Sunday, January 31, 2010

BPL : Perlu Lebih Baik


Walaupun menang 2-0 ke atas Bolton di Anfield dan membawa Liverpool ke perlawanan keenam berturut-turut tanpa kalah (empat menang dan dua seri), ingin saya lemparkan sedikit pandangan mengenai The Reds. Kemenangan dengan Bolton ini pasti akan menyemarakkan lagi semangat pemain-pemain Liverpool untuk meneruskan perjuangan pada baki perlawanan musim ini. Kemenangan ini juga merupakan kejayaan double Liverpool ke atas Bolton pada musim ini setelah menang di The Reebok Stadium sebelum ini. Beberapa perubahan positif yang dapat dilihat pada perlawanan ini adalah seperti kemasukan Aquilani yang jelas mampu membantu bahagian tengah dan hadapan Liverpool. Begitu juga dengan kemantapan pemain pertahanan Greek Sotorios Kyrgiakos yang semakin menonjol persembahannya di bahagian pertahanan Liverpool. Jika tidak kerana usaha keras beliau untuk menghalang bola percubaan daripada pemain Bolton daripada Korea iaitu Lee Chung-Yong, keadaan pasti berubah untuk Liverpool. Kapitan Gerrard kelihatan agak berkarat pada separuh masa pertama dan kelibat beliau hanya kelihatan pada separuh masa kedua dengan percubaan demi percubaan berbahaya daripada Kapten Liverpool ini. Mahu juga saya melihat Gerrard menjaringkan satu gol pada perlawanan ini sebagai hasil daripada usaha keras beliau namun bukan rezeki Gerrard pada kali ini dengan penjaga gol Bolton, Jussi Jaaskelainen utuh untuk menepis percubaan Gerrard.

Gol kemenangan Liverpool pada perlawanan ini diperolehi oleh Kuyt dan juga Insua. Kuyt memang terkenal dengan kerajinan beliau di atas padang, namun jika penyudah beliau lebih tajam, banyak gol yang boleh dihasilkan beliau, bukan sahaja di dalam perlawanan ini tetapi di dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini. Namun kita tidak boleh mengharapkan penyudah Kuyt adalah setajam Torres walaupun beliau sebenarnya adalah seorang penyerang kerana sudah beberapa musim beliau bermain di posisi sayap kanan. Mungkin dengan ketiadaan El Nino buat sementara waktu ini, Kuyt diharapkan dapat mengambil peluang sepenuhnya untuk mempertajamkan kembali sentuhan jaringan beliau sepertimana ketika beliau beraksi di liga Holland sebelum ini. Walaupun Liverpool berjaya memenangi perlawanan ini tanpa bolos, harus saya ingatkan barisan pertahanan agak sedikit goyah dan alpa semasa bertahan untuk menangkis serangan Bolton. Walaupun terdapat perubahan yang ketara, namun jika Liverpool bertemu dengan pasukan yang mempunyai barisan serangan yang mantap, jelas masalah pasti akan timbul. Mungkin dengan kehadiran Agger (berada di bangku simpanan pada perlawanan ini) pada perlawanan yang akan datang boleh memperkuatkan lagi barisan pertahanan The Reds.

Sesuatu yang jarang berlaku juga dapat dilihat pada perlawanan ini dimana Lucas dibangkusimpanankan oleh Rafa dan peluang diberi kepada Aquilani untuk mengemudi bahagian tengah Liverpool bersama-sama Gerrard dan Mascherano. Begitu juga dengan bahagian depan yang diterajui oleh Ngog dan beliau jelas mengecewakan. Pintu gol Bolton telah ternganga luas dan hanya perlu tolakan mudah untuk memperkukuhkan kedudukan Liverpool namun beliau gagal menyudahkannya. Jikalau peluang itu sukar, saya tidak mahu mempertikaikannya, tetapi jika semudah itu peluang yang terhidang tetapi masih belum dapat disempurnakan beliau, lebih baik menurunkan pemain muda Sepanyol Daniel Pacheco untuk bermain di bahagian depan. Bukan tidak mahu berlaku adil kepada Ngog, tetapi beliau seperti Lucas yang kini diberi peluang demi peluang oleh Rafa untuk bermain di kesebelasan utama harus mempamerkan persembahan yang lebih baik untuk Liverpool. Kesebelasan utama bukan tempat untuk menjalani latihan, sedangkan pemain utama seperti Aquilani teruk dikritik media apabila dikatakan tidak bermain dengan baik, inikan pula Ngog dan Lucas. Mengenai gol kedua Liverpool, walaupun diletakkan sebagai gol sendiri oleh Davies, saya tetap mahu mengkreditkannya kepada Insua. Beliau berhak untuk mendapat gol tersebut kerana usaha keras pemain muda Argentina ini yang semakin hari semakin baik persembahannya.

Saya seperti rakan-rakan sekalian, amat gembira dengan kemenangan ke atas Bolton ini yang pasti akan mengukuhkan lagi cabaran Liverpool pada musim ini. Namun Liverpool masih perlu bermain dengan lebih baik selepas ini jika benar-benar mahu menguji keupayaan sebenar pasukan. Barisan pertahanan harus lebih fokus dan tidak alpa, sementara itu bahagian depan perlu lebih tajam untuk mengejar jaringan. Jika Rafa masih mahu menggunakan dua pemain defensive midfielder selepas ini, saya pasti Liverpool akan menjadi tidak bermaya untuk menyerang pasukan lawan. Aquilani harus diturunkan, jika beliau hanya diturunkan sebagai pemain gantian pun, sekurang-kurangnya beliau harus berada 30 minit di atas padang untuk memberikan impak dan bukannya masuk ketika perlawanan berbaki 3 minit. Harus diingatkan cabaran Liverpool selepas ini cukup sengit dengan Everton, skuad senapang dan citeh akan menguji anak-anak buah Rafa Benitez. Cabaran di Liga Europa juga akan bemula pada pertengahan Februari ini. Masa untuk makan angin sudah berakhir, kini ujian sebenar bakal menanti Liverpool di pentas domestik dan juga eropah.


YNWA

Saturday, January 30, 2010

Agger : Kami Takkan Mengalah

Pemain pertahanan tengah Liverpool dari Denmark, Daniel Agger melaungkan amaran kepada pencabar-pencabar ke liga juara-juara eropah musim hadapan yang Liverpool tidak akan menyerah kalah dengan mudah di dalam persaingan itu. Agger kini percaya bahawa prestasi Liverpool kini bertambah baik di dalam lima perlawanan terakhir mereka. Hanya bolos satu gol dan tidak tewas di dalam lima perlawanan terakhir, petunjuk ini bakal memberikan gambaran positif buat Liverpool pada baki perlawanan musim ini. Kuncinya menurut Agger adalah untuk mengambil pendekatan satu demi satu perlawanan pada satu masa dan tiada guna untuk melihat perlawanan-perlawanan ke hadapan melainkan lebih fokus pada satu perlawanan pada satu masa. Agger mengakui prestasi Liverpool pada musim ini tidak konsisten dan antara punca kemerosotan ini adalah kegagalan mereka untuk menghalang bola daripada membolosi gawang. Tambah Agger, walaupun pada musim musim lepas Liverpool mempunyai rekod bolos yang lebih baik, namun ianya bukan hanya tugas pemain pertahanan semata-mata tetapi ianya adalah tugas satu pasukan untuk mempertahankan gawang daripada dibolosi. Senarai kecederaan yang berpanjangan juga tidak banyak membantu Liverpool pada musim ini. Namun menurut Agger, Liverpool mempunyai senarai pemain yang baik dan dengan kerjasama semua pihak, tidak mustahil matlamat untuk meletakkan Liverpool kembali ke landasan sebenar akan tercapai. Sehingga artikel ini ditulis, Agger masih mengalami kecederaan dan beliau terlepas untuk beraksi di tiga perlawanan terakhir Liverpool menentang Stoke, spurr dan juga Wolves.


