Showing posts with label Fabio Aurelio. Show all posts
Showing posts with label Fabio Aurelio. Show all posts

Tuesday, May 25, 2010

Aurelio : Terima Kasih Daun Keladi

Pemain pertahanan Liverpool daripada Brazil Fabio Aurelio telah menolak tawaran kontrak baru daripada Liverpool. Aurelio telah menolak tawaran kontrak bayaran berasaskan jumlah permainan yang disertai beliau dan akan meninggalkan Anfield pada awal bulan Jun nanti. Pengurus Liverpool Rafa Benitez mengesahkan perkara tersebut dan beliau mengucapkan terima kasih di atas khidmat Aurelio semasa berada di Anfield. Punca utama penolakan kontrak oleh Aurelio adalah kerana beliau mahukan kontrak tetap yang lebih menjamin masa depan beliau. Liverpool pula tidak dapat menawarkan kontrak sedemikian kerana rekod kecederaan Aurelio yang berpanjangan. Pada musim ini, Aurelio bermula dengan kecederaan lutut ketika bercuti di Brazil. Pada bulan Februari yang lepas, beliau sekali lagi mengalami kecederaan yang menyebabkan beliau tidak mampu bermain hingga ke penghujung musim ini. Walau apapun yang berlaku kedua-dua pihak (Liverpool dan Aurelio) telah mengambil keputusan yang baik. Kepada Aurelio, terima kasih kami ucapkan di atas khidmat cemerlang anda di Anfield. Kami semua pasti mengingati tendangan percuma anda yang cukup berbahaya itu.


YNWA

Wednesday, May 5, 2010

Aurelio : Musim Terakhir Di Anfield?

Pemain pertahanan kiri Liverpool daripada Brazil Fabio Aurelio mungkin telah bermain untuk perlawanan terakhir beliau bersama-sama Liverpool. Berita terbaru menyatakan Aurelio pasti tidak akan bermain di dalam perlawanan terakhir Liverpool menentang Hull pada hujung minggu nanti. Pemain pertahanan Brazil ini tidak beraksi untuk Liverpool semenjak mengalami kecederaan ketika menang 2-1 ke atas Blackburn pada 28 Februari yang lalu. Sebelum Aurelio berharap beliau akan kembali cergas untuk bermain di beberapa perlawanan akhir Liverpool namun beliau akhirnya mengesahkan kecederaan beliau tidak akan pulih sepenuhnya menjelang akhir musim. Aurelio akan tamat kontrak bersama-sama Liverpool pada bulan Jun ini dan spekulasi menyatakan Liverpool tidak akan menawarkan kontrak baru kepada beliau memandangkan masalah kecederaan yang tidak kunjung selesai di sepanjang kariernya di Liverpool.


YNWA

Monday, April 12, 2010

Aurelio : Diintai Olympiacos

Pemain pertahanan kiri Liverpool daripada Brazil, Fabio Aurelio kini dilaporkan telah menarik minat kelab Greece Olympiacos. Kelab Greece ini dikatakan telah membuat tawaran kepada Liverpool untuk mendapatkan khidmat Aurelio pada musim panas nanti. Kontrak Aurelio bersama Liverpool akan tamat pada musim panas nanti dan kelab Greece ini dilaporkan turut cuba untuk mendapatkan pemain berusia 30 tahun ini secara percuma. Aurelio telah membuat 23 penampilan bersama-sama Liverpool pada musim ini dan kedudukan beliau di Anfield agak kabur samada beliau akan ditawarkan kontrak baru atau tidak oleh Liverpool setelah rundingan di antara kedua-dua pihak dihentikan akibat kecederaan demi kecederaan yang dialami oleh Aurelio. Beliau kini sedang berehat akibat daripada kecederaan yang dialami dan dilaporkan berada di Brazil untuk bercuti. Di sepanjang ketiadaan beliau, pemain muda Argentina Emiliano Insua telah menggantikan Aurelio di posisi pertahanan kiri Liverpool. Pengurus Liverpool mahu menggunakan khidmat Aurelio ebelum musim ini berakhir setelah Insua turut mengalami kecederaan buat masa sekarang. Daniel Agger kini memikul tugas sebagai pemain pertahanan kiri apabila Liverpool tidak dapat menggunakan khidmat Aurelio dan juga Insua. Pemain pertahanan muda Liverpool Martin Kelly turut mengalami kecederaan, manakala Jamie Carragher yang turut boleh beraksi di bahagian pertahanan kiri, kini mengisi posisi pertahanan tengah Liverpool bersama-sama Kyrgiakos kerana seorang lagi pemain pertahanan tengah Liverpool iaitu Martin Skrtel turut mengalami kecederaan.


