Thursday, December 31, 2009

Turan : Terbaik Dari Turki

Setelah menyatakan minat beliau untuk menyertai Liverpool pada minggu lepas, pemain sayap Turki dan juga kelab Galatasaray Arda Turan menerima perkhabaran gembira dari Anfield apabila pengurus Liverpool Rafa Benitez berminat untuk mendapatkan beliau pada Januari nanti. Rafa yang sebelum ini hampir berjaya mendapatkan Turan daripada Galatasaray pada musim panas lepas, menarik diri daripada membuat bidaan apabila yuran perpindahan beliau terlalu tinggi buat Liverpool pada masa tersebut (kira-kira 9 juta pound). Rafa kini bersedia untuk menjual beberapa pemain kesebelasan utama beliau untuk mengumpul dana bagi membawa pemain-pemain baru untuk memperkuatkan cabaran Liverpool pada bulan Januari nanti. Turan yang baru berusia 22 tahun mempunyai prospek yang cukup baik sebagai pemain sayap, kini mempunyai senarai panjang kelab-kelab di seluruh Eropah yang berminat untuk mendapat khidmat beliau. Ini termasuklah saingan The Reds di liga perdana inggeris iaitu skuad senapang. Namun jika Rafa benar-benar berminat mendapatkan Turan, beliau mempunyai peluang cerah kerana Turan hanya berminat untuk ke Liverpool. Bagi Turan, budaya, sejarah serta peminat Liverpool yang cukup unik menarik perhatian beliau untuk menyertai gergasi dari Merseyside ini. Walaupun ini hanya sekadar khabar angin dari media, namun jika Turan benar-benar menyertai Liverpool pada bulan Januari ini, bahagian sayap The Reds pasti akan berbisa selepas ini. Sejauh mana kebenarannya kita akan ketahui pada bulan Januari nanti.


YNWA

Wednesday, December 30, 2009

Huseklepp : Sasaran Terbaru Dari Norway

Liverpool secara tradisinya mempunyai kaitan rapat dengan pemain-pemain yang berasal dari negara di utara Eropah iaitu Norway. Pemain-pemain seperti John Arne Riise serta Stig Inge Bjornebye pernah berkhidmat dengan kelab gergasi Merseyside ini. Selain daripada itu, pemain utara Eropah yang lain seperti Sami Hyypia dan Jari Litmanen dari Finland turut pernah menabur bakti di Anfield. Berita terbaru dari Norway telah menyatakan Liverpool kini berminat untuk mendapatkan seorang pemain sayap dari negara di utara Eropah tersebut. Pemain yang dimaksudkan ialah Erik Huseklepp, pemain sayap Norway yang mewakili kelab SK Brann di liga perdana Norway. Liverpool dikatakan bersedia untuk mendapatkan pemain berusia 25 tahun pada bulan Januari nanti. Penyertaan Huseklepp ke Anfield semakin hangat diperkatakan setelah Liverpool dilaporkan akan memperkuatkan bahagian tengah mereka pada bulan Januari ini.

Agen Huseklepp, Stig Lillejord pula menyatakan jika benar desas-desus yang diperkatakan ini, maka ini adalah satu perkembangan yang cukup baik buat Huseklepp. Baik kerana pada pendapat Lillejord, Liverpool merupakan kelab yang cukup ternama dan jika mereka berminat untuk mendapatkan beliau maka pemain sayap Norway ini berada di landasan yang betul untuk memperkembangkan bakatnya di Eropah. Namun menurut Lillejord, terdapat beberapa kelab lagi yang turut menyatakan minat untuk mendapatkan Huseklepp, namun Lillejord tidak memberi komen yang labih lanjut mengenai perkara tersebut. Walaupun tiada bukti sahih yang mengaitkan Liverpool dengan Huseklepp, persoalan yang timbul adalah di mana sumber kewangan yang mampu diperolehi Liverpool untuk membeli pemain sayap Norway ini?


YNWA

Tuesday, December 29, 2009

BPL : Menghadapi The Villans

Liverpool menghadapi ujian sebenar di dalam pertempuran untuk merebut tempat ke Liga Juara-Juara Eropah pada musim hadapan. Dua saingan Liverpool iaitu Villa dan spur akan menjadi pencabar berikutnya di dalam perlawanan liga perdana (tidak termasuk perlawanan Piala FA menentang Reading). Liverpool akan bertandang ke Villa Park pada awal pagi nanti untuk menentang pasukan yang turut dikenali dengan nama The Villans ini. Tugas The Reds menjadi semakin sukar kerana pasukan bimbingan Martin O’Neill ini mahu bangkit kembali selepas dibelasah 3-0 oleh skuad senapang pada hujung minggu yang lepas. Sedikit kelebihan buat The Reds kerana pemain utama mereka iaitu Ashley Young telah digantung daripada perlawanan ini kerana menerima kad kuning kelima pada musim ini. Namun mereka masih lagi diperkuatkan dengan pemain-pemain seperti Downing, Sidwell, Petrov, Agbonlahor, Carew, Milner dan juga Dunne. Pemain-pemain yang saya sebutkan ini adalah antara perancang gerakan Villa dan juga merupakan pemain yang menjaringkan gol untuk mereka. Liverpool perlu mematikan gerakan Villa daripada kedua-dua sayap mereka kerana bahagian inilah yang merupakan nadi kepada serangan Villa. Jika kedua-dua sayap Villa berjaya dilumpuhkan, maka separuh daripada tugas Liverpool sudah dilakukan. Liverpool juga perlu mengelakkan sebarang setpiece di hadapan pintu gol kerana Villa adalah antara pasukan yang mampu menjaringkan gol melalui kelebihan ini. Mereka memiliki Carew, Milner dan juga Dunne yang mampu mengancam kubu Liverpool. Bahagian serangan mereka juga berbisa dengan penjaring utama Agbonlahor cukup berbahaya jika diberi peluang.

Skuad Liverpool pula tidak melaporkan sebarang kecederaan serius selepas perlawanan dengan Wolves pada hujung minggu lepas. Liverpool juga mendapat kelebihan satu hari rehat menjelang perlawanan ini dan pemain-pemain sepatutnya lebih cergas. Rafa akan menurunkan pemain antarabangsa Holland, Dirk Kuyt di dalam perlawanan ini setelah beliau direhatkan semasa menentang Wolves sebelum ini. Mascherano pula masih menjalani baki penggantungan yang dikenakan ke atas beliau dan pada masa yang sama beliau juga mengalami kecederaan. Tidak banyak perubahan yang boleh dijangkakan ke atas skuad Liverpool pada perlawanan ini. Berkemungkinan Kuyt akan menggantikan Benayoun, Aurelio atau Insua bergantung kepada perancangan taktikal Rafa pada perlawanan awal pagi nanti. Pemain tengah Itali Alberto Aquilani mengalami kecederaan ringan dan keadaan beliau akan dinilai sebelum perlawanan bermula. Torres dan kapitan Gerrard masih lagi menjadi harapan untuk merobek kubu Villa pada kali ini. Saya jangkakan laluan kita sukar di Villa Park dan jika kita mampu mengelak kekalahan, ianya satu pencapaian yang cukup baik. Tetapi kita menang pada awal pagi ini, itu adalah satu bonus yang cukup bermakna pada perlawanan terakhir tahun 2009 ini. Perlawanan ini juga merupakan perlawanan pembukaan untuk pusingan kedua liga perdana inggeris pada musim 09/10 ini. Berikut adalah barisan kemungkinan pemain yang akan diturunkan pada kesebelasan utama pada awal pagi nanti :

Formasi : 4-2-3-1

Barisan Kemungkinan :

RIENA

JOHNSON AGGER CARRAGHER INSUA

AQUILANI GERRARD

KUYT BENAYOUN AURELIO

TORRES


Keputusan : 1-0 kemenangan kepada Liverpool. Gol dijaringkan olehTorres.

