Sunday, January 10, 2010

LFC : Salah Siapa?


Mungkin ada pihak yang akan “makan” kerusi tempat duduk Anfield jika benar apa kita semua baca di media serta internet pada hari ini. Liverpool terpaksa menjual Torres dan Gerrard pada musim hadapan untuk membersihkan segala hutang yang ada sekarang? Itulah yang bakal berlaku jika Liverpool masih berhajat untuk bermain di Liga Juara-Juara Eropah pada musim hadapan. UEFA kini sedang berusaha untuk memperkenalkan peraturan untuk menghalang mana-mana kelab yang mengalami kerugian tiga musim berturut-turut daripada mengambil bahagian di dalam pertandingan tersebut. Peraturan terbaru ini tidak lain tidak bukan adalah hasil usaha Michel Platini, presiden UEFA yang dilihat semakin berani membuat bermacam-macam peraturan di pertandingan peringkat Eropah. Peraturan ini juga tidak terkecuali ke atas pasukan yang bermain di Liga Europa. Citeh dan skuad jambatan runtuh turut tergugat dengan peraturan baru UEFA ini. Saya tidak mahu mengulas mengenai tindakan Platini ini. Tetapi kenapa hendak mengorbankan aset paling berharga Liverpool ini semata-mata untuk membolehkan Liverpool bermain di Liga Juara-Juara Eropah? Siapa sebenarnya yang menjadi punca hutang Liverpool yang semakin bertimbun? Siapa sebenarnya yang menjadi dalang sehinggakan hutang Liverpool dahulu yang hanya berpuluh juta menjadi sehingga ratusan juta sekarang? Mendapat beratus juta hasil daripada penjualan francais sukan yang lain namun satu sen pun tidak dikeluarkan untuk membayar hutang yang dibuat untuk mengambilalih Liverpool dahulu. Dan dengar kata salah seorang anak pemilik bakal menjadi sasaran kecaman peminat kerana menghantar satu email “cerdik” kepada salah seorang peminat Liverpool. Walaupun beliau dikatakan telah meminta maaf tetapi saya pasti para peminat Liverpool tidak akan melepaskan beliau dengan mudah. Apa pendapat rakan-rakan sekalian dalam isu ini? Sanggupkah kita melihat Torres dan Gerrard angkat kaki dari Anfield? Bagi saya, jika perkara ini berlaku, pasti ada pihak yang tidak dapat menjejaki kaki lagi ke Anfield selain dapat merasa “makan” kerusi tempat duduk Anfield.


YNWA

Saturday, January 9, 2010

Stearman : Menuju Anfield?

Boss Liverpool Rafa Benitez kini dilaporkan sedang mencari pemain bagi memperkuatkan barisan pertahanannya apabila kehilangan Glen Johnson yang berehat selama du bulan akibat kecederaan dan juga pemergian Andrea Dossena ke kelab Serie A Napoli telah dimuktamadkan. Manakala pemain pertahanan muda berbakat, Martin Kelly turut dibelenggu kecederaan. Benitez mahu mencari pengganti kepada pemain-pemain ini untuk membolehkan Liverpool mempunyai lebih pilihan untuk mengharungi baki perlawanan pada musim ini. Pemain yang turut menjadi perhatian Rafa adalah pemain pertahanan Wolves iaitu Richard Stearman. Beliau yang baru berusia 22 tahun adalah merupakan bekas pemain bawah 21 tahun England. Stearman adalah antara pemain yang menonjol di Wolves walaupun prestasi mereka agak terumbang ambing sekarang ini. Pemain pertahanan muda Wolves ini mampu bermain di pertahanan kanan serta di bahagian pertahanan tengah. Walaupun ini hanya sekadar desas desus terbaru dari Anfield, saya pasti jika Wolves mahu melepaskan pemain ini (saya meragui McCarthy mahu melepaskan antara pemain terbaik beliau) mereka pasti akan meletakkan harga perpindahan yang tidak masuk akal sepertimana yang pernah berlaku kepada bekas pemain Hull yang kini mewakili Sunderland Micheal Turner. Jika perkara sebegitu berlaku, saya cadangkan Liverpool melihat pilihan lain yang lebih munasabah.


