Thursday, May 27, 2010

Tardelli : Pilihan Dari Brazil

Liverpool dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat penyerang kelab Atletico Mineiro Diego Tardelli. Liverpool dijangkakan akan menawarkan 6 juta pound kepada kelab tersebut bagi mendapatkan Tardelli. Penyerang berusia 25 tahun ini telah beraksi dengan cukup cemerlang untuk kelab yang bergelar Belo Horizonte ini, membuat 33 kemunculan dan menjaringkan 19 gol untuk pada musim ini. Tardelli sebelum ini pernah beraksi untuk Real Betis dan juga PSV Eindhoven telah dinamakan antara pemain yang berada di dalam senarai 7 pemain simpanan untuk skuad 23 orang pemain antarabangsa Brazil yang bakal beraksi di Piala Dunia Afrika Selatan dibawah kelolaan pengurus Dunga. Sedikit halangan untuk Rafa Benitez jika berhajat untuk mendapatkan khidmat Tardelli kerana West Ham turut dilaporkan berminat untuk mendapat beliau. Dengan dana yang terhad, Tardelli adalah sasaran yang realistik bagi memperkuatkan barisan serangan Liverpool. Mungkin tidak ramai yang mengenali beliau tetapi pemain sebeginilah yang selalunya menjadi sasaran Rafa Benitez disebabkan oleh Tardelli mungkin tidak menarik perhatian pasukan utama yang lain. Namun jika terlambat dan membiarkan beliau ke Piala Dunia dahulu, harga perpindahan beliau pasti meningkat jika beraksi cemerlang di Piala Dunia nanti.


YNWA

Wednesday, May 26, 2010

Milner : Minat Ke Anfield

Pemain tengah Aston Villa dan juga England James Milner memberitahu rakannya jika beliau diberi pilihan, maka Liverpool pasti akan menjadi destinasi idamannya. Walaupun citeh dan mengyu dikatakan sibuk untuk mendapatkan Milner, pemain berusia 24 tahun ini masih menyimpan harapan untuk mewakili Liverpool. Sementara itu pengurus Villa Martin O’Neill telah meletakkan yuran perpindahan sebanyak 40 juta pound ke atas Milner di dalam usaha beliau untuk memastikan Milner tidak menjadi sasaran kelab-kelab lain. O’Neill adalah antara nama-nama awal yang dikaitkan untuk mengambilalih tugas Rafa Benitez di Anfield jika pengurus berbangsa Sepanyol itu mahu beralih angin dari Liverpool pada musim panas ini. Faktor ini juga dilihat sebagai penarik kepada Milner untuk beraksi di Anfield. Sumber terdekat dengan Milner menyatakan disebabkan beliau dilahirkan di Leeds, maka beliau pasti tidak akan mewakili kelab daripada Manchester dan kelab yang sesuai dengan jiwa Milner hanyalah Liverpool. Sepatutnya Liverpool bertindak lebih awal untuk mengambil Milner iaitu ketika beliau bermain dengan Newcastle pada dua musim yang lepas. Tetapi sikap yang teragak-agak pengurusan Liverpool menyebabkan beliau memilih untuk mewakili Aston Villa. Milner adalah antara pemain England di liga perdana inggeris yang cukup menyerlah pada musim ini. Dan untuk mendapatkan khidmat beliau, pasti memerlukan kos yang cukup tinggi bagi menyakinkan Villa supaya melepaskan beliau.


YNWA

Tuesday, May 25, 2010

Aurelio : Terima Kasih Daun Keladi

Pemain pertahanan Liverpool daripada Brazil Fabio Aurelio telah menolak tawaran kontrak baru daripada Liverpool. Aurelio telah menolak tawaran kontrak bayaran berasaskan jumlah permainan yang disertai beliau dan akan meninggalkan Anfield pada awal bulan Jun nanti. Pengurus Liverpool Rafa Benitez mengesahkan perkara tersebut dan beliau mengucapkan terima kasih di atas khidmat Aurelio semasa berada di Anfield. Punca utama penolakan kontrak oleh Aurelio adalah kerana beliau mahukan kontrak tetap yang lebih menjamin masa depan beliau. Liverpool pula tidak dapat menawarkan kontrak sedemikian kerana rekod kecederaan Aurelio yang berpanjangan. Pada musim ini, Aurelio bermula dengan kecederaan lutut ketika bercuti di Brazil. Pada bulan Februari yang lepas, beliau sekali lagi mengalami kecederaan yang menyebabkan beliau tidak mampu bermain hingga ke penghujung musim ini. Walau apapun yang berlaku kedua-dua pihak (Liverpool dan Aurelio) telah mengambil keputusan yang baik. Kepada Aurelio, terima kasih kami ucapkan di atas khidmat cemerlang anda di Anfield. Kami semua pasti mengingati tendangan percuma anda yang cukup berbahaya itu.


YNWA

Monday, May 24, 2010

Riera : Cabut Ke Jerman?