Perlawanan akan disiarkan secara langsung di Astro ESPN Rangkaian 812

30/12/09 Jam 0340 Pagi


YNWA

Monday, December 28, 2009

Carragher : Ujian Kepada Yang Cekal

Pemain pertahanan tengah dan juga penolong kapten The Reds, Jamie Carragher telah melontarkan cabaran kepada rakan-rakan sepasukan beliau di Anfield. Carra percaya musim ini adalah musim penentu untuk melihat samada seorang pemain itu sanggup jatuh dan bangun bersama-sama Liverpool. Pemain pertahanan senior Liverpool ini telah melihat berbagai karenah pemain dan bekas pemain yang pernah mewaklili Liverpool di sepanjang 15 tahun karier beliau di Anfield. Bagi Carra, hanya pemain yang benar-benar setia dan berbangga mewakili Liverpool sahaja yang kekal apabila Liverpool mengalami kemerosotan sepertimana sekarang. Tambah Carra, sesetengah pemain hanya mampu beraksi hebat di kelab lain namun gagal menunjukkan potensi serta kemampuan sebenar mereka di Liverpool kerana gagal untuk bertahan akibat tekanan. Liverpool adalah kelab yang cukup baik apabila berada di kemuncak prestasi namun keadaan akan menjadi cukup sukar bagi seseorang pemain jika kemerosotan prestasi melanda pasukan ini, ujar Carra lagi.

Bagi seorang pemain yang telah bergelumang selama 15 tahun di Anfield, Carra percaya beliau masih kekal kerana keupayaannya untuk menahan segala kritikan serta tekanan yang dilontarkan ke atas Liverpool. Mungkin ramai yang berpendapat, tidak sukar untuk bermain di Liverpool namun bagi Carra, di Liverpool ada masanya prestasi pasukan turun dan naik. Pemain yang mewakili Liverpool harus benar-benar bersedia untuk menghadapi keadaan ini jika ingin terus berbakti di Anfield. Tunggulah sehingga segala masalah yang dihadapi Liverpool sekarang selesai dan pada ketika itu kita semua akan dapat melihat kelibat pemain sebenar yang cukup kuat untuk kekal di Anfield. Mungkin ada pemain yang akan terasa pedasnya cili apabila membaca cabaran Carra ini. Tetapi apa yang beliau katakan adalah cukup tepat dan Liverpool hanya memerlukan pemain yang benar-benar mahu bermain untuk kelab. Bukan mereka yang sebegitu cepat melatah untuk angkat kaki apabila masalah melanda Liverpool.


YNWA

Sunday, December 27, 2009

BPL : Sang Serigala Tumpas


Perlawanan menentang skuad sang serigala di Anfield semalam berakhir dengan kemenangan 2-0 kepada The Reds. Perlawanan nampak mudah buat Liverpool tetapi jika lawan adalah pasukan yang meletakkan sepenuhnya kekuatan mereka kepada bahagian pertahanan dan hanya mengancam dengan serangan kilat, keputusan ini adalah adil buat The Reds. Skuad sang serigala jelas datang ke Anfield dengan niat untuk mencuri mata dan taktikal mereka dapat dilihat pada awal permainan lagi dengan bahagian pertahanan mereka cuba menyerap asakan demi asakan Liverpool. Juga bermain agresif untuk mematikan langkah penyerang utama Liverpool Fernando Torres. Akibatnya seorang pemain pertahanan mereka dibuang padang pada separuh masa kedua (pengadil pada mulanya salah memberi kad kepada pemain lain!) dan mengukuhkan penguasaan Liverpool di atas padang. Walaupun berjaya mencapai kemenangan, Liverpool perlu bermain dengan lebih yakin serta fokus di atas padang pada perlawanan yang akan datang. Beberapa perubahan positif yang dapat dilihat pada perlawanan semalam :

Rafa menurunkan Aquilani buat pertama kalinya di dalam kesebelasan utama. Pemain tengah Itali ini telah menunjukkan bakat dimiliki beliau dengan beberapa umpanan yang cukup menarik kepada bahagian serangan Liverpool. Apabila rakan sepasukan yang lain berjaya memahami corak permainan Aquilani, kita bakal memiliki seorang lagi pemain tengah hebat di Anfield.

Benayoun kelihatan amat mantap apabila beliau beraksi dari sayap kanan. Kreativiti beliau berjaya mengucar-kacirkan benteng pertahanan skuad sang serigala. Mungkinkah Benayoun lebih sesuai di posisi tersebut berbanding Kuyt?

Pemain muda Sepanyol, Dani Pacheco membuat penampilan sulung beliau di kesebelasan utama Liverpool apabila masuk menggantikan Aquilani. Pemain muda Sepanyol ini merupakan antara prospek masa depan terbaik Liverpool. Beliau berjaya melakukan beberapa gerakan berbahaya di hadapan pintu gol skuad sang serigala walaupun hanya beraksi selama lebih kurang 10 minit.

Kapitan Gerrard dan Torres perlu meningkatkan lagi persefahaman di antara mereka bagi mengemudi cabaran skuad Liverpool. Gerrard beraksi lebih baik pada malam ini, manakala Torres pula seperti biasa, lebih banyak dilanyak oleh pemain pertahanan lawan yang jelas mahu menghalang beliau dan bukannya menghalang bola.

Barisan pertahanan Liverpool diketuai Carragher perlu lebih yakin untuk menangkis serangan lawan. Perlawanan semalam masih menunjukkan Liverpool akan menghadapi masalah dengan serangan kilat serta setpieces dari pihak lawan. Reina masih beraksi dengan cemerlang untuk menafikan beberapa percubaan bahaya pada perlawanan semalam.

Liverpool perlu lebih bersedia untuk menghadapi dua pencabar utama selepas ini iaitu Villa dan spur. Kedua-dua pasukan ini bercita-cita untuk mengenepikan Liverpool dan mula membuat bising yang mereka adalah lebih baik daripada The Reds. Biarlah mereka dengan perang psikologi yang tidak berfaedah itu, bagi saya lebih baik Liverpool tumpukan kepada persediaan untuk melalui pusingan kedua musim ini dengan lebih mantap. Tumpukan fokus pada satu perlawanan pada sesuatu masa kerana untuk bangkit kembali, perjalanan kita tidak semudah yang disangka.


YNWA

Saturday, December 26, 2009

Pandev : Percuma Dari Itali

Perlumbaan untuk mendapatkan penyerang antarabangsa Macedonia dan juga Lazio kini semakin hangat setelah pengurus Liverpool, Rafa Benitez turut menunjukkan minat untuk mendapatkan khidmat beliau. Rafa kini terpaksa bersaing dengan dua orang lagi pengurus liga perdana iaitu Redknapp dan Ancelotti turut menyatakan minat untuk mendapat Pandev. Penyerang Lazio ini telah mendapatkan kebenaran daripada mahkamah Itali ntuk membatalkan baki kontrak beliau dengan Lazio dan ini membolehkan Pandev menyertai mana-mana kelab pilihan beliau secara percuma. Redknapp dikatakan telah mengejar tandatangan Pandev selama 2 tahun dan Pandev yang tidak terikat untuk bermain di Liga Juara-Juara Eropah dikatakan turut menarik minat skuad senapang. Skuad senapang bagaimanapun dikatakan lebih berminat untuk mendapatkan khidmat penyerang Bordeaux, Marouane Chamakh. Pengurus skuad senapang Wenger bagaimanapun pasti mengikuti perkembangan Pandev dengan dekat dan penuh minat. Jika Wenger gagal mendapatkan Chamakh, tidak mustahil beliau sendiri akan cuba mendapatkan khidmat Pandev.

