Monday, August 31, 2009

Insua : Menggamit Impian Ke Piala Dunia

Pemain pertahanan kiri Liverpool daripada Argentina yang cukup berbakat Emiliano Insua telah menyuarakan hasrat beliau untuk menyarung jersi pasukan kebangsaannya pada satu hari nanti. Pemain pertahanan berusia 20 tahun ini berharap beliau dapat beraksi di samping Javier Mascherano di dalam skuad kebangsaan Argentina nanti. Tetapi Insua menegaskan beliau perlu memastikan prestasi beliau dengan Liverpool adalah cukup baik untuk membolehkan beliau memikirkan tentang tempat di kesebelasan utama Argentina. Pemain yang memakai jersi nombor 22 Liverpool ini telah memulakan musim baru ini dengan mengisi posisi pertahanan kiri skuad kendalian Rafa Benitez ini setelah kecederaan yang dialami oleh pemain pertahanan Brazil, Fabio Aurelio. Bercakap kepada Majalah LFC Weekly yang berwajah baru, Insua berharap beliau dapat menunjukkan prestasi terbaik di Liverpool bagi membolehkan beliau dipanggil untuk mewakili Argentina. Insua pernah memikirkan untuk mewakili Argentina di Piala Dunia tetapi itu hanyalah sebahagian daripada impian masa depan beliau sahaja. Insua merupakan antara pemain tetap untuk skuad bawah 21 tahun Argentina dan beliau kerap menerima panggilan untuk mewakili pasukan tersebut.

Pada peringkat sekarang, tumpuan Insua hanyalah untuk bermain sekerap mungkin di kesebelasan utama Liverpool pada tahap permainan yang lebih tinggi sebelum memikirkan masa depan bersama-sama skuad kebangsaan Argentina. Bagi Insua, setiap pemain Argentina pasti mahu mewakili pasukan kebangsaan dan beliau tidak terkecuali daripada perkara tersebut. Dengan rakan sepasukan Javier Mascherano yang menjadi kapten Argentina pada masa sekarang, adalah mimpi menjadi nyata jika Insua berjaya mewakili Argentina dan bermain bersama-sama beliau. Insua merupakan bintang muda yang semakin terserlah permainannya di Liverpool dan beliau dijangka bakal menggantikan Aurelio di posisi pertahanan kiri Liverpool pada masa depan. Saya berharap beliau akan berjaya mewakili skuad kebangsaan Argentina dan tahap permainan akan lebih mantap. Jika beliau berjaya, Argentina pasti akan memiliki pemain pertahanan yang serba boleh dan Liverpool pasti akan mendapat pemain pertahanan yang berkaliber di Liga Perdana Inggeris.

*Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia Ke 52 daripada liverpool-malaya.


YNWA

Sunday, August 30, 2009

BPL : Kebangkitan Di The Reebok Stadium


Di suatu sudut padang di The Reebok Stadium Bolton, rakaman perbualan ketika sesi warming down Liverpool selepas perlawanan Liga Perdana Inggeris.

Gerard: “Boss, macam mana dengan prestasi kita pada perlawanan hari ini? Kita menang ni boss.”
Rafa: “Hang jangan dok poyo lebih-lebih. Masih banyak yang perlu dilakukan, hang pun aku tengok ok hari ni selepas kena basuh dengan sabun cap kapak minggu lepas.”
Gerrard: “Macam biasa aja boss, setiap perlawanan gua mesti bagi 110% komitmen.”
Rafa: “Kita kena akui perlawanan hari ini bukanlah sebaik tahap permainan kita yang sebenar. Tapi aku suka tengok semangat untuk mencari gol selepas Bolton hilang sorang pemain. Letih woo aku sound pengadil, si Sammy tu nasib baik tak kena kad merah lagi tadi”
Gerrard: “Tapi Boss takkan bila 10 orang sahaja baru kita nak menang? Letih macam ni.”
Rafa: “Paham pun hang. Itu la yang aku cakap banyak lagi yang kita perlu ubah. Masih banyak ruang yang kita boleh baiki. Kita bukan lawan 10 orang di setiap perlawanan”

Torres yang sedang warming down dengan rakan sepasukan diketuai oleh Sammy Lee tiba-tiba mencelah,