Kelab Bundesliga Jerman VfB Stuttgart kini bercadang untuk mendapatkan khidmat pemain sayap Liverpool dari Sepanyol, Albert Riera. Pemain antarabangsa Sepanyol ini dilihat tidak akan kekal di Anfield dan dijangka beliau akan dijual pada musim panas ini. Riera yang sebelum ini menyerang Pengurus Liverpool Rafa Benitez serta pihak pengurusan Liverpool dengan menyatakan beliau tidak mendapat pembelaan sepenuhnya ketika berada di Anfield. Stuttgart dilaporkan akan menawarkan jalan keluar daripada Anfield kepada Riera setelah mendapat lampu hijau daripada Liverpool. Kelab Jerman ini yang kini diuruskan oleh Christian Gross sedang mencari pemain sayap kiri untuk pasukan itu dan Riera dilihat oleh Gross sebagai calon yang sesuai untuk mengisi kekosongan tersebut. Mungkin tidak menjadi masalah untuk Stuttgart membayar yuran perpindahan yang yang diminta Liverpool namun adakah mereka mampu memenuhi kontrak yang bakal diminta oleh Riera nanti? Jangan peristiwa yang sama berulang kembali apabila permintaan melampau Riera menghalang beliau berpindah ke Rusia pada awal Januari yang lalu.


YNWA

Sunday, May 23, 2010

LFC : Duit Oh Duit

Di dalam satu pendedahan yang dibuat oleh Pengurus Liverpool Rafa Benitez, beliau memberitahu bahawa di sepanjang enam musim bersama-sama Liverpool, beliau telah membuat keuntungan kepada kelab di dalam urusan jual beli (perpindahan) pemain. Beliau yang dikritik hebat kerana dikatakan tidak berjaya membawa ramai pemain berkualiti ke Anfield di sepanjang enam musim tersebut. Menurut Rafa, ada sesetengah pihak yang mendakwa beliau telah membelanjakan duit kelab sebanyak 280 juta pound. Namun Rafa menyangkal dakwaan tersebut dan menegaskan jumlah sebenar yang dibelanjakan untuk membeli pemain adalah 220 juta pound. Rafa juga berjaya mendapatkan 160 juta pound daripada penjualan pemain dan perbelanjaan bersih beliau hanya 60 juta pound di sepanjang enam musim dengan purata perbelanjaan hanya 10 juta pound semusim. Satu jumlah pelaburan yang cukup kecil jika diukur daripada saiz sebuah kelab seperti Liverpool. Tambah Rafa, jika ditolak daripada pendapatan Liga Juara-Juara Eropah sebanyak 120 juta pound (minimum) untuk enam musim maka Liverpool masih mempunyai keuntungan 60 juta pound di sepanjang enam musim beliau di Anfield. Jika benar apa yang dikatakan beliau, jelas Liverpool masih membuat keuntungan (belum lagi dikira jumlah penajaan yang diterima Liverpool serta pendapatan daripada media penyiaran) daripada kejohanan yang disertai kelab. Persoalan yang masih belum terjawab, ke mana perginya semua pendapatan ini?


YNWA

Saturday, May 22, 2010

Melo : Ditawarkan Kepada The Reds?

Liverpool dilaporkan berminat untuk mendapat khidmat pemain tengah Juventus dan juga skuad antarabangsa Brazil Felipe Melo. Juventus yang dikatakan turut berminat untuk mendapatkan pemain tengah Liverpool Alberto Aquilani sebagai tukaran untuk Melo. Pengurus Juventus Luigi Del Neri melihat Aquilani sebagai pengganti yang ideal untuk Diego iaitu seorang lagi pemain tengah mereka yang tidak konsisten pada musim lepas. Walaupun ini hanya sekadar khabar angin, namun jika pertukaran pemain di antara kedua-dua kelab bakal berlaku, tiada di antaranya mampu untuk mendapatkan kembali jumlah pelaburan yang besar ke atas Melo dan juga Aquilani. Saya masih berpendapat, Liverpool harus memberi peluang satu musim lagi ke atas Aquilani. Sesuatu yang merugikan jika berbelanja 20 juta pound dan hanya semusim Aquilani bersama-sama Liverpool. Itupun beliau tidak beraksi sepenuhnya di sepanjang musim lepas. Jika kecederaan dan prestasi beliau tidak begitu baik (jika diberi peluang bermain) maka bolehlah beliau dilepaskan kepada pasukan lain. Melo pula memberikan persembahan yang mengecewakan di Juventus pada musim lepas. Jika ditawarkan pada harga yang sesuai, mungkin beliau boleh menjadi tambahan ke dalam skuad Liverpool. Jika terlalu mahal, lebih baik dilupakan kerana Mascherano telah sedia ada di dalam skuad Liverpool. Melo turut dikaitkan dengan skuad senapang yang memburu khidmat beliau daripada musim lepas.


