Showing posts with label Andrea Dossena. Show all posts
Showing posts with label Andrea Dossena. Show all posts

Saturday, June 27, 2009

Dossena : Kecederaan Aurelio Membuka Peluang

Setelah banyak dikaitkan dengan perpindahan ke Juventus, pertahanan kiri Liverpool dari Itali Andrea Dossena nampaknya masih mempunyai masa depan di Anfield. Dossena yang sebelum ini ada menyatakan beliau amat gembira untuk kekal di Liverpool jika tiada apa-apa perkembangan di dalam urusan perpindahan beliau. Berita terbaru dari England mengatakan Dossena masih lagi diperlukan di Anfield pada musim depan berikutan kecederaan lutut yang baru dialami oleh Fabio Aurelio. Pengurus Liverpool, Rafael Benitez agak bimbang Aurelio tidak mampu untuk pulih menjelang permulaan musim baru pada bulan Ogos nanti. Buat masa sekarang Liverpool hanya mempunyai Insua serta Carragher yang mampu bermain di bahagian tersebut. Dengan tugas Carragher yang lebih kepada pertahanan tengah, Liverpool hanya mempunyai Insua sebagai pertahanan kiri dan beliau tidak mempunyai pemain gantian jika tercedera atau digantung permainan jika Dossena berpindah ke Juventus pada musim depan.

Dossena yang dilaporkan telah bersedia untuk meninggalkan Anfield setahun selepas beliau berpindah dari Udinese dengan yuran perpindahan sebanyak 7 juta pound. Agen Dossena, Roberto La Florio juga tidak dapat memberi pengesahan adakah Dossena akan menyertai Juventus. Dengan keadaan di Juventus juga tidak menentu dimana terdapat masalah di dalam percubaan mereka untuk mendapatkan pertahanan Lyon iaitu Fabio Grosso. Dossena dan agennya dilaporkan memerhatikan situasi tersebut. Jika percubaan Juventus untuk mendapatkan Grosso tidak berjaya, maka perhatian Juventus juga akan tertumpu kembali kepada Dossena. Walau apapun yang berlaku, Dossena tidak perlu keluar dari Anfield kerana beliau diperlukan untuk membantu Insua dan Liverpool pada musim depan. Mungkin ada baiknya Dossena diberi peluang satu musim lagi untuk membuktikan beliau layak untuk berada di Anfield. Dalam perkembangan lain, Pengurus Liverpool Rafael Benitez telah mengumumkan secara rasmi Liverpool telah berjaya mendapatkan pertahanan kanan Portsmouth, Glen Johnson dengan bayaran 17 juta pound. Rafa ternyata gembira kerana berjaya mengatasi Chelsea dan City untuk mendapatkan pemain pertahanan kanan England tersebut.


YNWA

Saturday, June 6, 2009

Dossena : Membawa Diri Ke Juve?

Setelah berita kerugian yang ditanggung oleh pemilik Liverpool diumumkan pada media semalam, saya pasti rakan-rakan peminat tertanya-tanya apakah daya saing Liverpool untuk mendapatkan pemain bertaraf bintang ke Anfield bakal terjejas. Secara langsung ia memperlihatkan kelemahan kelab dari segi kewangan dan pastinya akan menjejaskan pemburuan Rafa ke atas pemain sasaran beliau. Namun di dalam kesibukan kita melihat pemain mana yang akan datang ke Anfield, jangan dilupakan ada di antara pemain di dalam skuad sedia ada yang telah meminta untuk berpindah ke kelab lain. Antara pemain yang saya maksudkan adalah pertahanan kiri Liverpool, Andrea Dossena. Nada Dossena nyata berbeza berbanding dengan komitmen yang telah beliau nyatakan sebelum ini.

Khabar terbaru telah mengatakan Dossena telah bersedia untuk berpindah ke Juventus pada musim panas ini. Pemain antarabangsa Itali yang berpindah dari Udinese dengan bayaran 7 juta pound pada musim telah melalui musim pertama yang agak suram dengan penampilan kurang separuh daripada jumlah keseluruhan perlawanan liga Liverpool. Dossena menampakkan sedikit peningkatan dengan gol jaringan semasa menentang Real Madrid dan Manyoo tetapi beliau telah bersetuju dengan pengurus Liverpool, Rafael Benitez untuk berpindah ke kelab lain. Juventus dikatakan masih berminat dengan Dossena walaupun mereka telah berusaha mendapatkan beliau pada musim lepas tetapi Dossena memilih untuk ke Anfield. Dengan masalah kecergasan yang dihadapi oleh pertahanan kiri Juventus, Cristian Molinaro, perpindahan kali in mungkin berlaku dengan Dossena telah menyatakan minat beliau untuk kembali ke Itali.