Torres: “Bro, kita patut dapat 4 gol malam ni, yang last gua try tu keeper save dalam gol. Hantu punya keeper.”
Gerrard: “Hah, yang tu betul. Memang masuk bola tu tapi memang takdak nasib sebab penjaga garisan dan pengadil rabun la pulak.”
Torres: “Gua rasa kalu la asyik dok dapat pengadil rabun, memang patah riuk la gua punya tulang-temulang. Pantang gua dapat bola semua pemain lawan nak tikam kaki gua.”
Gerrard: “ Lu jangan cakap lu aja bro, gua pun kena tikam dengan apa nama mid Bolton tu? Samba? Rambu-ramba? Eh sori Muamba.”
Torres: “ Betul jugak tu, sori la bro, gua tak sempat nak tolong lu sebab gua pun tak cukup tangan dengan bek diaorang, abis lebam-lebam gua. Udah la mata gua yang lebam kena takik dengan bek Stoke aritu tak ilang-ilang lagi ni.”

Kyrgiakos yang tengah minum air setelah berlari sejauh berpuluh kilometer di dalam padang, tumpang sekaki berborak,

Kyrgiakos: “Apa barang lebam-lebam bro, tengok gua selamba aja gua lipat si Davies tu. Hehehe!”
Torres: “Lu lain la bro, lu pahlawan Spartan memang Boss beli untuk kerja-kerja tahan lasak a.k.a tikam menikam ni. Lagipun diaorang tak berani tikam lu bro, silap-silap kang makan pelempang lu yang besor tu.”
Gerrard: “ Hahaha, betui tu betui, lu memang ok malam ni Spartan. Abis penyerang Bolton lu kakikan, bagus-bagus macam tu la baru diaorang tak berani main-main dengan bek Liverpool.”
Kyrgiakos: “Gua ok dengan prestasi malam ni tapi gua memang kena improve lagi game gua. Kalu idak takdak peluang la gua nak celen adik-adik Skrtel dan Agger. Abang Long Carragher lagi jauh la jawabnya.”

Carragher yang sedang berjalan menghala ke tandas terdengar namanya disebut oleh si Spartan lalu mencelah,

Carragher: “Woi-woi apa sebut nama gua ni, mengumpat ka?”
Kyrgiakos: “Takdak la bro, borak-borak kosong aja pasal game tadi”
Carragher: “Gua ingat mengumpat gua tadi. Tapi game tadi kita sepatutnya boleh menang selesa la. Gua pun pening apasal banyak sangat bolos awal-awal musim ni.”

Johnson yang sedang merapikan rambutnya dengan perapi yang baru dibeli ketika window shopping minggu lepas menambah,

Johnson: “Itu la pasal, 7 bijik bocor dah ni, memang sayur la kita kalau masuk bab-bab set piece ni.”
Kyrgiakos: “Kita kena training cam mana nak lompat lebih tinggi la bro. Gua main liga Greece pun takde kena banyak ni set piece.”
Johnson: “Kita boleh score tapi senang nak bocor. Jenuh kita camni. So apa yang kita boleh buat boss?” Johnson menghalakan pertanyaannya kepada Rafa.
Rafa: “Nanti aku akan buat satu sesi training khas untuk semua bek Liverpool. Macam Spartan kata, korang kena belajar lompat lagi tinggi sebab banyak bola yang diaorang hala ke kotak penalti Liverpool guna hantaran bola tinggi.”

Gerrard yang terdiam seketika kerana memerhatikan perbualan rakan-rakannya, tiba-tiba bersuara,

Gerrard: “ Bahagian tengah pun kena banyak juga improve, kurang sangat support gua dengan Torres kat depan. Benni masuk baru nampak ok sikit flow bola tu ke arah gol Bolton.”
Mascherano tiba-tiba berbisik “Sori la bro, gua kena kuar awal. Tak paham apa salah gua. Lucas tak tolong lu ker bro?”
Gerrard: “Lucas? Boleh pakai la sikit hari ni tapi banyak gak hasil backpass dia malam ni.” bisik Gerrard kembali kepada Mascherano. Bukan tidak mahu bersuara nanti kang kena tido dekat bench sebab mengkritik anak emas Boss. Maunya tidak, masa team lingkup lawan Villa dulu, Gerrard yang berkali-kali yang kena warning suruh perform kembali untuk mengetuai kebangkitan Liverpool semula. Susah jugak jadi ketua kerana setiap masa akan dipersalahkan walaupun telah memberikan 110% komitmen di setiap perlawanan sedangkan ada di antara rakan sepasukan yang permainannya bertaraf sekolah tadika. Kalau nama bermain secara berpasukan sepatutnya sama-sama susah, sama-sama senang la kan?