YNWA

Friday, May 21, 2010

Carragher : Dipersilakan Angkat Kaki

Pemain pertahanan senior Liverpool Jamie Carragher telah mengeluarkan peringatan kepada pemain-pemain yang tidak gembira di Liverpool supaya keluar dari Anfield. Pemain-pemain berstatus bintang seperti Gerrard, Torres, Mascherano dan juga Benayoun dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan baru menjelang musim 2010/2011 nanti. Carragher menegaskan hanya mereka yang masih mahu kekal dan membantu Liverpool akan kembali ke padang latihan Melwood pada permulaan musim baru nanti. Carragher tidak mempunyai sebarang masalah jika terdapat pemain yang tidak lagi berminat untuk mewakili Liverpool. Bagi beliau Liverpool FC adalah lebih penting daripada individu. Sambil menegaskan ianya bukan satu pengakhiran buat Liverpool jika terdapat pemain-pemain yang meninggalkan kelab, Carra yakin setiap yang hilang pasti akan dapat dicari ganti. Kenyataan terbaru Carra ini pasti akan menyentak pemain-pemain yang berura-ura mahu meninggalkan Liverpool. Kita sebgai peminat juga pasti tidak mahu melihat pemain yang tidak lagi berminat untuk menabur bakti di Liverpool berada di dalam pasukan. Jika seseorang pemain itu mahu meninggalkan Anfield, kita harus terima dengan fikiran terbuka. Saya pasti masih ramai antara kita terasa akan kehilangan Alonso pada musim lepas, antara pemain yang masih gagal untuk dicari ganti sehingga sekarang. Jika benar-benar mahu menjual pemain berstatus bintang, yuran perpindahan yang diperolehi harus digunakan untuk membeli pemain baru yang mampu mengantikan mereka. Jika yuran perpindahan tidak digunakan untuk membeli pemain baru (seperti yang berlaku di dalam kes Alonso), lebih baik jangan dijual pemain-pemain tersebut walaupun mereka tidak gembira di Anfield. Walaupun begitu, Liverpool tidak harus melepaskan pemain-pemain tulang belakang Liverpool seperti Gerrard, Torres dan juga Mascherano. Kehilangan pemain-pemain seperti ini amat sukar untuk dicari ganti dan akan meninggalkan kesan yang amat ketara ke atas pasukan. Jika mereka tetap mahu keluar, apa yang boleh dilakukan hanyalah memaksimumkan yuran perpindahan yang bakal diperolehi dan dilaburkan kembali ke dalam pasukan dan bukannya untuk membayar hutang pemilik kelab.


YNWA

Thursday, May 20, 2010

LFC : Masih Tiada Dana

Pengurus Liverpool Rafa Benitez mengakui yang beliau masih lagi belum diberikan dana untuk membeli pemain pada musim panas ini. Walaupun pemilik-pemilik Liverpool telah meletakkan kelab untuk dijual pada bulan lepas namun sehingga sekarang masih belum ada pihak yang sanggup menerima harga 500 juta pound yang diletakkan ke atas Liverpool. Rafa bagaimanapun masih belum tahu adakah beliau dapat menggunakan duit yang diperolehi daripada penjualan pemain-pemain sebelum ini. Penting bagi beliau untuk mengetahui jumlah dana yang akan diperolehi beliau kerana ini pasti akan membantu untuk membuat perancangan awal bagi membeli pemain baru pada musim panas ini. Nampaknya Liverpool bakal terlepas lagi pemain-pemain yang mahu diperolehi pada musim panas ini jika keadaan sebegini masih berlanjutan. Dengan Piala Dunia yang pasti akan lebih menyukarkan pembelian pemain kerana harga yang bakal meningkat, situasi Liverpool untuk mendapatkan pemain baru menjadi bertambah sukar.


YNWA

Wednesday, May 19, 2010

Hamann : Kembali Bermain

Bekas pemain tengah Liverpool dan juga skuad antarabangsa Jerman, Dietmar Hamann telah menyertai pasukan daripada League One MK Dons dengan kontrak sebagai pemain dan juga jurulatih pasukan tersebut. Pemain berusia 36 tahun ini telah mewakili Jerman di Piala Dunia 1998 dan 2002 serta memenangi Liga Juara-Juara Eropah dengan Liverpool pada tahun 2005. Beliau merupakan pemain yang paling berjaya yang menyertai MK Dons dan menandatangani kontrak selama satu tahun. MK Dons dalam pada itu mengumumkan perkara tersebut secara rasmi di lama web rasmi mereka dan menyatakan selain bermain di kesebelasan utama, Hamann akan turut membantu pengurus Karl Robinson dan juga barisan jurulatihnya yang lain. Nampaknya Hamann kembali bermain di atas padang bersama-sama MK Dons. Namun dijangkakan beliau mungkin tidak jauh daripada persaraanya kerana usia yang semakin meningkat.


YNWA

Tuesday, May 18, 2010

Ince : Liverpool Lebih Penting

Pemain sayap muda berbakat Liverpool Thomas Ince menegaskan beliau hanya menumpukan perhatian ke atas perkembangan kariernya di Liverpool daripada memikirkan spekulasi yang berlaku di sekelilingnya. Pemain sayap berusia 18 tahun ini yang juga anak kepada Paul Ince melalui musim yang cukup baik bersama-sama skuad bawah 18 tahun Liverpool dibawah kendalian Rodolfo Borrell. Disebabkan perkara tersebut Ince dikatakan telah menarik perhatian skuad jambatan runtuh. Bagaimanapun Ince menegaskan sasaran utama beliau pada musim hadapan adalah untuk menempatkan diri di dalam skuad simpanan Liverpool. Setelah menghabiskan dua musim di Akademi Liverpool, Ince berharap segala usaha usaha yang dilakukan oleh beliau cukup untuk menarik perhatian pengurus skuad simpanan Liverpool, John McMahon. Ince masih mempunyai masa setahun di akademi, namun beliau kini mampu dan telah bersedia untuk bermain di skuad simpanan Liverpool. Jika diberi peluang seperti Jack Robinson yang diberi peluang bermain di skuad utama pada penghujung musim ini, Ince pasti tidak akan menolak namun bagi beliau menempatkan diri di skuad simpanan Liverpool adalah sasaran yang lebih logik untuk masa sekarang. Malah jika diberi tempat di bangku simpanan skuad utama Liverpool, beliau sudah cukup gembira. Tahap permainan Ince semakin meningkat setelah Rodolfo dan juga Pep menyertai skuad bawah 18 tahun Liverpool. Buktinya mereka berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah pada musim ini.