Rafa yang telah menunjukkan minat apabila Pandev dapat diperolehi dengan percuma pasti akan disaingi sengit oleh Ancelotti yang dikatakan mampu menawarkan gaji yang lebih tinggi kepada Pandev. Lazio telah menggantung pemain ini daripada beraksi pada musim panas lepas setelah beliau menolak konrak baru dan menyatakan hasrat untuk berpindah ke kelab yang lebih besar. Pandev yang membawa kes ini ke mahkamah Itali, bukan sahaja berjaya membatalkan baki kontrak beliau tetapi turut mendapat gantirugi daripada Lazio yang pembayarannya diarahkan oleh mahkamah. Kini selain Lazio tidak mendapat apa-apa yuran perpindahan dan terpaksa menanggung kerugian. Namun presiden Lazio, Claudio Lotito telah menyatakan kelabnya belum mengaku kalah dan bercadang untuk membuat rayuan bagi memastikan keputusan yang diperolehi Pandev dinilai semula. Perkembangan Pandev ini nyata mendatangkan kembimbangan kepada kelab-kelab utama eropah dan mereka kini terpaksa melakukan sesuatu untuk mengelakkan terjadinya peristiwa seperti ini di kelab masing-masing. Jika mampu diperolehi secara percuma dan dengan gaji yang munasabah, tidak rugi untuk Liverpool berusaha mendapatkan Pandev yang mempunyai rekod jaringan yang baik di Serie A.


YNWA

Friday, December 25, 2009

BPL : Jinakkan Sang Serigala

Liverpool kembali ke kancah liga perdana inggeris menentang skuad Wolves di Anfield pada malam Sabtu ini. Skuad The Reds kini yang jelas dilanda krisis keyakinan memerlukan kemenangan di hadapan The Kops untuk mengatasi masalah prestasi yang tidak konsisten pada musim ini. Saya pasti hanya kemenangan yang diinginkan oleh para peminat Liverpool di seluruh dunia. Dengan Fernando Torres dan Kapitan Gerrard yang berazam untuk membawa Liverpool keluar daripada masalah ini, Liverpool kini bersedia sepenuhnya untuk bertempur di Anfield. Pengurus Liverpool Rafa Benitez juga telah mengadakan perbincangan dengan Gerrard mengenai prestasi kapten Liverpool in dan Gerrard mahu membuktikan yang beliau kini lebih bersedia untuk bermain di atas padang. Dengan Mashcerano yang cedera serta digantung 4 perlawanan kerana mendapat kad merah, Rafa ada memberikan gambaran yang Aquilani bakal diturunkan pada perlawanan ini setelah terlepas perlawanan sebelum ini kerana kecederaan ringan. Selain Reira dan Mascherano yang masih cedera, Liverpool memiliki hampir kesemua pemain terbaik di kesebelasan utama.

Di atas kertas, Liverpool dijangka mudah untuk memenangi perlawanan ini, namun perhitungan di atas kertas sukar diambilkira dengan prestasi Liverpool yang masih tidak menentukan pada masa ini. Berhati-hati dengan sang serigala, jika salah percaturan, buruk padahnya. Seperti yang diungkapkan oleh Daniel Agger, Liverpool perlu lebih fokus dan yakin untuk memburu kemenangan. Bermainlah dengan cara Liverpool dan tidak terikut-ikut rentak pasukan sang serigala ini. Jangan mengambil mudah perlawanan ini kerana kedudukan serta mata kedua-dua adalah berbeza di dalam liga. Walaupun pengurus serigala McCarthy telah memberi amarn kepada pemainnya agar jangan mengharap laluan mudah di Anfield dan beliau risau akan kebangkitan Liverpool, bagi saya itu hanya permainan psikologi. Jangan sesekali terperangkap dan terpedaya dengan helah ini. Saya berharap pemain-pemain Liverpool tidak lagi bermain sambil lewa dan objektif tiga mata penuh perlu dicapai di Anfield. Berikut adalah barisan kemungkinan pemain-pemain yang bakal diturunkan di Anfield pada perlawanan Boxing Day ini :

Formasi : 4-2-3-1

Barisan Kemungkinan :

RIENA

JOHNSON AGGER CARRAGHER INSUA

AQUILANI GERRARD

KUYT BENAYOUN AURELIO

TORRES


Keputusan : 2-0 kemenangan kepada Liverpool. Gol dijaringkan oleh Gerrard dan Torres.

Perlawanan akan disiarkan secara langsung di Astro ESPN Rangkaian 812

27/12/09 Jam 0125 Pagi


YNWA

Thursday, December 24, 2009

Agger : Perlu Lebih Yakin

Pemain pertahanan tengah Liverpool dari Denmark, Daniel Agger mengakui beliau dan rakan-rakan sepasukannya perlu lebih fokus untuk memenangi perlawanan dengan Wolves di Anfield nanti. Agger juga memberitahu yang kesemua pemain Liverpool amat kecewa dengan prestasi mereka pada musim ini namun Agger yakin mereka semua masih mampu untuk kembali ke prestasi terbaik. Bagi Agger, prestasi yang mengecewakan ini tidak sepatutnya menghantui kelab gergasi seperti Liverpool. Dengan keyakinan untuk kembali mempamerkan prestasi lebih konsisten, Agger dan rakan-rakan sepasukannya kini akan memastikan ianya tidak akan berterusan pada musim ini. Apa yang berlaku di Liverpool turut menimbulkan tanda tanya kepada Agger, namun menurut beliau, Liverpool perlu mencuba untuk mendapatkan kembali keyakinan yang semakin pudar semenjak kebelakangan ini.

Hanya kemenangan akan mengembalikan keyakinan kepada skuad Liverpool dan jelas sekali Liverpool tidak mendapat kemenangan secara konsisten sekarang, tambah Agger lagi. Dengan fokus serta semangat juang yang tinggi untuk memburu kemenangan dan mendapatkan tiga mata, tidak mustahil untuk Liverpool kembali menyerlah pada saingan musim ini. Benar seperti kata Agger, pemain-pemain Liverpool kini menghadapi masalah untuk fokus di setiap perlawanan dan kurang keyakinan ketika beraksi di atas padang. Terlalu banyak spekulasi yang timbul di sebalik tabir pasukan dari Merseyside ini. Walau apapun yang berlaku di Liverpool, saya berharap ianya dapat diselesaikan dengan baik demi kebaikan kelab. Sebarang pertelagahan (jika ada) tidak akan membawa sebarang manfaat kepada kelab. Kepada rakan-rakan peminat, kita harus bersama-sama kelab di dalam keadaan yang cukup sukar sekarang ini. Menang atau kalah, kita akan tetap bersama-sama LIVERPOOL FC!!!


