Wednesday, September 30, 2009

UCL : Pertahanan Mengecewakan


Saya tersenyum tawar apabila perlawanan awal pagi tadi berakhir. Dengan mata yang agak berat dan ditemani oleh kesejukan di awal pagi yang amat mendinginkan setiap kali menonton perlawanan siaran langsung memang mencabar rasa mengantuk yang jelas menguasai diri. Namun dek kerana Liverpool, rasa mengantuk harus diatasi. Kenapa saya tersenyum? Gembirakah saya kerana Liverpool tewas buat kali ketiga musim ini? (di dalam semua pertandingan) Maaf, saya bukan hipokrit yang menyokong apabila Liverpool menang dan mengeluarkan pelbagai kutukan apabila pasukan kesayangan kita semua ini tewas. Saya bukan jenis peminat yang semata-mata sanggup menulis tentang pasukan lain (selain Liverpool) dan mengeluarkan kutukan kerana pasukan tersebut tewas. Itu tidak matang namanya dan berperangai seperti budak-budak yang kencingnya masih masih bertaburan di merata-rata tempat. Saya hanya berminat untuk menulis mengenai Liverpool, lingkup atau tidak pasukan lain itu bukan masalah saya sebagai peminat Liverpool. Baiklah kita kembali kenapa saya tersenyum tawar apabila pengadil perlawanan meniupkan wisel untuk menamatkan permainan pada awal pagi tadi. Liverpool sebelum bermulanya perlawanan, tidak pernah tewas selama hampir 2 tahun (lebih kurang 23 bulan) pada perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah (tidak termasuk peringkat kalah mati). Satu rekod yang cukup baik buat pasukan yang belanjawan untuk membeli pemainnya tidak bernilai ratusan juta ringgit setiap musim. Namun setiap rekod itu akan ada penamatnya dan semalam kita semua harus menerima hakikat bahawa, perancangan pengurus Fiorentina, Cesare Prandelli tepat mengenai sasaran. Bukan saya hendak memuji skuad La Viola ini tetapi mereka berhak dengan kemenangan semalam kerana Liverpool masih dihantui oleh masalah yang telah ditimbulkan oleh kita semua semenjak daripada musim ini bermula lagi.

Masalah yang saya maksudkan ialah barisan pertahanan yang cukup goyah apabila menghadapi serangan daripada La Viola yang diketuai oleh Mutu dan Jovetic. Seperti ulasan yang saya berikan sebelum perlawanan tersebut bermula, barisan pertahanan Liverpool semakin mudah untuk dibocori. Saya semakin tidak faham dengan apa yang berlaku di bahagian pertahanan Liverpool. Krisis keyakinankah yang dihadapi oleh barisan pertahanan Liverpool? Carragher dan Skrtel bukan lagi gandingan yang boleh diharapkan seperti musim lepas. Nada Rafa selepas perlawanan ini juga berubah apabila ditanya mengenai barian pertahanan beliau. La Viola menggunakan sepenuhnya kelemahan ini untuk melancarkan serangan demi serangan pada separuh masa pertama dan mereka berjaya menjaringkan dua gol melalui Jovetic. Walaupun ada yang berpendapat gol pertama adalah offside namun tiada gunanya kita bertelagah kerana itu adalah keputusan pengadil yang tidak boleh diubah. Pengadil juga agak menghairankan pada pagi tadi kerana terlalu banyak advantage yang diberikan sehinggakan sedikit sebanyak mengganggu tumpuan pemain Liverpool yang memang jelas dikasari oleh pertahanan La Viola. Torres yang banyak dikasari oleh pertahanan La Viola kerana mereka mahu merantai penyerang utama Liverpool ini sehingga pada satu ketika El Nino berhadapan dengan pengadil kerana tidak berpuas hati dengan corak permainan kasar mereka. Sepertimana yang saya bangkitkan semalam, jika Liverpool bolos terlebih dahulu, maka peluang untuk mengejar pasti akan lebih sukar kerana skuad La Viola ini cukup kebal di tempat sendiri. Dan itulah yang terbukti apabila mereka mendahului 2-0 pada separuh masa pertama. Walaupun bermula dengan garang pada separuh masa kedua setelah terkena basuhan mantap daripada Rafa, Liverpool ternyata gagal menembusi benteng pertahanan mereka. Persembahan Liverpool meningkat dengan mendadak pada separuh kedua dengan bola lebih banyak belegar di pintu gol Viola. Percubaan demi percubaan Liverpool melalui Torres, Gerrard, Kuyt, Benayoun tetap gagal untuk membolosi gol Viola. Penjaga gol mereka, Sebastien Frey juga banyak menangkis serangan Liverpool. Tetapi satu fakta menarik yang saya perolehi semasa perlawanan ini ialah Manyoo, Skuad senapang dan skuad biru merseyside juga turut tersungkur ketika hadir di stadium ini menentang skuad La Viola ini. Jadi, memang terbukti rekod skuad La Viola di tempat mereka sendiri ketika menentang pasukan dari England memang baik. Walaupun tewas, saya masih percaya Liverpool mampu bangkit pada perlawanan menentang skuad jambatan runtuh pada hujung minggu nanti. Jika kita boleh bermain sepertimana di separuh masa kedua menentang La Viola, tidak mustahil untuk Liverpool membawa pulang 3 mata penuh. Cuma Rafa harus sedar, beliau perlu berbuat sesuatu dengan barisan pertahanan Liverpool dan percaturan taktikal perlulah tepat pada kali ini kerana skuad jambatan runtuh memang akan memberikan cabaran yang lebih getir berbanding dengan La Viola. Liverpool juga mempunyai kelebihan masa rehat sehari berbanding dengan skuad jambatan runtuh. Diharapkan Mascherano kembali untuk perlawanan ini bagi memantapkan barisan tengah Liverpool. Ayuh bangkit Liverpool, tiada yang mustahil di dalam bolasepak. Mungkin ada hikmah di sebalik kekalahan ini.


YNWA

Tuesday, September 29, 2009

UCL : Torres - Gerrard Ancaman La Viola

Setelah menewaskan Hull 6-1 pada hari Sabtu yang lepas, Liverpool kembali ke persaingan Eropah pada awal pagi nanti. Liverpool akan bertandang ke Itali bagi menghadapi ACF Fiorentina di dalam perlawanan kedua peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah. Perlawanan di Stadium Artemio Franchi, Florence pasti akan lebih sengit buat skuad The Reds ini. Kemenangan ke atas Hull telah melonjakkan Liverpool ke tangga ketiga Liga Perdana Inggeris namun Fiorentina juga tidak kurang hebatnya di Serie A. Mereka telah berjaya menewaskan Livorno 1-0 untuk menduduki tempat ketiga di Serie A sekarang ini. Skuad Liverpool pada kali ini tidak akan dibarisi oleh Mascherano dan juga Benayoun kerana kedua-duanya dilaporkan tidak cergas sepenuhnya untuk bermain pada perlawanan menentang skuad La Viola ini. Peluang akan terbuka untuk pemain-pemain seprti Riera dan Babel untuk beraksi pada perlawanan ini. Kedua-dua mereka telah menunjukkan permainan yang baik semasa menentang Hull sebelum ini. Saya menjangkakan Liverpool akan menghadapi sedikit masalah di bahagian tengah kerana kehilangan Mascherano dan juga Benayoun. Pada perlawanan ini, kita memerlukan kapitan Gerrard berada pada tahap terbaik untuk mengemudi bahagian tengah Liverpool kerana saya amat pasti Lucas akan hanya lebih membantu bahagian pertahanan Liverpool yang agak goyah. Kita juga mengharapkan Torres untuk meneruskan kecemerlangan beliau di hadapan pintu lawan kerana prestasi penyerang utama Liverpool ini cukup mantap buat masa ini. Saya jugak mahukan Dirk Kuyt sedaya upaya membantu Gerrard dan Torres di dalam usaha mencari gol pada awal pagi nanti. Kita semua tahu Kuyt adalah antara pemain kesebelasan utama Liverpool yang mempunyai rekod jaringan yang cukup baik di Liga Juara-Juara Eropah.

Perkara yang tidak pernah saya lupakan setiap kali mengulas mengenai persediaan Liverpool sebelum perlawanan adalah mengenai kebimbangan terhadap barisan pertahanan kita yang goyah. Walaupun Rafa telah memberitahu beliau tidak risau akan masalah kebocoran pintu gol Liverpool ini kerana barisan serangan Liverpool cukup berbisa untuk menjaringkan gol. Namun harus saya tekankan di sini, Fiorentina amat mantap di barisan pertahanan dan mereka masih belum bolos di tempat sendiri pada musim ini dengan penjaga gol mereka, Sebastien Frey berada pada tahap prestasi terbaik. Pasti tugas sukar untuk Liverpool jika Fiorentina dapat menjaringkan gol pendahuluan pada perlawanan ini. Tugas untuk mempertahankan benteng Liverpool diperkukuhkan dengan berita bahawa penyerang utama Fiorentina, Alberto Gilardino yang digantung 2 perlawanan kerana menyiku pemain Lyon, Jeremy Toulalan pada perlawanan Liga Juara-Juara Eropah sebelum ini. Namun Carragher dan rakan-rakan barisan pertahanan yang lain seperti Skrtel, Johnson dan Insua tidak harus alpa dengan ancaman yang bakal diberikan oleh gandingan Mutu dan Jovetic kepada Liverpool. Terdapat juga kemungkinan yang akan berlakunya rusuhan penonton di perlawanan ini namun pihak polis telah mengetatkan kawalan di stadium bagi mengelakkan sebarang kekacauan berlaku sepertimana ketika Everton bertandang ke stadium ini untuk perlawanan Piala UEFA. Berikut adalah barisan kemungkinan Liverpool pada perlawanan awal pagi nanti :

Formasi : 4-2-3-1

Barisan Kemungkinan :

RIENA

JOHNSON SKRTEL CARRAGHER INSUA

LUCAS GERRARD

KUYT BABEL RIERA

TORRES


Keputusan : 1-0 kemenangan kepada Liverpool. Gol dijaringkan oleh Torres

Perlawanan akan disiarkan secara langsung di Astro ESPN Rangkaian 812 30/09/09 jam 0240 pagi


YNWA

Monday, September 28, 2009

Villa : Januari Di Anfield?