YNWA

Monday, May 17, 2010

Carragher : Tiga Terbaik

Pemain pertahanan senior Liverpool Jamie Carragher hari ini menamakan tiga orang penyerang paling digeruni beliau jika terpilih ke Piala Dunia nanti. Carra menamakan Fernando Torres, David Villa dan Didier Drogba sebagai penyerang yang cukup sukar untuk disekat daripada menjaringkan gol. Ketiga-tiga penyerang ini dijangka akan bersaing antara sama lain untuk merebut anugerah kasut emas pada Piala Dunia bulan Jun nanti. Namun agak melegakan bagi Carra kerana beliau tidak perlu berhadapan dengan ketiga-tiga pemain ini sehinggalah pusingan separuh akhir Piala Dunia nanti. Tidak dinafikan pilihan Carra ini adalah tepat kerana ketiga-tiga penyerang ini pasti akan menimbulkan masalah kepada pihak lawan jika dilihat kepada keupayaan serta jumlah jaringan yang dihasilkan di peringkat antarabangsa dan juga kelab. Kita sebagai peminat Liverpool pasti mahu melihat Torres muncul sebagai penjaring terbanyak Piala Dunia nanti. Namun kerisauan juga pasti timbul kerana penyertaan Torres di Piala Dunia nanti dikhuatiri akan memberi kesan kepada kecederaan beliau dan seterusnya pasti akan mengugat persediaan awal musim Liverpool nanti.


YNWA

Sunday, May 16, 2010

Erkin : Sekadar Khabar Angin

Liverpool yang sebelum dikaitkan dengan pemain sayap Turki Arda Turan, kini dilaporkan turut berminat untuk mendapatkan rakan sepasukan Turan yang pemain sayap kiri Galatasaray, Caner Erkin. Kelab La Liga Espanyol turut dikatakan berminat untuk mendapatkan pemain sayap yang baru berusia 21 tahun ini. Erkin yang sebelum ini dipinjamkan kepada kelab Russia CSKA Moscow selama dua musim, telah menunjukkan prestasi yang baik di Liga Turki. Peningkatan prestasi beliau ini telah menyebabkan beberapa kelab utama eropah dikatakan berminat untuk mendapatkan khidmatnya. Erkin juga merupakan pemain skuad antarabangsa Turki yang bermain di pusingan kelayakan Piala Dunia yang lepas. Galatasaray dilaporkan telah meletakkan harga perpindahan sebanyak 2.5 juta pound ke atas Erkin. Mungkin ramai di antara kita yang tidak mengenali beliau sebagaimana kita mengenali Arda Turan. Namun jika pelaburan dibuat oleh Liverpool ke atas beliau, kos yang minimum mungkin akan mengurangkan kerugian jika beliau gagal bermain cemerlang di Anfield. Namun sekarang, Liverpool lebih memerlukan pemain yang benar-benar mampu menggerakkan pasukan dan harga mereka pasti tidaklah serendah Erkin.


YNWA

Saturday, May 15, 2010

Europa : Buka Gelanggang Awal

Pengurus Liverpool Rafa Benitez mengakui permulaan awal di dalam saingan Liga Europa pada musim hadapan tidak begitu baik buat mereka. Akibat daripada mendapat tempat ketujuh di liga perdana inggeris pada musim ini, Liverpool akan memulakan saingan di pusingan ketiga kelayakan yang bermula pada 29 Julai, peringkat yang sama dimana Fulham naib johan pada musim ini memulakan cabaran mereka. Tarikh 29 Julai tersebut hanya 18 hari selepas Piala Dunia Afrika Selatan melabuhkan tirai. Ianya jelas tidak menggembirakan Rafa dimana ramai pemain Liverpool yang terlibat secara langsung di dalam kejohanan tersebut. Rafa bagaimanapun mengambil pendekatan dengan menerima perkara tersebut dimana senario yang hampir sama berlaku pada permulaan musim ini dimana kebanyakan pemain-pemain utama Liverpool terlibat dengan Piala Konfiderasi yang turut diadakan di Afrika Selatan. Rafa juga memberitahu yang beliau tiada pilihan lain dan akan cuba untuk menganalisa jadual perlawanan awal musim Liverpool dengan lebih terperinci di dalam usaha untuk mempersiapkan pasukan supaya lebih mantap untuk menghadapi musim baru nanti.


YNWA

Friday, May 14, 2010

LFC : Masih Untung Tapi .....