YNWA

Friday, January 29, 2010

BPL : Peluang Tebus Kekecewaan

Ramai yang kecewa dengan persembahan Liverpool semasa perlawanan menentang Wolves pada pertengahan minggu lepas. Perlawanan yang sepatutnya membuahkan tiga mata penuh buat Liverpool tetapi berakhir dengan keputusan seri yang memberikan tekanan kepada The Reds. Selain daripada itu, pencabar-pencabar lain untuk ke liga juara-juara eropah pada musim depan turut tersenyum dengan keputusan seri ini. Saya turut berkesempatan menyaksikan sebahagian daripada perlawanan pada awal pagi tersebut dan Liverpool kelihatan kehilangan semangat yang ditampilkan ketika menentang spurr pada minggu sebelum itu. Ramai yang mencari kambing hitam untuk dipersalahkan di atas keputusan seri tersebut. Namun jika persembahan semasa menentang Wolves menjadi ukuran, pasti bala yang bakal menimpa semasa menentang Bolton nanti. Walaupun Liverpool masih belum tewas di dalam lima perlawanan terakhir, namun 3 kemenangan dan 2 seri masih belum mampu meredakan kebimbangan peminat-peminat The Reds. Kini peluang terbuka untuk Rafa dan anak-anak buahnya membetulkan keadaan, Liverpool akan menyambut kunjungan Bolton dan seteru setempat Everton di Anfield pada perlawanan liga perdana inggeris yang akan datang. Enam mata pasti menjadi buruan Liverpool dan saya pasti ianya bukan mudah untuk diperolehi dengan Bolton kini diterajui oleh pengurus baru mereka iaitu Owen Coyle sementara Everton selepas penyertaan London Donovan kelihatan semakin baik prestasi mereka. Kedua-dua pasukan ini saya jangkakan akan memberi tentangan sengit kepada Liverpool pada pertemuan di Anfield nanti.

Sudah tiba masanya Rafa Benitez bermain dengan tidak menggunakan dua pemain defensive midfielder yang jelas kekurangan kreativiti untuk membantu barisan serangan Liverpool. Gandingan Mascherano dan Lucas hanya sesuai diturunkan jika Liverpool mahu bertahan dan menyerap asakan daripada pihak lawan. Pada perlawanan menentang Bolton nanti, Rafa harus memilih untuk menggunakan Gerrard atau Aquilani untuk bergandingan dengan Mascherano di bahagian tengah Liverpool. Sudah tiba masanya untuk merehatkan Lucas. Dua perlawanan dengan Stoke dan Wolves yang menggunakan gandingan Mascherano dan Lucas jelas gagal untuk membantu menjanakan serangan untuk Liverpool. Juga Rafa harus menggunakan khidmat Aurelio jika beliau cergas untuk beraksi. Menjadi suatu misteri kerana nama Aurelio tidak tersenarai langsung di barisan utama Liverpool mahupun di barisan simpanan bermula daripada perlawanan menentang Stoke dahulu. Adakah beliau mengalami kecederaan? Saya mahukan khidmat Aurelio kerana beliau mampu menjana serangan Liverpool daripada bahagian kiri padang dan gandingan beliau dengan Riera pasti akan memberi tekanan kepada barisan pertahanan Bolton. Insua mungkin boleh direhatkan kerana beliau telah bermain banyak perlawanan pada musim ini. Kelibat Agger juga ditagih setelah tempat beliau diambilalih oleh Skrtel dan Kyrgiakos (kedua-duanya beraksi dengan baik). Jika beliau cergas, kehadiran Agger akan memberikan kestabilan kepada barisan pertahanan Liverpool. Jika mengekalkan Skrtel dan Kyrgiakos juga tidak menjadi masalah kerana Bolton terkenal dengan jaringan set piece daripada tandukan penyerang mereka hasil daripada bola tinggi ke dalam kotak penalti. Khidmat Rodriguez mungkin boleh digunakan lagi di sayap kanan walaupun beliau kini dalam proses untuk membiasakan diri dengan corak permainan liga perdana inggeris. Degen juga boleh digunakan di sayap kanan namun beliau lebih merupakan seorang pemain pertahanan kanan berbanding dengan sayap kanan. Rafa perlu melakukan perubahan taktikal pada perlawanan dengan Bolton ini jika berhajat utnuk membawa pulang tiga mata penuh di Anfield. Saya jangkakan Liverpool mampu memenangi perlawanan ini dengan percaturan taktikal yang tepat dan bantuan daripada orang ke 12 di Anfield nanti. Berikut adalah barisan kemungkinan pemain yang bakal diturunkan oleh pengurus Liverpool Rafa Benitez pada perlawanan hujung minggu ini :

Formasi : 4-4-1-1

Barisan Kemungkinan :

RIENA

CARRAGHER AGGER KYRGIAKOS AURELIO

RODRIGUEZ AQUILANI MASCHERANO RIERA

GERRARD

KUYT

Keputusan : 2-0 kemenangan kepada Liverpool. Gol dijaringkan oleh Kuyt dan Gerrard.

Perlawanan akan disiarkan secara langsung di Astro ESPN Rangkaian 812

30/01/10 Jam 1055 Malam


YNWA

Thursday, January 28, 2010

Gerrard : Mahukan Prestasi Terbaik

Kapten Liverpool, Steven Gerrard berazam mahu kembali ke prestasi terbaik beliau secepat mungkin dan membantu Liverpool kembali ke kedudukan empat teratas di liga perdana inggeris. Musim ini Gerrard dihantui oleh masalah kecederaan yang tidak kunjung sudah dan ini telah menyebabkan prestasi semasa beliau tidak seperti yang diharapkan Liverpool. Menurut Gerrard sudah menjadi tugas beliau sebagai Kapten Liverpool untuk berusaha sedaya upaya untuk membawa rakan sepasukan supaya bermain dengan lebih baik dan kembali untuk meletakkan Liverpool di tempat yang betul. Kini sasaran utama beliau adalah untuk memperbaiki tahap kecergasan beliau untuk perlawanan-perlawanan berikutnya. Gerrard juga berasa lega kerana berjaya menghabiskan 90 minit permainan semasa menentang Wolves pada pertengahan minggu lepas setelah berehat hampir dua minggu akibat kecederaan. Tambah Gerrard lagi, beliau mengharapkan Liverpool akan terus berjuang untuk mendapatkan kemenangan dan rekod telah menunjukkan Liverpool kini berjaya mengharungi lima perlawanan tanpa kalah. Gerrard tahu prestasi Liverpool agak tidak menentu pada musim ini, namun itu bukanlah satu alasan untuk mereka tidak meneruskan perjuangan pada musim ini. Dengan prestasi yang semakin baik hari demi hari, Gerrard yakin nasib Liverpool akan lebih baik pada baki musim ini. Dengan dua perlawanan di Anfield selepas ini menentang Bolton dan Everton, Gerrard mensasarkan enam mata penuh diperolehi untuk menghampiri kedudukan empat teratas di liga perdana inggeris. Masih banyak perlawanan yang harus dilalui dan ini bukannya masa untuk berputus asa, tambah Gerrard lagi. Kita amat mengalu-alukan azam kapitan Gerrard ini kerana kita semua tahu beliau bermain di bawah tahap kemampuan beliau pada musim ini disebabkan masalah kecederaan yang tidak kunjung sudah. Diharapkan kita mampu untuk melihat kelibat sebenar Kapten Fantastik Liverpool pada baki perlawanan musim ini.


