Monday, January 18, 2010

Torres : Rehat Sehingga Mac

Penyerang utama Liverpool, Fernando Torres dilaporkan telah berjaya menjalani pembedahan lutut kanannya di sebuah hospital Barcelona. Kecederaan di lutut kanan Torres bertambah buruk ketika perlawanan menentang Reading dan beliau terpaksa dikeluarkan pada separuh masa pertama. Pembedahan kali ini bakal menyelamatkan musim Torres daripada terus dihimpit masalah kecederaan. Menurut doktor pakar yang menjalankan pembedahan ke atas Torres, Dr Ramon Cugat, prosedur 45 minit tersebut berjaya dilakukan mengikut perancangan awal mereka. Tambah Dr Cugat, jika tiada apa-apa masalah, Torres dijangka akan pulih sepenuhnya di dalam masa enam minggu. Berita ini disambut dengan penuh kelegaan oleh Boss Liverpool Rafa Benitez. Rafa yang sebelum ini agak gusar akan kehilangan Torres untuk satu jangkamasa yang lebih lama. Torres juga gembira dengan kejayaan pembedahan tersebut dan beliau kini bersedia untuk kembali pulih secepat yang mungkin agar dapat membantu Liverpool dan juga Sepanyol pada Piala Dunia 2010 nanti. Jika menurut perhitungan, Torres akan kembali cergas pada awal Mac nanti. Jika dilihat pada situasi ini, Liverpool harus mendapatkan seorang lagi penyerang yang berwibawa untuk memikul tugas Torres ini.


YNWA

Sunday, January 17, 2010

Babel : Kedudukan Belum Pasti

Pemain sayap antarabangsa Holland, Ryan Babel telah dilaporkan bersedia untuk menolak sebarang perpindahan ke Sunderland. Liverpool dikatakan berminat menawarkan Babel sebagai sebahagian daripada bayaran perpindahan untuk mendapatkan penyerang Kenwyne Jones. Namun perkembangan terbaru ini bakal merencatkan usaha Liverpool untuk mencari pengganti kepada penyerang utama Fernando Torres yang mengalami kecederaan dan terpaksa berehat selama enam minggu. Kedegilan Babel ini bakal menimbulkan rasa kurang senang pengurus Liverpool, Rafa Benitez. Memburukkan lagi keadaan, Babel dilaporkan telah mengeluarkan kenyataan yang kurang enak di laman sosial Twitter apabila beliau diketepikan daripada skuad Liverpool yang bertandang ke Stoke pada hujung minggu yang lalu walaupun Liverpool kehilangan khidmat Torres, Gerrard dan juga Benayoun. Jika beliau masih menimbulkan masalah kepada Rafa Benitez, besar kemungkinan beliau akan terus diketepikan untuk perlawanan menentang spurr di Anfield pada awal pagi Khamis nanti. Masa depan Babel di Anfield telah lama menjadi tanda tanya dengan banyak kelab dikatakan berminat untuk mendapatkan khidmat beliau. Bimingham City sebelum ini telah menawarkan 9 juta pound untuk mendapatkan Babel namun ditolak oleh Liverpool. Kelab-kelab seperti Marseille, Besiktas dan Fiorentina turut dikatakan berminat untuk mendapatkan pemain sayap berusia 23 tahun ini. Adakah situasi Babel ini akan berterusan sehingga hujung musim ini? Atau beliau akan berpindah ke kelab baru pada Januari ini? Sama-sama kita saksikan sejauh mana perkembangan pemain antarabangsa Holland ini.


YNWA

Saturday, January 16, 2010

Torres : Jangan Kedekut!

