguh-sungguh untuk memperbaiki hubungan dengan Rafa. Jika tidak, mungkin kelibat beliau tidak akan dilihat lagi oleh para peminat Liverpool.


YNWA

Thursday, March 25, 2010

Riera : Mangsa Kapal Karam

Pengurus Liverpool Rafa Benitez telah mengesahkan bahawa pemain sayap Sepanyol Albert Riera kini diberitakan sedang berusaha untuk mendapatkan majikan baru secepat mungkin. Pemain antarabangsa Sepanyol ini yang menimbulkan kemarahan Benitez dengan komen pedasnya yang menyatakan pengurus berbangsa Sepanyol ini tidak berkomunikasi dengan pemain dan menyatakan Liverpoll kini adalah sebuah “kapal karam”. Riera yang telah digantung beberapa hari oleh Liverpool akibat perbuatannya, kini dikatakan sedang menimbangkan untuk menyertai kelab daripada Liga Rusia, Spartak Moscow atau CSKA Moscow. Liverpool dikatakan akan memastikan Riera menyertai kelab Rusia tersebut sebelum pasaran perpindahan mereka ditutup pada awal bulan hadapan. Riera dikatakan tidak berpuashati apabila kerap diketepikan daripada bermain di kesebelasan utama dan ianya mengugat tempat beliau untuk ke Piala Dunia bersama-sama Sepanyol. Benitez memberitahu Liverpool sedang mencari penyelesaian ke atas kedudukan Riera. Masih belum berkesudahan isu yang berkaitan dengan Riera ini. Tidak banyak yang boleh diperkatakan oleh para peminat kerana Riera secara terbuka mengundang masalah ke atas dirinya. Benar pemain boleh mengeluarkan pendapat, tetapi biarlah ianya secara perbincangan di dalam pasukan. Sayang jika Liverpool kehilangan seorang pemain berbakat seperti Riera, namun jika perpindahan merupakan penyelesaian terbaik buat kedua-dua pihak, ianya tidak dapat dielakkan. Jika Riera dijual, maka Liverpool pasti akan mendapatkan seorang lagi pemain sayap baru pada musim panas ini.


YNWA

Monday, March 8, 2010

Riera : Sisih Atau Cedera?

Pening bila membaca berita di media dan juga internet. Pening kerana cukup mudah untuk pihak-pihak media membuat sesuatu kesimpulan apabila ianya membabitkan pasukan Liverpool. Terbaru mereka menyatakan pemain sayap Sepanyol Albert Riera kini bakal dijual pada musim panas nanti apabila beliau dikatakan tidak diketepikan daripada kesebelasan utama Liverpool setelah kembali pulih daripada kecederaan. Mereka juga menyatakan Rafa mahukan modal dari penjualan Riera untuk membeli pemain baru nanti. Setahu saya sebagai peminat Liverpool, Riera hanya bermain di beberapa sahaja perlawanan Liverpool pada musim ini dan nasib beliau tidak cukup baik pada musim ini kerana dihantui oleh kecederaan hamstring yang membawa kepada rehat selama enam minggu. Saya akui persembahan beliau tidak sebaik musim lepas namun untuk melepaskan Riera tanpa mahu memberi peluang kepada beliau untuk membuktikan kemampuan adalah satu langkah yang tidak cukup bijak. Kita semua tahu Riera adalah pemain sayap kiri yang cukup berbakat untuk Liverpool sehingglah kecederaan menganggu prestasi beliau. Bukan mudah untuk bangkit daripada kesan kecederaan jangka panjang umpama minum cendol di tepi jalan. Walaupun Rafa telah mendapatkan khidmat Maxi Rodriguez pada Januari lepas dan prestasi Babel semakin meningkat (masih belum cukup baik buat saya), masih ada lagi pemain lain yang prestasinya hanyalah sekadar cukup makan (anda tahu siapa yang saya maksudkan) dan boleh dijual lebih awal pada musim panas ini. Walaupun apa spekulasi di media, Riera perlu diberi peluang untuk bersaing di kesebelasan utama atau Rafa kini mahukan beliau memperbaiki kecergasannya sebelum dibenarkan bermain semula. Selain daripada itu, Riera juga tidak dipanggil untuk menyertai skuad antarabangsa Sepanyol ketika menentang Perancis pada pertengahan minggu lepas.