YNWA

Wednesday, January 27, 2010

Mascherano : Mengejar Liga Europa

Musim yang penuh dengan cabaran tetapi itu tidak menghalang pemain tengah Liverpool, Javier Mascherano daripada memberikan pendapat mengenai sasaran Liverpool pada musim ini. Kapten skuad antarabangsa Argentina ini menyatakan bahawa Liverpool masih lagi mampu untuk mengejar empat kedudukan teratas di liga perdana inggeris dan meneruskan pemburuan untuk memenangi Liga Europa. Bagi Mascherano, adalah penting untuk Liverpool menjuarai Liga Europa pada musim ini memandangkan inilah satu-satunya peluang Liverpool untuk membawa pulang piala ke Anfield. Tambah Mascherano, walaupun tidak sehebat Liga Juara-Juara Eropah, Liga Europa harus diberi keutamaan oleh Liverpool pada musim ini. Jika berjaya memenangi Liga Europa, Liverpool akan berpeluang untuk beradu tenaga dengan pemenang Liga Juara-Juara Eropah di perlawanan Piala Super UEFA pada musim hadapan dan ini menurut Mascherano memberikan peluang terbaik kepada pemain serta kelab untuk lebih menonjol di peringkat Eropah. Nampaknya bersungguh-sungguh kapten skuad antarabangsa Argentina ini untuk menaikkan kembali semangat para peminat Liverpool dan juga rakan sepasukan beliau. Diharapkan Mascherano dapat bersama rakan-rakannya dapat membantu Liverpool di dalam kempen Liga Europa dan juga perebutan empat tempat teratas di liga perdana inggeris pada musim ini.


YNWA

Tuesday, January 26, 2010

BPL : Waspada Jerat Serigala

The Reds kembali ke kancah liga perdana inggeris pada awal pagi esok dengan kunjungan ke tempat lawan bertemu Wolverhampton Wanderers a.k.a skuad serigala. Nampaknya satu cabaran lagi bagi rakan-rakan peminat Liverpool di Malaysia untuk berjaga di awal pagi nanti untuk menonton perlawanan ini. Setelah menang dengan pencabar ke liga juara-juara eropah musim hadapan iaitu skuad spurr pada minggu lepas, peminat-peminat Liverpool mengharapkan rentak kemenangan tersebut diteruskan pada perlawanan dengan skuad serigala ini. Liverpool yang berehat selama seminggu (tiada komitmen kepada Piala FA pada hujung minggu) seharusnya mempunyai tahap kecergasan yang baik dan lebih bersedia untuk perlawanan ini. Walaupun kita semua mahukan kemenangan namun harus diingat, skuad serigala ini bukan senang untuk dijinakkan, apatah lagi mereka bermain di kandang sendiri. Rekod pertemuan di Molineux juga tidak memberangsangkan buat Liverpool dan itu harus menjadi amaran kepada pemain-pemain Liverpool bahawa tugas pada awal pagi nanti tidaklah semudah yang disangka. Selain daripada itu, kita juga harus sedar, pada perlawanan ini, Liverpool masih belum dapat menggunakan khidmat Torres, Benayoun, Agger dan juga Johnson. Sedikit berita baik dimana, kapten Liverpool, Steven Gerrard dilaporkan telah menjalani latihan penuh dan bakal diturunkan pada perlawanan ini bergantung kepada ujian akhir yang bakal dilakukan oleh pasukan perubatan Liverpool sebelum perlawanan bermula. Walauapapun keputusannya, jika Gerrard belum benar-benar pulih, lebih baik beliau direhatkan atau diletakkan di bangku simpanan untuk mengelakkan kecederaan beliau semakin bertambah teruk. Lebih baik merehatkan Gerrard untuk menghadapai dua perlawanan di Anfield selepas ini menentang Bolton dan Everton. Di sepanjang ketiadaan pemain-pemain utama kita, pemain-pemain seperti Kyrgiakos, Degen serta Skrtel memikul tugas dengan baik di kesebelasan utama Liverpool. Kehadiran mereka juga sedikit sebanyak berjaya menampung kekurangan di kesebelasan utama Liverpool. Rafa sepatutnya memberikan peluang untuk mereka bermain pada perlawanan dengan skuad serigala ini. Saya jangkakan Liverpool mampu memenangi perlawanan ini jika mampu mengekalkan corak persembahan ketika menentang skuad spurr minggu lepas. Walaupun tugas sukar menanti di Molineux, diharapkan dengan percaturan taktikal yang tepat, Liverpool mampu membawa pulang tiga mata penuh untuk memastikan kita terus mencabar untuk perebutan tempat ke liga juara-juara eropah musim hadapan. Berikut adalah barisan pemain yang berkemungkinan bakal diturunkan oleh pengurus Liverpool, Rafa Benitez pada perlawanan awal pagi nanti :

Formasi : 4-4-1-1

Barisan Kemungkinan :

RIENA

CARRAGHER AGGER KYRGIAKOS AURELIO

RODRIGUEZ AQUILANI MASCHERANO RIERA

GERRARD

KUYT

Keputusan : 1-0 kemenangan kepada Liverpool. Gol dijaringkan oleh Aurelio.

Perlawanan akan disiarkan secara langsung di Astro ESPN Rangkaian 812

27/01/10 Jam 0340 Pagi


YNWA

Monday, January 25, 2010

Huntelaar : Jadi Rebutan

Penyerang antarabangsa Holland yang semakin dipinggirkan di AC Milan, Klas Jan Huntelaar kini menjadi rebutan kelab-kelab liga perdana inggeris. Huntelaar yang sebelum in dikaitkan dengan Liverpool serta skuad senapang, kini mempunyai spurr dan juga Everton di dalam senarai kelab yang berminat untuk mendapatkan khidmat beliau. Selepas menyertai AC Milan daripada Real Madrid, nasib Huntelaar tidak jauh berubah kerana beliau masih juga memanaskan bangku simpanan. Kini dengan Piala Dunia Afrika Selatan yang semakin hampir, Hunterlaar terpaksa memikirkan jalan terbaik untuk beliau mendapatkan jaminan tempat di skuad antarabangsa Holland ke Piala Dunia pada musim panas yang akan datang. Everton kini sedang bertungkus-lumus untuk mendapatkan cara bagi menyamai permintaan gaji Huntelaar yang dikatakan mencecah 65 ribu pound seminggu. Arsenal dikatakan mahu mencari gandingan kepada van Persie, Liverpool mahu mencari pengganti kepada Torres yang cedera selama sehingga Mac ini, manakala Everton serta Tottenham mahu memperkuatkan barisan serangan mereka setelah beberapa penyerang daripada kelab-kelab ini dilaporkan akan dijual. Sebelum Huntelaar menyertai AC Milan, Liverpool turut ditawarkan Huntelaar oleh Real Madrid di dalam usaha mereka untuk memancing Alonso. Namun tiada sebarang tanda-tanda yang menyatakan Liverpool berusaha untuk mendapatkan rakan sepasukan Dirk Kuyt ini pada ketika itu, yang ada cuma sekadar desas-desus sahaja. Kini situasi mungkin berubah dengan Liverpool secara aktif sedang cuba mendapatkan seorang lagi penyerang untuk membantu Torres di bahagian depan. Di dalam kes Huntelaar ini, saya pasti kos yuran perpindahan mungkin akan menjadi masalah kepada Liverpool kerana AC Milan pasti mahu bayaran yang tinggi untuk penyerang Holland ini.