Menurut satu laporan yang diperolehi dari internet (jika benar), penyerang utama Sepanyol juga Valencia, David Villa kini menjadi sasaran Liverpool. Pengurus, Rafa Benitez dikatakan telah memulakan usaha untuk membawa penyerang utama Valencia ini ke Anfield apabila beliau diberitakan telah meminta pemilik Liverpool memberikan dana yang secukupnya untuk membolehkan perbincangan dengan Valencia dilakukan. Villa turut dikaitkan dengan Barcelona dan juga Real Madrid namun kedua-dua kelab itu memilih untuk mendapatkan Z;atan Ibrahimovic dari Inter dan Karim Benzema dari Lyon. Pemain antarabangsa Sepanyol ini dilaporkan kecewa kerana gagal untuk berpindah dari Mestalla namun sekarang perpindahan ke Liga Perdana Inggeris dikatakan menjadi pilihan beliau pada bulan Januari nanti. Rafa Benitez berpendapat Villa merupakan pemain yang mampu membawa kejayaan kepada Liverpool dan beliau telah membuat pertemuan dengan kedua-dua pemilik Liverpool untuk memohon agar diadakan dana yang cukup untuk mendapatkan Villa. Laporan tersebut turut menyatakan yuran perpindahan sebanyak 49 juta Euro mencukupi untuk menyakinkan Valencia supaya menjual bintang mereka itu yang telah menjaringkan 28 gol di La Liga pada musim lepas.

Jika perpindahan ini berlaku maka Liverpool berjaya menyatukan gandingan serangan utama Sepanyol iaitu Torres dan Villa di Anfield. Terlalu banyak spekulasi mengenai Villa pada musim panas yang lepas namun satu pun tidak menjadi kenyataan dan penyerang Sepanyol ini kekal di Valencia. Sukar untuk kita melihat Villa tiba di Anfield jika melihat kepada kedudukan kewangan Liverpool sekarang dengan pemilik yang hanya tahu membuat hutang. Namun kita semua tahu yang Rafa Benitez adalah antara pengurus yang amat berminat untuk mendapatkan khidmat Villa. Mungkin berita ini agak sukar untuk dipercayai namun kita harus ingat tiada yang mustahil di dalam bolasepak. Sejauh mana akan kebenaran berita ini, sama-sama kita saksikan apabila urusniaga perpindahan akan dibuka semula pada bulan Januari 2010 nanti.


YNWA

Sunday, September 27, 2009

BPL : Harimau Belang Dijinakkan

Menyaksikan perlawanan Liverpool menentang Hull semalam pada awalnya agak menggusarkan saya. Pada mulanya saya sedikit lega apabila Torres berjaya menjaringkan gol pertama pada minit ke 12. Namun setelah gol tersebut dijaringkan Liverpool mula kelihatan sedikit goyah di barisan pertahanan. Carragher dan Skrtel kelihatan kelam-kabut dan tidak fokus di dalam usaha mereka untuk mempertahankan pintu gol Liverpool. Dan akibatnya, hasil daripada assist yang cantik dari Skrtel kepada Giovanni di depan pintu gol Liverpool, pemain tengah Hull itu berjaya merembat masuk bola dan menewaskan Pepe Reina. Pada kedudukan 1-1 ini, saya mula berasa tidak sedap hati dan membayangkan igaun ngeri pada musim lepas ketika menentang skuad harimau belang ini bakal berulang lagi. Apabila Hull melancarkan serangan, barisan pertahanan kita kelihatan teragak-agak untuk menangkis serangan mereka. Ramai yang berpendapat tidak kisah untuk bolos asalkan kita mampu untuk menjaringkan gol dan memenangi perlawanan. Memang tepat pendapat anda semua kerana Liverpool kini telah bertukar kepada pasukan yang berteraskan kepada corak serangan. Tetapi apa yang menimbulkan persoalan saya ialah kita pasti akan menghadapi masalah jika menghadapi pasukan yang lebih mantap dari Burnley, Stoke mahupun Hull serta Bolton dan West Ham. Contoh yang paling ketara ialah ketika menentang Aston Villa tempohari, kita gagal bangkit setelah dibolosi sebanyak 3 gol dan pertahanan Villa menutup terus ruang untuk pemain-pemain kita untuk menjaringkan gol. Dapatkah anda bayangkan jika kita berdepan dengan pasukan-pasukan elit Liga Perdana seperti skuad senapang, manyoo ataupun skuad jambatan runtuh? Mereka jelas mempunyai keupayaan untuk menjaringkan gol dan bertahan dengan baik. Saya yakin dengan barisan serangan Liverpool namun barisan pertahanan tidak harus alpa kerana bagi saya walaupun kita kini suka menyerang, tidak bermakna barisan pertahanan kita dengan mudah untuk dibolosi. Jika bolos 1 gol, saya masih yakin kita mampu untuk mengejar. Tetapi bagaimana jika kita bolos 2 atau 3 gol, tugas untuk mengejar pasti akan menjadi sukar. Saya banyak menggunakan perkataan mengejar kerana Liverpool lambat panas di awal-awal perlawanan semenjak kebelakangan ini. Perlawanan dengan Hull semalam Liverpool hanya mampu menjaringkan 2 gol sahaja di separuh masa pertama dan 2 gol masih belum mampu membunuh lawan jika barisan pertahanan kita amat mudah dibolosi. Sehingga sekarang Liverpool telah menjaringkan 22 gol di dalam 7 perlawanan liga (purata 3 gol satu perlawanan) dan bolos 10 gol (purata 1.5 gol satu perlawanan). Satu jumlah yang agak membimbangkan dan saya berharap Rafa dapat melakukan sesuatu untuk mengatasi masalah ini. Agger telah bersedia untuk kembali ke skuad utama dan beliau harus diberi peluang untuk menggantikan Skrtel. Dan kita perlukan seorang pemain pertahanan yang mampu menjaringkan gol melalui tandukan seperti Hyypia dan Skrtel kelihatan seperti tidak mampu melakukan apa-apa bila sepakan sudut diperolehi oleh Liverpool.

Berbalik kepada perlawanan dengan Hull semalam, setelah Torres berjaya menjaringkan gol kedua Liverpool barulah saya sedikit lega. Saya jangkakan Rafa akan melakukan basuhan pada masa rehat dan ianya terbukti apabila Liverpool bermula dengan garang pada separuh masa kedua. Sejurus 2 minit perlawanan separuh masa kedua bermula, Torres melengkapkan hatrik pertama beliau pada musim ini. Dan bermula daripada situ, Liverpoool tidak memandang kebelakang lagi dengan melancarkan serangan bertubi-tubi ke atas pintu gol Hull bagi menambahkan jaringan. Kapitan Gerrard yang akan agak senyap di perlawanan ini (mungkin kerana bermain di posisi yang lebih bertahan) telah berjaya menjaringkan gol magic dari bahagian kiri pintu gol Hull. Bola lambungan tinggi beliau kepada bahagian serangan Liverpool terus singgah ke dalam gol Hull. Saya jangkakan gol beliau ini akan menjadi antara pencabar untuk anugerah gol terbaik musim 09/10 nanti. Pada kedudukan 4-1, Rafa mengambil tindakan untuk mengeluarkan Torres, Gerrard dan Benayoun sebagai persediaan untuk menghadapi perlawanan menentang Fiorentina di pertengahan minggu nanti. Namun pemain yang dibawa masuk iaitu Babel, Voronin serta Mascherano tidak menghampakan. Babel dengan 2 jaringan tambahan pada malam tadi termasuklah gol tampanan hasil daripada percubaan Riera serta tap in hasil daripada umpanan Kuyt. Nampaknya Babel semakin sesuai bermain di posisi serangan. Voronin serta Mascherano turut bermain dengan baik dengan Voronin berjaya membuat beberapa umpanan merbahaya serta percubaan-percubaan beliau yang mencemaskan pintu gol Hull. Riera juga bermain baik walaupun pada awal-awal perlawanan, larian-larian beliau agak mengecewakan. Lucas? Minta maaf kawan-kawan, saya masih belum mampu untuk memuji permainan beliau. Saya lebih berminat jika Mascherano menjadi jeneral di tengah padang. Jika pada perlawanan menentang Chelsea nanti, Lucas berjaya menjinakkan Lampard, Essien serta Ballack maka barulah saya boleh mengatakan persembahan beliau telah meningkat. Aquaman diberitakan telah mula berlari dan Lucas anda tidak seharusnya terkejut jika diketepikan daripada kesebelasan utama kerana anda telah beribu kali diberikan amaran untuk meningkatkan prestasi. Dan kita semua juga jangan terkejut jika Rafa membuat magic dengan menggugurkan Mascherano daripada bergandingan dengan Aquaman nanti. Insua serta Johnson juga hidup di kedua-dua bahagian sayap Liverpool. Harus diingat, kita hanya berhadapan dengan pasukan yang secara purata adalah biasa sahaja pencapaian mereka di dalam liga. Namun apabila menghadapi lawan yang lebih mantap seperti Spurs dan Villa, kita seperti kehilangan punca. Bulan Oktober nanti kita bakal menghadapi skuad jambatan runtuh dan juga manyoo. Dari situ barulah kita boleh mengukur keupayaan sebenar kita pada musim ini. Saya tidak mahu kita menjadi pasukan yang handal hanya apabila berhadapan dengan pasukan yang biasa sahaja tahap permainannya tetapi hilang punca apabila berhadapan lawan yang lebih mantap. Walaupun Cech tidak beraksi apabila bertemu kita pada minggu depan, itu bukan alasan untuk kita mengambil mudah perlawanan menentang skuad jambatan runtuh nanti. Sebelum itu, kita harus fokus kembali kepada perlawanan Liga Juara-Juara Eropah menentang Fiorentina di tempat lawan pada pertengahan minggu ini sebelum menghadapi skuad jambatan runtuh. Kepada skuad Liverpool, Tahniah di atas kemenangan besar 6-1 ke atas Hull semalam dan memadamkan terus memori keputusan seri 2-2 di Anfield pada musim lepas.