Kuyt, Voronin, Riera, Insua serta Reina hanya tersenyum sahaja dari jauh melihat karenah rakan-rakan mereka itu.

Sesi warming down itu berakhir dengan Reina mengajak rakan-rakannya pekena rojak mamak dan cendol pulut yang berada di tepi stadium sebelum mereka berangkat pulang ke Anfield.

*Hanya sekadar imaginasi penulis setelah telinga kurang sedikit pedih pada hari ini.


YNWA

Saturday, August 29, 2009

Johnson : Pakcik Kayo!!!

Benarkah desas-desus dari England yang menyatakan imbuhan gaji sebanyak 139 ribu pound seminggu digunakan untuk membawa Glen Johnson ke Liverpool? Jika ianya benar maka Liverpool bukannya kelab yang mengalami krisis kewangan seperti yang digembar-gemburkan di media serta internet sebelum ini. Liverpool dikatakan telah menawarkan jumlah itu kepada Johnson supaya mereka boleh menghalang Chelsea daripada mendapatkan khidmat beliau. Itu alasan yang diperkatakan oleh media tetapi tiada sebarang komen daripada Rafa mahupun pengurusan Liverpool itu sendiri. Laporan awal sebelum ini yang menyebut Johnson ditawarkan kontrak bernilai di antara 90 hingga 100 ribu pound seminggu oleh Liverpool adalah jauh tersasar jika dibandingkan dengan desas-desus terbaru ini. Jumlah yang ditawarkan kepada Johnson ini (jika benar) telah mengatasi jumlah bayaran kepada Cole di Chelsea (120 ribu pound seminggu dengan kontrak baru) mahupun Lescott yang menerima 94 ribu pound seminggu setelah baru menyertai City. Satu jumlah yang amat tinggi untuk seorang pemain pertahanan kanan dan dijangkakan beliau adalah pemain yang mempunyai gaji termahal di posisi tersebut di England. Malah jumlah bayaran ini hampir menyamai bayaran yang diterima oleh bintang-bintang Liga Perdana Inggeris yang lain seperti Terry (150 ribu pound), Lampard (150 ribu pound), Torres (120 ribu pound) mahupun Gerrard (150 ribu pound).

Saya pasti desas-desus terbaru ini amat mengejutkan kita semua kerana untuk membayar imbuhan gaji sebanyak itu kepada seorang pemain pertahanan adalah satu jumlah yang cukup besar. Dengan jumlah tersebut, Liverpool mungkin mampu untuk mendapatkan pemain-pemain yang lebih baik untuk posisi-posisi lain di skuad utama Liverpool. Adakah Rafa telah membazirkan kantung wang di Liverpool? Hanya beliau yang boleh menjawabnya. Berbalik kepada Johnson, di tiga perlawanan awal Liverpool beliau telah menunjukkan prestasi yang baik di atas padang. Dengan satu gol yang telah dijaringkan beliau melalui sepakan gunting ketika menentang Stoke tempohari serta beberapa umpanan yang turut membantu menghasilkan gol untuk Liverpool membayangkan beliau mempunyai prospek yang cukup baik untuk berjaya di Anfield. Namun perjalanan beliau masih jauh dan banyak lagi yang perlu dilakukan oleh beliau untuk membalas kepercayaan Rafa dan juga Liverpool. Kita semua harus memberikan masa yang lebih panjang untuk Johnson bagi membuktikan pembelian beliau adalah berbaloi dengan setiap sen yang dibelanjakan oleh Liverpool. Imbuhan gaji yang diterima oleh pemain-pemain bintang liga perdana inggeris di atas hanyalah sekadar anggaran yang diperkatakan di media dan internet, maka ianya ada kemungkinan tidak 100% tepat semasa artikel ini ditulis.


