Showing posts with label Carling. Show all posts
Showing posts with label Carling. Show all posts

Wednesday, September 23, 2009

Carling : Ngog Penyelamat Maruah

Menang 1-0 ke atas Leeds United di perlawanan pusingan ketiga Piala Carling pada awal pagi tadi dengan persembahan di atas padang yang cukup hambar. Hambar kerana saya sudah menjangkakan Liverpool akan menurunkan kesebelasan simpanan yang jelas tidak dapat bermain sepertimana kesebelasan utama. Hanya Mascherano dan Carragher sahaja yang pemain skuad utama yang disenaraikan oleh Rafa di dalam perlawanan ini. Carragher masih kelihatan agak goyah sepertimana perlawanan-perlawanan sebelum ini. Apa yang berlaku kepada penolong kapten Liverpool ini? Saya berharap beliau akan memberikan jawapan kepada kemerosotan prestasi beliau pada satu masa nanti. Mascherano bermain baik untuk mengemudi barisan tengah dengan seorang lagi pemain muda Liverpool, Jay Spearing. Saya agak gembira melihat semula penampilan penuh pemain pertahanan kiri Liverpool dari Brazil, Fabio Aurelio. Dossena, Degen dan Kyrgiakos juga mendapat peluang untuk beraksi pada perlawanan ini. Selain daripada mereka, Riera, Babel, Cavalieri serta Ngog turut dipertaruhkan oleh Rafa untuk mengemudi cabaran Liverpool pada awal pagi tadi. Walaupun terbaca mengenai komen Rafa tentang kekuatan skuad Liverpool, saya masih mempunyai keraguan. Bagi saya, jika dilihat daripada perlawanan menentang Leeds semalam, kesebelasan simpanan masih belum mampu memikul tugas kesebelasan utama. Bukan saya tidak optimis dengan Liverpool tetapi kita perlu sedar akan kekurangan ini dan berusaha untuk memperkukuhkan kesebelasan simpanan ini. Perlawanan semalam jelas dikuasai oleh Leeds dengan serangan bertali arus yang dilancarkan oleh mereka ke atas gawang Liverpool samada di separuh masa pertama dan juga separuh kedua. Mereka juga berjaya memperolehi gol melalui Beckford tetapi Liverpool bernasib baik jaringan tersebut dibatalkan kerana offside. Selain Beckford, pemain-pemain Leeds yang lain seperti Snodgrass, Becchio, Johnson, serta Howson dan Doyle turut mengancam gawang Liverpool.

Gol Liverpool pada separuh masa kedua dijaringkan oleh Ngog pada minit ke 66 melalui umpanan yang cukup cantik dari tengah padang oleh Mascherano. Nampaknya Ngog semakin menonjol permainan beliau dan seharusnya perlu diberi lebih banyak peluang untuk beraksi di atas padang. Rafa membuat beberapa pertukaran dengan memasukkan Johnson, Gerrard dan juga Skrtel untuk memperkuatkan kedudukan Liverpool. Kehadiran pemain-pemain senior ini telah mengubah corak permainan Liverpool dengan beberapa percubaan bahaya ke arah pintu gol Leeds termasuklah satu percubaan rembatan peluru berpandu Gerrard yang berjaya ditepis oleh penjaga gol Leeds, Higgs. Liverpool berjaya menyerap asakan Leeds untuk membawa pulangan kemenangan 1-0 dan tempat di pusingan keempat Piala Carling nanti. Rafa perlu memikirkan taktikal yang lebih baik di pusingan keempat nanti jika tidak mahu berputih mata serta dikritik kerana memandang rendah akan pertandingan ini. Kedudukan Mascherano turut menjadi persoalan kerana beliau dilaporkan terlibat di dalam pertelingkahan di atas padang dengan Beckford. Walaupun pengadil, Wiley tidak mengenakan apa-apa tindakan ke atas Mascherano di atas insiden tersebut, FA England dijangka akan meneliti rakaman video ke atas insiden tersebut. Satu persoalan yang bermain di fikiran saya, di manakah hilangnya Lucas? Batang hidung beliau di bangku simpanan pun tidak kelihatan. Takkanlah beliau begitu penting sehingga direhatkan sepenuhnya untuk perlawanan ini sedangkan pemain-pemain senior yang lain seperti Gerrard, Torres, Skrtel serta Johnson turut disenaraikan di bangku simpanan.


YNWA

Tuesday, September 22, 2009

Carling : Jangan Main-Main


Pertarungan Piala Carling menentang Leeds United di Elland Road pada awal pagi ini pasti akan mengimbas semula kenangan sebagai musuh lama di Liga Perdana Inggeris pada satu ketika dahulu. Leeds yang kini beraksi di League One England dan diterajui oleh pengurus Simon Grayson pasti tidak akan melepaskan peluang untuk menguji kekuatan musuh lama pada awal pagi nanti. Leeds United kini menguasai persada League One mendahului satu lagi pasukan lama Liga Perdana Inggeris iaitu Charlton Athletic. Walapun pertemuan kali ini berlangsung di pentas berbeza namun Leeds tetap pasukan yang perlu dihormati dan berbahaya apabila mereka beraksi di hadapan penonton sendiri. Pengurus Liverpool, Rafa Benitez telah melaungkan amaran bahawa buruk padahnya jika para pemain Liverpool akan beraksi sambil lewa pada perlawanan ini. Rafa juga telah membayangkan akan menukarkan barisan utama beliau pada perlawanan pada malam ini. Menurut beliau penukaran ini perlu dilakukan agar beliau dapat melihat para pemain lain beraksi di kesebelasan utama. Samada pemain utama atau simpanan, Liverpool perlu menang pada perlawanan awal pagi ini untuk meneruskan kemaraan di dalam Piala Carling di samping mengelak kritikan berterusan ke atas pasukan. Berikut adalah barisan pemain yang mungkin akan diturunkan pada perlawanan awal pagi nanti :

Formasi : 4-4-2

Barisan Kemungkinan :

DIEGO

DEGEN KYRGIAKOS AGGER DOSSENA

BABEL SPEARING LUCAS AURELIO

NGOG VORONIN


Keputusan : 3-2 kemenangan kepada Liverpool. Gol-gol dijaringkan oleh Voronin, Ngog dan Agger

Perlawanan akan disiarkan secara langsung di Astro Supersport Rangkaian 811 23/09/09 jam 0240 pagi


YNWA