YNWA

Saturday, September 26, 2009

BPL : Harimau Belang Ujian Di Anfield


Liverpool akan menyambut ketibaan skuad harimau belang a.k.a Hull City di Anfield pada malam ini. Perlawanan ini merupakan perlawanan ketujuh Liga Perdana Inggeris untuk Liverpool pada musim ini. Di atas kertas, Liverpool kelihatan terlalu kuat buat skuad harimau belang yang diterajui oleh Phil Brown ini. Jika melihat prestasi semasa Liverpool telah menang 3 kali berturut-turut di liga dan 5 kali berturut-turut di dalam semua pertandingan. Sementara skuad harimau belang ini hanya mengutip 4 mata sahaja di dalam 6 perlawanan liga perdana setakat ini. Liverpool tidak melaporkan sebarang masalah kecederaan pemain utama dan dijangkakan turun dengan barisan yang hampir sama semasa menentang West Ham minggu lepas. Rata-rata rakan bloggers berpendapat peluang Liverpool untuk mendapatkan 3 mata penuh pada malam ini amat cerah. Saya bersetuju dengan pendapat anda semua dan tiada yang lebih penting selain dari 3 mata penuh pada malam ini untuk mengukuhkan kedudukan Liverpool di liga. Sebarang keputusan seri atau kalah akan merugikan Liverpool pada malam ini. Walaupun kita semua optimis untuk menang pada malam ini, perlu saya ingatkan Hull telah datang ke Anfield pada musim lepas dan berjaya membawa pulang 1 mata apabila mereka berjaya memaksa keputusan seri 2-2 dengan Liverpool. Malah mereka mendahului 2-0 pada 22 minit pertama sebelum kapitan Gerrard menjaringkan 2 gol untuk mengikat kedudukan. Keputusan seri ini adalah antara 7 keputusan seri di Anfield pada musim lepas yang menyebabkan Liverpool membayar harga yang mahal ke atas kejuaraan liga. Saya juga amat berharap agar pertahanan Liverpool yang diketuai oleh Carragher dapat bermain dengan baik dan jika boleh tidak bolos pada perlawanan malam ini.

Skuad harimau belang yang bakal dihadapi pada malam ini tidak sama dengan skuad harimau belang pada musim lepas. Selepas mereka melepaskan pemain tengah terbaik mereka, Micheal Turner kepada Sunderland, skuad ini mengalami kemerosotan mendadak selepas persembahan baik mereka menentang Chelsea di tempat lawan pada awal musim. Mereka hampir memaksa Chelsea dengan keputusan seri sebelum gol minit terakhir memusnahkan impian mereka. Kedudukan pengurus mereka Phil Brown dikatakan turut tergugat dengan kemerosotan prestasi ini. Hull berada di hujung tanduk pada musim lepas daripada disingkirkan dari liga perdana tetapi mereka terselamat dengan pungutan mata yang berjaya dikutip pada awal musim 08/09. Namun pada kali ini, nasib mereka tidak sebaik musim lepas dan mereka adalah antara calon utama untuk tersingkir dari liga perdana. Saya tidak mahu mengambilkira apa masalah yang berlaku ke atas Hull kerana jika Liverpool bermain sambil lewa pada perlawanan malam ini, skuad harimau belang ini mampu menghukum kealpaan kita. Liverpool perlu fokus pada perlawanan pada malam ini dan jika boleh memusnahkan Hull seawal yang mungkin untuk memusnahkan keyakinan mereka. Waspada dengan percubaan set piece dan juga permainan corak bertahan (jika dilakukan oleh Hull) pada malam ini. Dan tidak dilupakan kepada bekas pemain Reading yang kini bersama-sama Hull iaitu Stephen Hunt yang pernah mengecewakan Liverpool satu ketika dahulu. Carra dan rakan-rakan sepasukan di bahagian pertahanan perlu berhati-hati dengan pemain ini. Hanya kemenangan yang dicari oleh Liverpool pada perlawanan malam ini untuk terus mengibarkan cabaran di Liga Perdana Inggeris 09/10. Berikut adalah barisan kemungkinan Liverpool pada malam ini.

Formasi : 4-4-1-1

Barisan Kemungkinan :

RIENA

JOHNSON SKRTEL CARRAGHER AURELIO

KUYT LUCAS MASCHERANO BENAYOUN

GERRARD

TORRES


Keputusan : 2-0 kemenangan kepada Liverpool. Gol-gol dijaringkan oleh Torres dan Gerrard

Perlawanan akan disiarkan secara langsung di Astro StarSport Rangkaian 813 26/09/09 jam 0955 malam


YNWA

Friday, September 25, 2009

Liverpool : Belanjawan Ciput Hingga 2014


Para peminat Liverpool di seluruh dunia telah dikejutkan dengan pengumuman oleh sebuah firma perlaburan iaitu Rothschild and Merrill Lynch semalam. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh firma ini, Liverpool akan dikenakan belanjawan terhad sebanyak 20 juta pound semusim selama 5 musim sehingga 2014. Apakah belanjawan terhad ini? Menurut firma tersebut belanjawan terhad ini merangkumi semua aktiviti jual beli pemain baru pada musim-musim yang akan datang. Ianya juga termasuklah pembaharuan kontrak yang bakal diberikan kepada pemain-pemain kesebelasan utama. 20 juta pound setiap musim selama 5 musim dan ditambah akan ada pengurangan di dalam belanjawan tersebut jika ada pemain yang ditawarkan kontrak baru pada musim-musim yang akan datang? Lebih baik bawa pasukan Liverpool ini dan bermain di divisyen dua Inggeris jika itu belanjawan yang digebangkan oleh pemilik-pemilik amerika tersebut. Janganlah memperbodohkan para peminat Liverpool, adakah bijak untuk meletakkan belanjawan membeli pemain baru dan memberikan kontrak baru kepada pemain sedia ada di dalam satu akaun? Patutlah bila ditanya mengenai belanjawan pasukan, samada Hicks atau Gillett dengan pantas memberikan jawapan “20 juta pound”. Sekarang kita tahulah mengapa angka 20 juta pound ini kerap bermain di mulut mereka. Dan terjawablah juga mengapa Rafa terpaksa menjual pemain dahulu sebelum beliau membeli pemain baru. Rafa terpaksa menghadapi keadaan ini sehingga 2014!!! Persoalan buat kita semua para peminat Liverpool, berapa lama Rafa akan bertahan dengan keadaan ini? Perlu diingatkan Rafa meninggalkan Valencia untuk menyertai Liverpool dahulu disebabkan oleh perkara yang sama iaitu pertikaian mengenai belanjawan yang boleh dikeluarkan oleh kelab untuk membeli pemain-pemain baru. Dan perkara yang sama hampir berulang kembali di Liverpool.

Sungguh memalukan keadaan ini kerana sebagai sebuah kelab yang cukup tersohor di dunia bolasepak dan bermain di Liga Juara-Juara Eropah hampir setiap musim, belanjawan 20 juta pound setiap musim ini bagaikan langit dengan bumi berbanding dengan belanjawan pasukan-pasukan utama lain di Liga Perdana Inggeris. Bagaimana kita hendak bersaing untuk merebut gelaran Liga Perdana Inggeris jika peluang untuk mendapatkan pemain-pemain terbaik dihadkan oleh belanjawan ini? Nampaknya semakin sukar buat Liverpool untuk memberikan saingan jika beginilah keadaannya di Anfield. Mempunyai pemilik-pemilik yang hanya pandai membuat hutang dan kemudiannya hanya mencari jalan untuk mendapatkan pembiayaan semula untuk hutang tersebut bukanlah cara yang bijak untuk menguruskan sebuah kelab bolasepak seperti Liverpool. Dalam bahasa yang lebih mudah, jika tidak berduit janganlah bercita-cita untuk menguruskan sebuah kelab Liga Perdana Inggeris, lebih-lebih lagi sebuah kelab gergasi seperti Liverpool. Sesuatu yang harus difahami oleh pemilik-pemilik ini, jika mahu terlibat dengan kelab seperti Liverpool, pelaburan yang diperlukan bukanlah puluhan juta tetapi mampu mencapai ratusan juta malah berbilion pound jika mahukan pasukan tersebut berjaya. Dan kekuatan kewangan ini perlu ada di dalam poket pemilik sendiri dan bukannya membuat pinjaman dari bank. Alasan seperti Liverpool perlu berhati-hati berbelanja supaya tidak menerima nasib seperti Leeds United tidak boleh digunapakai kerana seperti yang saya tegaskan sebelum ini, pemilik perlu mempunyai kekuatan kewangan sendiri dan bukannya membuat hutang untuk menguruskan kelab. Kita mungkin boleh memberikan ruang untuk pemain-pemain muda beraksi serta menjual pemain-pemain yang tidak diperlukan di dalam skuad utama. Namun itu bukanlah penyelesaian terbaik kerana kita juga perlu mendapatkan pemain-pemain bertaraf bintang seperti David Villa atau Franck Ribery jika berhajat untuk menguasai Liga Perdana Inggeris dan juga Eropah. Mungkin sudah tiba masanya Hicks dan Gillett ditunjukkan jalan keluar dari Anfield kerana mereka semakin tidak digemari oleh para peminat. Dan kepada Parry dan Moores, mungkin anda akan dimakan sumpah peminat kerana disebabkan “kecerdikan” anda berdua yang menyebabkan Liverpool berada di dalam keadaan sekarang.