YNWA

Wednesday, December 23, 2009

Toni : Merintis Jalan Anfield

Berita terbaru dari Jerman telah menyatakan Liverpool kini adalah kelab terbaru yang berminat untuk mendapatkan penyerang Bayern Munich dari Itali, Luca Toni. Pengurus Liverpool, Rafa Benitez dikatakan berminat untuk membawa Toni ke Anfield pada bulan Januari nanti. Toni yang tidak menyembunyikan hasrat beliau untuk keluar dari Bayern setelah peluangnya beraksi semakin terhad di bawah pengurus Louis van Gaal. Bekas penyerang Napoli dan Fiorentina ini mahu bermain dengan lebih kerap untuk memastikan beliau layak bermain bersama-sama skuad antarabangsa Itali pada Piala Dunia di Afrika Selatan tahun hadapan. Kini hubungan di antara Toni dan kelab gergasi Jerman itu dikatakan semakin tegang sehinggakan presiden Bayern Uli Hoeness mahu melepaskan penyerang tinggi lampai yang berusia 32 tahun ini secara percuma. Toni juga dikatakan tidak mempunyai hubungan yang baik dengan van Gaal. Dengan kedudukan kewangan yang terhad, Liverpool boleh mendapatkan khidmat Toni tanpa perlu mengeluarkan bayaran yang tinggi bagi menguatkan lagi barisan serangan pasukan dari Merseyside ini. Dengan keadaan kecederaan penyerang utama Fernando Torres yang tidak menentu, kehadiran Toni sebagai rakan serangan Torres dijangkakan akan membantu Liverpool kembali ke prestasi terbaik pada musim ini. Toni juga akan memberikan lebih pilihan kepada Rafa di bahagian serangan Liverpool yang jelas kekurangan pilihan pemain pada musim ini.

Namun Liverpool dijangka akan menghadapi saingan daripada kelab-kelab seluruh Eropah yang turut memburu tandatangan penyerang yang menjuarai Piala Dunia 2006 bersama-sama Itali ini. Di antara kelab-kelab yang dikatakan turut berminat untuk mendapatkan khidmat Toni adalah AS Roma, Dynamo Kiev, Inter Milan dan juga Benfica. Selain daripada itu beberapa kelab liga perdana inggeris iaitu Chelsea dan West Ham turut mengintai peluang untuk mendapatkan khidmat Toni. Seperti juga Nistelrooy, penyerang antarabangsa Itali ini mempunyai rekod jaringan yang cukup menakjubkan. Dengan purata 20 jaringan di dalam semua pertandingan pada setiap musim, prospek untuk mendapatkan beliau terlalu sukar untuk diketepikan. Pada musim ini peluang Toni untuk bermain amatlah terhad sedangkan beliau kini cergas dan tidak mengalami apa-apa kecederaan jangka panjang yang boleh menjejaskan peluang beliau untuk beraksi di atas padang. Jika Toni semakin disisihkan oleh van Gaal di Bayern dan terdapat komen daripada Toni sendiri yang menyatakan beliau kini bersedia untuk meninggalkan Bayern di dalam masa 2 minggu lagi, tidak mustahil kita akan melihat kelibat beliau tiba di Anfield pada bulan Januari nanti.


YNWA

Tuesday, December 22, 2009

Dalglish : Menjejaki McGeady

Perkhabaran terbaru dari Scotland telah menyatakan bahawa Liverpool kini sedang mengikuti perkembangan pemain sayap lincah Celtic, Aiden McGeady. Liverpool dikatakan berminat dengan McGeady dan bersedia untuk melancarkan bidaan sebanyak 8 juta pound kepada Celtic bagi mendapatkan McGeady apabila urusan perpindahan pemain dibuka semula pada bulan Januari nanti. McGeady merupakan antara pemain yang menjadi pujaan peminat di Parkhead. Pemain kelahiran Glasgow ini berusia 23 tahun telah membuat 14 penampilan dengan Celtic dan menjaringkan 5 gol serta membuat 6 assists pada musim ini. McGeady juga merupakan pemain antarabangsa skuad Republik Ireland. McGeady yang sebelum ini kerap dikaitkan kontroversi dengan bekas pengurus Celtic Gordon Strachan. Setelah Strachan meninggalkan Celtic, McGeady adalah antara pemain yang cukup lega dengan situasi tersebut. Pada musim 2007/2008, McGeady telah merangkul anugerah Pemain Terbaik Tahunan SPFA serta Pemain Muda Terbaik Tahunan SPFA selain daripada kejuaraan Liga Perdana Scotland bersama-sama Celtic.

Liverpool dilaporkan telah menghantar dutanya iaitu Kenny Dalglish ke Motherwell pada minggu lepas ketika Celtic menewaskan tuan rumah 3-2. Liverpool dikatakan telah mengikuti perkembangan pemain muda Republik Ireland ini di sepanjang musim melalui Dalglish. Dan duta Liverpool ini dilaporkan telah mengikuti perkembangan McGeady bermula ketika beliau menjadi Pengarah Bolasepak di Parkhead pada tahun 2000. McGeady pada ketika itu baru berusia 14 tahun dan merupakan salah seorang pemain muda yang mempunyai masa depan yang cukup cerah. Mulai saat itu Dalglish telah mengikuti perkembangan pemain muda ini yang kini bergelar bintang di Celtic. Saya berpendapat agak sukar untuk Liverpool mendapatkan McGeady kerana pemain ini cukup popular di kalangan peminat di Parkhead. Saya juga pasti Celtic tidak begitu mudah untuk melepaskan pemain utama mereka ini. Lebih menyukarkan keadaan, Celtic tidak mempunyai masalah kewangan yang boleh memaksa mereka untuk menjual pemain-pemain utama mereka. Namun ianya sesuatu perkara yang tidak mustahil kerana hubungan baik di antara Liverpool dan juga Celtic akan membolehkan sebarang rundingan diladakan. Dan Liverpool diwakili oleh Dalglish yang juga merupakan antara pemain lagenda Celtic. Namun jika Liverpool benar-benar berminat untuk mendapatkan pemain sayap lincah ini, sebarang usaha rundingan haruslah dilakukan dengan baik dan mendapat persetujuan daripada Celtic terlebih dahulu. Gunakan saluran yang lebih berdiplomasi tanpa mewujudkan sebarang kontroversi yang mungkin tidak disenangi oleh Celtic.


YNWA

Monday, December 21, 2009

Aurelio : Masa Depan Belum Pasti


Pemain pertahanan kiri Liverpool daripada Brazil, Fabio Aurelio kini menghadapi masa depan yang tidak menentu di Anfield. Tidak menentu kerana perbincangan kontrak baru beliau dengan Liverpool masih mencapai kata sepakat di kedua-dua belah pihak. Pengurus Liverpool, Rafa Benitez sebelum ini telah menyatakan tawaran kontrak pay as you play telah ditolak oleh agen Aurelio dan tiada perkembangan terkini mengenai perbincangan tersebut sehingga ke hari ini. Aurelio mengakui beliau tidak mengetahui akan kedudukan beliau di Anfield kerana kontrak beliau yang ada sekarang akan tamat di akhir musim ini. Menurut Aurelio, beliau sehingga kini masih menanti jawapan daripada Liverpool mengenai tawaran kontrak baru. Perbincangan mengenai kontrak baru Aurelio bermula pada akhir musim lepas namun selepas itu beliau mengalami kecederaan akibat kemalangan di Brazil, perbincangan tersebut dihentikan dan sehingga kini perbincangan mengenai kontrak baru masih belum diteruskan oleh Liverpool.