Dossena berkata beliau telah menemui Benitez dan pengurus Liverpool itu faham dengan masalah yang dihadapinya. Benitez juga dikatakan telah bersetuju jika terdapat kelab yang mampu menawarkan harga yang munasabah kepada Liverpool, Dossena akan dibenarkan untuk berpindah. Dossena menambah di England mereka bermain bolasepak secara berterusan dan beliau memerlukan masa untuk sesi latihan berat yang lebih panjang berbanding hanya lebih kurang 40 minit yang diperuntukkan untuk sesi tersebut. Beliau amat berharap dapat berpindah ke Juventus dan memulakan hidup baru di sana. Dossena juga telah mengetahui minat Juventus dari musim lepas lagi tetapi Liverpool telah berjaya memintas mereka dan melakukan semua urusan perpindahan kurang dari sejam dengan Udinese.

Jika perpindahan ini berlaku, ianya untuk kebaikan kedua-dua pihak. Liverpool mampu mendapatkan dana tambahan sementara Dossena juga dapat memulakan karier baru di Itali. Saya masih ingin lihat beliau bermain satu musim lagi di Anfield untuk mencabar Aurelio dan Insua di pertahanan kiri Liverpool. Namun dengan keadaan kewangan Liverpool yang agak terhad, pemergian beliau diharap dapat mendatangkan pulangan yang sedikit sebanyak dapat membantu kelab. Kepada Dossena, jika anda berpindah kelak, Selamat Berjaya kami semua ucapkan. Terima kasih di atas segala sumbangan anda di Liverpool pada musim lepas. Kami takkan lupakan jaringan anda ke atas Real Madrid dan yang paling penting jaringan anda ketika menentang Manyoo!


YNWA

Friday, May 8, 2009

Dossena : Tempatku Hanya Di Liverpool

Masih bersungguh-sungguh nampaknya pertahanan kiri Liverpool yang dibeli dari Udinese pada musim panas lepas, Andrea Dossena. Beliau lebih fokus untuk menempatkan diri di kesebelasan utama Liverpool dari memikirkan beliau mungkin akan dijual bagi mendapatkan dana tambahan untuk membeli pemain baru. Bagi Dossena, beliau tahu apa yang dikehendaki oleh pengurus Liverpool dari beliau dan beliau juga lebih mengenali rakan-rakan sepasukannya. Dossena yang dibeli dengan harga 7 juta pound, masih menyesuaikan diri di Anfield dan pada masa yang sama mewakili Itali di peringkat antarabangsa. Prestasi beliau yang tidak konsisten telah menyebabkan timbul spekulasi yang beliau bakal dijual.

Dossena yang bersaing dengan Aurelio dan Insua untuk slot pertahanan kiri Liverpool, telah menunjukkan sedikit peningkatan kebelakangan ini dengan 2 gol jaringan beliau semasa menentang Real Madrid dan manyoo. Dan jaringan tersebut adalah dari slot sayap kiri yang diisi beliau sebagai pemain gantian dan bukan dari bahagian pertahanan kiri. Namun bagi Dossena saingan untuk merebut tempat di kelab ternama seperti Liverpool adalah perkara biasa termasuklah seperti di AC Milan atau Barcelona. Yang paling penting menyesuaikan diri dengan persekitaran baru di kelab dan selepas itu barulah bersaing untuk merebut tempat di kesebelasan utama. Bagi Dossena memang berbeza corak permainan di Serie A dengan Liga Perdana Inggeris. Serie A lebih terbuka dan kurang fizikal jika dibandingkan dengan Liga Perdana Inggeris, tambah Dossena lagi. Liga Inggeris juga lebih kompetatif dan setiap tindakan perlu pantas kerana ruang untuk berfikir adalah amat terhad.

Dengan Rafa yang mahukan penyerang tambahan untuk memastikan barisan serangan Liverpool lebih mantap untuk musim depan, beliau akan menjual beberapa pemain pinjaman seperti Voronin, Pennant, Hamill, Linfield dan Paul Anderson sebelum bertindak untuk menjual pemain dari kesebelasan utamanya. Walau bagaimanapun, nasib Dossena belum tentu lagi selamat kerana jika sasaran Rafa itu memerlukan kos perpindahan yang tinggi maka tidak mustahil beliau akan dijual. Bagi saya, Dossena perlu menurunkan berat badan beliau dan mungkin boleh diberi peluang satu musim lagi untuk membuktikan keupayaan beliau sebelum apa-apa keputusan boleh dibuat dengan masa depannya. Jika Lucas boleh diberi peluang selama 2 musim, kenapa tidak Dossena?


YNWA