Akaun Kewangan Liverpool melaporkan pendapatan kelab daripada media untuk musim 2008/2009 berjumlah 74.596 juta pound sterling. Ianya merupakan satu jumlah yang cukup besar buat Liverpool dimana pada musim tersebut Liverpool berjaya menjadi naib johan liga perdana inggeris dan mara ke peringkat suku akhir di Liga Juara-Juara Eropah. Walau bagaimanapun disebabkan mempamerkan prestasi yang kurang baik pada musim ini, jumlah pendapatan Liverpool daripada penyiaran perlawanan liga perdana inggeris merosot sebanyak 3 juta pound (menjadi 47.266 juta pound) daripada 50.266 juta pound yang diperolehi pada musim 2008/2009. Namun pendapatan Liverpool di peringkat eropah adalah lebih baik disebabkan oleh sistem pembahagian pendapatan yang agak kompleks dilaksanakan oleh UEFA. Pada musim 2008/2009, Liverpool memperolehi pendapatan sebanyak 23.17 juta pound daripada penyiaran perlawanan di peringkat eropah dan dijangkakan pada musim ini Liverpool akan memperolehi lebih daripada 30 juta pound (peningkatan 1/3 jumlah daripada pendapatan musim 2008/2009). Memang seperti yang kita semua jangkakan, Liverpool mampu membuat keuntungan di peringkat domestik dan juga eropah, namun ke mana hilangnya semua pendapatan tersebut? Itu belum lagi dikira dengan jumlah penajaan ke atas skuad Liverpool yang terus meningkat.


YNWA

Thursday, May 13, 2010

Fowler : Mahu Urus The Reds

Bekas penyerang lagenda Liverpool Robbie Fowler menaruh harapan beliau mahu kembali ke Anfield sebagai pengurus Liverpool apabila tamatnya karier bolasepaknya nanti. Sedar dengan kemampuan beliau bermain di atas padang semakin menghampiri penghujungnya, Fowler meletakkan cita-cita menjadi pengurus Liverpool sebagai impian masa depannya. Penyerang berusia 35 tahun ini yang kini bermain di Liga Australia dimana beliau mempunyai kontrak semusim lagi dengan Perth Glory. Fowler yang masih belum mempunyai lesen kejurulatihan yang sah, bagaimanapun mengakui mungkin masih jauh untuk beliau kembali semula ke Anfield namun tidak menafikan ianya mungkin akan berlaku jika diberi peluang oleh Liverpool di masa hadapan.


YNWA

Wednesday, May 12, 2010

Torres : Usaha Gigih

Penyerang utama Liverpool Fernando Torres kini dilaporkan sedang berusaha gigih untuk mempersiapkan diri beliau supaya dapat beraksi di perlawanan pembukaan Sepanyol di Piala Dunia nanti. Sepanyol akan menentang Switzerland pada perlawanan tersebut. Penyerang berusia 26 tahun ini telah menjalani pembedahan di lutut kanannya bulan lepas. Torres kini dilaporkan berlatih sehingga enam jam sehari di dalam usaha beliau untuk cergas sepenuhnya menjelang pertemuan tersebut yang berlangsung pada 16 Jun nanti. Doktor pasukan antarabangsa Sepanyol Juan Jose Garcia Cota bagaimanapun memberitahu masih terlalu awal untuk mengetahui kedudukan Torres. Menurut Garcia, Torres kini telah memulakan latihan di gimnasium bagu memperkuatkan otot lututnya. Garcia memberitahu masa untuk Torres cergas sepenuhnya agak panjang disebabkan oleh jenis kecederaan yang dialaminya namun Garcia optimis Torres mungkin sempat beraksi di perlawanan pembukaan tersebut. Masa masih panjang dan kecederaan Torres semakin hari semakin baik perkembangannya, tambah Garcia lagi. Torres dinamakan di dalam skuad 30 orang pemain Sepanyol yang dikendalikan oleh Vicente del Bosque.


YNWA

Tuesday, May 11, 2010

LFC : Biarlah Logik

Walaupun kelihatan agak merepek dan tidak masuk akal, namun sama-sama kita nilai berita yang dilaporkan ini. Liverpool kini dikatakan sedang berusaha untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 35 juta pound daripada penjualan pemain pada musim panas ini. Pemain-pemain yang dimaksudkan ialah Alberto Aquilani (17 juta pound), Ryan Babel (10 juta pound), David Ngog (10 juta pound) dan Nabil El Zhar. Tidak logik untuk meletakkan harga yang begitu tinggi untuk pemain-pemain Liverpool yang disenaraikan ini. Nilai pasaran mereka tidak mencecah harga yang dinyatakan ini. Mungkin harga yang lebih munasabah adalah Aquilani (12-15 juta pound), Ryan Babel (7-8 juta pound), Ngog (4-5 juta pound) dan El Zhar (2-3 juta pound) sahaja berdasarkan prestasi pemain-pemain tersebut pada musim ini. Penjualan Aquilani (jika berlaku) adalah satu langkah yang terburu-buru kerana pemain tengah Itali ini cukup berbakat tetapi kecederaan telah menghadkan penampilan beliau pada musim ini. Kini beliau telah kembali cergas dan dengan rehat yang secukupnya pada musim panas ini, beliau dijangka akan mempamerkan nilai 20 juta pound yang dilaburkan Liverpool ke atas beliau. Babel, Ngog dan El Zhar mungkin boleh dipertimbangkan untuk dijual dengan syarat Liverpool harus mendapatkan pengganti yang lebih baik daripada mereka untuk mengharungi musim hadapan.