YNWA

Thursday, September 24, 2009

Mascherano : Perlu Kawal Kepala Angin

Pemain tengah Liverpool dan juga kapten skuad antarabangsa Argentina, Javier Mascherano hari ini terlepas daripada dikenakan hukuman oleh FA England atas kesalahan mengasari penyerang Leeds United Jermaine Beckford pada perlawanan pusingan ketiga Piala Carling pada awal pagi Rabu yang lepas. Perlawanan yang diadakan di Elland Road itu menyaksikan beberapa pertembungan di antara kedua-dua pemain di atas padang di dalam usaha mereka untuk menguasai bola. Mascherano dituduh menyiku Beckford di kepala beliau menggunakan tangan kanan selepas berlaku pergelutan di antara mereka berdua. Walaubagaimanapun, Mascherano terlepas dari dikenakan sebarang tindakan selepas pengadil perlawanan, Alan Wiley yang diminta untuk melihat semula rakaman video perlawanan tersebut mengesahkan beliau sedar tentang kejadian tersebut dan kekal dengan keputusan untuk tidak melayangkan kad merah kepada Mascherano. Pemain tengah Liverpool ini berhadapan kemungkinan digantung tiga perlawanan jika beliau disabitkan dengan kesalahan tersebut. Berita ini pasti menggembirakan keseluruhan kem Liverpool kerana jika Mascherano digantung, bahagian tengah akan semakin goyah dengan ketiadaan beliau. Mascherano perlu berhati-hati dengan perangai kepala angin beliau ini. Ini kerana sebelum ini beliau pernah terlibat di dalam beberapa insiden yang akan merugikan beliau dan juga Liverpool. Kita semua pasti masih ingat peristiwa ketika menentang Manyoo di tempat lawan beberapa tahun yang lepas dimana kerana keceluparan mulut, Mascherano telah dibuang padang dan seterusnya menganggu rentak persembahan Liverpool. Beliau juga telah ditenteramkan sehingga ke luar padang oleh Rafa kerana kemarahannya kepada pengadil. Kepada Mascherano, anda adalah seorang pemain profesional. Tidak perlu untuk anda membuat perlakuan seperti anak kecil yang jelas akan merugikan diri anda sendiri. Sebagai pemain tengah Liverpool yang cukup berkaliber, anda seharusnya lebih tenang menghadapi situasi dimana lawan cuba menimbulkan provokasi terhadap anda. Mungkin kali ini anda terlepas tetapi janganlah terkejut jika dikenakan hukuman oleh FA England selepas ini jika terbabit lagi dengan insiden seperti di Elland Road disebabkan kegagalan anda mengawal perangai kepala angin ini. Anda berhak untuk bermain agresif kerana itu sememangnya Mascherano yang kami semua kenali tetapi untuk bertindak membalas provokasi pihak lawan, anda perlu berfikir dengan lebih matang sebelum terjebak dengan perangkap lawan.


YNWA

Wednesday, September 23, 2009

Carling : Ngog Penyelamat Maruah

Menang 1-0 ke atas Leeds United di perlawanan pusingan ketiga Piala Carling pada awal pagi tadi dengan persembahan di atas padang yang cukup hambar. Hambar kerana saya sudah menjangkakan Liverpool akan menurunkan kesebelasan simpanan yang jelas tidak dapat bermain sepertimana kesebelasan utama. Hanya Mascherano dan Carragher sahaja yang pemain skuad utama yang disenaraikan oleh Rafa di dalam perlawanan ini. Carragher masih kelihatan agak goyah sepertimana perlawanan-perlawanan sebelum ini. Apa yang berlaku kepada penolong kapten Liverpool ini? Saya berharap beliau akan memberikan jawapan kepada kemerosotan prestasi beliau pada satu masa nanti. Mascherano bermain baik untuk mengemudi barisan tengah dengan seorang lagi pemain muda Liverpool, Jay Spearing. Saya agak gembira melihat semula penampilan penuh pemain pertahanan kiri Liverpool dari Brazil, Fabio Aurelio. Dossena, Degen dan Kyrgiakos juga mendapat peluang untuk beraksi pada perlawanan ini. Selain daripada mereka, Riera, Babel, Cavalieri serta Ngog turut dipertaruhkan oleh Rafa untuk mengemudi cabaran Liverpool pada awal pagi tadi. Walaupun terbaca mengenai komen Rafa tentang kekuatan skuad Liverpool, saya masih mempunyai keraguan. Bagi saya, jika dilihat daripada perlawanan menentang Leeds semalam, kesebelasan simpanan masih belum mampu memikul tugas kesebelasan utama. Bukan saya tidak optimis dengan Liverpool tetapi kita perlu sedar akan kekurangan ini dan berusaha untuk memperkukuhkan kesebelasan simpanan ini. Perlawanan semalam jelas dikuasai oleh Leeds dengan serangan bertali arus yang dilancarkan oleh mereka ke atas gawang Liverpool samada di separuh masa pertama dan juga separuh kedua. Mereka juga berjaya memperolehi gol melalui Beckford tetapi Liverpool bernasib baik jaringan tersebut dibatalkan kerana offside. Selain Beckford, pemain-pemain Leeds yang lain seperti Snodgrass, Becchio, Johnson, serta Howson dan Doyle turut mengancam gawang Liverpool.

Gol Liverpool pada separuh masa kedua dijaringkan oleh Ngog pada minit ke 66 melalui umpanan yang cukup cantik dari tengah padang oleh Mascherano. Nampaknya Ngog semakin menonjol permainan beliau dan seharusnya perlu diberi lebih banyak peluang untuk beraksi di atas padang. Rafa membuat beberapa pertukaran dengan memasukkan Johnson, Gerrard dan juga Skrtel untuk memperkuatkan kedudukan Liverpool. Kehadiran pemain-pemain senior ini telah mengubah corak permainan Liverpool dengan beberapa percubaan bahaya ke arah pintu gol Leeds termasuklah satu percubaan rembatan peluru berpandu Gerrard yang berjaya ditepis oleh penjaga gol Leeds, Higgs. Liverpool berjaya menyerap asakan Leeds untuk membawa pulangan kemenangan 1-0 dan tempat di pusingan keempat Piala Carling nanti. Rafa perlu memikirkan taktikal yang lebih baik di pusingan keempat nanti jika tidak mahu berputih mata serta dikritik kerana memandang rendah akan pertandingan ini. Kedudukan Mascherano turut menjadi persoalan kerana beliau dilaporkan terlibat di dalam pertelingkahan di atas padang dengan Beckford. Walaupun pengadil, Wiley tidak mengenakan apa-apa tindakan ke atas Mascherano di atas insiden tersebut, FA England dijangka akan meneliti rakaman video ke atas insiden tersebut. Satu persoalan yang bermain di fikiran saya, di manakah hilangnya Lucas? Batang hidung beliau di bangku simpanan pun tidak kelihatan. Takkanlah beliau begitu penting sehingga direhatkan sepenuhnya untuk perlawanan ini sedangkan pemain-pemain senior yang lain seperti Gerrard, Torres, Skrtel serta Johnson turut disenaraikan di bangku simpanan.


YNWA

Tuesday, September 22, 2009

Carling : Jangan Main-Main


Pertarungan Piala Carling menentang Leeds United di Elland Road pada awal pagi ini pasti akan mengimbas semula kenangan sebagai musuh lama di Liga Perdana Inggeris pada satu ketika dahulu. Leeds yang kini beraksi di League One England dan diterajui oleh pengurus Simon Grayson pasti tidak akan melepaskan peluang untuk menguji kekuatan musuh lama pada awal pagi nanti. Leeds United kini menguasai persada League One mendahului satu lagi pasukan lama Liga Perdana Inggeris iaitu Charlton Athletic. Walapun pertemuan kali ini berlangsung di pentas berbeza namun Leeds tetap pasukan yang perlu dihormati dan berbahaya apabila mereka beraksi di hadapan penonton sendiri. Pengurus Liverpool, Rafa Benitez telah melaungkan amaran bahawa buruk padahnya jika para pemain Liverpool akan beraksi sambil lewa pada perlawanan ini. Rafa juga telah membayangkan akan menukarkan barisan utama beliau pada perlawanan pada malam ini. Menurut beliau penukaran ini perlu dilakukan agar beliau dapat melihat para pemain lain beraksi di kesebelasan utama. Samada pemain utama atau simpanan, Liverpool perlu menang pada perlawanan awal pagi ini untuk meneruskan kemaraan di dalam Piala Carling di samping mengelak kritikan berterusan ke atas pasukan. Berikut adalah barisan pemain yang mungkin akan diturunkan pada perlawanan awal pagi nanti :

Formasi : 4-4-2

Barisan Kemungkinan :

DIEGO

DEGEN KYRGIAKOS AGGER DOSSENA

BABEL SPEARING LUCAS AURELIO

NGOG VORONIN


Keputusan : 3-2 kemenangan kepada Liverpool. Gol-gol dijaringkan oleh Voronin, Ngog dan Agger

Perlawanan akan disiarkan secara langsung di Astro Supersport Rangkaian 811 23/09/09 jam 0240 pagi


YNWA

Monday, September 21, 2009

Torres : El Nino - My Story


Sebelum perlawanan menentang West Ham pada hari Sabtu yang lalu, para peminat Liverpool telah membanjiri Anfield bagi menyaksikan penyerang utama Liverpool, Fernando Torres melancarkan autobiografi sulung beliau. Pelancaran autobiografi yang bertajuk “Torres : El Nino – My Story” telah disempurnakan oleh pemain antarabangsa Sepanyol ini pada hari Khamis minggu lepas. Para peminat tidak melepaskan peluang untuk menemui bintang pujaan mereka ini bermula dari jam 8 pagi sehinggalah jam 3 petang. Torres juga tidak melepaskan peluang tersebut untuk menemui para peminat Liverpool dan beramah mesra dengan mereka semua serta menandatangani buku yang dibeli oleh para peminat. Autobiografi “Torres : El Nino – My Story” menceritakan tentang bagaimana pemain berusia 25 tahun ini memulakan karier bolasepaknya bermula di jalanan berhampiran dengan Stadium Vicente Calderon, gelanggang keramat pasukan Atletico Madrid. Autobiografi ini juga menceritakan bagaimana perpindahan Torres ke Anfield telah membolehkan beliau menjadi antara penyerang yang paling digeruni di dunia bolasepak. Autobiografi yang menceritakan dengan terperinci mengenai pencapaian Torres sehingga sekarang boleh menjadi koleksi peribadi para peminat Liverpool di seluruh dunia.