Penyerang utama Liverpool, Fernando Torres tanpa menghiraukan sebarang spekulasi yang timbul ke atas kedudukannya dan juga kecederaan yang dialaminya pada perlawanan sebelum ini telah meminta agar pemilik Liverpool mendapatkan beberapa pemain baru untuk membantu kelab kesayangan beliau untuk keluar daripada kemelut kemerosotan prestasi. Torres yang akan berehat selama enam minggu selepas menjalani pembedahan ke atas kecederaannya, mahukan pemilik Liverpool mengeluarkan lebih banyak dana untuk membeli pemain bagi membantu skuad bimbingan Rafa Benitez ini. Dan tegas Torres, pemain-pemain yang perlu diperolehi adalah pemain-pemain yang berkualiti serta bertaraf dunia. Semua ini penting bagi Torres kerana Liverpool sepatutnya berkedudukan lebih baik pada musim ini setelah menduduki tempat kedua liga perdana inggeris pada musim lepas. Walaupun Torres jelas kecewa dengan pencapaian mereka setakat ini, beliau tahu Liverpool perlu berjuang untuk menduduki empat tempat teratas di liga perdana inggeris dan cuba untuk melakukan yang terbaik di dalam Liga Europa yang akan bermula kembali pada bulan Februari nanti. Untuk bersaing dengan mana-mana pencabar utama di liga perdana inggeris, Liverpool memerlukan skuad yang lebih lengkap berbanding sekarang, tambah Torres lagi. Ini bukan merupakan pertama kali ada antara pemain-pemain Liverpool yang menyatakan pendapat mereka. Sebelum ini, pemain-pemain seperti Carragher, Gerrard, Reina, Reira serta beberapa pemain lain turut menyatakan bahawa Liverpool perlu memperkuatkan lagi pasukan. Pemain-pemain yang ada sekarang hanya cukup untuk membentuk satu skuad utama yang mantap tanpa pemain sokongan yang benar-benar mampu untuk dipanggil beraksi jika pemain di skuad utama mengalami kecederaan, penggantungan mahupun panggilan daripada skuad antarabangsa. Jika pemilik-pemilik Liverpool ini masih memekakkan telinga dan juga kedekut untuk mengeluarkan perbelanjaan bagi membeli pemain baru, maka bersedialah untuk menghadapi amarah daripada peminat-peminat Liverpool di seluruh dunia.


YNWA

Friday, January 15, 2010

BPL : Usah Ambil Mudah

Malang bertimpa-timpa yang terjadi kepada Liverpool musim memang benar-benar menguji kesabaran para peminat Liverpool. Bermacam-macam pendapat yang telah kita baca serta lihat di media dan internet. Realitinya Liverpool masih mempamerkan prestasi yang tidak konsisten pada musim ini. Banyak faktor yang menyumbang ke arah kemerosotan prestasi yang cukup ketara pada musim ini. Namun itu tidak boleh dijadikan alasan untuk pemain-pemain Liverpool bermain sambil lewa di dalam dua perlawanan selepas ini. Perlawanan yang dimaksudkan ialah menentang skuad Stoke City a.k.a The Potters pada hujung minggu ini dan juga skuad spurr pada pertengahan minggu hadapan. Kali ini kita fokus dahulu pada perlawanan menentang skuad The Potters di tempat lawan pada hujung minggu ini. Skuad The Potters ini dijangkakan mampu mengugat The Reds terutama sekali apabila bermain di tempat mereka sendiri. Corak permainan mereka yang lebih tertumpu kepada serangan balas pantas amat berbahaya kepada Liverpool. Selain daripada itu mereka juga mampu menjaringkan gol melalui set piece, satu kelemahan Liverpool yang masih ketara sehingga sekarang. Pemain-pemain seperti Shawcross, Delap, Etherington, Beattie serta Fuller harus diawasi oleh Liverpool. Saya menjangkakan skuad The Potters ini akan membuka sedikit permainan mereka di tempat sendiri untuk menyerang Liverpool. Ini akan memberikan sedikit ruang kepada The Reds untuk membuat serangan balas.