YNWA

Friday, March 5, 2010

Aurelio : Malang Bertimpa

Krisis kecederaan pemain pertahanan The Reds semakin serius dengan berita terbaru dari Anfield menyatakan pemain pertahanan dari Brazil Fabio Aurelio akan diketepikan selama tiga minggu kerana mengalami kecederaan semasa menentang pasukan bakarhitam pada hujung minggu lepas. Menurut pengurus Rafa Benitez, nasib Aurelio sungguh malang pada musim ini kerana tidak putus ditimpa kecederaan. Semuannya bermula pada musim panas yang lepas dimana beliau mengalami kecederaan akibat kemalangan di kampung halamannya ketika bersama-sama keluarga dan keadaan ini berterusan dengan hampir setiap bulan selepas itu, ada sahaja kecederaan yang menimpa beliau, tambah Rafa lagi. Bagi Rafa, amat merugikan apabila Liverpool kehilangan seorang pemain yang baik seperti Aurelio kerana jika cedera, Liverpool tidak dapat menurunkan beliau di kesebelasan utama walaupun Liverpool mahukan beliau bermain. Kecederaan kepada pemain-pemain pertahanan yang semakin serius ini telah memberikan tekanan kepada Rafa Benitez. Kini Johnson, Skrtel, Agger dan Aurelio telah berada di dalam senarai kecederaan terbaru Liverpool. Mungkin telah tiba masanya Rafa memberi peluang kepada pemain-pemain muda sepeti Kelly, Darby dan Ayala bermain di kesebelasan utama bagi mengatasi masalah di bahagian pertahanan. Menggunakan Mascherano di bahagian pertahanan memang satu langkah sementara yang baik tetapi sedikit kerugian buat Liverpool kerana peranan beliau lebih efektif apabila diletakkan di bahagian tengah Liverpool. Mascherano diperlukan di bahagian tengah Liverpool bagi memusnahkan gerakan pasukan lawan ketika mereka mahu melakukan serangan ke atas Liverpool.


YNWA

Monday, December 21, 2009

Aurelio : Masa Depan Belum Pasti


Pemain pertahanan kiri Liverpool daripada Brazil, Fabio Aurelio kini menghadapi masa depan yang tidak menentu di Anfield. Tidak menentu kerana perbincangan kontrak baru beliau dengan Liverpool masih mencapai kata sepakat di kedua-dua belah pihak. Pengurus Liverpool, Rafa Benitez sebelum ini telah menyatakan tawaran kontrak pay as you play telah ditolak oleh agen Aurelio dan tiada perkembangan terkini mengenai perbincangan tersebut sehingga ke hari ini. Aurelio mengakui beliau tidak mengetahui akan kedudukan beliau di Anfield kerana kontrak beliau yang ada sekarang akan tamat di akhir musim ini. Menurut Aurelio, beliau sehingga kini masih menanti jawapan daripada Liverpool mengenai tawaran kontrak baru. Perbincangan mengenai kontrak baru Aurelio bermula pada akhir musim lepas namun selepas itu beliau mengalami kecederaan akibat kemalangan di Brazil, perbincangan tersebut dihentikan dan sehingga kini perbincangan mengenai kontrak baru masih belum diteruskan oleh Liverpool.