YNWA

Sunday, January 24, 2010

Degen : Fakta Menarik


Di dalam keasyikan melayan lebai google dan juga pak wiki untuk mencari maklumat berkaitan dengan Liverpool, saya terjumpa dengan satu fakta yang cukup menarik untuk dikongsikan bersama-sama peminat Liverpool. Mungkin ramai di antara kita yang tidak menyedari bahawa terdapat fakta menarik mengenai pemain antarabangsa Switzerland dan juga pemain pertahanan kanan Liverpool iaitu Philipp Degen. Apa yang menarik tentang Degen? Pernah anda semua dengar tentang David Degen? Siapakah beliau sebenarnya? Buat pengetahuan rakan-rakan sekalian, David Degen merupakan saudara kembar kepada Philipp Degen. David merupakan kembar seiras Philipp yang mempunyai wajah yang saling tidak tumpah antara satu sama lain. Bezanya, Philipp sedikit tinggi daripada David. Lebih menarik kedua-duanya terlibat di dalam sukan yang sama itu bolasepak. Philipp yang kini mewakili Liverpool di England dan David kini bermain dengan kelab tempatan Switzerland, BSC Young Boys. Philipp bermain di posisi pertahanan kanan dan juga sayap kanan, manakala David boleh bermain di posisi sayap kanan dan juga penyerang. Kedua-duanya dilahirkan pada 15 Februari 1983 di Holstein, Switzerland dan kini telah mencecah usia 26 tahun. Philipp dan David mempunyai darah kelahiran Belanda kerana ibu mereka adalah warga Belanda. Pasangan kembar Degen ini memulakan karier bolasepak mereka di kelab Switzerland FC Oberdorf sebelum kedua-duanya menyertai FC Basel untuk meneruskan karier bolasepak profesional mereka. Kepada kedua-dua kembar Degen, selamat berjaya di dalam karier bolasepak masing-masing. Buat Philipp, peluang anda kini terbuka untuk bermain dengan lebih bersungguh-sungguh di Liverpool berikutan kecederaan yang dialami Glen Johnson. Jangan disia-siakan peluang ini untuk memberikan yang terbaik di atas padang.


YNWA

Saturday, January 23, 2010

Aquilani : Kebangkitan Aquaman


Gaya dan corak persembahan beliau di atas padang persis seorang jeneral yang baru kembali ke medan peperangan setelah sembuh daripada kecederaan. Ramai yang terpukau melihat corak persembahan beliau ketika menentang skuad spurr di Anfield pada awal pagi Khamis yang lalu. Babak-babak yang memperlihatkan bakat beliau di atas padang turut kelihatan dan diperkatakan oleh para peminat Liverpool pada perlawanan sebelum ini. Namun perlawanan menentang spurr inilah yang jelas menunjukkan kenapa pengurus Liverpool Rafa Benitez sanggup mengeluarkan 20 juta pound untuk mendapatkan khidmat beliau daripada kelab Serie A, AS Roma. Sebelum ini akibat kritikan demi kritikan yang diterima beliau, muncul desas-desus yang beliau akan kembali ke Serie A bersama-sama Juventus. Namun ianya pantas dinafikan agen beliau yang menegaskan beliau kini gembira di Anfield dan tetap komited untuk untuk bersama-sama Liverpool. Beliau yang saya maksudkan di sini ialah perancang tengah a.k.a jeneral padang terbaru Liverpool yang juga pemain antarabangsa Itali, Alberto “Aquaman” Aquilani. Walaupun dikritik oleh pelbagai pihak kerana persembahan yang dikatakan tidak setara dengan nilai 20 juta pound yang dikeluarkan oleh Liverpool untuk khidmatnya, itu tidak langsung menghalang Aquilani untuk terus membuktikan beliau mempunyai kemahiran serta bakat untuk mengambilalih tempat Alonso. Bermain dengan begitu baik sebagai pengganti kepada kapitan Gerrard yang mengalami kecederaan, umpanan demi umpanan yang dilakukan beliau kepada barisan depan Liverpool (terutamanya Kuyt) membuktikan beliau mempunyai sentuhan untuk menggerakan serangan Liverpool. Gandingan antara Aquilani dengan Kuyt kelihatan lebih mantap untuk menerajui barisan serangan Liverpool. Malah beliau hampir-hampir mengalami kecederaan semasa membuat umpanan kepada Kuyt untuk gol pertama Liverpool. Lega rasanya apabila beliau masih mampu bermain selepas dipancung oleh pertahanan spurr iaitu Dawson. Mungkin selepas ini kita bakal melihat pemain pertahanan pasukan lawan akan cuba memagari Aquilani daripada membuat umpanan kepada barisan depan Liverpool. Dan situasi ini perlu dihadapi oleh Aquilani dengan menggunakan kebijaksanaan beliau. Walaupun bertubuh kecil namun itu bukanlah penghalang untuk beliau muncul sebagai salah seorang pemain tengah yang berkaliber di liga perdana inggeris.

Aquilani turut menyatakan amat sukar untuk menyesuaikan diri di liga perdana inggeris yang terkenal sebagai salah satu liga bolasepak yang cukup agresif dan mencabar keupayaan pemain-pemain baru seperti beliau. Namun itu tidak akan menghalang Aquilani untuk terus menaburkan khidmat untuk Liverpool. Walaupun proses untuk menyesuaikan diri akan memakan masa untuk Aquilani, beliau akan cuba sedaya upaya untuk membantu Liverpool keluar daripada kemelut kemerosotan prestasi yang dialami sekarang. Kita sebenarnya tidak harus kecewa jika persembahan Aquilani pada musim ini hanya berada pada tahap sederhana kerana kita harus maklum, di dalam tempoh dua tahun sebelum tiba di Anfield, peluang beliau beraksi di AS Roma cukup terhad disebabkan kecederaan demi kecederaan yang menimpa beliau. Walaupun beliau kini telah cergas sepenuhnya, kita harus bersabar dengan Aquilani. Jangan kerana terlalu gelojoh untuk menagih aksi beliau di atas padang, padah akan menimpa jika kecederaan lama beliau berulang kembali. Selain daripada itu, jika dilihat kembali pada perlawanan yang disertai olegh Aquilani, jelas beliau agak keletihan apabila perlawanan menghampiri penghujungnya. Tahap kecergasan beliau masih perlu dipertingkatkan seiring dengan proses pemulihan sepenuhnya kecederaan lama beliau. Saya seperti rakan-rakan peminat semua, mahu melihat kelibat Aquilani di setiap perlawanan Liverpool, namun saya masih sanggup bersabar jika itu bakal memberikan pulangan yang lebih lumayan kepada Liverpool di masa hadapan. Mungkin musim ini lebih kepada musim pengenalan liga perdana inggeris kepada Aquilani dan musim hadapan barulah kita dapat melihat keupayaan sebenar pemain yang dianggap seperti nilai Gerrard kepada Liverpool oleh penyokong-penyokong AS Roma ketika beliau beraksi di sana. Satu fakta yang kita tidak harus lupa, tidak ramai pemain Itali yang benar-benar berjaya di liga perdana inggeris dan kita pasti tidak mahu melihat Aquilani termasuk di dalam senarai tersebut.