YNWA

Friday, August 28, 2009

BPL : Preview Bolton vs The Reds

Menjelang perlawanan menentang Bolton Wanderers a.k.a The Trotters di The Reebok Stadium pasti menggusarkan buat semua peminat The Reds. Bukanlah kita semua tidak optimis yang pasukan kita ini mampu mencapai kejayaan di sana nanti tetapi keputusan 3 perlawanan awal liga tidak memihak kepada Liverpool. Perlawanan menentang Bolton bakal menguji keupayaan Liverpool untuk bangkit semula selepas perlawanan menentang Villa di Anfield pada awal pagi hari Selasa yang lalu. Kepada rakan-rakan sekalian lebih baik kita lupakan perlawanan tersebut dan fokus semula kepada persediaan Liverpool untuk menghadapi perlawanan menentang Bolton ini. Rekod Liverpool di The Reebok Stadium tidak begitu baik terutama sekali ketika era Sam Allerdyce menerajui Bolton dahulu. Namun keputusan perlawanan pada musim lepas di The Reebok Stadium memihak kepada Liverpool dengan kemenangan 2-0 hasil jaringan daripada Kuyt dan Kapitan Gerrard. Namun keputusan itu tidak boleh diambilkira kerana prestasi Liverpool memang mantap pada ketika itu. Jika dilihat di atas kertas, Liverpool mampu memenangi perlawanan ini kerana prestasi Bolton turut terumbang-ambing pada ketika ini. Liverpool perlu menang perlawanan ini untuk menaikkan kembali semangat pasukan. Kunjungan Liverpool ke The Reebok Stadium pada kali ini seolah-olah berhadapan dengan harimau yang luka kerana Bolton telah tewas di kedua-dua perlawanan awal mereka dan masih belum mengutip sebarang mata pada kempen liga perdana musim ini. Selain daripada mahu mengutip pertama pada musim ini, Bolton juga dimotivasikan oleh kejayaan Aston Villa di Anfield tempohari. Rafa harus berwaspada dengan keadaan ini dan beliau haruslah hadir ke The Reebok Stadium dengan pencaturan taktikal yang betul di atas padang.

Skuad Liverpool tidak melaporkan sebarang kecederaan yang dihadapi oleh pemain-pemain kesebelasan utama. Pemain pertahanan diketuai oleh Carragher dan akan dibantu oleh Skrtel, Johnson dan juga Insua. Agger baru menjalani pembedahan kecederaan tulang belakang manakala Aurelio dan Kyrgiakos pula telah memulakan latihan bersama kesebelasan utama namun mereka masih belum mencapai kecergasan sepenuhnya untuk bermain di atas padang. Diharapkan Johnson dan Insua meneruskan permainan mantap mereka pada perlawanan ini. Reina masih kekal di gawang Liverpool walapun di kebelakangan ini beliau kerap dibolosi pihak lawan. Banyak faktor lain yang menyumbang kepada perkara tersebut tetapi keupayaan Reina masih berada di tahap terbaik. Bahagian tengah Liverpool yang menjadi tanda tanya sehingga sekarang kerana Liverpool masih belum mampu meletakkan sebarang pemain yang menjadi calon utama untuk mengemudi bahagian ini. Gandingan Kuyt – Mascherano – Lucas – Benayoun masih belum mampu bergerak sebagai satu unit yang mantap sehingga setakat ini. Sesuatu harus dilakukan oleh Rafa untuk memperkukuhkan semula bahagian ini. Alberto Aquilani tidak akan bermain sehingga bulan Oktober nanti. Gerrard, Reira dan juga Spearing mampu memberi nafas baru kepada bahagian tengah Liverpool dengan pencaturan taktikal yang lebih tepat oleh Rafa. Penting bagi Rafa untuk memastikan bahagian tengah Liverpool berfungsi dengan lebih baik di dalam usaha untuk membantu bahagian serangan mencari gol. Bahagian serangan Liverpool masih diketuai oleh Torres dan juga Kapitan Gerrard. Torres dijangka terus beraksi di The Reebok Stadium walaupun matanya masih sedikit lebam dan jahitan masih lagi terdapat di bahagian atas kening beliau.