Liverpool pula menghadapi perlawanan ini dengan pelbagai masalah yang melanda pasukan. Dengan Torres yang cedera dan menjalani pembedahan dipaksa berehat selama 6 minggu, Gerrard turut mengalami kecederaan selama 2 minggu sementara Benayoun patah tulang rusuk, terpaksa diketepikan selama 4 minggu. Riera serta Johnson masih dibelenggu kecederaan. Pasti senarai kecederaan ini sedikit sebanyak akan mengugat persediaan Liverpool untuk perlawanan ini. Sedikit berita gembira dengan penyertaan Maxi Rodriguez dari Atletico Madrid yang diharapkan akan membantu Liverpool mengharungi krisis kecederaan ini. Liverpool juga mendapat kembali khidmat pemain tengah Argentina, Javier Mascherano untuk memperkuatkan bahagian tengah. Liverpool memerlukan kemenangan ke atas skuad The Potters bagi meneruskan cabaran di liga perdana inggeris serta mengembalikan keyakinan pemain. Liverpool mampu memenangi perlawanan ini jika Rafa boleh merencanakan taktikal yang sesuai dengan pasukan. Walaupun mereka tewas di Anfield pada perlawanan liga sebelum ini, buruk padahnya jika mengambil mudah skuad The Potters pada pertemuan ini. Berikut adalah barisan kemungkinan pemain yang bakal diturunkan pada kesebelasan utama Liverpool di perlawanan ini :

Formasi : 4-2-3-1

Barisan Kemungkinan :

RIENA

CARRAGHER AGGER SKRTEL INSUA

LUCAS MASCHERANO

RODRIGUEZ AQUILANI AURELIO

KUYT


Keputusan : 1-0 kemenangan kepada Liverpool. Gol dijaringkan oleh Aurelio.

Perlawanan akan disiarkan secara langsung di Astro ESPN Rangkaian 812

16/01/10 Jam 2040 Malam


YNWA

Thursday, January 14, 2010

Rodriguez : Selamat Datang Ke Anfield


Liverpool telah membuat pengesahan di media bahawa pemain sayap antarabangsa Argentina, Maxi Rodriguez a.k.a La Fiera a.k.a The Beast telah menyertai The Reds secara rasmi daripada Atletico Madrid tanpa sebarang yuran perpindahan. Rodriguez telah menurunkan tandatangan ke atas kontrak selama tiga setengah tahun. Boss Liverpool, Rafa Benitez cukup gembira dengan penyertaan Rodriguez ke dalam skuadnya dengan menyatakan Rodriguez merupakan pemain yang cukup berpengalaman dan boleh bermain pada mana-mana posisi di bahagian tengah Liverpool. Rodriguez juga boleh bermain sebagai penyerang sokongan kepada Fernando Torres. Rafa berharap Rodriguez cepat menyesuaikan diri di Liverpool dengan bantuan dua rakan baik beliau iaitu Torres dan juga Mascherano. Sebagai seorang pemain yang disifatkan oleh Rafa sebagai selesa dengan bola serta pandai membuat umpanan serta menguasai bola, Rafa berharap Rodriguez mampu menambahkan sengat bahagian serangan Liverpool. Rodriguez juga mampu menjaringkan gol serta mempunyai penyudah yang baik selain daripada mampu untuk mengucar-kacirkan pertahanan lawan di dalam kotak penalti mereka. Kepada Maxi Rodriguez, kami peminat Liverpool mengucapkan selamat datang ke Anfield dan diharapkan anda mampu membantu perjuangan Liverpool di peringkat domestik dan juga eropah.


YNWA

Wednesday, January 13, 2010

Purslow : Torres - Gerrard Kekal

Pengarah Urusan Liverpool Christian Purslow hari ini menegaskan bahawa Liverpool tidak akan menjual Torres dan juga Gerrard. Menurut Purslow, apa yang pengurusan inginkan ialah mengekalkan pemain-pemain terbaik Liverpool dan menawarkan kontrak yang lebih baik kepada mereka. Purslow juga menegaskan bahawa matlamat utama mereka adalah untuk memperkukuhkan skuad yang sedia ada dan bukannya melemahkannya dengan menjual pemain-pemain terbaik Liverpool. Purslow juga menafikan sebarang laporan media yang menyatakan Liverpool terpaksa menjual Torres dan Gerrard. Di dalam siding media itu juga, Purslow kini juga memberitahu Liverpool akan menerima pelabur baru di dalam masa beberapa bulan untuk membantu meneruskan perancangan untuk membina stadium baru di Stanley Park. Selalunya cakap-cakap Purslow memang boleh digunapakai, namun kita harus ingat Purslow bukan pemilik tetapi salah seorang pekerja yang turut makan gaji di Anfield. Hanya masa yang akan menentukan akan kebenaran kata-kata serta janji Purslow ini.


