
Liverpool kini dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat pemain sayap Fiorentina dan skuad antarabangsa Peru Juan Manuel Vargas. Menurut laporan awal yang diterima, Liverpool melalui wakilnya di Itali sedang cuba untuk membuka ruang perbincangan dengan Fiorentina sebelum musim perpindahan bermula pada musim panas nanti. Antara langkah awal yang diambil oleh Liverpool adalah untuk mengetahui samada Vargas dibenarkan berpindah oleh Fiorentina. Perkara ini amat penting sebelum Liverpool meneruskan usaha untuk mendapatkan Vargas pada musim panas nanti. Ahli-ahli lembaga pengarah Liverpool dilaporkan cukup tertarik dengan persembahan Vargas pada musim terutama sekali ketika beliau beraksi di Anfield bersama-sama Fiorentina di Liga Juara-Juara Eropah. Pencarian Liverpool ini dikaitkan dengan pemergian Aurelio daripada Anfield. Pemain sayap Brazil ini dikhabarkan tidak akan ditawarkan kontrak baru kerana rekod kecederaan beliau yang agak serius. Vargas dikatakan akan menggantikan tempat Aurelio di kesebelasan utama Liverpool. Untuk rekod, Liverpool pernah menimbangkan untuk mendapatkan Vargas ketika beliau beraksi dengan Catania namun memilih untuk mendapatkan Andrea Dossena sebagai pemain sayap/pertahanan kiri. Saya pasti agak sukar untuk mendapatkan Vargas kerana Fiorentina pasti tidak akan menjual salah seorang pemain terbaik mereka. Untuk mengelakkan sebarang perpindahan berlaku, Fiorentina dijangkakan akan meletakkan harga perpindahan yang tinggi untuk Vargas. Pemain antarabangsa Peru ini menyertai Fiorentina daripada Catania pada tahun 2008.
YNWA