YNWA

Monday, May 10, 2010

Kuyt : Belajar Dari Kesilapan

Pemain sayap dan juga penyerang Liverpool daripada Holland, Dirk Kuyt menyatakan adalah penting untuk Liverpool untuk belajar dan kembali bangkit daripada musim yang suram ini. Walaupun kebanyakan peminat Liverpool gembira dengan tamatnya musim yang penuh dengan cabaran ini, Kuyt menegaskan Liverpool tidak harus melupakan kegagalan dengan musim ini dengan pantas. Bagi Kuyt pengajaran yang perlu diambil untuk kembali muncul di antara pasukan terbaik pada musim hadapan harus diutamakan oleh Liverpool. Kuyt mengakui musim ini adalah musim paling mencabar buat Liverpool dan beliau serta rakan-rakannya telah berusaha sedaya upaya untuk membetulkan keadaan. Namun ianya nyata belum cukup untuk mengubah nasib Liverpool. Tidak kira pengurus, pemain, peminat mahupun pihak pengurusan Liverpool, pengajaran musim ini adalah cukup perit untuk ditelan dan langkah yang bijak adalah untuk mengelak daripada melakukan kesilapan yang sama pada musim lepas.


YNWA

Sunday, May 9, 2010

LFC : Cabaran Demi Cabaran

Samada kita semua suka atau tidak, hakikat yang pahit untuk kita semua percayai, hutang Liverpool kini mencecah 472 juta pound. Laporan kewangan yang terbaru telah menunjukkan Liverpool mengalami kerugian 54.9 juta pound untuk tahun kewangan yang berakhir pada 31 Julai 2009. Berita yang tidak menggembirakan kita semua ini akan mempengaruhi masa depan Liverpool dimana dengan jumlah hutang yang sebegini, adalah sukar untuk Liverpool menarik pelabur-pelabur baru di dalam kelab. Dengan kedua-dua pemilik yang hanya menyasarkan keuntungan adalah sukar untuk meramalkan masa depan kelab di dalam masa terdekat ini. Kita sebagai peminat setia hanya mampu berharap agar ada pelabur baru yang mampu mengambilalih Liverpool dan membawa kelab ke arah masa depan yang lebih baik berbanding sekarang. Jadikan pengajaran ke atas apa yang berlaku pada masa lepas dimana jika mahu mengambilalih Liverpool, duit yang digunakan haruslah datang daripada poket pelabur sendiri dan bukannya berhutang dengan bank dan menghumban hutang tersebut ke atas kelab. Mungkin kita akan mendapat pelabur yang mempunyai kewangan yang kukuh atau pelabur yang mampu mengikis hutang tersebut daripada kelab, apapun yang berlaku Liverpool tidak lagi boleh dibiarkan menanggung hutang yang dibuat oleh pemilik dan bukannya oleh kelab itu sendiri.


YNWA

Saturday, May 8, 2010

Reina : Tiada Sedikit Penyesalan

Penjaga gol utama Liverpool Pepe Reina memberitahu, beliau tidak berfikir dua kali ketika menurunkan tandatangan ke atas kontrak baru untuk bersama-sama Liverpool pada bulan April lalu. Penjaga gol Sepanyol ini telah menurunkan tandatangan ke atas kontrak baru untuk kekal di Anfield selama enam musim lagi. Reina bagaimanapun tidak sedikitpun menyesal di atas keputusan yang dibuatnya walaupun Liverpool kini menghadapi masalah di peringkat pengurusan kelab. Bagi Reina, Liverpool adalah antara kelab bolasepak terbaik di dunia dan beliau tidak mempunyai sebab untuk meninggalkan kelab. Keputusan untuk bermain di dalam jangka masa panjang telah lama dibuat oleh beliau dan tidak kira apa yang berlaku kepada kelab, Reina mahu kekal di Anfield. Reina yang sebelum ini telah diramalkan oleh Jamie Carragher, bakal menjadi seorang kapten yang cukup berwibawa unbtuk Liverpool pada masa hadapan.


YNWA

Friday, May 7, 2010

Carragher : Setia Di Anfield

Pemain pertahanan senior Liverpool Jamie Carragher mengakui yang beliau perlu duduk berbincang dengan Liverpool mengenai tawaran kontrak baru. Desas desus yang bertiup kencang menyatakan yang Carra akan meninggalkan Anfield jika tidak ditawarkan kontrak baru oleh Liverpool. Walau bagaimanapun, Carra telah mengeluarkan kenyataan untuk membetulkan perkara tersebut. Di dalam kenyataan itu Carra menyatakan belaiu menamatkan kariernya di Anfield dan sebarang perbincangan mengenai kontrak baru akan bermula pada awal musim hadapan. Perkara ini telah dipesetujui dengan pengurus Liverpool Rafa Benitez. Carragher menyatakan beliau masih belum mahu bersara daripada bolasepak dan masih mahu berkhidmat untuk Liverpool. Memahami dengan usianya yang semakin meningkat, setiap keputusan mengenai karier bolasepaknya perlu dilakukan semusim demi semusim. Bagi Carra, beliau hanya mahu bermain dengan Liverpool sehingga ke penghujung kariernya. Tidak timbul sebarang persoalan yang beliau tidak mahu bermain untuk Liverpool melainkan jika Liverpool tidak lagi mahukan khidmatnya. Selain Gerrard, tiada lagi pemain lain yang mampu menandingi kesetiaan Carra kepada Liverpool. Seorang pemain yang menjadi role model kepada pemain-pemain muda dimana kesetiaan beliau kepada kelab melebihi daripada sikap tamak yang menguasai kebanyakan pemain bolasepak di era sekarang.