YNWA

Sunday, September 20, 2009

BPL : Gracias El Nino

Terima Kasih Torres!!! Hanya itu ungkapan yang boleh saya ucapkan apabila perlawanan menentang West Ham berakhir pada malam tadi. Jika tidak kerana ketajaman penyudah penyerang utama Liverpool ini menemui sasaran, sudah pasti kita akan pulang dengan berputih mata dari Upton Park. Liverpool berjaya menewaskan skuad The Hammers dengan keputusan 3-2 setelah berjaya mengatasi kebangkitan berani mereka untuk mencari gol penyamaan sehingga ke akhir perlawanan. Liverpool yang bermula dengan jersi serba putih (jersi tempat lawan) buat kali pertama pada musim ini. The Reds bermula dengan baik dan menguasai perlawanan sehinggalah Torres membuka jaringan pertama pada minit ke 20 melalui gerakan solo yang menarik hasil daripada hantaran Insua. Torres berjaya menewaskan beberapa pemain pertahanan West Ham dengan larian pantas beliau ke dalam kotak penalti sebelum menyepak dengan kemas dan menewaskan penjaga gol Hammers, Green. Saya agak kecewa dengan kedua-dua pemain pertahanan tengah Liverpool iaitu Carragher dan Skrtel yang agak goyah pada separuh masa pertama. Carragher juga menghadiahkan penalti kepada West Ham pada minit ke 29 setelah mengasari Hines di dalam kotak penalti Liverpool. Hines merupakan antara pemain West Ham yang cukup menonjol pada malam ini selain daripada Cole. Penalti tersebut telah disempurnakan oleh Diamanti walaupun terdapat sedikit keraguan mengenai cara penalti tersebut disempurnakan. Selain daripada itu, kedua-dua mereka kelihatan gagal merantai Cole dengan baik pada perlawanan ini. Hanya di separuh masa kedua, permainan mereka berdua sedikit meningkat hasil daripada basuhan Rafa di waktu rehat. Johnson dan Insua bermain baik di sebelah kanan dan kiri barisan pertahanan Liverpool. West Ham kehilangan Upson dan Behrami pada separuh masa pertama kerana kecederaan. Mereka digantikan oleh Gabiddon dan juga Kovac. Ini turut membantu Liverpool untuk menguasai bola di tengah padang. Gol kedua Liverpool dijaringkan oleh Kuyt pada minit ke 41 hasil daripada tandukan oleh Kapitan Gerrard yang menyambar bola daripada sepakan sudut oleh Benayoun. Kegembiraan Liverpool tidak lama kerana selepas itu, West Ham menyamakan kedudukan 2-2 melalui jaringan tandukan oleh Cole yang menyambar sepakan sudut yang diambil oleh Noble. Kelemahan Liverpool terdedah lagi dengan gol jaringan melalui set piece ini. Separuh masa pertama berakhir dengan keputusan 2-2 yang agak mengecewakan.

Liverpool bermula agak garang pada separuh masa kedua dengan memaksa West Ham untuk lebih banyak bertahan pada separuh masa kedua. Pemain-pemain West Ham yang kelihatan sudah keletihan telah membuka peluang lebih luas kepada Liverpool untuk menguasai bola. Mereka terpaksa bermain dengan lebih bertahan di dalam menangkis serangan Liverpool yang semakin bertali arus. Rafa membuat petukaran yang bijak dengan memasukkan Babel menggantikan Kuyt pada minit ke 60 untuk bermain di sayap kanan. Dan pertukaran ini membuahkan hasil apabila Babel melintangkan bola kepada Torres dan penyerang utama Liverpool tidak menghampakan dengan jaringan ketiga untuk Liverpool. Itu merupakan jaringan kelima Torres pada musim ini di dalam 6 perlawanan Liga Perdana Inggeris pada musim ini. Babel juga bermain agak baik pada malam ini dengan beberapa hantaran lintang yang cukup baik ke dalam kotak penalti West Ham. Jika beliau meneruskan corak permainan kurang tamak seperti di dalam perlawanan ini, tidak mustahil beliau akan memperolehi lebih banyak peluang untuk bermain selepas ini. Gol ketiga Liverpool ini telah membuka kembali permainan dengan West Ham cuba untuk mendapatkan gol penyamaan. Namun Liverpool dapat bertahan dengan baik dan menamatkan perlawanan ini 3 mata berharga untuk kemenangan keempat berturut-turut di Liga Perdana Inggeris dan membawa pasukan dari Merseyside ini ke tangga ketiga liga. Walaupun menang, saya agak tidak selesa dengan barisan pertahanan kita yang semakin mudah bolos jika bermain di tempat lawan. Ini merupakan kali ketiga Liverpool dibocori 2 kali di tempat lawan selepas Tottenham dan juga Bolton. Perlawanan pada malam ini juga agak mencemaskan kerana West Ham berjaya bangkit sebanyak dua kali setelah Liverpool berjaya mendapatkan gol pendahuluan. Sesuatu yang harus diberi perhatian serius oleh Rafa jika beliau mahu melihat Liverpool lebih banyak memenangi perlawanan selepas ini. Saya juga ingin menyatakan di sini bahawa saya amat tidak berpuas hati dengan pengadil-pengadil yang setiap kali mengadili perlawanan Liverpool. Ini adalah kerana banyak pihak yang telah terlepas daripada dikenakan tindakan yang sewajarnya kerana mengasari penyerang utama Liverpool, Fernando Torres. Beliau bukanlah seorang pelakon handalan seperti sesetengah pemain di Liga Perdana Inggeris. Perlawanan semalam tidak terkecuali daripada menunjukkan bahawa pemain lawan akan menggunakan apa sahaja cara (termasuk taktik kotor) untuk menghalang Torres. Sesuatu yang perlu dilakukan oleh FA England yang jelas amat dangkal di dalam hal ini. Jika sesuatu berlaku kepada Torres selepas ini disebabkan oleh kegagalan menghukum pemain yang mencederakan Torres maka sila bersiap sedia FA England untuk menjadi lauk belasahan para peminat Liverpool. Ayuh Liverpool, fokus kepada perlawanan menentang Hull di Anfield pada minggu depan dan kita perlu mencapai kemenangan untuk mengukuhkan lagi kedudukan di carta Liga Perdana Inggeris pada musim ini.


YNWA

Saturday, September 19, 2009

BPL : Hammers Pencabar Berikutnya


Untuk perlawanan menentang West Ham di Upton Park pada tengah malam ini, berikut adalah barisan kemungkinan Liverpool yang dijangkakan akan diturunkan oleh Rafa Benitez untuk mencari kemenangan pada kali ini :

Formasi : 4-4-1-1

Barisan Pemain :

REINA

JOHNSON CARRAGHER SKRTEL AURELIO

KUYT MASCHERANO LUCAS BENAYOUN

GERRARD

TORRES

Keputusan : 1-0 kepada The Reds, gol dijaringkan oleh Gerrard.

Hanya kemenangan akan membolehkan Liverpool mengejar kedudukan yang lebih baik di carta Liga Perdana Inggeris. Rekod Liverpool agak baik di Upton Park kerana stadium ini banyak menghadiahkan kemenangan buat Liverpool. Namun rekod hanya menjadi catatan sejarah ianya hanya boleh menjadi sebagai pembakar semangat kepada Liverpool untuk meneruskan rentak kemenangan setelah menewaskan Bolton, Burnley dan juga Debreceni VSC sebelum ini. Liverpool akan diperkuatkan dengan kehadiran semula Mascherano dan juga Aurelio (jika beliau berjaya mengatasi Insua untuk slot pertahanan kiri). Liverpool tidak mempunyai sebarang masalah kecederaan terbaru selepas perlawanan menentang Debreceni VSC di Liga Juara-Juara Eropah pada awal pagi Khamis sebelum ini. Walaupun Liverpool mempunyai rekod yang agak baik di Upton Park namun itu bukan alasan untuk mengambil mudah perlawanan ini. Perlu diingatkan skuad The Hammers dibawah kendalian Gianfranco Zola ini pernah mengecewakan Liverpool di Upton Park pada musim 07/08. Barisan pertahanan Liverpool perlu lebih fokus untuk menangkis serangan West Ham (termasuklah set piece) yang diterajui oleh Carlton Cole jika berhajat mendapatkan 3 mata. Diharapkan agar Carragher dan angkatan barisan pertahanan Liverpool mampu beraksi dengan mantap pada malam ini. Skuad Zola ini juga memburu kemenangan pertama mereka di tempat sendiri pada musim ini dan ini seharusnya menjadi amaran kepada Rafa yang mereka akan bermain berhabis-habisan di dalam perlawanan ini nanti.


YNWA

Friday, September 18, 2009

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Kepada semua rakan-rakan peminat Liverpool yang setia mengunjungi liverpool-malaya, di hari baik dan bulan yang baik ini saya ini mengambil kesempatan untuk mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN jika terdapat salah dan silap di dalam sebarang penulisan saya sebelum ini. Diharapkan semoga Ramadhan yang telah berlalu penuh dengan keberkatan buat kita semua, Insyaallah. Semoga Syawal pada kali ini dapat disambut dengan lebih meriah dan penuh dengan kesyukuran buat kita semua. Dan jangan ketinggalan untuk menonton siaran langsung perlawanan West Ham menentang Liverpool di Upton Park pada jam 1230 tengah esok (Sabtu) di rangkaian ESPN 812 Astro.


YNWA

Thursday, September 17, 2009

UCL : Perlu Lebih Garang

Selepas menyaksikan perlawanan di antara Liverpool menentang Debreceni VSC di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah semalam, saya gembira kita berjaya mendapatkan 3 mata pertama pada musim 09/10 dengan kemenangan 1-0. Walaupun bermain bukan pada tahap sebenar (sepertimana yang pernah saya suarakan sebelum ini), Gerrard dan rakan-rakannya tetap berusaha untuk mendapatkan 3 mata berharga. Pada pendapat saya, Liverpool bermain terlalu santai pada awal pagi tadi. Walaupun memiliki penguasaan bola di atas hampir 60 sehingga 70 peratus, kegagalan Liverpool untuk memusnahkan lawan lebih awal telah menjadi persoalan sejauh mana akan kemampuan kita untuk menghadapai lawan yang berikutnya iaitu Lyon dan Fiorentina yang nyata lebih mantap daripada Debreceni VSC. Torres sekali lagi dikelilingi oleh pemain pertahanan lawan yang merantai beliau dengan cukup kemas. Gerrard pula kelihatan agak tumpul pada perlawanan pada malam ini walaupun kapten kita ini telah membuat beberapa percubaan bahaya ke arah pintu gol Debreceni VSC. Benayoun pula berusaha keras untuk memastikan bola sentiasa menuju ke dalam kotak penalti lawan selain daripada membuat beberapa percubaan daripada beliau sendiri. Kuyt yang bermain sebagai penyerang kembar dengan Torres (yup Rafa menggunakan formasi 4-4-2 pada perlawanan ini) telah berjaya menjaringkan gol tunggal pada minit ke 45 setelah menyambar bola dari percubaan awal Torres yang ditepis oleh penjaga gol Debreceni VSC.