YNWA

Friday, January 22, 2010

Degen : Pejuang Yang Dilupakan

Nama beliau lebih dikenali sebagai seorang pemain yang gagal menyesuaikan diri dengan corak permainan Liverpool. Malah pada musim pertama beliau dengan Liverpool (musim lepas) selepas berpindah daripada kelab Bundesliga iaitu Borussia Dortmund, nasib beliau agak malang apabila teruk dibelenggu kecederaan sehingga diketepikan terus daripada bermain disebabkan keadaan tersebut (beraksi hanya untuk beberapa perlawanan Liverpool). Namun hujan tidak berpanjangan hingga ke petang buat pemain pertahanan kanan skuad antarabang Switzerland dan juga Liverpool iaitu Philipp Degen. Beliau yang kini berpeluang untuk beraksi dan menunjukkan kemampuannya setelah seorang lagi pemain pertahanan kanan Liverpool iaitu Glen Johnson mengalami kecederaan selama 3 bulan. Degen mempergunakan sepenuhnya kepercayaan yang diberikan oleh pengurus Liverpool Rafa Benitez dengan persembahan yang baik daripada beliau. Terbaru ketika bermain sebagai pemain sayap kanan Liverpool ketika menentang spurr, Degen berjaya menghuru-harakan bahagian kiri pertahanan spurr. Disebabkan mempunyai larian yang agak pantas, Degen adalah antara pemain yang teruk dipancung oleh pemain-pemain spurr pada perlawanan tersebut. Walaupun beraksi di posisi yang baru buat beliau, Degen masih boleh bermain dengan baik walaupun terlepas peluang untuk menjaringkan gol. Jelas naluri beliau sebagai seorang pemain pertahanan masih tidak lekang di dalam dirinya. Degen yang amat gembira dengan pesembahan beliau ketika menentang spurr menegaskan banyak lagi yang perlu beliau buktikan dan kini beliau telah bersedia sepenuhnya untuk bertarung merebut tempat di kesebelasan utama Liverpool. Degen berkata beliau tidak bermain selama tiga bulan dan kini bermain di tiga perlawanan dalam masa tujuh hari. Degen telah lama menunggu peluang ini dan beliau merasakan masih banyak ruang untuk memperbaiki persembahannya. Setakat ini beliau hanya bermain pada tahap 60 peratus daripada potensi beliau dan berharap lebih banyak peluang bakal diperolehi beliau selepas ini untuk mempamerkan keupayaan sebenarnya.


YNWA

Thursday, January 21, 2010

BPL : Akibat Berkokok Sebelum Berlaga

Berbaloi rasanya bangun di awal pagi untuk menonton perlawanan antara Liverpool dengan skuad spurr di Anfield. Kemenangan yang sangat diperlukan oleh The Reds berjaya diperolehi walaupun menghadapi ujian yang cukup getir daripada spurr. Hilang sebentar rasa hampa akibat keputusan seri dengan Stoke pada perlawanan sebelum ini. Namun kita tidak harus terlalu gembira untuk meraikan kemenangan, cukup sekadar sedikit kelegaan untuk para peminat Liverpool di seluruh dunia. Prestasi Liverpool yang masih tidak konsisten masih menghantui pasukan dari Merseyside ini. Walaupun telah berjaya menebus dua kekalahan ke atas pencabar ke Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan iaitu villa dan spurr, perjalanan musim ini masih berbaki lebih kurang 4 bulan lagi. Masih jauh perjuangan Liverpool pada musim ini dan kita tidak seharusnya alpa walaupun berjaya menang ke atas spurr pada awal pagi tadi. Bukan tidak mahu bersikap rasional tetapi adalah lebih baik kita meletakkan jangkaan sederhana pada Liverpool. Sederhana dalam erti kata mengambil pendekatan satu demi satu perlawanan pada satu masa. Lebih-lebih lagi Liverpool kini kehilangan 4 pemain tonggak utama iaitu Johnson, Gerrard, Benayoun dan juga Torres. Kepada rakan-rakan peminat sekalian, kita perlu bersedia untuk menongkah arus bersama-sama Liverpool, baik atau buruk pasukan ini, kita perlu menerima dalam keadaan yang lebih terbuka dan banyak bersabar.

Berbalik kepada perlawanan semalam, seperti yang pernah saya tulis sebelum ini, Ayam Masih Belum Berlaga, mana mungkin kita tahu yang mana satu sudah menang sebelum turun ke gelanggang sabung. Dan ianya terbukti pada awal pagi tadi dengan Anfield menjadi saksi, lebih baik berkokok selepas menang perlawanan daripada berkokok sebelum turun ke gelanggang. Dengan pelbagai pihak tidak meletakkan Liverpool sebagai pasukan pilihan untuk menang (kecuali peminat Liverpool), situasi ini dipergunakan sepenuhnya oleh pemain-pemain Liverpool untuk membuktikan sebaliknya. Satu kemenangan yang cukup berharga ketika Liverpool memerlukan suntikan semangat untuk pulih kembali dan memberikan cabaran di liga perdana inggeris. Pujian harus diberikan kepada pemain-pemain Liverpool yang berusaha keras untuk memenangi perlawanan tersebut. Pemain-pemain seperti Carragher, Kuyt, Kyrgiakos, Aquilani, Reina, Mascherano serta Reira jelas menunjukkan persembahan yang lebih baik pada perlawanan ini. Mendahului dengan jaringan Kuyt di awal permainan, Liverpool pada separuh masa pertama lebih banyak mengasak kubu spurr untuk menambahkan jaringan namun tidak berhasil. Bermula pada separuh masa kedua, spurr kelihatan cuba bangkit dan ini membuka ruang untuk Liverpool melancarkan serangan secara counter attack untuk menambahkan jaringan. Setelah berhempas pulas menahan asakan demi asakan daripada spurr, Liverpool akhirnya berjaya menambahkan gol kedua melalui penalti yang diperolehi oleh Ngog yang dijatuhkan oleh Bassong. Kuyt menyempurnakan penalti tersebut walaupun beliau terpaksa mengambil sepakan sebanyak dua kali. Liverpool menang dengan jaringan 2-0 dan menutup terus mulut pemain-pemain spurr seperti Bassong, Krancjar dan juga pengurus mereka Redknapp yang sebelum ini cukup besar gebangannya untuk menang di Anfield tanpa kehadiran Torres dan Gerrard. Itulah akibatnya jika terlalu suka bergebang besar kerana terlalu suka memperkecilkan pasukan lawan, kelak muka sendiri yang malu menahan sindiran. Liverpool harus menjadikan kemenangan ini sebagai batu loncatan untuk bermain dengan lebih baik pada perlawanan-perlawanan selepas ini. Pemain-pemain yang ada harus bangkit untuk membuktikan mereka boleh memenangi perlawanan tanpa kelibat Gerrard dan Torres.