YNWA

Thursday, May 6, 2010

Dalla Valle : Prospek Masa Depan

Jurulatih skuad simpanan Liverpool John McMahon melahirkan kegembiraan beliau apabila seorang lagi bintang muda Lauri Dalla Valle berjaya menjaringkan gol kemenangan Liverpool ketika menentang skuad simpanan Sunderland pada minggu lepas. Pemain muda Finland ini turut dikaitkan dengan Ajax Amsterdam dan juga Real Madrid sebelum ini. McMahon bagaimanapun berpendapat masih banyak yang boleh dilakukan oleh pemain muda Finland ini. Dan tiada tempat yang lebih baik untuk Lauri memperkembangkan bakatnya selain daripada skuad simpanan Liverpool, tambah McMahon lagi. Lauri adalah anggota terbaru skuad simpanan Liverpool kerana sebelum ini skuad bawah 18 tahun Liverpool kekurangan penyerang dan Lauri dibenarkan untuk bermain dengan mereka sehingga pertengahan musim. Sungguh tinggi prospek pemain muda Finland ini, Liverpool harus berhati-hati dan melakukan apa sahaja untuk memastikan beliau terus kekal di Merseyside. Antara pemain muda yang dijangka akan menjadi tulang belakang skuad utama Liverpool di dalam masa beberapa tahun akan datang.


YNWA

Wednesday, May 5, 2010

Aurelio : Musim Terakhir Di Anfield?

Pemain pertahanan kiri Liverpool daripada Brazil Fabio Aurelio mungkin telah bermain untuk perlawanan terakhir beliau bersama-sama Liverpool. Berita terbaru menyatakan Aurelio pasti tidak akan bermain di dalam perlawanan terakhir Liverpool menentang Hull pada hujung minggu nanti. Pemain pertahanan Brazil ini tidak beraksi untuk Liverpool semenjak mengalami kecederaan ketika menang 2-1 ke atas Blackburn pada 28 Februari yang lalu. Sebelum Aurelio berharap beliau akan kembali cergas untuk bermain di beberapa perlawanan akhir Liverpool namun beliau akhirnya mengesahkan kecederaan beliau tidak akan pulih sepenuhnya menjelang akhir musim. Aurelio akan tamat kontrak bersama-sama Liverpool pada bulan Jun ini dan spekulasi menyatakan Liverpool tidak akan menawarkan kontrak baru kepada beliau memandangkan masalah kecederaan yang tidak kunjung selesai di sepanjang kariernya di Liverpool.


YNWA

Tuesday, May 4, 2010

Babel : Menarik Perhatian

Pemain sayap Liverpool Ryan Babel kini dikhabarkan telah menarik perhatian beberapa buah kelab liga perdana. Mereka kini dikatakan telah bersedia untuk membawa pemain antarabangsa Holland ini keluar dari Anfield. Birmingham telah dinamakan sebagai kelab yang mengetuai senarai tersebut dengan tawaran 8 juta pound untuk Babel. Bekas pemain Ajax Amsterdam ini gembira berada di England dan tidak mengenepikan kemungkinan yang beliau akan kekal di Anfield pada musim yang akan datang. Selain Birmingham, Sunderland dan Blackburn juga dikatakan berminat untuk mendapatkan khidmat Babel bagi musim hadapan. Babel berpindah dari Ajax ke Liverpool pada tahun 2007 dengan yurang perpindahan yang mencecah 11.5 juta pound.