Debreceni VSC pula bermain dengan penuh keyakinan dengan barisan pertahanan mereka begitu fokus untuk menghalang sebarang percubaan dari Liverpool. Pemain mereka berada hampir dimana sahaja pemain-pemain utama Liverpool berada. Pergerakan Torres dan Gerrard diminimakan dengan sebaik mungkin bagi menghalang ancaman daripada mereka berdua. Penjaga gol Debreceni VSC turut bertindak cemerlang pada perlawanan ini dengan banyak percubaan pemain Liverpool berjaya ditepis oleh beliau. Saya juga mengambilkira faktor keletihan yang turut mempengaruhi persembahan Liverpool pada perlawanan ini. Pemain-pemain kita kelihatan seperti kekurangan tenaga untuk mengejar bola di tengah padang. Para penonton di Anfield juga kelihatan agak diam pada perlawanan ini. Mungkin mereka berpendapat sama seperti kita semua iaitu, corak permainan Liverpool agak hambar pada awal pagi tadi. Rafa harus melakukan perubahan dengan pantas jika tidak mahu kempunan ketika menentang Fiorentina dan juga Lyon nanti. Persembahan kita harus dipertingkatkan dengan segera jika tidak mahu padah yang menimpa apabila berhadapan dengan kedua-dua pasukan itu nanti. Kehadiran semula Mascherano dan juga Aurelio pasti memberikan lebih pilihan kepada Rafa untuk menghadapi perlawanan-perlawanan yang akan datang. Walaupun hanya menang 1-0 pada perlawanan semalam, ianya tetap sebuah kemenangan dan lebih manis ianya merupakan kemenangan ke 100 Liverpool di peringkat Eropah. Rafa Benitez juga meraikan perlawanan ke 300 beliau sebagai pengurus Liverpool. Namun jika kita berjaya menjaringkan lebih banyak gol pada perlawanan semalam berdasarkan banyak peluang yang diperolehi, Liverpool pasti akan memiliki kelebihan jaringan yang agak selesa untuk dijadikan antara sandaran untuk melepasi pertarungan peringkat kumpulan ini.


YNWA

Wednesday, September 16, 2009

UCL : Lawan Misteri Dari Hungary


Musim Liga Juara-Juara Eropah 09/10 bermula pada awal pagi nanti buat pasukan kita, Liverpool FC. Semalam Liga Juara-Juara Eropah membuka tirai musim 09/10 ini dengan beberapa perlawanan telah berlangsung. Pada awal pagi nanti Liverpool akan menanti kunjungan pasukan yang penuh misteri dari Hungary iaitu Debreceni VSC di Anfield (siaran langsung di Astro StarSport 813 jam 0240 pagi). Tidak banyak maklumat mengenai pasukan ini kerana mereka pernah beraksi di dalam Liga Juara-Juara Eropah tetapi telah terkandas di pusingan ketiga kelayakan. Pasukan dari Hungary ini turut mempunyai pengalaman beraksi di dalam Piala UEFA. Namun jangan sesekali kita memandang sebelah mata pasukan dari Hungary ini kerana sebarang kelalaian di dalam melayan kunjungan mereka di Anfield pada awal pagi ini pasti akan mendatangkan akibat yang buruk. Liverpool perlu fokus untuk memulakan kempen Liga Juara-Juara Eropah pada kali ini dengan kemenangan sulung untuk menyemarakkan lagi cabaran kita di Eropah pada kali ini. Berbalik kepada persediaan Liverpool menjelang perlawanan ini, skuad utama Rafa Benitez tidak mempunyai sebarang masalah kecederaan selepas kemenangan di dalam perlawanan menentang Burnley pada hujung minggu lepas. Kapten Argentina dilaporkan cergas sepenuhnya dan beliau dijangkakan akan turun pada perlawanan ini. Pertahanan kiri Brazil, Fabio Aurelio juga berharap dapat memberikan saingan kepada rakan sepasukan Emiliano Insua untuk mengisi posisi tersebut. Jika Aurelio bermain pada awal pagi ini, ianya merupakan perlawanan kompetatif pertama beliau pada musim ini setelah berehat selama 2-3 bulan sebelum ini kerana masalah kecederaan. Carragher, Skrtel dan Johnson akan turut menguatkan pertahanan Liverpool pada perlawanan ini. Gandingan Gerrard dan Torres dijangka kembali untuk menguatkan bahagian serangan Liverpool setelah dipisahkan sementara pada perlawanan menentang Burnley sebelum ini. Bahagian tengah akan dikemudi oleh Mascherano dan Lucas (pahit namun kena telan jugak), dan bahagian sayap akan diterajui Kuyt di sebelah kanan dan Benayoun di sebelah kiri. Saya menjangkakan Benayoun akan mendapat tempat kdi kesebelasan utama kerana kecemerlangan beliau di perlawanan menentang Burnley pada minggu lepas. Namun jika Rafa mahu mengubah strategi, tidak mustahil Riera dan Babel akan diturunkan di posisi sayap kiri ini. Kita lihat pencaturan Rafa nanti apabila senarai kesebelasan utama dikeluarkan sejurus sebelum perlawanan pada awal pagi ini bermula.

Lawan Liverpool pada awal pagi ini, Debreceni VSC merupakan pasukan misteri dari Hungary yang pasti akan membuatkan Rafa untuk lebih berhati-hati di dalam menentukan pemain kesebelasan utama beliau pada kali ini. Kelab yang diketuai oleh pengurus Andras Herczeg lebih yakin mereka akan beraksi dengan lebih baik pada kempen Liga Juara-Juara pada kali ini. Sebelum ini Debreceni VSC pernah menghadapi lawan dari England iaitu Manyoo tetapi mereka telah tewas 3-0 di perlawanan timbal balik pada pusingan ketiga kelayakan Liga Juara-Juara Eropah. Herczeg yakin pasukan bimbingan beliau ini semakin mantap persembahan mereka semenjak kekalahan kepada Manyoo itu. Keyakinan Herczeg itu berasaskan kepada kepada kejayaan kelab itu memenangi kejuaraan liga Hungary pada musim lepas yang memberikan mereka peluang untuk beraksi di Liga Juara-Juara Eropah pada kali ini. Herczeg yang telah 40 tahun berkhidmat dengan Debreceni VSC sebagai pemain dan pengurus menjelaskan tiada lagi pemain-pemain yang beraksi semasa menentang Manyoo sebelum ini dan kini pasukan ini telah dibarisi oleh muka-muka baru yang lebih muda dan bersemangat. Pasukan Debreceni VSC telah memenangi perlawanan kelayakan di tempat lawan sebelum ini semasa menentang Tallinn dan Levski Sofia dan fakta ini haruslah diambilkira oleh Rafa menjelang perlawanan awal pagi nanti. Herczeg sedar lawan mereka pada kali ini adalah jauh berbeza daripada lawan-lawan mereka sebelum ini dan beliau mahu memastikan anak-anak buahnya beraksi pada tahap terbaik ketika menentang Liverpool dan mahu mereka melakukan kejutan di Anfield. Debreceni VSC akan beraksi tanpa Tibor Dombi dan Jozsef Varga yang digantung pada perlawanan ini. Herczeg juga akan membuat penilaian terakhir ke atas kecederaan yang dialami oleh pemain antarabangsa Hungary iaitu pemain tengah Zoltan Szelesi dan penyerang Gergely Rudolf. Mereka juga akan kehilangan penjaga gol utama, Djordje Pantic yang masih cedera dan beliau akan digantikan oleh Vukasin Poleksic.

Kepada Rafa, berhati-hati dengan pasukan dari Hungary ini. Kemampuan mereka untuk menundukkan lawan yang lebih kuat di pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Eropah sebelum ini pasti memberikan amaran kepada Liverpool yang mereka tidak mudah untuk diketepikan. Label sebagai favourite bukan menjadi ukuran kerana prestasi di atas padang yang akan menentukan kejayaan. Saya juga berharap barisan pertahanan Liverpool yang menggunakan zonal marking (banyak persoalan tentang keberkesanan sistem ini) akan lebih fokus pada awal pagi ini kerana saya pasti sepertimana di perlawanan-perlawanan sebelum ini, pasukan lawan pasti akan cuba untuk mengunakan pendekatan bola tinggi melalui set piece serta membuat hantaran jauh untuk mengugat gawang gol Liverpool.


YNWA

Tuesday, September 15, 2009

Torres : Ikon PES 2010

Kepada rakan-rakan peminat Liverpool yang meminati permainan video bolasepak, berita terbaru daripada syarikat gergasi permainan video Konami telah menerbitkan cover hadapan permainan video mereka iaitu Pro Evolution Soccer (PES) yang menggunakan imej penyerang utama Liverpool, Fernando Torres. Konami yang juga merupakan salah satu penaja rasmi Liverpool telah menandatangani kontrak dengan Torres untuk menjadi cover hadapan permainan video mereka bersama-sama dengan bintang Barcelona, Lionel Messi. Permainan video PES 2010 akan berada di pasaran secara rasmi pada penghujung tahun ini. Torres yang juga merupakan seorang peminat permainan video telah mengikuti jejak langkah bintang-bintang bolasepak seperti Thierry Henry dan John Terry di dalam usaha mempopularkan permainan video tersebut. PES 2010 boleh didapati di dalam versi PLAYSTATION3, Xbox 360, PC-DVD, PSP, PlayStation2 dan telefon bimbit bermula pada 23 Oktober 2009 nanti. Semakin murahlah rezeki penyerang utama Liverpool ini nampaknya.Dengan penyertaan beliau di dalam syarikat permainan video ini, saya pasti imej Torres sebagai antara penyerang terbaik dunia akan terus meningkat kerana pasaran permainan video ini amatlah luas. Kepada rakan-rakan peminat, jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan permainan video yang akan berada di pasaran tidak lama lagi.