YNWA

Wednesday, January 20, 2010

BPL : Ayam Masih Belum Berlaga

Kunjungan salah satu pencabar tempat ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan iaitu skuad spurr datang di kala The Reds masih belum pulih sepenuhnya daripada kemerosotan prestasi pada musim ini. Ramai pihak yang menyatakan Liverpool bakal menjadi lauk kepada skuad spurr ini. Sungguh angkuh mereka-mereka ini, namun itulah hakikat yang tidak dapat kita ketepikan buat masa sekarang. Sungguh meluas sentimen anti Liverpool yang berkumandang sekarang ini. Bagi saya, malas untuk melayan tulisan-tulisan yang memang bertujuan untuk melemahkan semangat kita semua sebagai peminat-peminat Liverpool. Perlu diingat, ayam masih belum berlaga, belum tentu Liverpool akan mudah menyerah kalah pada perlawanan ini. Sesukar manapun keadaan Liverpool pada awal pagi nanti, saya amat yakin kita mampu menang di Anfield jika Rafa boleh membuat percaturan yang bijak di atas padang.

Tumpuan kita pada malam ini adalah untuk melihat bagaimana percaturan Rafa apabila turun di Anfield tanpa kelibat pemain-pemain utama seperti Torres, Johnson, Gerrard dan juga Benayoun. Mungkin pada kali ini kita bakal melihat kelibat Aquilani dan Maxi Rodriguez beraksi di kesebelasan utama Liverpool. Kyrgiakos pula pada pendapat saya lebih baik untuk menggantikan Skrtel di bahagian pertahanan tengah. Di atas kertas, Liverpool dilihat sebagai underdog di dalam perlawanan ini disebabkan oleh kepincangan yang timbul ke atas pasukan. Namun itu adalah pendapat umum, samada pasukan pilihan atau tidak pada malam ini semuanya bergantung kepada usaha pemain-pemain yang diturunkan oleh Liverpool pada awal pagi nanti. Perubahan juga perlu dilakukan oleh Rafa pada bahagian serangan yang kelihatan agak tumpul pada perlawanan-perlawanan sebelum ini. Saya bukan terlebih yakin di dalam perlawanan dengan skuad spurr ini, namun jika kita mahu melihat wajah sebenar Liverpool, perlawanan sebegini akan memperlihatkan perwatakan sebenar The Reds. Kini terpulang kepada pemain-pemain yang bakal diturunkan oleh Rafa pada awal pagi nanti. Semangat untuk mengenepikan spurr daripada persaingan ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan serta mahu menebus kekalahan pada awal musim lalu harus menjadi motivasi kepada pemain-pemain Liverpool untuk memberikan yang terbaik pada malam ini. Berikut adalah barisan pemain-pemain yang berkemungkinan diturunkan oleh Rafa Benitez pada awal pagi nanti :

Formasi : 4-4-2

Barisan Kemungkinan :

RIENA

CARRAGHER AGGER KYRGIAKOS INSUA

RODIGUEZ AQUILANI MASCHERANO AURELIO

KUYT BABEL

Keputusan : 2-0 kemenangan kepada Liverpool. Gol dijaringkan oleh Kuyt dan Aurelio.

Perlawanan akan disiarkan secara langsung di Astro ESPN Rangkaian 812

21/01/10 Jam 0355 Pagi


YNWA

Tuesday, January 19, 2010

Kyrgiakos : Hebat Dan Mantap Bertahan

Kita semua pasti mengakui jika tidak kerana kehandalan beliau menghalang bola tinggi daripada pemain-pemain Stoke serta beberapa bentesan tepat daripada beliau, Stoke pasti akan tersenyum panjang. Tidak dilupakan gol pertama jaringan beliau untuk Liverpool, nasib The Reds pasti lebih berbeza di Brittania Stadium pada hujung minggu lepas. Dan itulah perkara-perkara yang amat dihargai oleh rakan sepasukan beliau iaitu Fabio Aurelio. Pemain yang dimaksudkan ialah Sotorios Kyrgiakos, pemain pertahanan antarabangsa Greece yang mempamerkan persembahan terbaik beliau di dalam jersi Liverpool. Walaupun kurang mendapat peluang untuk beraksi di kesebelasan utama Liverpool, itu tidak dijadikan alasan oleh Kyrgiakos untuk bermain dengan cemerlang di dalam perlawanan tersebut. Aurelio mengakui sumbangan rakan sepasukan beliau ini hampir-hampir membolehkan Liverpool meraih 3 mata penuh di tempat lawan. Jika bermain menentang pasukan yang suka menghantar bola tinggi ke dalam kotak penalti Liverpool, taktikal sebegini amat sesuai dengan corak permainan Kyrgiakos. Mungkin dengan persembahan mantap beliau ini, Rafa mempunyai pilihan jika berhadapan dengan pasukan yang suka menggunakan set pieces bola tinggi. Kepada Kyrgiakos, teruskan usaha anda untuk memperbaiki permainan dari masa ke semasa. Jangan cepat mengaku kalah kerana peluang untuk anda bermain tetap terbuka di bahagian pertahanan Liverpool. Dengan harga yang Liverpool bayar untuk Kyrgiakos, rasanya agak berbaloi persembahan beliau setakat ini. Beranikah Rafa menurunkan beliau ketika menentang spurr nanti?


YNWA

Monday, January 18, 2010

Torres : Rehat Sehingga Mac

Penyerang utama Liverpool, Fernando Torres dilaporkan telah berjaya menjalani pembedahan lutut kanannya di sebuah hospital Barcelona. Kecederaan di lutut kanan Torres bertambah buruk ketika perlawanan menentang Reading dan beliau terpaksa dikeluarkan pada separuh masa pertama. Pembedahan kali ini bakal menyelamatkan musim Torres daripada terus dihimpit masalah kecederaan. Menurut doktor pakar yang menjalankan pembedahan ke atas Torres, Dr Ramon Cugat, prosedur 45 minit tersebut berjaya dilakukan mengikut perancangan awal mereka. Tambah Dr Cugat, jika tiada apa-apa masalah, Torres dijangka akan pulih sepenuhnya di dalam masa enam minggu. Berita ini disambut dengan penuh kelegaan oleh Boss Liverpool Rafa Benitez. Rafa yang sebelum ini agak gusar akan kehilangan Torres untuk satu jangkamasa yang lebih lama. Torres juga gembira dengan kejayaan pembedahan tersebut dan beliau kini bersedia untuk kembali pulih secepat yang mungkin agar dapat membantu Liverpool dan juga Sepanyol pada Piala Dunia 2010 nanti. Jika menurut perhitungan, Torres akan kembali cergas pada awal Mac nanti. Jika dilihat pada situasi ini, Liverpool harus mendapatkan seorang lagi penyerang yang berwibawa untuk memikul tugas Torres ini.