YNWA

Monday, May 3, 2010

LFC : DIC Masih Berminat

Selain daripada khabar angin yang menyatakan oleh seorang jutawan China, Kenneth Huang mahu mengambilalih Liverpool, berita terbaru yang diterima turut melaporkan Dubai International Capital atau DIC kini telah kembali bersaing untuk mendapatkan penguasaan ke atas Liverpool FC. DIC kini dilaporkan telah mula berbincang secara serius dengan Liverpool mengenai tawaran pengambilalihan kelab berjumlah 500 juta pound. DIC adalah syarikat pelaburan yang dimiliki sepenuhnya oleh keluarga DiRaja Dubai yang diketuai oleh Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum. DIC kini disebut-sebut sebagai calon pilihan utama untuk mengambilalih Liverpool di dalam masa terdekat ini. Mereka juga dikatakan sedang mengadakan perbincangan serius dengan pemilik-pemilik Liverpool. DIC sebenarnya telah lama cuba membeli Liverpool dengan tawaran mereka pada tahun 2007 namun pemilik ketika itu David Moores memilih untuk menjual kepada pemilik Amerika di atas cadangan daripada bekas CEO Liverpool Rick Parry. Pada musim lepas, DIC turut cuba untuk membeli 50% saham pemilik Liverpool namun perbincangan tersebut gagal mencapai kata putus daripada kedua-dua pihak. Namun jika hajat Sheikh Mohammed betul-betul menjadi kenyataan untuk kali ketiga, para peminat Liverpool pasti akan melihat perubahan secara besar-besaran yang akan berlaku di Liverpool. DIC juga telah menyatakan komitmen mereka untuk membina stadium baru dengan kapasiti lebih besar bagi Liverpool jika mereka berjaya menguasai kelab dari Merseyside ini. Bukan untuk bersikap sinikal, namun diharapkan DIC mampu membawa Liverpool ke era baru dengan masa depan yang lebih cerah tanpa perlu lagi ada pihak di Liverpool yang terpaksa menelan janji-janji kosong seperti sebelum ini. Pelaburan yang cukup besar diperlukan untuk membolehkan Liverpool kembali bersaing dengan kelab-kelab utama liga inggeris dan juga eropah. Besar dalam erti kata sebenar adalah melibatkan pelaburan yang mencecah berbilion pound bagi mengangkat kembali status Liverpool ke tempat yang sepatutnya. Kita tidak mahu lagi pemilik baru Liverpool yang hanya mementingkan keuntungan perniagaan semata-mata tanpa mahu membuat pelaburan yang serius ke atas skuad Liverpool dan juga gemar bercakap kosong. Di dalam bahasa yang lebih mudah, “Cakap Biar Serupa Bikin”. Kejayaan Liverpool di atas padang akan memastikan kelab akan turut berjaya di peringkat global kerana Liverpool adalah antara kelab bolasepak dunia yang mempunyai jumlah peminat yang cukup ramai. Dan penguasaan Liverpool di peringkat global pasti mendatangkan keuntungan yang berlipat kali ganda kepada Liverpool dan juga pemilik kelab. Walaupun berita ini hanya spekulasi awal, namun untuk dikaitkan dengan pelabur dari Timur Tengah ianya merupakan satu perkembangan yang positif untuk Liverpool yang kini sedang di dalam proses untuk mencari pemilik baru.


YNWA

Sunday, May 2, 2010

Shelvey : Perlu Diberi Peluang

Setelah bertungkus lumus untuk memastikan seorang lagi bintang muda England beraksi untuk Liverpool, akhirnya pengurus besar Liverpool FC Christian Purslow telah mengumumkan Liverpool berjaya untuk mendapatkan khidmat pemain tengah Charlton Athletic, Jonjoy Shelvey di dalam perjanjian perpindahan yang dilaporkan mencecah 3 juta pound.. Pemain tengah Charlton ini baru berusia 18 tahun dan telah membuat 42 penampilan untuk pasukan tersebut dan telah menjaringkan 7 gol. Beliau mampu bermain di bahagian tengah dan juga sebagai penyerang sokongan. Shelvey telah melepasi ujian perubatan Liverpool dan bersetuju dengan terma peribadi kontraknya, akan menyertai Liverpool pada 10 Mei nanti. Charlton juga telah mendapat manfaat daripada perjanjian ini dengan kemudahan pinjaman pemain Liverpool bagi memperkuatkan skuad mereka. Purslow yang nyata gembira dengan kehadiran pemain muda ini dan menurut beliau Shelvey adalah sebahagian daripada pelan perancangan jangka panjang Liverpool yang kini sedang giat dilaksanakan. Shelvey dikatakan memiliki permainan seperti Kapitan Gerrard, namun sehebat mana pun bakat beliau, jika hanya bermain di skuad simpanan tanpa berpeluang bermain di skuad utama, adakah kita akan melihat bakat yang dimiliki beliau?


YNWA

Saturday, May 1, 2010

Kyrgiakos : Gembira Di Anfield

Pemain pertahanan Liverpool daripada Greece, Sotirios Kyrgiakos a.k.a Soto telah menyatakan kegembiraan beliau di musim pertama bersama-sama kelab dari Anfield ini. Bekas pemain Glasgow Rangers ini tiba di Anfield daripada kelab Greece AEK Athens pada bulan Ogos yang lalu. Soto menyatakan beliau cukup berpuas hati dengan persembahannya dan hubungan beliau dengan para peminat Liverpool juga semakin baik. Soto berasa amat selesa apabila para peminat Liverpool kini telah menerima beliau dan keadaan ini telah menambahkan keazaman beliau untuk bermain dengan lebih baik bersama-sama Liverpool. Menurut Kyrgiakos sekarang bukanlah masa untuk mencari kesalahan mana-mana pihak tetapi apa yang lebih penting adalah untuk melihat perancangan Liverpool bagi musim yang akan datang. Soto akan beraksi bersama-sama Greece di Piala Dunia Afrika Selatan pada bulan Jun nanti. Diharapkan beliau akan dapat menimba lebih banyak pengalaman pada kejohanan kali ini dan kembali dengan lebih mantap untuk bersama-sama Liverpool pada musim hadapan. Antara pembelian terbaik Liverpool dengan nilai pelaburan hanya 1.5 juta pound, Soto adalah pemain yang boleh diharapkan apabila beliau turun bermain di barisan pertahanan Liverpool.


YNWA