YNWA

Monday, September 14, 2009

Simao : Tidak Kesampaian

Beliau pernah cuba dipancing oleh Rafa pada satu ketika dahulu (tahun 2005) ketika beraksi untuk Benfica namun disebabkan ketamakan kelab tersebut hasrat beliau untuk menyertai The Reds tidak kesampaian. Menurut kisah yang bertiup kencang di England pada ketika itu, presiden Benfica telah mengarahkan beliau pulang kembali ke Portugal ketika beliau telah berada di dalam pesawat menuju ke England untuk berbincang mengenai perpindahan ke Anfield. Perkara ini dikatakan berpunca daripada keengganan Liverpool untuk menaikkan harga tawaran untuk beliau yang menyebabkan kelab Portugal itu berang. Yang menghairankan tidak lama selepas itu, beliau dilepaskan untuk menyertai kelab Sepanyol, Atletico Madrid dan sehingga kini beliau telah tersenarai antara pemain tengah yang cukup menonjol di peringkat Eropah. Namun semua itu kini tinggal sejarah buat Liverpool. Beliau yang saya maksudkan adalah pemain tengah Portugal iaitu Simao Sabrosa. Simao sehingga kini telah banyak menjaringkan gol untuk Atletico di peringkat La Liga mahupun di Liga Juara-Juara Eropah.

Pengurus Liverpool, Rafa Benitez yang diketahui memang berminat untuk membawa Simao ke Anfield daripada dahulu lagi telah diberitakan sekali lagi gagal untuk berbuat sedemikian kerana bidaan beliau ke atas Simao pada musim panas lepas telah ditolak oleh Atletico. Pengarah Sukan Atletico, Garcia Pitarch dilaporkan tidak mahu melepaskan Simao untuk menyertai Liverpool pada musim panas yang lepas. Tawaran Liverpool berjumlah 19 juta pound telah ditolak oleh Atletico dan Liverpool bukanlah satu-satunya kelab yang berminat dengan Simao semasa pasaran perpindahan pemain dibuka pada musim panas yang lepas. Bidaan untuk pemain yang berusia 29 tahun ini telah diterima daripada Juventus, Lyon serta Paris St Germain namun turut menemui nasib yang sama dengan Liverpool. Rafa di dalam usaha mencari pemain tengah baru pada musim panas yang lepas dan Simao telah menjadi salah seorang pemain sasaran beliau. Kegagalan mendapat Simao telah menyebabkan Rafa memilih untuk mendapatkan Alberto Aquilani dari kelab Serie A Itali iaitu AS Roma dengan bayaran perpindahan sebanyak 17 juta pound. Bagi saya, untuk membelanjakan 19-22 juta pound bagi Simao adalah satu jumlah yang agak tinggi kerana Simao telah berusia 29 tahun. Dari segi kewangan, Aquilani adalah pilihan yang lebih menguntungkan kerana selain harga beliau yang lebih murah daripada Simao, Aquilani juga lebih muda dan beliau baru berusia 25 tahun. Dari segi corak permainan, kita akan dapat sama-sama saksikan nanti samada Aquilani dapat beraksi dengan lebih baik daripada Simao setelah beliau kembali daripada kecederaan pada bulan Oktober nanti.


YNWA

Sunday, September 13, 2009

BPL : Meneruskan Rentak Kemenangan


Menang besar. Tetapi adakah kita boleh berpuashati dengan keputusan 4-0 ke atas Burnley di Anfield malam tadi? Jika kita hanya melihat prestasi pada perlawanan ini, kemenangan besar ini memang berhak diraikan oleh semua peminat Liverpool. Kecemerlangan Benayoun serta Gerrard yang tidak mengenal penat di dalam mengejar kemenangan di Anfield adalah sesuatu yang mahu ditonton oleh kita semua pada setiap minggu. Benayaoun dengan hatrik pada perlawanan ini serta persembahan all around Gerrard telah memastikan 3 mata milik The Reds pada kali ini. Yang pasti para pemain kita malam ini telah berusaha dengan cukup keras untuk menang ke atas Burnley. Barisan pertahanan yang diketuai oleh Carragher telah bermain dengan baik pada malam ini dengan menangkis cubaan demi cubaan termasuklah set piece (bola tinggi di dalam kotak penalti) daripada pemain-pemain Burnley. Glen Johnson meneruskan persembahan mantap beliau pada malam ini dengan membuat satu lagi umpanan tepat bagi membolehkan Benayoun menjaringkan gol pertama Liverpool. Mengukuhkan lagi bahawa adalah tepat untuk Liverpool berbelanja besar bagi mendapatkan beliau dari Portsmouth pada musim panas lepas. Kuyt mendapatkan satu gol lagi pada malam ini dan beliau seperti biasa memberikan persembahan terbaik dengan mengejar bola di segenap sudut padang Anfield. Torres nampaknya memang dirantai dengan kemas oleh pertahanan Burnley terutama sekali oleh Mears. Tidak banyak ruang untuk penyerang utama Liverpool ini untuk bergerak pada perlawanan ini. Gerrard tidak dapat beraksi di bahagian hadapan kerana terpaksa bermain di bahagian tengah menggantikan Mascherano yang mengalami kecederaan otot ketika beraksi untuk Argentina di pusingan kelayakan piala dunia pada minggu lepas. Keadaan ini telah menyebabkan Torres agak senyap pada perlawanan kali ini. Namun begitu kekurangan ini telah diatasi dengan persembahan yang cukup cemerlang oleh Benayoun yang boleh dikatakan terlibat di dalam setiap serangan yang dilancarkan oleh Liverpool. Tidak dilupakan penjaga gol Burnley, Brian Jensen yang saya ramalkan sebelum ini akan menepis banyak serangan daripada Liverpool dan beliau membuktikan perkara tersebut adalah tepat dengan menangkis hampir berbelas percubaan daripada pemain Liverpool termasuk beberapa percubaan berbahaya daripada Kapitan Gerrard.

Saya seperti anda semua, amat gembira dengan kemenangan ini. Ianya seolah-olah mengulangi kejayaan 4-0 ke atas Stoke sebelum ini. Namun jika kita lihat persembahan Liverpool di awal perlawanan dengan Burnley ini, ada persoalan yang bermain di fikiran saya. Sebelum mendapat gol pertama pada minit ke 27 melalui Benayoun, persembahan kita adalah terlalu longgar dengan percubaan yang tidak cukup untuk mengugat gawang gol lawan. Jika kita berhadapan dengan pasukan seperti Stoke dan Burnley, kelemahan ini pasti dapat kita atasi kerana pasukan sebegini lebih berminat untuk bertahan daripada menyerang dan menghukum kegagalan kita untuk menjaringkan gol awal. Serangan demi serangan yang kurang tepat dan dapat dihalang oleh barisan pertahanan Burnley pada peringkat awal mungkin harus diambil perhatian oleh Rafa. Selepas mendapat gol pertama barulah kita dapat melihat Liverpool bermain dengan lebih teratur dan dapat melancarkan serangan dengan lebih berbahaya ke arah pintu gol Burnley. Mungkin Liverpool lambat panas di atas padang dan keadaan ini pasti agak merbahaya buat kita jika berhadapan dengan pasukan yang lebih mantap di dalam perlawanan yang akan datang. Bukan saya tidak sabar untuk melihat Liverpool menjaringkan gol awal tetapi jika kita gagal berbuat sedemikian, padah yang akan menimpa kerana persembahan barisan pertahanan serta bahagian tengah Liverpool masih di bawah tahap kemampuan sebenar (bermain baik tetapi kita masih boleh memperbaiki tahap persembahan). Jangan sesekali biarkan kejadian seperti perlawanan menentang Aston Villa berulang. Walau bagaimanapun kita berhak untuk meraikan kemenangan ini dan kita semua berharap agar Liverpool meneruskan rentak kemenangan ini dan dapat bermain dengan lebih mantap apabila bertemu Debrecen di Liga Juara-Juara Eropah pada awal pagi hari Khamis (17/9 live di Astro StarSport Jam 0240 pagi) nanti serta perlawanan liga yang lebih sukar pada minggu hadapan menentang West Ham di Upton Park.


YNWA

Saturday, September 12, 2009

Liverpool : Selamat Datang Standard Chartered

Berakhirlah riwayat syarikat arak yang telah menjadi penaja Liverpool selama 17 tahun. Berita yang amat menggembirakan buat peminat muslim Liverpool. Selepas ini bolehlah berkira-kira untuk memiliki jersi replika Liverpool yang sudah lama diidamkan. Saya masih terfikir apalah modal mereka yang suka mencari pasal dengan para peminat Liverpool sebelum ini. Satu perkembangan positif dari kem Liverpool apabila menamatkan jaringan penajaan dengan syarikat arak tersebut dan memeterai perjanjian penajaan baru dengan konglomerat perbankan dunia yang berpengkalan di London iaitu, Standard Chartered. Perjanjian yang dilaporkan bernilai 80 juta pound itu merangkumi tajaan sebanyak 20 juta pound semusim selama empat musim. Penajaan oleh Standard Chartered ini akan bermula pada pertengahan tahun hadapan setelah kontrak penajaan dengan syarikat arak tersebut berakhir. Jumlah penajaan yang diterima oleh Liverpool ini menyamai penajaan yang diterima oleh salah satu daripada kelab-kelab utama di Liga Perdana Inggeris dan ianya merupakan jumlah penajaan yang tertinggi. Liverpool mengambil langkah pantas apabila hak rundingan eksklusif dengan syarikat arak tersebut tamat pada bulan Julai lepas. Syarikat arak tersebut telah gagal untuk menyamai jumlah 20 juta setahun yang ditawarkan oleh Standard Chartered bagi pakej penajaan terbaru skuad The Reds ini.