Walaupun bergelut dengan kedudukan masa depan yang masih tidak menentu, keutamaan Aurelio kini adalah untuk membantu Liverpool kembali ke prestasi terbaik pada musim ini. Bagi Aurelio, sehingga kontrak beliau tamat dengan Liverpool, adalah penting untuk beliau terus bermain bersama-sama kesebelasan utama Liverpool dan memastikan Liverpool kembali ke prestasi terbaik. Aurelio juga lega kerana semenjak kebelakangan ini beliau tidak lagi menghadapi masalah kecederaan yang jelas mengganggu prestasi beliau. Nampaknya Aurelio pasti resah menanti jawapan daripada Liverpool. Rasanya perbincangan sebelum yang dihentikan adalah kerana Liverpool mungkin mahu menilai kembali prestasi serta tahap kecergasan Aurelio sebelum membuat sebarang keputusan mengenai tawaran kontrak baru. Saya akui Aurelio merupakan antara pemain Liverpool yang amat mudah mengalami kecederaan tetapi saya juga tidak nafikan beliau akan mempamerkan prestasi terbaik di pertahanan ataupun sayap kiri jika diturunkan. Sejauh mana minat Liverpool serta bentuk kontrak yang bakal ditawarkan kepada Aurelio akan kita saksikan pada awal 2010 nanti. Jika Liverpool tidak mahu menawarkan kontrak baru kepada Aurelio kerana rekod kecederaannya, saya pasti banyak lagi kelab yang berminat dengan pemain pertahanan Brazil ini. Saya masih mahu melihat Aurelio dikekalkan di Anfield tetapi kontrak yang ditawarkan haruslah memberi keuntungan pada kedua-dua pihak.


YNWA

Sunday, December 20, 2009

Rush : Dapatkan Nistelrooy

Penyerang lagenda Liverpool, Ian Rush telah mencadangkan kepada pengurus Liverpool agar membawa masuk penyerang Real Ruud van Nistelrooy ke Anfield secepat mungkin apabila urusan perpindahan pemain dibuka semula pada bulan Januari nanti. Nistelrooy yang kini semakin sukar untuk beraksi di Real setelah pulih dari kecederaan, sedang mencari peluang beraksi dengan lebih kerap bersama-sama pasukan yang berminat mendapatkan khidmat beliau. Rush berkata penyerang Holland ini adalah pilihan terbaik buat Rafa jika mahu mengurangkan beban penyerang utama Liverpool, Fernando Torres. Menurut Rush, Torres juga memerlukan rehat dan beliau tidak mungkin beraksi di sepanjang musim. Rush berharap Rafa mahu membawa masuk seorang penyerang yang berkaliber pada Januari nanti dan beliau akan berasa gembira jika penyerang tersebut adalah Nistelrooy, seorang penjaring gol dengan pengalaman di peringkat tertinggi. Penyerang bertaraf dunia amat sukar untuk diperolehi dan Rafa perlu bertindak pantas untuk mendapatkannya. Di mana beliau beraksi sebelum ini tidak mendatangkan masalah buat Rush, asalkan beliau mampu menjaringkan gol. Ini merupakan pendapat peribadi yang dikeluarkan oleh Rush. Semua keputusan akan dibuat oleh Rafa dan sama-sama kita saksikan siapa yang bakal dibawa masuk (jika ada) pada bulan Januari nanti.


YNWA

Saturday, December 19, 2009

BPL : Waspada Dengan Pompey


Jika melihat pada carta kedudukan liga perdana sekarang. Liverpool dijangka tidak menhadapi masalah untuk menewaskan skuad dari selatan England iaitu Portsmouth a.k.a Pompey ini. Namun seperti yang saya tulis sebelum ini, jangan tertipu dengan kedudukan liga apabila berhadapan dengan mereka di Fratton Park nanti. Skuad Pompey ini semakin menunjukkan peningkatan apabila diterajui oleh bekas pengurus skuad jambatan runtuh iaitu Grant. Mereka hanya tewas tipis dan nyaris membawa pulang mata di dalam perlawanan liga dengan skuad jambatan runtuh sebelum ini. The Reds pasti akan menghadapi tentangan yang sengit daripada mereka kerana skuad Pompey ini sedang bergelut untuk keluar dari kedudukan terbawah liga perdana. Mereka juga akan bermain di tempat sendiri dan bakal mendapat sokongan sepenuhnya daripada penyokong mereka nanti. Jesteru itu, pemain-pemain Liverpool harus berhati-hati dengan pemain-pemain Pompey seperti Dindane, O’Hara, Finnan (ex-Liverpool), Kaboul dan juga penyerang mereka Piquionne. Mereka ini mampu menjaringkan gol untuk menyukarkan laluan Liverpool di Fratton Park nanti.

Berbalik kepada skuad Liverpool, Rafa Benitez kini memiliki hampir kesemua pemain terbaik beliau kecuali pemain sayap, Albert Riera yang masih mengalami kecederaan. Rayan Babel dan Glen Johnson kini dilaporkan telah cergas sepenuhnya dan bersedia untuk diturunkan pada perlawanan ini. Johnson dijangkakan akan beraksi kembali menentang pasukan lama beliau di slot pertahanan kanan yang diisi oleh Jamie Carragher pada perlawanan menentang Wigan sebelum ini. Penyerang utama Fernando Torres dijangka akan mengetuai serangan Liverpool bersama-sama dengan Kapitan Gerrard. Torres yang direhatkan sebelum ini dan beraksi hanya sebagai pemain gantian, dijangka cergas sepenuhnya untuk perlawanan ini. Di atas kertas, Liverpool dilihat sebagai pasukan pilihan untuk memenangi perlawanan ini, namun dengan prestasi Liverpool yang masih belum konsisten sepenuhnya setakat ini, kita perlu lebih berhati-hati dan tidak tertipu dengan skuad Pompey ini. Saya jangkakan Liverpool mampu mengutip tiga mata penuh di dalam perlawanan ini dengan kehadiran gandingan Gerrard – Torres untuk menggempur kubu Pompey di Fratton Park. Berikut adalah barisan kemungkinan pemain-pemain yang bakal diturunkan di Fratton Park :

Formasi : 4-2-3-1

Barisan Kemungkinan :

RIENA

JOHNSON AGGER CARRAGHER AURELIO

AQUILANI MASCHERANO

KUYT GERRARD BENAYOUN

TORRES


Keputusan : 2-0 kemenangan kepada Liverpool. Gol dijaringkan oleh Benayoun dan Torres.

Perlawanan akan disiarkan secara langsung di Astro ESPN Rangkaian 812

19/12/09 Jam 0840 Malam


YNWA

Friday, December 18, 2009

Nistelrooy : Januari Jadi Penentu

Bulan Januari semakin hampir dan saya amat berharap Rafa dapat membawa masuk beberapa pemain baru untuk memantapkan skuad Liverpool. Kedengaran beliau kini serius untuk mendapatkan Ruud van Nistelrooy pada Januari nanti. Jika ini berlaku maka Torres akan mendapat seorang rakan penyerang yang cukup kaya dengan pengalaman di liga perdana inggeris. Bukan tidak percayakan Ngog tetapi Liverpool memerlukan seorang lagi penyerang yang mampu untuk mendatangkan rasa gerun kepada barisan pertahanan lawan. Nistelrooy menepati keperluan ini dan kehadiran beliau membolehkan Liverpool mengurangkan beban Torres di bahagian serangan. Selain daripada itu, Liverpool boleh merehatkan Torres jika beliau tidak cukup cergas sepenuhnya atau mengalami kecederaan.