Lawan Liverpool pada hari Sabtu ini, Bolton Wanderers masih belum mencapai sebarang kemenangan di dalam 2 perlawanan pertama mereka di awal musim ini. Pasukan di bawah kendalian Gary Megson ini telah tewas kepada Sunderland dan juga Hull. Kedua perlawanan berkesudahan dengan jaringan 1-0 yang tidak memihak kepada Bolton. Skuad The Trotters ini dibarisi oleh beberapa muka baru di kesebelasan utama mereka seperti Paul Robinson di posisi pertahanan kiri, Sam Ricketts di posisi pertahanan kanan dan juga Zat Knight yang beraksi di pertahanan tengah bersama-sama Gary Cahill. Jaaskelainen masih kekal sebagai penjaga gol utama mereka pada musim ini. Barisan tengah mereka masih diterajui oleh Sean Davies, Fabrice Muamba, Matthew Taylor dan juga Gavin McCann. Kevin Davies masih lagi diberi kepercayaan untuk mengetuai barisan hadapan Bolton bersama-sama Johan Elmander. Beberapa perubahan di dalam kesebelasan utama Bolton telah memperlihatkan percaturan bakal dilaksanakan oleh Megson pada musim ini. Setelah melihat statistik di kedua-dua perlawanan awal Bolton, mereka dengan jelas menguasai kedua-dua perlawanan terbabit. Namun ketumpulan barisan serangan mereka memanfaatkan peluang yang terhidang menyebabkan mereka berputih mata. Jika menentang Sunderland di tempat sendiri amatlah biasa pasukan tuan rumah menguasai permainan. Tetapi Bolton turut menguasai permainan ketika menentang Hull di tempat lawan. Perkara ini harus diberi perhatian oleh Liverpool kerana kita perlu menghalang Bolton daripada menguasai perlawanan. Jika kita gagal berbuat sedemikian, maka peluang-peluang yang sebelum ini gagal disempurnakan oleh penyerang Bolton pasti akan singgah ke dalam gawang Liverpool. Perlu diingat, walaupun tewas di kedua-dua perlawanan awal musim namun Bolton hanya melepaskan satu gol sahaja di setiap perlawanan tersebut. Ini turut membayangkan kekuatan mereka di bahagian pertahanan. Liverpool amat perlukan kemenangan di dalam perlawanan ini demi untuk memulihkan kembali keyakinan untuk bersaing di Liga Perdana Inggeris. Sempurnakan sepenuhnya peluang yang kita perolehi semasa beraksi di The Reebok Stadium nanti.


YNWA

Thursday, August 27, 2009

Mascherano : Bakal Ditawarkan Kontrak Baru

Pemain tengah Liverpool dan juga merupakan kapten pasukan kebangsaan Argentina, Javier Mascherano diberitakan akan ditawarkan kontrak baru oleh Liverpool. Mascherano yang dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona sebelum ini masih kekal di Anfield pada musim ini. Pengurus Liverpool, Rafael Benitez diberitakan bercadang untuk mengadakan perbincangan dengan Mascherano tentang masa depan pemain tengah ini dengan pasukan dari Merseyside ini. Desas-desus sebelum ini telah mengatakan Barcelona telah mengadakan perbincangan dengan Liverpool mengenai perpindahan Mascherano. Namun sebarang rundingan telah menemui kegagalan dimana Liverpool telah kehilangan beberapa pemain utamanya dan di atas sebab ini, Rafa tidak berminat untuk berurusan dengan mana-mana kelab yang berminat untuk mendapatkan pemain utamanya. Ini telah menghalang Mascherano daripada menyertai rakan baiknya, Lionel Messi di Barcelona. Beberapa percubaan untuk mendesak perpindahan tersebut berlaku dengan menggunakan media oleh Messi dan juga pengurus Barcelona, Pep Guardiola telah menambahkan lagi rasa kurang senang Rafa terhadap kelab Sepanyol tersebut.