Pengarah komersial Liverpool, Ian Ayre telah memainkan peranan penting di dalam usaha menarik minat penaja baru untuk melabur ke atas Liverpool, salah satu jenama yang cukup ternama di dalam dunia bolasepak dunia. Liverpool yang sebelum ini dikritik hebat kerana kegagalan mereka untuk mempergunakan sepenuhnya kelebihan yang mereka miliki untuk menjana lebih pendapatan melalui jumlah peminat yang cukup besar di seluruh dunia. Melalui penajaan baru ini, Liverpool dijangkakan akan meluaskan dan mengukuhkan penguasaan ke atas pemasaran jenama mereka di seluruh dunia selepas ini. Dengan pengumuman rasmi yang dijangka akan dibuat pada minggu hadapan, penajaan Standard Chartered ini telah menunjukkan Liverpool kini sedang mara ke arah yang betul. Dengan penajaan ini juga, Rafa dijangkakan akan mempunyai lebih dana untuk mendapatkan pemain-pemain baru pada musim hadapan. Cuma antara persoalan yang menjadi tanda tanya kita semua, adakah Rafa akan mendapat dana yang sepatutnya? Atau adakah pemilik-pemilik Liverpool akan cakap tidak serupa bikin lagi dan Rafa masih terpaksa menjual sebelum dapat membeli pemain baru? Sama-sama kita saksikan episod ini pada musim depan nanti. Kepada Purslow dan Ayre, tahniah di atas kegigihan anda berdua untuk membangunkan Liverpool. Selamat Datang kepada Standard Chartered dan kehadiran anda dialu-alukan oleh semua peminat Liverpool di seluruh dunia.


YNWA

Friday, September 11, 2009

BPL : Kecil Jangan Disangka Anak

Di suatu petang di padang latihan Liverpool di Melwood, pengurus Rafa Benitez, penolong pengurus Sammy Lee dan ketua jurulatih Mauricio Pellegrino sedang mengadakan perbincangan mengenai strategi yang sesuai untuk digunapakai ketika perlawanan menentang Burnley di Anfield pada hari Sabtu nanti. Perbincangan mereka bermula setelah sesi latihan pada petang itu berakhir. Sammy Lee sambil merenung jauh ke arah sudut padang memulakan perbincangan tersebut.

Sammy : “Inilah nasib pasukan macam Liverpool bila musim-musim lagu ni tiba”
Rafa : “Apa yang nasibnya kome bebelkan tu Sammy?”
Sammy : “ Bukan apa boss, cuba tengok pemain-pemain kita yang ada untuk latihan kat tengah padang tu.” Sambil menunjuk ke arah para pemain yang sedang berkemas-kemas untuk pulang.
Rafa : “Benda lama la Sammy. Aku dah puas bising pasal perlawanan antarabangsa ni. Memang mengganggu persiapan kita untuk perlawanan akan datang.”
Pellegrino : “Ya la boss, abis pemain utama kita kena kebas, yang tinggal anak-anak ikan aja yang training sejak 2 minggu lepas. Kalu ada yang senior pun hanyalah yang baru ok dari injured macam Aurelio tu ataupun yang pencen international cam Carra.”
Rafa : “Pemain-pemain muda aja yang training, pemain utama paling awal sampai di Anfield mungkin hari khamis atau jumaat nanti.”
Sammy : “Tak sempat la jawabnya nak fully fit kalu camtu boss. Sekadar khamis n jumaat training pastu Sabtu dah nak lawan Burnley memang perit la kita boss.”
Pellegrino : “Gua setuju dengan Sammy, kalu letak incredible hulk pun konpem tak perform atas padang Ahad ni.”
Rafa : “Kita selalu hadapi masalah sebegini, memang aku ramalkan perlawanan dengan Burnley pada hari Sabtu ni agak sukar walaupun kita bermain di kandang sendiri.” Hambar saja jawapan Rafa, sehambar hati dan muka beliau bila memikirkan tentang masalah yang sama sejak bermusim-musim.
Sammy : “Pemain seperti Masch memang tak fully fit la jawabnya. Travel keliling dunia pegi balik Amerika Selatan. Pemain-pemain lain seperti Gerrard, Johnson, Kuyt, Torres, Reina, Riera, Skrtel, Kyrgiakos juga travel untuk main dengan team masing-masing. Tapi agak melegakan sebab diaorang beraksi di sebelah Eropah aja.”
Rafa : “Pun begitu kita tak leh terlalu yakin sangat dengan kecergasan diaorang, silap gaya kalu injured lagi la naya. Kalu sekejap injured ok lagi, kalu kena lama-lama, jenuh wooo nak ganti.”
Sammy : “Tu la pasal boss, apa strategi yang sesuai dan terbaik untuk perlawanan dengan Burnley Sabtu ni? Gua konpiden kita buleh menang.”
Rafa : “Rasanya kesebelasan utama tak berubah, Reina, Insua, Kyrgiakos, Carragher, Johnson, Riera, Masch, Lucas, Kuyt, Gerrard dan Torres. Tapi itu hanya perancangan awal, kita mungkin boleh gunakan pemain lain seperti Benayoun, Babel atau Skrtel jika faktor kecergasan diambilkira. Aku akan buat keputusan sejurus sebelum perlawanan bermula.” Rafa menerangkan perancangan beliau secara umum.
Pellegrino : “Tapi boss, Lucas dengan Masch tu boleh fit ker untuk game Burnley ni? Dua-dua tu baru balik dari kelayakan peringkat Amerika Selatan. Gua takut kang pancit atas padang, abis la midfield kita.” Pellegrino menyatakan sedikit bangkangan ke atas idea bossnya itu.
Rafa : “ Kita tengok dulu camana keadaan diaorang bila sampai di Melwood nanti. Kalu macam tak cukup makan nasik, mungkin kita boleh guna diaorang di separuh masa kedua. Kita ada apa-apa laporan kecederaan pemain ka Sammy?”
Sammy : “Setakat ni, belum ada yang cedera boss, semua ok. Tak tahulah bila tiba di Anfield nanti baru kita nampak kecederaan depa.”
Rafa : “ Bagus tu bagus. Sekurang-kurangnya lega sikit kepala nak memikirkan strategi terbaik nanti.”

Tiba-tiba Sammy berbisik kepada Pellegrino : “Kurang la sikit botak tu boss. Hehehe!”
Pellegrino : “Gila hang nih Sammy, Nak mampuih ka cakap pasal rambut boss, sensitif beb!”
Sammy : “Hang dok diam-diam dah la, kang kita dua2 kena pelangkung dengan kerusi lipat tu.” Tergelak kedua-dua orang anak buah Rafa ini sambil menutup mulut. Rafa terperasan lalu menegur,
Rafa : “ Ni apa gelak-gelak tutup mulut, hangpa dok mengumpat kat aku ka?”
Sammy : “Isk mana ada boss, kitaorang borak-borak pasal team Burnley aja. Hehehe!” Sengih Sammy Lee sambil mengesat peluh sejuk di dahi, “Memang peka sungguh deria orang tua ni, nasib baik sempat cover kalu idak selamat gua kena pelangkung.”
Rafa : “ So camna mana analisa tentang kekuatan Burnley?”
Pellegrino : “Team Owen Coyle ni boss memang baru lagi kepada liga perdana ni, tapi satu yang gua perasan, diaorang punya defend memang very organised boss, team jambatan aritu pun terkial-kial dengan diaorg sebelum dapat score. Diaorang bertahan sebagai satu pasukan dengan keeper diaorang si Jensen tu memang kaki tepis bola. Banyak betul dia save kalu ikut statistik. Jiran kampung sebelah kita pun kena tiau dengan diaorang termasuk la jugak musuh zaman-berzaman tu boss.”
Sammy : “Satu perkara lagi boss, pemain diaorang suma fresh sebab tak ramai yang gi international.”
Rafa : “Maknanya kita akan lawan satu lagi team kapal selam la ujung minggu nih. Hmmm kena tengok juga kita punya set piece defending ni.”
Pelligrino : “Kena buat betul-betul la boss, set piece defending ni. Lauk betul kita kalu opponent lambung bola masuk dalam kotak penalti.” Tambah Pellegrino sambil menggaru-garu kepala beliau yang tidak gatal.
Rafa : “Ok, nanti hangpa berdua ingatkan aku untuk bagi extra training untuk set piece defending pada hari Jumaat ni.”
Sammy : “ Baik boss, tapi jangan lupa jugak. Kita akan hadapi pemain yang lebih cergas nanti.”
Pellegrino : “Ala apa susah, bagi aja budak-budak ni minum tongkat ali, gerenti berdesup punya atas padang.”
Rafa : “Buleh ker wei? Kang tak pasal-pasal kena banned sebab amik bahan terlarang.”
Pelelgrino : “Tak kot boss, gua layan ok aja. Mana ada pening-pening”
Rafa : “Hang tu lain la, bukan hang yang main bola atas padang tu.”
Sammy : “Ceh ada ka guna tongkat ali, bagi la idea yang best sket.”
Rafa : “ Apa-apa hal pun, pastikan kita berikan yang terbaik pada hari Sabtu ni dan jangan sesekali memandang rendah Burnley, kang tak pasal-pasal dapat ubat. Aku rasa Coyle akan guna 1st eleven yang sama masa lawan team jambatan aritu.”

Jurulatih penjaga gol, Xavi Valero yang tengah mengutip bola untuk disimpan ke dalam stor mencelah,

Valero : “Boss, Sammy n Gino, jom lepak umah gua pasni. Orang rumah gua masak beriani gam kambing baik punya.”
Rafa : “Abis la gua punya blood pressure, konpem kena fire dengan Montse nanti kat umah.”
Sammy : “Jom la layan boss, bukan senang nak dapat beriani gam kambing ni boss. Sangat rare dan susah woo nak cari boss. Hehe!” Tambah si Sammy sambil memegang perutnya yang mula bebunyi terkenangkan enaknya beriani gam kambing.
Pellegrino : “Gua setuju tanpa sebarang bantahan. Hehehe!”

Maka berlalulah ketiga-tiga orang tenaga penting Liverpool itu ke rumah Valero yang terletak tidak jauh dari Melwood. Langkah kanan training arini, getus hati kecil Rafa sambil tersenyum simpul memikirkan cabaran getir yang bakal diberikan oleh Burnley pada hari Sabtu nanti.


YNWA