YNWA

Friday, January 8, 2010

Johnson : Rehat Dua Bulan


Pemain pertahanan kanan Liverpool dan juga skuad antarabangsa England Glen Johnson dilaporkan tidak dapat beraksi sehingga bulan Mac ini. Johnson yang mengalami kecederaan ligamen ketika menentang Aston Villa pada hujung bulan Disember lepas terpaksa berehat sekurang-kurangnya selama lapan minggu setelah beliau menjalani pembedahan untuk memulihkan kecederaan tersebut. Liverpool sebelum ini menjangkakan Johnson hanya akan berehat selamat sebelum dan berita terbaru ini merupakan satu lagi tamparan ke atas skuad kendalian Rafa Benitez ini. Pemain berusia 25 tahun dijangkakan akan terlepas jadual padat perlawanan di peringkat kelab selain daripada tidak dapat menyertai skuad England untuk perlawanan persahabatan menentang Mesir pada bulan Mac nanti. Perkhabaran terbaru ini pasti akan memeningkan kepala Rafa Benitez kerana Liverpool tidak mempunyai pemain yang mantap di posisi tersebut. Pemain muda berpotensi Martin Kelly masih dibelenggu dengan masalah kecederaan buku lali sementara seorang lagi pemain muda, Stephen Darby pula masih di peringkat awal pendedahan ke skuad utama Liverpool. Seorang lagi pemain senior Liverpool di bahagian pertahanan kanan ialah pemain antarabangsa Switzerland, Philip Degen. Kecederaan Johnson ini pasti akan membuat Rafa serta pengurusan berfikir dua kali untuk melepaskan Degen pada bulan Januari ini. Mungkin inilah peluang terbaik untuk Degen menunjukkan kebolehan beliau di skuad utama Liverpool. Jika sebelum ini kita jarang dapat melihat kelibat Degen di atas padang, keadaan mungkin akan berubah jika beliau masih kekal di Anfield. Satu lagi pilihan Rafa adalah untuk mencari pemain pertahanan kanan baru untuk menggantikan Johnson. Namun saya jangkakan agak sukar untuk kita berbuat sedemikian memandangkan kedudukan kewangan Liverpool agak terhad. Kepada Kelly, Darby ataupun Degen, gunakan sepenuhnya peluang yang diberikan oleh Rafa jika anda terpilih untuk beraksi di atas padang.


YNWA

Thursday, January 7, 2010

Berger : Bersara Dari Bolasepak

Bekas pemain sayap Liverpool yang juga bekas pemain antarabangsa Republik Czech, Patrik Berger telah mengumumkan persaraan beliau daripada bolasepak. Berger terpaksa membuat keputusan tersebut disebabkan kecederaan lutut yang berulangkali dialami beliau telah membataskan permainan di atas padang. Walaupun agak berat untuk berbuat sedemikian, Berger tiada pilihan selain daripada bersara sepenuhnya disebabkan kecederaan tersebut. Pemain yang berusia 36 tahun ini memulakan karier bolasepaknya dengan menyertai Slavia Prague dan kemudiannya menyertai Borussia Dortmund di Bundesliga Jerman. Kecemerlangan beliau di Dortmund telah menarik minat Liverpool untuk mendapatkan khidmat beliau pada musim panas 1996.

Semasa berada di Anfield inilah Berger berada di kemuncak kariernya di mana beliau merupakan antara pemain yang memenangi Piala UEFA, Piala FA, Piala Liga dan Piala Super Eropah pada tahun 2001. Kenangan ini cukup indah bagi Berger dan beliau akan senantiasa mengingati setiap saat beliau di Anfield. Berger akhirnya meninggalkan Liverpool pada tahun 2003 dan selepas itu bermain untuk kelab-kelab seperti Aston Villa, Portsmouth serta Stoke City sebelum beliau pulang kembali ke Republik Czech untuk menyertai kelab Sparta Prague pada tahun 2008. Di peringkat antarabangsa, Berger mewakili Republik Czech sebanyak 44 kali dan menjaringkan 18 gol di sepanjang penglibatannya di kejohanan antarabangsa. Berger mewakili Liverpool selama tujuh musim dan membuat penampilan sebanyak 149 kali untuk The Reds. Berger bermain di posisi sayap kiri Liverpool dan Berjaya menjaringkan 28 gol di sepanjang karier beliau di Anfield.


YNWA

Wednesday, January 6, 2010

Chamakh : Pisang Goreng Panas!