Kini muncul pula spekulasi terbaru yang menyatakan Liverpool telah bersedia untuk menawarkan kontrak yang lebih baik kepada pemain tengah berusia 25 tahun ini. Tawaran kontrak ini adalah untuk menyambung lagi kontrak asal yang beliau tandatangani setelah menyertai Liverpool daripada West Ham pada tahun 2007. Diberitakan imbuhan yang lebih baik bakal menanti Mascherano di dalam kontrak baru ini. Pengurus Liverpool mengakui rundingan dengan Mascherano telah berada di dalam perancangan beliau. Rafa telah bercakap dengan Mascherano sebelum ini dan pemain tengah Argentina ini sedia maklum yang perbincangan perlu diadakan untuk menentukan kedudukan masa depan beliau di Anfield. Bagaimanapun Rafa berkata perbincangan beliau dengan Mascherano akan diadakan secara peribadi. Pernah saya suarakan sebelum ini mengenai kebimbangan Mascherano akan turut angkat kaki ke kelab lain jika tiada sebarang tindakan yang diambil oleh Liverpool dan ini merupakan satu reaksi yang positif daripada Rafa untuk memastikan Mascherano terus berbakti di Anfield. Mungkin kita belum dapat meramalkan apakah keputusan daripada perbincangan kontrak ini tetapi saya amat berharap ianya dapat memberikan keputusan yang positif kepada Liverpool. Kita semua sebagai peminat Liverpool pasti mahu beliau kekal di Anfield. Namun kata putus bukan di tangan Rafa dan sebaliknya berada di pihak Mascherano. Sama-samalah kita saksikan kesudahan perbincangan ini nanti dan diharapkan agar ianya tidak menjadi perkara yang berpanjangan seperti sebelum ini. Tidak dapat dibayangkan apa yang akan berlaku di bahagian tengah Liverpool jika kita tidak melakukan sesuatu untuk mengekalkan Mascherano di Anfield.


YNWA

Wednesday, August 26, 2009

Liverpool : Tengah Perlu Perubahan

Setelah melihat 3 aksi perlawanan awal musim Liverpool pada kali ini, jelas dapat saya rumuskan di sini, Liverpool amat lemah di bahagian tengah. Kelemahan ini telah menyebabkan Liverpool kehilangan penguasaan di tengah padang terutama sekali ketika menentang Tottenham dan juga Aston Villa. Walaupun hakikat ini tidak mahu diakui oleh Rafa, saya yakin para peminat sekalian tahu kelemahan Liverpool pada ketika ini. Dan tiada guna kita mengenangi kehilangan Alonso kerana beliau tidak lagi bersama-sama kita. Lucas walaupun diwar-warkan oleh Rafa antara pemain yang mempunyai masa depan cerah di Anfield jelas masih jauh panggang dari api. Perlawanan demi perlawanan, beliau masih berada di tahap lama dan tidak mahu menunjukkan sebarang peningkatan walaupun telah diberi banyak peluang oleh Rafa. Peminat semakin hilang sabar dengan corak permainan beliau yang jelas akan memudaratkan Liverpool. Terbaru, beliau telah mendermakan sepakan percuma dan menolong untuk menewaskan Reina melalui sepakan tersebut. Sudah sampai masanya Rafa meletakkan beliau di bangku simpanan atau terus menjual beliau bagi mengelakkan lebih banyak kerosakan kepada pasukan. Rafa tiada pilihan? Mungkin jika bercakap mengenai pengganti Alonso, itu mungkin benar tetapi untuk meletakkan Lucas dan berharap beliau bermain seperti Alonso, itu merupakan satu malapetaka. Sistem yang digunapakai sekarang amat sesuai jika Alonso masih bersama-sama Liverpool. Rafa perlu membuat sedikit perubahan kepada percaturan taktikal jika beliau masih mahu melihat Liverpool mencabar kejuaraan liga. Gerrard, Benayoun, Kuyt, Riera adalah antara pilihan pemain yang mampu mevariasikan corak permainan Liverpool.

