Desas-desus yang bertiup kencang dari Holland telah menyatakan bahawa pasukan peninjau Liverpool kini sedang memerhatikan pemain antarabangsa Jepun yang mewakili kelab VVV Venlo di Eredivisie Holland (Liga Utama Holland) iaitu Keisuke Honda. Pengerusi VVV Venlo, Hai Berden telah mendedahkan beberapa kelab utama Eropah telah menunjukkan minat untuk mendapatkan Honda. Perancang tengah VVV Venlo yang memenangi anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) di Eerste Divisie Holland (Liga Kedua Holland) pada musim lepas, memulakan musim baru dengan VVV Venlo di Eredivisie Holland dengan 3 gol daripada 2 perlawanan. Honda adalah antara pemain yang mempunyai prospek yang cukup tinggi di Holland. Menurut Berden lagi, ada di antara kelab-kelab yang berminat itu kini telah bermain di Liga Juara-Juara Eropah. Pasukan peninjau Liverpool dikatakan telah mengikuti mengikuti perkembangan Honda semenjak sekian lama dan pemain berusia 21 tahun ini tidak akan menolak sebarang usaha untuk membawa beliau bermain di Liga Perdana Inggeris. Bagi Honda, bermain di liga yang terbaik seperti Liga Perdana Inggeris pasti akan menjadi idaman setiap pemain seperti beliau dan Honda akan memikirkan dengan serius jika terdapat tawaran yang datang untuk mendapatkan khidmat beliau.Perancang tengah VVV Venlo yang turut dikenali sebagai Keizer Keisuke di kalangan peminat mereka telah di bawa ke Holland oleh bekas jurulatih VVV Venlo, Sef Vergoossen. Honda telah dibeli oleh VVV Venlo berdasarkan kepada maklumat yang diperolehi melalui Vergoossen yang mempunyai pengalaman melatih Nagoya Grampus Eight di J-League selama semusim. Nampaknya Rafa turut mengarahkan pasukan peninjau beliau untuk memerhatikan pemain-pemain berbakat dari Asia. Ini merupakan satu perkembangan yang baik buat bolasepak Asia secara amnya. Walaupun Honda baru di peringkat ditinjau oleh Liverpool, tidak mustahil beliau dapat menarik minat Rafa untuk membawa beliau ke Anfield. Pada pendapat saya, jika kena pada harganya, tidak rugi bagi Liverpool untuk mendapatkan pemain seperti Honda. Mungkin kebarangkaliannya agak rendah untuk berlaku tetapi di dalam dunia bolasepak, sebarang kemungkinan memang cukup sukar diramalkan. Maka jangan kita terkejut jika Rafa memecahkan tradisi untuk membawa masuk pemain negara matahari terbit ini.
YNWA