YNWA

Thursday, February 4, 2010

Riera : Mahu Kekal Di Anfield

Pemain sayap kiri Liverpool dari Sepanyol, Albert Riera memberitahu beliau mahu menamatkan karier bolasepaknya di Anfield. Pemain sayap Sepanyol yang yang dikatakan akan kembali ke La Liga bulan lepas, masih kekal di Anfield sehingga ke hari ini. Riera yang baru pulih dari kecederaan, kini telah kembali beraksi di kesebelasan utama Liverpool. Bagi Riera jika Liverpool menawarkan kontrak lima, enam atau tujuh tahun, beliau tanpa teragak-agak untuk menurunkan tandatangan ke atas kontrak tersebut dengan memejam mata. Tiada pasukan yang sebaik Liverpool untuk meneruskan karier bolasepak dan jika berpindah ke pasukan lain, ianya satu langkah ke belakang, menurut Riera lagi. Riera kini gembira berada di Liverpool dan beliau ada segala-gala yang diperlukan di sini. Riera juga yakin rakan sepasukannya iaitu Torres dan Reina akan kekal di Liverpool, tidak kira apa yang berlaku kepada pengurus Liverpool, Rafa Benitez. Mereka berdua cukup gembira di sini dan mahu mencapai lebih kejayaan bersama-sama Liverpool, tiada sebab untuk bertukar kepada pasukan lain, tambah Riera lagi. Diharapkan apa yang dikatakan oleh Riera ini ada kebenarannya kerana Liverpool tidak mampu untuk kehilangan Torres dan Reina daripada kesebelasan utama.


YNWA

Saturday, September 5, 2009

Riera : Kekal di Anfield

Pemain sayap Liverpool dari Sepanyol, Albert Riera telah menegaskan beliau gembira berada di Liverpool sehingga sekarang. Riera juga menegaskan beliau tidak mempunyai minat untuk berhijrah ke Barcelona dan kembali ke Sepanyol buat masa terdekat. Riera berkata beliau kini telah berada di kelab terbesar di Eropah dan mahu membuktikan dirinya di Liverpool dahulu. Riera yang sebelum ini beraksi untuk kelab jiran Barcelona iaitu Espanyol, telah menjadi buruan kelab Catalan itu yang mahu mendapatkan pemain sayap kiri untuk bersaing dengan Thierry Henry. Tetapi sehingga sekarang tiada apa-apa perkembangan perpindahan dari Barcelona. Terdapat juga desas-desus yang mengatakan Riera mahu berpindah dan akibatnya beliau tidak disenaraikan di dalam kesebelasan utama Liverpool sehinggalah perlawanan menentang Bolton pada minggu lepas.

Bagaimanapun, pemain jersi nombor 11 Liverpool ini menafikan perkara tersebut dan beliau kekal di Liverpool sehingga sekarang kerana kepercayaan yang diberikan oleh pengurus Liverpool, Rafael Benitez. Kepercayaan ini membolehkan Riera terus mahu menggalas tugas sebagai pemain sayap kiri di Liverpool. Riera juga menyatakan bahawa rafa sentiasa mempertahankan beliau kerana pengurus Liverpool itu memberitahu perkara tersebut kepada beliau. Perkembangan positif dari Riera ini pasti mengurangkan kerisauan para peminat Liverpool di seluruh dunia. Dengan bilangan pemain sayap yang agak terhad di Liverpool, komitmen Riera ini pasti akan melegakan Rafa. Riera diharapkan menjadi sandaran Liverpool bersama-sama Benayoun untuk memperkuatkan bahagian sayap kiri Liverpool pada musim ini.


YNWA

Friday, June 19, 2009

Riera : Tidak Masuk Akal!

Bermula dari penghabisan musim tempohari sehinggalah sekarang terdapat banyak komen, ulasan serta pendapat daripada banyak pihak mengenai apa perancangan Rafael Benitez untuk Liverpool untuk menghadapi musim hadapan. Jika anda adalah seorang pembaca yang setia di internet, saya pasti anda akan pening kepala juga bila terbaca berita-berita negatif serta positif yang berteraburan di alam siber ini. Tetapi seperti yang pernah saya tulis sebelum ini, anda sebagai peminat Liverpool pastilah seorang yang bijak di dalam menilai sesuatu berita atau khabar angin tersebut. Benar atau tidak sesuatu berita itu amatlah sukar untuk kita ketahui. Nasihat saya, janganlah terlalu teruja dengan berita serta khabar angin yang anda baca. Anggaplah ianya sebagai bahan bacaan ringan kepada minda kita. Benar atau tidak, kita harus letakkan kepercayaan kepada Rafa serta pengurusan Liverpool untuk menanganinya. Berbalik kepada komen, ulasan serta pendapat, selain daripada wartawan, peminat serta pengurusan, ada juga dapat kita baca, keluar daripada pemain Liverpool itu sendiri. Pada kali ini, fokus kita adalah kepada pemain sayap Liverpool dari Sepanyol iaitu Albert Riera. Beliau yang baru menyertai Liverpool pada musim lepas dari kelab La Liga, Espanyol. Beliau yang juga baru melangsungkan perkahwinanannya, kini sedang berada di Afrika Selatan bersama-sama skuad Sepanyol yang beraksi di Piala Konfederasi. Mari kita lihat apa buah fikiran Riera mengenai keperluan Liverpool untuk menjadi pencabar pada musim depan.