Walaupun bergelut dengan kedudukan masa depan yang masih tidak menentu, keutamaan Aurelio kini adalah untuk membantu Liverpool kembali ke prestasi terbaik pada musim ini. Bagi Aurelio, sehingga kontrak beliau tamat dengan Liverpool, adalah penting untuk beliau terus bermain bersama-sama kesebelasan utama Liverpool dan memastikan Liverpool kembali ke prestasi terbaik. Aurelio juga lega kerana semenjak kebelakangan ini beliau tidak lagi menghadapi masalah kecederaan yang jelas mengganggu prestasi beliau. Nampaknya Aurelio pasti resah menanti jawapan daripada Liverpool. Rasanya perbincangan sebelum yang dihentikan adalah kerana Liverpool mungkin mahu menilai kembali prestasi serta tahap kecergasan Aurelio sebelum membuat sebarang keputusan mengenai tawaran kontrak baru. Saya akui Aurelio merupakan antara pemain Liverpool yang amat mudah mengalami kecederaan tetapi saya juga tidak nafikan beliau akan mempamerkan prestasi terbaik di pertahanan ataupun sayap kiri jika diturunkan. Sejauh mana minat Liverpool serta bentuk kontrak yang bakal ditawarkan kepada Aurelio akan kita saksikan pada awal 2010 nanti. Jika Liverpool tidak mahu menawarkan kontrak baru kepada Aurelio kerana rekod kecederaannya, saya pasti banyak lagi kelab yang berminat dengan pemain pertahanan Brazil ini. Saya masih mahu melihat Aurelio dikekalkan di Anfield tetapi kontrak yang ditawarkan haruslah memberi keuntungan pada kedua-dua pihak.


YNWA

Friday, October 2, 2009

Aurelio : Kemarahan Rafa Mengejutkan

Pemain pertahanan Liverpool dari Brazil, Fabio Aurelio mengakui, bossnya iaitu Rafa Benitez tidak dapat mengawal kemarahan di masa rehat separuh masa pertama pada perlawanan menentang Fiorentina tempohari. Aurelio yang lebih mengenali Rafa kerana telah bermain di bawah pengurus ini ketika bersama-sama Valencia, mengakui bahawa beliau tidak pernah melihat Rafa begitu marah terhadap pemain-pemainnya. Rafa yang terkenal dengan sikap tenang beliau telah mengejutkan pemain-pemain beliau dengan tindakan terbaru ini. Liverpool yang ditundukkan oleh Fiorentina di dalam perlawanan ini, diakui sendiri oleh Rafa telah menunjukkan persembahan terburuk di bawah pengendalian beliau selama 6 musim. Rafa yang begitu kecewa dengan kekalahan tersebut kerana Liverpool seolah-olah dengan mudah memberikan kemenangan kepada pasukan Itali ini. Peningkatan persembahan pada separuh masa kedua tidak mencukupi untuk Liverpool menyamakan kedudukan ataupun memenangi perlawanan tersebut. Aurelio mengakui beliau dan rakan-rakan sepasukannya sedar akan persembahan buruk mereka di separuh masa pertama dan mereka perlu berbuat sesuatu pada separuh masa kedua namun segalanya tidak membuahkan hasil. Kekalahan kepada Fiorentina ini menyebabkan Liverpool perlu menang ke atas Lyon di dalam pertemuan berikutnya untuk mengelakkan daripada tersingkir di peringkat kumpulan pada musim ini. Namun ianya bukan tugas yang mudah memandangkan Lyon juga berada di tahap terbaik pada musim ini.