YNWA

Sunday, January 17, 2010

Babel : Kedudukan Belum Pasti

Pemain sayap antarabangsa Holland, Ryan Babel telah dilaporkan bersedia untuk menolak sebarang perpindahan ke Sunderland. Liverpool dikatakan berminat menawarkan Babel sebagai sebahagian daripada bayaran perpindahan untuk mendapatkan penyerang Kenwyne Jones. Namun perkembangan terbaru ini bakal merencatkan usaha Liverpool untuk mencari pengganti kepada penyerang utama Fernando Torres yang mengalami kecederaan dan terpaksa berehat selama enam minggu. Kedegilan Babel ini bakal menimbulkan rasa kurang senang pengurus Liverpool, Rafa Benitez. Memburukkan lagi keadaan, Babel dilaporkan telah mengeluarkan kenyataan yang kurang enak di laman sosial Twitter apabila beliau diketepikan daripada skuad Liverpool yang bertandang ke Stoke pada hujung minggu yang lalu walaupun Liverpool kehilangan khidmat Torres, Gerrard dan juga Benayoun. Jika beliau masih menimbulkan masalah kepada Rafa Benitez, besar kemungkinan beliau akan terus diketepikan untuk perlawanan menentang spurr di Anfield pada awal pagi Khamis nanti. Masa depan Babel di Anfield telah lama menjadi tanda tanya dengan banyak kelab dikatakan berminat untuk mendapatkan khidmat beliau. Bimingham City sebelum ini telah menawarkan 9 juta pound untuk mendapatkan Babel namun ditolak oleh Liverpool. Kelab-kelab seperti Marseille, Besiktas dan Fiorentina turut dikatakan berminat untuk mendapatkan pemain sayap berusia 23 tahun ini. Adakah situasi Babel ini akan berterusan sehingga hujung musim ini? Atau beliau akan berpindah ke kelab baru pada Januari ini? Sama-sama kita saksikan sejauh mana perkembangan pemain antarabangsa Holland ini.


YNWA

Saturday, January 16, 2010

Torres : Jangan Kedekut!

Penyerang utama Liverpool, Fernando Torres tanpa menghiraukan sebarang spekulasi yang timbul ke atas kedudukannya dan juga kecederaan yang dialaminya pada perlawanan sebelum ini telah meminta agar pemilik Liverpool mendapatkan beberapa pemain baru untuk membantu kelab kesayangan beliau untuk keluar daripada kemelut kemerosotan prestasi. Torres yang akan berehat selama enam minggu selepas menjalani pembedahan ke atas kecederaannya, mahukan pemilik Liverpool mengeluarkan lebih banyak dana untuk membeli pemain bagi membantu skuad bimbingan Rafa Benitez ini. Dan tegas Torres, pemain-pemain yang perlu diperolehi adalah pemain-pemain yang berkualiti serta bertaraf dunia. Semua ini penting bagi Torres kerana Liverpool sepatutnya berkedudukan lebih baik pada musim ini setelah menduduki tempat kedua liga perdana inggeris pada musim lepas. Walaupun Torres jelas kecewa dengan pencapaian mereka setakat ini, beliau tahu Liverpool perlu berjuang untuk menduduki empat tempat teratas di liga perdana inggeris dan cuba untuk melakukan yang terbaik di dalam Liga Europa yang akan bermula kembali pada bulan Februari nanti. Untuk bersaing dengan mana-mana pencabar utama di liga perdana inggeris, Liverpool memerlukan skuad yang lebih lengkap berbanding sekarang, tambah Torres lagi. Ini bukan merupakan pertama kali ada antara pemain-pemain Liverpool yang menyatakan pendapat mereka. Sebelum ini, pemain-pemain seperti Carragher, Gerrard, Reina, Reira serta beberapa pemain lain turut menyatakan bahawa Liverpool perlu memperkuatkan lagi pasukan. Pemain-pemain yang ada sekarang hanya cukup untuk membentuk satu skuad utama yang mantap tanpa pemain sokongan yang benar-benar mampu untuk dipanggil beraksi jika pemain di skuad utama mengalami kecederaan, penggantungan mahupun panggilan daripada skuad antarabangsa. Jika pemilik-pemilik Liverpool ini masih memekakkan telinga dan juga kedekut untuk mengeluarkan perbelanjaan bagi membeli pemain baru, maka bersedialah untuk menghadapi amarah daripada peminat-peminat Liverpool di seluruh dunia.


YNWA

Friday, January 15, 2010

BPL : Usah Ambil Mudah

Malang bertimpa-timpa yang terjadi kepada Liverpool musim memang benar-benar menguji kesabaran para peminat Liverpool. Bermacam-macam pendapat yang telah kita baca serta lihat di media dan internet. Realitinya Liverpool masih mempamerkan prestasi yang tidak konsisten pada musim ini. Banyak faktor yang menyumbang ke arah kemerosotan prestasi yang cukup ketara pada musim ini. Namun itu tidak boleh dijadikan alasan untuk pemain-pemain Liverpool bermain sambil lewa di dalam dua perlawanan selepas ini. Perlawanan yang dimaksudkan ialah menentang skuad Stoke City a.k.a The Potters pada hujung minggu ini dan juga skuad spurr pada pertengahan minggu hadapan. Kali ini kita fokus dahulu pada perlawanan menentang skuad The Potters di tempat lawan pada hujung minggu ini. Skuad The Potters ini dijangkakan mampu mengugat The Reds terutama sekali apabila bermain di tempat mereka sendiri. Corak permainan mereka yang lebih tertumpu kepada serangan balas pantas amat berbahaya kepada Liverpool. Selain daripada itu mereka juga mampu menjaringkan gol melalui set piece, satu kelemahan Liverpool yang masih ketara sehingga sekarang. Pemain-pemain seperti Shawcross, Delap, Etherington, Beattie serta Fuller harus diawasi oleh Liverpool. Saya menjangkakan skuad The Potters ini akan membuka sedikit permainan mereka di tempat sendiri untuk menyerang Liverpool. Ini akan memberikan sedikit ruang kepada The Reds untuk membuat serangan balas.

Liverpool pula menghadapi perlawanan ini dengan pelbagai masalah yang melanda pasukan. Dengan Torres yang cedera dan menjalani pembedahan dipaksa berehat selama 6 minggu, Gerrard turut mengalami kecederaan selama 2 minggu sementara Benayoun patah tulang rusuk, terpaksa diketepikan selama 4 minggu. Riera serta Johnson masih dibelenggu kecederaan. Pasti senarai kecederaan ini sedikit sebanyak akan mengugat persediaan Liverpool untuk perlawanan ini. Sedikit berita gembira dengan penyertaan Maxi Rodriguez dari Atletico Madrid yang diharapkan akan membantu Liverpool mengharungi krisis kecederaan ini. Liverpool juga mendapat kembali khidmat pemain tengah Argentina, Javier Mascherano untuk memperkuatkan bahagian tengah. Liverpool memerlukan kemenangan ke atas skuad The Potters bagi meneruskan cabaran di liga perdana inggeris serta mengembalikan keyakinan pemain. Liverpool mampu memenangi perlawanan ini jika Rafa boleh merencanakan taktikal yang sesuai dengan pasukan. Walaupun mereka tewas di Anfield pada perlawanan liga sebelum ini, buruk padahnya jika mengambil mudah skuad The Potters pada pertemuan ini. Berikut adalah barisan kemungkinan pemain yang bakal diturunkan pada kesebelasan utama Liverpool di perlawanan ini :

Formasi : 4-2-3-1

Barisan Kemungkinan :

RIENA

CARRAGHER AGGER SKRTEL INSUA

LUCAS MASCHERANO

RODRIGUEZ AQUILANI AURELIO

KUYT


Keputusan : 1-0 kemenangan kepada Liverpool. Gol dijaringkan oleh Aurelio.