Dengan nada yang jelas, Riera telah memberi peringatan kepada pengurusan Liverpool agar mengekalkan pemain-pemain kesebelasan utama pada musim lepas. Pemain-pemain seperti Xabi Alonso, Javier Mascherano dan Alvaro Arbeloa haruslah dikekalkan jika Liverpool berhajat ingin membawa pulang trofi Liga Perdana Inggeris ke Anfield pada musim depan. Alonso dan Arbeloa cuba digula-gulakan oleh Real Madrid manakala Barcelona pula cuba bermain api dengan menyertai pertandingan memancing Mascherano. Tambah Riera, untuk membuat pertimbangan jika terdapat tawaran untuk pemain-pemain ini adalah sesuatu perkara yang tidak masuk akal. Ketiga-tiga mereka inilah yang telah menambahkan lagi kualiti skuad utama Liverpool pada musim lepas dan Riera jika diberi pilihan mahu semua pemain musim lepas dikekalkan jika Liverpool berhajat untuk merampas kembali trofi Liga Perdana Inggeris di langkah yang pertama pada musim depan. Tambah Riera, kunci utama adalah mental yang kuat serta persefahaman yang baik di kalangan pemain serta pengalaman beberapa pemain senior di dalam kesebelasan utama Liverpool. Riera mengakui Liverpool bukanlah satu pasukan yang mempunyai banyak pilihan di bangku simpanan dan mengekalkan pemain-pemain yang sedia ada serta menambah beberapa pemain baru pasti akan membantu Liverpool bermain dengan lebih baik.

Senada dengan para peminat pendapat dari Riera ini. Tidak dinafikan sama sekali, Liverpool harus mengekalkan pemain utama untuk menghadapi musim depan. Terutama sekali pemain seperti Alonso dan Mascherano, mereka ini jelas merupakan tulang belakang yang menyokong kebangkitan Liverpool pada musim lepas. Ketiadaan mereka semasa mengalami kecederaan atau pergantungan jelas menganggu rentak permainan Liverpool. Untuk menjual mereka? Satu tindakan yang memang tidak masuk akal seperti kata Riera kerana beliau sebagai pemain Liverpool memang tahu mengenai selok belok pasukan. Saya pula tidak bersetuju langsung walaupun kita kekurangan sumber kewangan tetapi untuk menggadaikan pemain seperti Alonso dan Mascherano demi mengejar pemain baru yang belum tahu lagi keberkesanan mereka di Liga Perdana Inggeris. Bagi saya, lebih baik kekalkan pemain-pemain ini dan mendapatkan pemain tambahan walaupun pada harga yang sederhana serta memberi lebih banyak peluang kepada pemain-pemain muda Liverpool untuk beraksi di Liga Perdana Inggeris. Saya faham dengan situasi Rafa jika pendekatan ini yang beliau ambil. Taktik menjual pemain-pemain utama dan cuba mencari pengganti kepada mereka adalah terlalu berisiko tinggi. Skuad utama Liverpool yang ada sekarang telah bermain bersama-sama antara 3 ke 4 tahun di Anfield. Penjualan pemain-pemain utama akan menjejaskan persefahaman skuad ini. Dan satu fakta yang kita perlu ingat, tidak semua pemain baru di Liga Perdana Inggeris akan terus berjaya seperti Torres. Jika cabaran kita musim depan masih belum berhasil, kita perlu bersabar sehinggalah keadaan kewangan Liverpool kembali stabil. Saya masih percaya kita mampu merampas kembali Liga Perdana Inggeris sebelum Kapitan Gerrard bersara nanti. Walaupun pendapat saya agak negatif pada kali ini, namun di kala keadaan ekonomi yang malap serta pemilik yang banyak hutang dan lebih banyak menaburkan air liur sahaja, buat masa sekarang kita perlu berpijak di bumi yang nyata.


YNWA