Percaturan taktikal Rafa dengan meletakkan Aurelio di bahagian tengah Liverpool jelas memakan diri. Kegagalan untuk menguasai bola dan menghalang pemain tengah Fiorentina daripada membuat hantaran kepada barisan serangan mereka telah menghukum Liverpool. Kekalahan ini juga merupakan persediaan terburuk Liverpool apabila perlu berhadapan skuad jambatan runtuh pada hari Ahad nanti. Persoalannya, mampukah kita bangkit dan adakah Rafa kini semakin dihimpit oleh tekanan sebagai pengurus Liverpool? Jika prestasi semasa menjadi ukuran, banyak lagi kelemahan yang perlu diperbaiki oleh Rafa. Dan perlu yang ingatkan skuad jambatan runtuh juga mahukan kemenangan setelah melalui minggu yang menyukarkan. Mereka pasti akan memberikan ujian yang lebih getir berbanding pasukan-pasukan yang sebelumnya. Liverpool memerlukan kemenangan sebagai tonik untuk terus mengibarkan cabaran pada musim ini. Sebarang kekalahan pasti akan mengganggu moral pemain serta menjejaskan usaha Liverpool untuk membawa pulang trofi Liga Perdana Inggeris ke Anfield.

Saya juga berharap agar Rafa tidak tunduk kepada sebarang tekanan kerana sudah menjadi adat sebagai pengurus Liverpool, banyak kritikan yang akan dihamburkan kepada beliau. Kepada para peminat yang seringkali mengkritik Rafa, anda perlu ingat kita bukanlah kelab yang kaya-raya dan Rafa telah melakukan yang terbaik untuk mengemudi Liverpool sehingga sekarang walaupun Liverpool kurang mendapat sokongan daripada pemilik sendiri. Ada sesetengah keputusan beliau mengelirukan tetapi percayalah kepada Rafa untuk membawa lebih banyak kejayaan kepada Liverpool. Ramai lanun-lanun yang mahukan pengurus kita ini, namun disebabkan Rafa cukup selesa di Merseyside, beliau telah menyambung kontrak pada musim panas yang lepas demi untuk meneruskan kesinambungan pasukan bimbingan beliau ini. Saya amat pasti jika beliau mempunyai pilihan yang lebih baik, pemain-pemain yang kita semua anggap tidak berkualiti pasti akan diketepikan oleh beliau.


YNWA

Thursday, September 10, 2009

Aurelio : Sedia Untuk Bertempur

Pemain pertahanan kiri Liverpool dari Brazil, Fabio Aurelio dilaporkan telah kembali menjadi latihan dengan kesebelasan utama Liverpool di Anfield. Aurelio yang mengalami kecederaan berikutan kemalangan yang berlaku di kampung halamannya di Brazil sewaktu cuti musim panas yang lalu. Pemain Brazil yang berusia 29 tahun ini telah bersedia untuk tampil di perlawanan menentang Burnley di Anfield pada hari Sabtu nanti. Penolong pengurus Liverpool, Sammy Lee amat gembira dengan kehadiran semula Aurelio di kesebelasan utama Liverpool dan menyifatkan Aurelio sebagai seorang pemain yang baru menyertai pasukan dari Merseyside ini. Dengan pulihnya Aurelio dari kecederaan ini, pengurus Liverpool, Rafa Benitez mempunyai lebih pilihan untuk diturunkan pada setiap perlawanan. Sehingga sekarang, pemain pertahanan kiri Argentina, Emiliano Insua menggalas tugas dengan baik di posisi tersebut. Menurut Lee, walaupun Aurelio tidak dapat menyertai persediaan pra musim Liverpool, Aurelio kini telah bersedia untuk bersaing di kesebelasan utama Liverpool. Sebarang pasukan pasti mahukan semua pemain utama mereka bersedia untuk diturunkan dan ini pasti akan memeningkan pengurus untuk membuat keputusan bagi memilih pemain mana yang patut bermain di atas padang, namun menurut Lee, lebih baik mempunyai masalah sedemikian daripada tidak dapat berbuat sedemikian kerana pemain mengalami kecederaan. Lee sependapat dengan Rafa yang Liverpool mempunyai skuad yang cukup mantap untuk bersaing di mana-mana pertandingan pada musim ini.