Perkhabaran terbaru dari Anfield menyatakan Rafa kini telah bersedia untuk membawa Nistelrooy melalui perjanjian pinjaman selama enam bulan pada Januari nanti. Nistelrooy yang baru menjalani pembedahan tonsil semalam, kini mahu keluar dari Bernabeu untuk bermain dengan lebih kerap di dalam untuk membolehkan beliau bermain di Piala Dunia 2010 nanti. Rafa dilaporkan tidak mahu menawarkan kontrak tetap kepada Nistelrooy namun Real dikatakan mahu menjual penyerang Holland ini. Dan sebarang usaha untuk membawa Nistelrooy ke Anfield bergantung kepada usaha Rafa untuk melakukan perbincangan dengan Real nanti. Rafa juga sedar beliau perlu mencari seorang lagi rakan penyerang kepada Torres di dalam usaha beliau untuk mengembalikan cabaran Liverpool pada musim ini. Nistelrooy yang kini sudah cergas sepenuhnya dan bebas daripada sebarang kecederaan turut dilaporkan menarik minat Arsenal dan Blackburn, namun beliau dikatakan lebih berminat untuk ke Anfield. Sejauh mana kebenarannya berita ini, sama-sama kita tunggu pada bulan Januari nanti.


YNWA

Thursday, December 17, 2009

BPL : Mata Berharga Di Anfield


Bila kita bercakap mengenai kelas, maka semalam penyerang utama The Reds, Fernando Torres a.k.a El Nino membuktikan bahawa beliau berada di kelasnya yang tersendiri. Walaupun hanya masuk beraksi di atas padang sebagai pemain gantian di separuh masa kedua pada perlawanan ke 100 beliau bersama Liverpool, Torres berjaya menjaringkan gol kedua Liverpool yang terbukti sebagai gol penting bagi memenangi perlawanan menentang Wigan di Anfield pada awal pagi tadi. Gaya yang digunakan beliau ketika menewaskan penjaga gol Wigan, Kirkland dan pemain pertahanan Bramble juga mempersembahkan gaya seorang penyerang yang cukup tajam penyudahannya. Gol jaringan beliau seolah-olah melakukan back heel ke gawang gol Wigan. Perlawanan awal pagi tadi juga menyaksikan segala usaha, pahit jerih serta kesungguhan semua pemain The Reds untuk kembali ke landasan kemenangan. Secara jujur saya katakan, kita masih belum mencapai tahap permainan terbaik pada perlawanan ini. Masih banyak yang boleh diperbaiki untuk menghadapi perlawanan selepas ini. Bahagian pertahanan masih agak longgar kerana pemain-pemain Wigan kelihatan agak bebas membuat percubaan ke arah gawang Liverpool. Manakala bahagian tengah masih kurang kreativiti untuk membantu bahagian serangan. Akibatnya kita banyak terlepas peluang yang dihidangkan di hadapan gawang Wigan dan seterusnya membolehkan lawan turut memberikan tekanan ke atas gawang Liverpool. Jika peluang-peluang tersebut disempurnakan lebih awal, tekanan untuk memenangi perlawanan dapat dikurangkan. Kemenangan ke atas Wigan ini cukup bermakna bersempena dengan ulang tahun ke 50 pengurus lagenda Liverpool Bill Shankly memulakan tugas pada perlawanan pertama beliau di Anfield. Selain daripada kehadiran lagenda-legenda Liverpool seperti Ian Rush dan Kevin Keegan untuk memberi hormat kepada Shankly lebih memeriahkan suasana di Anfield.

Pengurus Liverpool Rafa Benitez telah melakukan beberapa perubahan di dalam kesebelasan utamanya. Selain daripada Torres yang direhatkan, Glen Johnson juga tidak beraksi kerana kecederaan. Dengan menggunakan formasi yang berbeza iaitu 4-4-2, Rafa menurunkan Ngog dan Kuyt untuk menerajui bahagian serangan. Kapitan Gerrard mengemudi bahagian tengah bersama-sama Mascherano, Aurelio dan Benayoun. Lucas dan Aquilani tidak diturunkan pada kesebelasan utama di perlawanan ini. Sesuatu yang agak mengejutkan apabila tidak melihat kelibat Lucas di atas padang Anfield pada awal pagi tadi. Beliau hanya masuk untuk beraksi sebagai pemain gantian untuk Aurelio. Sukar untuk difahami kerana pada perlawanan menentang Wigan ini, Aurelio merupakan salah seorang pemain terbaik Liverpool dengan beberapa hantaran lintang yang cukup berbahaya ke gawang gol Wigan. Mungkin kerana Rafa mahu menguasai bahagian tengah pada separuh masa kedua dan seterusnya menghalang serangan Wigan. Tindakan memasukkan Lucas ini juga dilihat sebagai strategi untuk memperkukuhkan barisan pertahanan Liverpool. Agak berbahaya jika ini yang mahu dilakukan kerana pada ketika itu, Liverpool hanya mendahului Wigan dengan jaringan 1-0 sahaja. Nasib baik Torres telah masuk ke padang dan menjaringkan gol kedua Liverpool untuk meredakan sedikit tekanan. Ngog walaupun menjaringkan gol pertama, saya lihat masih belum cukup tajam penyudahannya kerana beliau dihidangkan dengan banyak peluang di hadapan gawang Wigan. Teruskan usaha untuk menjadi penyerang yang lebih mantap dan kurangkan sikap pemalas untuk mengejar bola di atas padang. Penyerang yang baik adalah penyerang yang mampu mencipta sendiri peluang untuk menjaringkan gol. Di bahagian pertahanan Liverpool, Carragher telah mengisi bahagian pertahanan kanan menggantikan Johnson dan Skrtel telah mengambil tempat beliau di pertahanan tengah bersama-sama Agger. Insua mengisi posisi pertahanan kiri yang menyaksikan Aurelio beralih untuk mengisi posisi sayap kiri. Kelibat Aquilani di 10 minit terakhir sebagai pemain gantian turut menarik perhatian saya. Aquaman berjaya melakukan beberapa hantaran menarik dan back heel daripada beliau turut menyaksikan kita bakal menyaksikan seorang lagi pass master di dalam skuad Liverpool. Terdapat juga aksi sepakan gunting yang menarik daripada beliau tetapi percubaan tersebut dapat diselamatkan Kirkland. Diharapkan Aquilani dapat kekal bebas dari kecederaan dan gunakan musim pertama sepenuhnya untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan Liverpool dan liga perdana inggeris. Lawan berikutnya skuad Pompey tidak harus dipandang sebelah mata kerana prestasi mereka semakin baik di bawah Grant. Mereka semakin liat untuk ditewaskan dan Liverpool perlu bermain lebih baik daripada awal pagi tadi jika berhajat untuk membawa pulang tiga mata penuh dari Fratton Park pada hari sabtu ini.


YNWA

Wednesday, December 16, 2009

BPL : Shankly Mahukan Kemenangan

The Reds turun menentang Wigan a.k.a The Latics pada awal pagi ini dengan harapan untuk menamatkan badi kemerosotan prestasi yang masih belum pulih sepenuhnya. Ramai yang mengkritik persembahan Liverpool ketika menentang skuad senapang di Anfield pada hujung minggu lepas. Walau apa pun pendapat yang diberikan, itu adalah hak peribadi masing-masing. Saya masih menaruh harapan ke atas skuad Liverpool ini untuk kembali bangkit ke landasan kemenangan pada musim ini. Kenapa? Ini adalah kerana skuad Liverpool kini telah hampir kembali memiliki kesemua pemain-pemain utamanya. Sedikit masa diperlukan oleh pemain-pemain utama Liverpool untuk mengembalikan ketajaman sentuhan di atas padang. Diharapkan kita dapat memberikan persembahan terbaik di dalam tiga perlawanan selepas ini (Wigan, Portsmouth dan Wolverhampton). Saya menjangkakan gandingan Torres dan Gerrard akan kembali menunjukkan taring selepas ini. Walaupun pasukan yang dihadapi selepas ini kelihatan agak lemah, kita jangan tertipu dengan kedudukan mereka di dalam liga. Alpa ketika menentang mereka nanti maka semakin buruk padah yang akan menimpa. Kita perlu secepat mungkin untuk memastikan setiap keputusan perlawanan memihak kepada kita kerana jika masih dibuai mimpi indah, masa tidak menunggu kita untuk membuat perubahan.