Desas-desus terbaru dari Perancis telah mendedahkan Liverpool kini telah menyertai perlumbaan untuk mendapatkan khidmat penyerang sensasi Bordeaux, Marouane Chamakh. Penyerang antarabangsa Maghribi ini turut dikaitkan dengan pasukan senapang. Pengurus senapang, Wenger dikatakan amat berminat untuk mendapatkan khidmat Chamakh pada musim panas yang lepas namun nilai yuran perpindahan yang mencecah belasan juta pound telah membuatkan Wenger membatalkan hasrat beliau tersebut. Liverpool kini muncul sebagai antara pesaing utama pasukan senapang untuk mendapatkan khidmat Chamakh. Pemain berusia 25 tahun ini akan menamatkan kontrak beliau dengan Bordeaux pada penghujung musim ini dan beliau kini bebas untuk melakukan rundingan dengan mana-mana pasukan untuk menandatangani perjanjian pra kontrak. Liverpool dilaporkan telah menghantar wakil ke Perancis untuk mengadakan rundingan pra kontrak dengan Chamakh. Jika berjaya menyakinkan Chamakh, beliau akan menyertai Liverpool tanpa sebarang bayaran perpindahan pada penghujung musim ini. Walau bagaimanapun, pasukan senapang dilaporkan akan turut meneruskan usaha mereka bagi mendapatkan Chamakh. Sungguh laku seperti pisang goreng panas penyerang antarabangsa Maghribi ini. Chamakh yang kini telah menjaringkan 8 gol di dalam 21 penampilannya buat Bordeaux di dalam semua pertandingan, pasti akan menarik perhatian lebih banyak kelab eropah yang lain selepas ini. Selain senapang, pasukan jambatan runtuh, pasukan biru merseyside, spurrr dan juga pasukan kucing hitam turut berminat untuk mendapatkan khidmat Chamakh. Misi The Reds kelihatan agak sukar untuk mendapatkan Chamakh, namun jika kena pada gaya dan cara untuk mendapatkan penyerang Maghribi ini, tidak mustahil untuk kita melihat kelibat beliau di Anfield nanti.


YNWA

Tuesday, January 5, 2010

Torosidis : Pencabar Johnson?

Perkhabaran terbaru dari Anfield yang mengesahkan pemain pertahanan kanan Liverpool dan juga pemain antarabangsa England, Glen Johnson tidak dapat beraksi selama dua sehingga tiga bulan setelah beliau mengalami kecederaan ketika Liverpool menewaskan Villa pada minggu lepas. Keadaan ini pasti akan menjejaskan kedudukan skuad Liverpool kini sedang berusaha untuk menempatkan diri di Liga Juara-Juara pada musim hadapan. Menyedari yang beliau akan kehilangan Johnson untuk tempoh yang agak lama, pengurus Liverpool Rafa Benitez dikatakan sedang berusaha untuk mencari pemain gantian untuk mengisi posisi Johnson. Pemain yang berjaya menarik perhatian Rafa adalah Vasilis Torosidis iaitu pemain antarabangsa Greece dan juga merupakan rakan sepasukan pemain pertahanan Liverpool Sotirios Kyrgiakos. Torosidis kini bermain untuk kelab Olympiakos di liga Greece. Pemain berusia 24 tahun ini telah mewakili Greece sebanyak 25 kali dan beliau akan menambahkan lagi bilangan caps bersama-sama Greece jika turun beraksi pada Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan nanti. Torosidis yang mampu beraksi di kedua-dua bahagian pertahanan (kiri dan kanan), mampu memberikan lebih pilihan kepada Rafa di dalam mencongak strategi. Torisidis dilaporkan mampu diperolehi dengan bayaran yang munasabah kerana beliau kini memasuki dua tahun terakhir kontrak beliau dengan Olympiakos. Kelab-kelab eropah yang lain seperti Juventus, Bayern, Rangers, AS Monaco dan Atletico Madrid dikatakan turut berminat untuk mendapatkan khidmat beliau namun ditolak oleh Olympiakos. Kelab-kelab ini pasti akan kembali memberikan saingan kepada Liverpool pada bulan Januari ini jika Rafa cuba mendapatkan khidmat Torosidis.