Perlawanan akan disiarkan secara langsung di Astro ESPN Rangkaian 812

16/01/10 Jam 2040 Malam


YNWA

Thursday, January 14, 2010

Rodriguez : Selamat Datang Ke Anfield


Liverpool telah membuat pengesahan di media bahawa pemain sayap antarabangsa Argentina, Maxi Rodriguez a.k.a La Fiera a.k.a The Beast telah menyertai The Reds secara rasmi daripada Atletico Madrid tanpa sebarang yuran perpindahan. Rodriguez telah menurunkan tandatangan ke atas kontrak selama tiga setengah tahun. Boss Liverpool, Rafa Benitez cukup gembira dengan penyertaan Rodriguez ke dalam skuadnya dengan menyatakan Rodriguez merupakan pemain yang cukup berpengalaman dan boleh bermain pada mana-mana posisi di bahagian tengah Liverpool. Rodriguez juga boleh bermain sebagai penyerang sokongan kepada Fernando Torres. Rafa berharap Rodriguez cepat menyesuaikan diri di Liverpool dengan bantuan dua rakan baik beliau iaitu Torres dan juga Mascherano. Sebagai seorang pemain yang disifatkan oleh Rafa sebagai selesa dengan bola serta pandai membuat umpanan serta menguasai bola, Rafa berharap Rodriguez mampu menambahkan sengat bahagian serangan Liverpool. Rodriguez juga mampu menjaringkan gol serta mempunyai penyudah yang baik selain daripada mampu untuk mengucar-kacirkan pertahanan lawan di dalam kotak penalti mereka. Kepada Maxi Rodriguez, kami peminat Liverpool mengucapkan selamat datang ke Anfield dan diharapkan anda mampu membantu perjuangan Liverpool di peringkat domestik dan juga eropah.


YNWA

Wednesday, January 13, 2010

Purslow : Torres - Gerrard Kekal

Pengarah Urusan Liverpool Christian Purslow hari ini menegaskan bahawa Liverpool tidak akan menjual Torres dan juga Gerrard. Menurut Purslow, apa yang pengurusan inginkan ialah mengekalkan pemain-pemain terbaik Liverpool dan menawarkan kontrak yang lebih baik kepada mereka. Purslow juga menegaskan bahawa matlamat utama mereka adalah untuk memperkukuhkan skuad yang sedia ada dan bukannya melemahkannya dengan menjual pemain-pemain terbaik Liverpool. Purslow juga menafikan sebarang laporan media yang menyatakan Liverpool terpaksa menjual Torres dan Gerrard. Di dalam siding media itu juga, Purslow kini juga memberitahu Liverpool akan menerima pelabur baru di dalam masa beberapa bulan untuk membantu meneruskan perancangan untuk membina stadium baru di Stanley Park. Selalunya cakap-cakap Purslow memang boleh digunapakai, namun kita harus ingat Purslow bukan pemilik tetapi salah seorang pekerja yang turut makan gaji di Anfield. Hanya masa yang akan menentukan akan kebenaran kata-kata serta janji Purslow ini.


YNWA

Tuesday, January 12, 2010

Eccleston : Selamat Dari Dikebas

Nama Penuh : Nathan Eccleston

Umur : 19 Tahun

Tarikh Lahir : 30 December 1990

Tempat Lahir : Newton Heath, England

Tinggi : 5 kaki 10 inci (1.78m)

Posisi : Penyerang

No Jersi : 39

Liverpool berjaya menghalang mengyu daripada mengebas penyerang muda England Nathan Eccleston apabila beliau telah menyambung kontrak untuk kekal di Anfield sehingga 2013. Penyerang muda berusia 19 tahun ini mula beraksi di skuad utama Liverpool pada musim ini dengan penampilan sulung beliau ketika menentang skuad senapang pada perlawanan pusingan keempat Piala Carling. Kemudian beliau membuat penampilan sulung di liga perdana inggeris ketika menentang Fulham di Craven Cottage 3 haru kemudian. Eccleston dibeli dari Bury ketika beliau berusia 15 tahun dan semenjak daripada itu meneruskan perkembangan karier bolasepaknya di akademi Liverpool sehingga berjaya mendapat tempat di skuad bawah 18 tahun dan juga skuad simpanan Liverpool. Pada penampilan sulung di skuad simpanan Liverpool ketika menentang Blackburn, Eccleston telah menjaringkan dua gol. Dengan kontrak baru ini Liverpool berjaya mengekalkan seorang lagi pemain muda berbakat daripada terlepas ke tangan musuh liga perdana inggeris. Blackburn turut dikatakan berminat untuk mendapatkan Eccleston.


YNWA

Monday, January 11, 2010

Jones : Siapa Cepat Dia Dapat

Skuad Kucing Hitam a.k.a Blackcats a.k.a Sunderland a.k.a pasukan sumbat gol guna belon dilaporkan telah memberi lampu hijau kepada Liverpool untuk mendapatkan khidmat penyerang antarabangsa Trinidad & Tobago, Kenwyne Jones pada bulan Januari ini. Laporan itu juga menyebut pengurus mereka Steve Bruce turut berminat untuk mendapatkan pemain sayap Liverpool Ryan Babel. Bruce juga dikatakan telah memberi cadangan agar pertukaran pemain dapat dilakukan di antara Jones dengan Babel. Namun sehingga kini, tiada perkembangan mengenai cadangan tersebut. Jones dikatakan lebih berminat untuk menyertai Liverpool berbanding dengan Birmingham yang dikatakan turut cuba mendapatkan khidmat beliau. Walaupun Birmingham serta satu lagi pasukan yang berminat untuk mendapatkan khidmat beliau iaitu Stoke mampu membayar secara tunai kepada Sunderland, namun tarikan untuk bermain di peringkat lebih tinggi bersama-sama Liverpool, sukar untuk ditolak oleh Jones. Selain daripada itu, beliau juga berpeluang untuk bermain dengan pemain-pemain terbaik dunia seperti Torres dan juga Gerrard. Birmingham dilaporkan meletakkan harga 11 juta pound ke atas Jones dan Liverpool perlu menambah beberapa juta pound bersama-sama Babel jika mahu mendapatkan Jones. Jika Liverpool berjaya mendapatkan Jones, ianya satu pelaburan yang cukup baik kerana Jones masih muda (baru berusia 25 tahun), mampu memberikan ancaman fizikal di dalam setiap serangan Liverpool (tinggi 6 kaki 2 inci), boleh bermain sebagai penyerang sokongan atau penyerang tunggal (jika Torres direhatkan) dan adalah salah seorang penyerang yang mampu menjaringkan gol di liga perdana inggeris (setakat ini 6 gol daripada 16 penampilan) serta boleh melakukan umpanan (assist) untuk menjaringkan gol. Kepada Rafa, apa lagi yang ditunggu kerana kehadiran Jones pasti memberikan lebih sengat kepada jentera serangan Liverpool.


YNWA