Berbalik kepada perlawanan Liverpool di Anfield pada awal pagi nanti. Wigan a.k.a The Latics seperti yang kita ketahui adalah merupakan adalah antara lawan di liga perdana yang cukup liat untuk ditewaskan. Mereka kini yang diterajui oleh seorang lagi pengurus Sepanyol di liga perdana iaitu Roberto Martinez telah berjaya memperbaiki prestasi mereka selepas dibelasah 9-1 oleh pasukan dari London iaitu spur beberapa minggu yang lepas. Martinez menjangkakan Liverpool akan kembali mengisi slot Liga Juara-Juara Eropah pada musim depan kerana barisan pemain yang dimiliki cukup berkualiti untuk bersaing di peringkat domestik dan juga eropah. Namun pada awal pagi ini Martinez berharap akan dapat mengekploitasi krisis yang sedang dihadapi oleh skuad The Reds. Kapten Gerrard dan rakan-rakan harus berwaspada pemain-pemain Wigan seperti N’Zogbia, Scharner, Koumas dan juga penyerang utama mereka Rodallega. Jika diberi ruang, maka mereka mampu memudaratkan Liverpool.

Liverpool seperti yang saya katakan, hampir memiliki kesemua pemain-pemain utama yang mengalami kecederaan sebelum ini. Kecuali sedikit kecederaan ringan yang dialami oleh Mascherano dan Johnson, mereka dilaporkan bakal cergas sepenuhnya untuk turun pada awal pagi nanti. Jika gagal pulih sepenuhnya maka sedikit perubahan bakal dilakukan dengan Aquilani kini bersedia untuk diturunkan di bahagian tengah dan Skrtel akan beraksi di pertahanan tengah bersama-sama Agger dengan Carragher bermain di pertahanan kanan. Kapten Fantastik Gerrard dan penyerang utama Fernando Torres akan dijangka akan mengetuai skuad Liverpool pada awal pagi ini untuk menggempur kubu Wigan berhabis-habisan. Jika dilihat di atas kertas, tiada sebab untuk Liverpool mencicirkan mata pada awal pagi ini. Namun itu hanya di atas kertas, kemenangan hanya boleh dimiliki Liverpool pada awal pagi ini jika mampu mempamerkan prestasi terbaik di atas padang. Pada awal pagi ini juga Liverpool akan menyambut ulang tahun ke 50 memperingati perlawanan pertama pengurus lagenda Bill Shankly di Anfield. Oleh itu diharapkan kemenangan bakal dihadiahkan oleh pemain-pemain Liverpool sempena majlis ulang tahun ini. Kemenangan pasti akan lebih bermakna di dalam perlawanan menentang skuad The Latics ini. Berikut adalah barisan kemungkinan pemain-pemain yang akan diturunkan di Anfield pada awal pagi ini :

Formasi : 4-2-3-1

Barisan Kemungkinan :

RIENA

JOHNSON AGGER CARRAGHER AURELIO

AQUILANI MASCHERANO

KUYT GERRARD BENAYOUN

TORRES


Keputusan : 2-0 kemenangan kepada Liverpool. Gol dijaringkan oleh Gerrard dan Torres.

Perlawanan akan disiarkan secara langsung di Astro ESPN Rangkaian 812

17/12/09 Jam 0355 Pagi


YNWA

Tuesday, December 15, 2009

Parker : Buruan Terbaru The Reds?

Pengurus Liverpool, Rafa Benitez dikhabarkan sedang merancang untuk membuat bidaan ke atas pemain tengah West Ham, Scott Parker. Rafa kini dikatakan telah bersedia dengan tawaran 6 juta pound ke atas Parker apabila urusniaga perpindahan pemain dibuka semula pada awal Januari nanti. Pengurus Liverpool ini dikatakan akan mengambil risiko ke atas pasukan London ini yang mungkin terpaksa menjual pemain-pemain utama mereka kerana masalah hutang yang semakin membebankan. Keadaan ini akan diburukkan lagi jika mereka menolak bidaan 50 juta pound oleh David Gold dan David Sullivan untuk mengambilalih kelab. Untuk rekod, Gold dan Sullivan adalah bekas pemilik kelab Birmingham. Rafa turut dikatakan memerlukan kekuatan tambahan di bahagian tengah Liverpool yang dilihat kurang bertenaga sehingga sekarang. Liverpool yang kini telah keluar dari saingan Liga Juara-Juara Eropah dan berada pada tangga ketujuh liga perdana, akan menghadapi risiko terlepas daripada menyertai kejohanan utama Eropah itu pada musim depan jika beliau terlambat untuk membuat perubahan di Anfield.

Parker turut dikatakan sebagai pengganti kepada seorang lagi pemain tengah Liverpool iaitu Javier Mascherano yang sehingga kini masih belum menyatakan komitmen beliau sepenuhnya kepada Liverpool. Mascherano dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona pada musim panas yang akan datang tetapi jika Parker menyertai The Reds pada Januari ini, mereka berdua akan bermain bersama-sama selama lebih kurang enam bulan terakhir pada musim ini. Spekulasi ini sebenarnya mula timbul apabila Mascherano masih belum mengeluarkan kata putus mengenai masa depan beliau di Anfield. Jika benar Mascherano mahu angkat kaki, pemilihan Parker bersesuaian dengan Liverpool kerana beliau mampu membantu menjana serangan Liverpool daripada bahagian tengah selain mampu untuk bertahan dan mematahkan serangan pasukan lawan. Parker juga mampu dimiliki dengan harga yang munasabah buat Liverpool dan beliau merupakan pemain yang pernah menyarung jersi pasukan kebangsaan England. Disebabkan kekangan yang timbul disebabkan peraturan baru FIFA dan UEFA, buruan Rafa kini dilihat beralih arah kepada pemain-pemain England dan Parker menepati kriteria ini. Walaupun begitu, berita di atas hanya sebahagian daripada spekulasi media. Tidak diketahui sejauh mana kedudukan Mascherano di Anfield dan adakah benar West Ham mahu melepaskan aset berharga mereka ini kepada Liverpool. Bagi saya, adalah lebih baik mengekalkan Mascherano di Anfield dan pada masa yang sama mendapatkan Parker untuk memantapkan lagi bahagian tengah Liverpool dengan lebih banyak pilihan pemain.


YNWA

Monday, December 14, 2009

Carragher : Masih Mahu Berbakti


Penolong kapten dan pemain pertahanan tengah senior Liverpool, Jamie Carragher kini menanti tawaran kontrak baru Liverpool kepada beliau. Pemain senior Liverpool ini masih mempunyai baki kontrak sehingga hujung musim hadapan. Namun beliau masih mahu menyumbang bakti kepada Liverpool untuk beberapa tahun yang akan datang. Carragher yang kini berusia 31 tahun, masih mampu bermain dengan baik di barisan pertahanan Liverpool walaupun terdapat kritkan ke atas beliau pada awal musim ini. Carra yang kini telah kembali kepada tahap permainan terbaik beliau mahukan masa depan beliau di Anfield terjamin seperti pemain-pemain senior yang lain. Liverpool sehingga kini telah menyambung kontrak jangka panjang pemain-pemain senior yang lain seperti Gerrard, Torres, Agger serta Kuyt. Di dalam pada itu, Liverpool kini diberitakan akan mengikat Pepe Reina dan Javier Mascherano dengan kontrak baru tidak lama lagi.