YNWA

Tuesday, January 12, 2010

Eccleston : Selamat Dari Dikebas

Nama Penuh : Nathan Eccleston

Umur : 19 Tahun

Tarikh Lahir : 30 December 1990

Tempat Lahir : Newton Heath, England

Tinggi : 5 kaki 10 inci (1.78m)

Posisi : Penyerang

No Jersi : 39

Liverpool berjaya menghalang mengyu daripada mengebas penyerang muda England Nathan Eccleston apabila beliau telah menyambung kontrak untuk kekal di Anfield sehingga 2013. Penyerang muda berusia 19 tahun ini mula beraksi di skuad utama Liverpool pada musim ini dengan penampilan sulung beliau ketika menentang skuad senapang pada perlawanan pusingan keempat Piala Carling. Kemudian beliau membuat penampilan sulung di liga perdana inggeris ketika menentang Fulham di Craven Cottage 3 haru kemudian. Eccleston dibeli dari Bury ketika beliau berusia 15 tahun dan semenjak daripada itu meneruskan perkembangan karier bolasepaknya di akademi Liverpool sehingga berjaya mendapat tempat di skuad bawah 18 tahun dan juga skuad simpanan Liverpool. Pada penampilan sulung di skuad simpanan Liverpool ketika menentang Blackburn, Eccleston telah menjaringkan dua gol. Dengan kontrak baru ini Liverpool berjaya mengekalkan seorang lagi pemain muda berbakat daripada terlepas ke tangan musuh liga perdana inggeris. Blackburn turut dikatakan berminat untuk mendapatkan Eccleston.


YNWA

Monday, January 11, 2010

Jones : Siapa Cepat Dia Dapat

Skuad Kucing Hitam a.k.a Blackcats a.k.a Sunderland a.k.a pasukan sumbat gol guna belon dilaporkan telah memberi lampu hijau kepada Liverpool untuk mendapatkan khidmat penyerang antarabangsa Trinidad & Tobago, Kenwyne Jones pada bulan Januari ini. Laporan itu juga menyebut pengurus mereka Steve Bruce turut berminat untuk mendapatkan pemain sayap Liverpool Ryan Babel. Bruce juga dikatakan telah memberi cadangan agar pertukaran pemain dapat dilakukan di antara Jones dengan Babel. Namun sehingga kini, tiada perkembangan mengenai cadangan tersebut. Jones dikatakan lebih berminat untuk menyertai Liverpool berbanding dengan Birmingham yang dikatakan turut cuba mendapatkan khidmat beliau. Walaupun Birmingham serta satu lagi pasukan yang berminat untuk mendapatkan khidmat beliau iaitu Stoke mampu membayar secara tunai kepada Sunderland, namun tarikan untuk bermain di peringkat lebih tinggi bersama-sama Liverpool, sukar untuk ditolak oleh Jones. Selain daripada itu, beliau juga berpeluang untuk bermain dengan pemain-pemain terbaik dunia seperti Torres dan juga Gerrard. Birmingham dilaporkan meletakkan harga 11 juta pound ke atas Jones dan Liverpool perlu menambah beberapa juta pound bersama-sama Babel jika mahu mendapatkan Jones. Jika Liverpool berjaya mendapatkan Jones, ianya satu pelaburan yang cukup baik kerana Jones masih muda (baru berusia 25 tahun), mampu memberikan ancaman fizikal di dalam setiap serangan Liverpool (tinggi 6 kaki 2 inci), boleh bermain sebagai penyerang sokongan atau penyerang tunggal (jika Torres direhatkan) dan adalah salah seorang penyerang yang mampu menjaringkan gol di liga perdana inggeris (setakat ini 6 gol daripada 16 penampilan) serta boleh melakukan umpanan (assist) untuk menjaringkan gol. Kepada Rafa, apa lagi yang ditunggu kerana kehadiran Jones pasti memberikan lebih sengat kepada jentera serangan Liverpool.


YNWA