Kehadiran Aurelio tidak dinafikan dapat memberikan lebih pilihan kepada pengurus Liverpool, Rafa Benitez untuk membuat perancangan pada setiap perlawanan. Kemampuan pemain yang menyarung jersi no 12 liverpool ini membuat hantaran silang serta mempunyai kemahiran di dalam mengambil tendangan bebas pasti akan menambahkan lagi ketajaman bahagian serangan Liverpool di perlawanan yang akan datang. Selain daripada itu, Liverpool akan mempunyai kesebelasan yang mantap di posisi pertahanan kiri dengan Aurelio kini menyertai Insua untuk beraksi di posisi tersebut. Saya amat pasti dengan kehadiran Aurelio ini, kita bakal akan melihat lebih banyak serangan yang bakal dijanakan oleh Liverpool daripada kedua-dua bahagian sayap. Dengan Glen Johnson yang tidak menghampakan di sayap kanan sehingga kini, Aurelio diharapkan dapat mempelbagaikan corak serangan Liverpool nanti.


YNWA

Thursday, July 9, 2009

Aurelio : Dihantui Kecederaan Sehingga 2010?

Belum lagi musim bermula, pertahanan kiri Liverpool, Fabio Aurelio yang diberitakan mengalami kecederaan lutut sebelum ini dan dijangkakan akan terlepas beberapa perlawanan di awal musim, nampaknya akan berterusan sehingga ke awal tahun 2010 nanti. Berita terbaru dari Anfield mengatakan Liverpool kini sedang menunggu keputusan ujian terhadap kecederaan lutut yang dialami Aurelio itu dan kemungkinan terburuknya beliau akan terpaksa berehat panjang sehingga penghujung tahun ini. Diharapkan kecederaan lutut Aurelio ini tidak seburuk yang disangka dan beliau cepat sembuh untuk menyertai rakan-rakan di Melwood nanti. Aurelio mengalami kecederaan lutut ini sewaktu bermain bolasepak di taman bersama-sama ahli keluarga beliau di Brazil. Pengurus Liverpool, Rafael Benitez terpaksa menimbangkan semula penjualan seorang lagi pemain pertahanan kirinya iaitu Andrea Dossena kepada Juventus jika keadaan Aurelio ini berterusan. Dossena dijangka akan menggalas tugas di bahagian pertahanan kiri Liverpool bersama-sama pemain muda Argentina, Emiliano Insua untuk permulaan musim 09/10 nanti.

Jika Dossena dibenarkan berpindah ke Juventus sekarang, maka secara automatik Liverpool akan kekurangan pemain untuk posisi pertahanan kiri nanti. Selain daripada mereka berdua, pilihan lain adalah untuk meletakkan Carragher atau Agger untuk bermain di posisi tersebut. Namun Rafa pasti tidak mahu melakukan percaturan sedemikian kerana Carra dan Agger adalah merupakan tonggak pertahanan tengah Liverpool bersama-sama Martin Skrtel. Pada pendapat saya, sekurang-kurangnya kekalkan Dossena sehingga Januari 2010 dimana pasaran perpindahan pemain di buka pada pertengahan musim selama sebulan. Jika Aurelio pulih sepenuhnya maka Dossena boleh diberi kebenaran untuk berpindah. Namun kita semua harus ingat, rekod Aurelio dengan kecederaan adalah seperti magnet. Semenjak menyertai Liverpool, Aurelio antara pemain yang amat mudah mendapat kecederaan. Walaupun permainan beliau semakin mantap, namun penyakit kecederaan beliau ini boleh menganggu keseimbangan skuad utama Liverpool. Betul kita mempunyai Insua dan Dossena, tetapi jika Aurelio cedera dan Insua mendapat panggilan dari skuad kebangsaan Argentina serta Dossena telah berpindah, siapa yang akan menjadi bidan terjun? Carra? Agger? Mascherano? Mungkin Rafa perlu mendapatkan seorang pemain pertahanan kiri yang baru jika Dossena berpindah atau Rafa sendiri akan memberi peluang kepada pemain dari Akademi Liverpool untuk membuktikan kemampuan mereka di skuad utama kelak.


YNWA