YNWA

Monday, January 4, 2010

Torres : Setiap Sen Berbaloi

Gol ke 50 di dalam liga perdana oleh penyerang utama Liverpool Fernando Torres ketika Liverpool menewaskan antara pencabar Liverpool pada musim ini iaitu Aston Villa telah menarik perhatian ramai pihak. Ini termasuklah rakan sepasukan beliau dan juga pemain pertahanan tengah Liverpool, Jamie Carragher. Carra memuji pencapaian penyerang Sepanyol tersebut dan beliau percaya Torres telah membayar harga perpindahan yang dikeluarkan oleh Liverpool kepada Atletico Madrid semasa mendapatkan khidmat Torres tiga musim yang lalu. Menurut Carra, ianya satu jumlah (kira-kira 25 juta) yang perbelanjaan yang cukup bijak oleh Rafa Benitez dan juga Liverpool. Di dalam erti kata yang lain setiap sen yang dibelanjakan untuk mendapatkan Torres adalah cukup berbaloi. Tambah Carra, Torres adalah seorang penyerang yang cukup hebat, bertaraf dunia dan untuk menewaskan pemain-pemain seperti Ian Rush, Micheal Owen, Robbie Fowler serta Roger Hunt untuk mendapatkan jaringan ke 50 terpantas adalah cukup untuk menceritakan segala-galanya tentang beliau. Berada di kedudukan teratas senarai tersebut telah menunjukkan Torres adalah pemain yang hebat dan disebabkan itulah Liverpool tanpa ragu-ragu membayar harga yang tinggi untuk beliau, ujar Carra lagi.

Walaupun kerap dihantui oleh kecederaan pada musim ini, Torres telah meletakkan diri beliau sebagai salah seorang penyerang hebat di liga perdana inggeris. Sehingga kini El Nino telah menjaringkan 12 gol di liga perdana inggeris dan jumlah itu akan bertambah apabila beliau kini berjuang untuk membantu Liverpool merebut tempat ke Liga Juara-Juara Eropah pada musim hadapan. Setelah menjaringkan gol ke 50 beliau semasa menentang Villa, Torres kelihatan agak berkarat ketika menentang Reading (seri 1-1). Mungkin beliau sedikit keletihan setelah bermain menentang Villa pada awal pagi Rabu yang lepas. Walau apapun yang berlaku, kita harapkan Torres akan cergas sepenuhnya bersama-sama Kapitan Gerrard untuk menentang spur di Anfield pada hujung minggu nanti. Juga terdapat beberapa khabar angin yang menyatakan kelab-kelab seperti Milan, citeh dan jambatan runtuh yang cuba mendapatkan Torres jika Liverpool gagal ke Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan. Ada yang mendakwa mereka ini perlu membayar 140 juta pound (di dalam bentuk yuran perpindahan dan bayaran gaji) untuk mendapatkan Torres. Nampaknya mereka semua ini masih gila bayang sehingga sekarang dan memandang rendah akan kesetiaan Torres kepada Liverpool. Biarlah mereka terjun dengan labu-labunya, kerana jika dilayan mereka yang gila bayang ini, tiada faedah yang akan kita perolehi dan hanya membuang masa kita yang berharga sahaja.


YNWA

Sunday, January 3, 2010

Rodriguez : England Atau Argentina?

Setelah Rafa menyatakan minat untuk mendapatkan pemain sayap Atletico Madrid, Maximiliano Ruben Rodriguez a.k.a Maxi Rodriguez melalui perjanjian pinjaman, The Reds bakal menghadapi saingan daripada kelab liga Argentina iaitu Boca Juniors. Pemain antarabangsa Argentina yang berusia 29 tahun ini yang bermain pada Piala Dunia 2006 kini dilaporkan semakin diketepikan daripada membarisi kesebelasan utama Atletico dan beliau kini mencari pasukan baru bagi menjamin tempat di Piala Dunia 2010. Kontrak Rodriguez yang akan tamat pada musim ini dijangka tidak akan disambung oleh Atletico. Rodriguez yang juga merupakan sahabat baik kepada pemain tengah Liverpool Javier Mascherano turut dilaporkan menemui presiden Atletico Enrique Cerezo untuk berbincang mengenai masa depan beliau di kelab tersebut. Sehingga berita ini diterima, Atletico masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan yang mereka masih mahu mengekalkan khidmat Rodriguez untuk musim yang akan datang. Jika benar laporan ini, maka peluang untuk membawa Rodriguez ke Anfield agak cerah jika Rafa benar-benar berjaya menyakinkan beliau untuk bermain dengan The Reds. Halangan mungkin timbul jika Rodriguez lebih berminat untuk bermain di negara kelahiran beliau dan pasti Boca akan mendapat kelebihan. Nampaknya jika Rafa Berjaya mendapatkan Rodriguez, tumpuan beliau jelas untuk memperkuatkan bahagian sayap Liverpool.


YNWA