Perbincangan mengenai kontrak baru untuk pemain-pemain lain telah ditangguhkan oleh Liverpool sehingga ke penghujung musim ini dan dijangkakan Carra hanya akan ditawarkan sambungan kontrak selama semusim sahaja. Perkara ini pasti akan mengecewakan Carra jika berlaku kerana beliau berkhidmat hanya untuk Liverpool di sepanjang kariernya dan status lagendanya telah terpahat di Anfield. Menurut seorang jurucakap Liverpool, banyak faktor yang akan diambilkira untuk kontrak baru apabila seseorang pemain mencapai umur seperti Carra. Antaranya adalah rekod prestasi, kecergasan dan kecederaan. Pintu perbincangan masih terbuka dan Liverpool akan mengambilkira semuanya apabila musim ini berakhir nanti. Kepada Carra, diharapkan beliau dapat bersabar untuk sedikit masa lagi dan perbincangan dengan Liverpool nanti akan membuahkan hasil yang positif buat kedua-dua belah pihak.


YNWA

Sunday, December 13, 2009

BPL : Jangan Lepaskan Peluang


Dengan hampir semua pencabar Big 4 untuk musim ini mencicirkan mata semalam, peluang kembali terbuka untuk Liverpool merapatkan kedudukan pada malam ini. The Reds menyambut kedatangan skuad senapang di Anfield di kala kedua-dua pasukan sedang bergelut untuk merebut tempat untuk ke Liga Juara-Juara Eropah pada musim hadapan. Kita semua sedia maklum, setiap lawan yang akan menentang Liverpool pasti akan bergebang besar sebelum perlawanan dan skuad senapang ini juga tidak terkecuali daripadanya. Mungkin mereka mahu mengenakan tekanan psikologi ke atas Liverpool. Jika itu permainan mereka, kita jangan termakan dengan perangkap yang dirancang. Lebih baik menumpukan perhatian ketika latihan dan juga lebih focus di atas padang padang malam ini. Jika dilihat keadaan kedua-dua pasukan, sebenarnya ada sedikit masalah di dalam skuad senapang pada kali ini. Mungkin keadaan itu menimbulkan sedikit kerisauan kepada mereka menghadapi perlawanan ini. Dengan kedua-dua pasukan merehatkan beberapa pemain utama di perlawanan terakhir peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah pada pertengahan minggu lepas, perlawanan pada malam ini pasti menarik.

Berbeza dengan skuad senapang, Liverpool kini memiliki hampir kesemua pemain utama yang mampu untuk diturunkan pada malam ini. Kehadiran Torres, Gerrard, Aquilani, Benayoun, Riera, Aurelio dan Agger pasti akan memberikan skuad yang lebih mantap kepada Liverpool. Kecederaan hampir semua pemain telah pulih dan bezanya hanya pada tahap kecergasan yang dimiliki oleh mereka. Mungkin ini yang bakal menjadi penentu siapa yang bakal diturunkan pada malam ini. Setelah sekian lama kita kempunan untuk melihat gandingan Torres dan Gerrard beraksi, pada malam ini mereka berdua dijangkakan akan mengetuai barisan Liverpool untuk membolosi kubu skuad senapang. Bukan saya mahu bercakap besar, tetapi di atas kertas kita memiliki pemain yang lebih mantap berbanding skuad senapang dan ditambah dengan kehadiran kapten serta penyerang utama kita selain bermain di Anfield, Liverpool mampu untuk merencanakan kemenangan pada malam ini.Namun itu di atas kertas, jika kita alpa seperti perlawanan musim lepas yang berakhir 4-4, tidak mustahil skuad senapang ini mampu untuk melakukan kejutan. Saya amat pasti, Carragher berserta rakan-rakannya yang lain akan memastikan Arshavin serta Fabregas dikawal sepenuhnya pada malam ini. Kedua-dua perancang skuad senapang ini merupakan penggerak mereka dan Liverpool perlu memastikan mereka tidak bebas untuk merancang sebarang gerakan pada perlawanan ini. Berikut adalah barisan terkuat Liverpool untuk musim ini jika diturunkan oleh Rafa Benitez di Anfield pada malam ini :

Formasi : 4-2-3-1

Barisan Kemungkinan :

RIENA

JOHNSON AGGER CARRAGHER AURELIO

AQUILANI MASCHERANO

KUYT GERRARD BENAYOUN

TORRES


Keputusan : 2-0 kemenangan kepada Liverpool. Gol dijaringkan oleh Gerrard dan Torres.

Perlawanan akan disiarkan secara langsung di Astro ESPN Rangkaian 812

13/12/09 Jam 1155 Malam


YNWA

Saturday, December 12, 2009

Mascherano : Masih Teka-Teki

Samada benar atau tidak spekulasi mengenai kedudukan pemain tengah Liverpool dan juga kapten skuad antarabangsa Argentina, Javier Mascherano masih belum terjawab. Mascherano sehingga kini masih bermain tarik tali dan berteka-teki mengenai kedudukan beliau di Liverpool. Sehingga laporan ini diterima, Mascherano masih berdolak-dalik dan enggan menyatakan komitmen beliau untuk menyambung kontrak dengan Liverpool. Jawapan beliau ialah hanya mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada tugas di dalam pasukan. Kenyataan ini timbul selepas pengurus Liverpool Rafa Benitez menyatakan ada perkembangan positif di dalam rundingan kontrak baru Mascherano. Persoalannya, siapa yang benar di dalam perkara ini?

Sikap Mascherano ini pasti kurang disenangi oleh para peminat Liverpool dan beliau pasti akan menjadi sasaran kritikan jika masih menyimpan cita-cita untuk ke kelab catalan.Mungkin juga Mascherano mahu memberikan tekanan ke atas Liverpool samada menaikkan gaji beliau atau berhijrah ke kelab baru. Tetapi mampukah beliau berbuat sedemikian setelah prestasi beliau agak mendatar pada musim ini? Dengan baki kontrak beliau yang hanya tinggal 18 bulan lagi, harapan untuk melihat beliau kekal di Anfield semakin pudar jika begini sikap yang beliau pamerkan. Jika dilihat pendekatan yang diambil Mascherano, ianya hampir sama dengan cara yang digunakan oleh Alonso pada musim lepas iaitu enggan menyatakan komitmen kepada Liverpool apabila ditanya oleh media. Bezanya, Alonso dikatakan mempunyai masalah dengan Rafa sementara Mascherano pula tidak punya sebarang persengketaan besar dengan Rafa. Jadi apa alasan yang akan digunakan Mascherano untuk angkat kaki dari Anfield? Samada Mascherano kekal atau tidak di Anfield sama-sama kita saksikan nanti. Bagi saya, jika seseorang pemain tidak lagi mempunyai hasrat untuk bermain untuk Liverpool, menunjukkan jalan keluar adalah cara terbaik. Tetapi minta maaflah kalau Barcelona bermimpi untuk memiliki Mascherano dengan harga yang murah. Paling kurang nilai beliau adalah 30 juta pound, namun diharapkan Liverpool mampu mendapatkan keuntungan maksimum sepertimana penjualan Alonso pada musim panas yang lepas. Kepada Mascherano, kata putus berada di tangan anda, kami mengalu-alukan jika anda masih mahu kekal di Anfield.


YNWA