Saya masih mahu melihat kelibat Aquilani secepat mungkin beraksi di kesebelasan utama Liverpool dan ianya pasti tidak akan berlaku di dalam masa terdekat. Diharapkan Aquilani mampu memberikan lebih banyak suntikan kreativiti kepada bahagian tengah Liverpool. Dan janganlah beliau menjadi seperti Dossena di Anfield. Ianya bukan sesuatu jaminan Aquilani akan terus bermain dengan baik di bahagian tengah Liverpool, namun sekurang-kurangnya Aquilani mampu untuk terus membantu menjana serangan daripada bahagian tengah Liverpool, itu sudah cukup baik. Walaupun belum diketahui kemampuan pemain tengah Itali ini, beliau sungguh berkobar-kobar untuk memulakan kariernya dengan Liverpool. Dan terdapat juga desas-desus yang Rafa kini menimbangkan untuk membawa Rafael Van der Vart ke Anfield dengan bayaran 10 juta pound dari Real Madrid. Saya tidak pasti sejauh mana benarnya berita ini, namun jika dilihat dengan perangai pemilik-pemilik Liverpool sekarang, memang Van der Vart tidak akan menjejakkan kaki ke Anfield. Biar apa pun yang berlaku, saya masih percayakan Rafa merupakan pengurus yang bakal membawa kejuaraan liga ke 19 kembali ke Anfield. Masalahnya cuma satu iaitu kurangnya sokongan kepada beliau daripada pemilik kelab untuk membeli pemain-pemain baru. Sekali lagi saya tegaskan di sini, Menang, Kalah atau Seri, kita semua akan tetap bersama-sama LIVERPOOL FC!!!


YNWA

Tuesday, August 25, 2009

BPL : Apa Yang Berlaku Di Anfield?

Amat mengecewakan, itulah yang dapat disimpulkan daripada perlawanan awal pagi tadi. Kecewa kerana kita seolah-olah telah mampu bangkit di dalam perlawanan menentang Stoke City sebelum ini. Namun bak kata seorang rakan peminat/blogger, Disangka Panas Hingga Ke Petang, Namun Hujan Di Tengahari rupanya. Saya adalah antara peminat yang tidak suka untuk menulis demi untuk memburukkan kedudukan pasukan kita ini. Namun jika dilihat apa yang berlaku di Anfield semalam, sesuatu harus dilakukan oleh Rafa agar pasukan kembali lebih mantap pada musim ini. Maaf jika saya katakan persembahan menentang Villa semalam adalah yang terburuk di dalam 3 perlawanan awal Liverpool pada musim ini. Saya bukanlah seorang pakar taktikal seperti Rafa tetapi sebagai seorang peminat, kita dapat lihat dengan jelas kegagalan barisan tengah berfungsi dengan baik pada awal pagi tadi. Lucas dan Mascherano bukanlah gandingan yang boleh digunapakai seperti ketika adanya Alonso pada musim lepas. Mascherano tidak dinafikan cuba melakukan tugas beliau sebaik yang mungkin sebagai pemain tengah yang menyokong bahagian pertahanan dan beliau juga terpaksa meninggalkan tugas itu untuk memastikan bola dapat diumpan kepada pemain serangan Liverpool iaitu Torres dan Gerrard. Mengenai Lucas? Anda semua tahu jawapannya. Selain daripada gol jaringan sendiri yang terus merosakkan rentak permainan Liverpool, persembahan beliau seperti yang saya tegaskan sebelum ini, hanyalah bertaraf biasa buat seorang pemain tengah yang mewakili Liverpool. Nasihat kepada Rafa, sudah tiba masanya anda mengenepikan pemain Brazil ini, tidak berbaloi langsung untuk menganggotai kesebelasan utama Liverpool. Jika tidak kerana gol sendiri tersebut dan ada sebahagian peminat yang memprotes di Anfield pasti Lucas akan bermain penuh 90 minit. Bagi saya usahkan 90 minit, 1 minit pun saya tidak akan masukkan pemain ini sebagai pemain utama. Padah akan menimpa jika Rafa masih berkira-kira untuk meletakkan pemain tengah Brazil ini ketika menentang Bolton di The Reebok Stadium pada hari Sabtu nanti. Harus diingat, The Reebok Stadium bukanlah antara gelanggang yang baik buat Liverpool, kita pernah tewas beberapa kali di stadium tersebut.

Rasanya seperti tidak berbaloi bersengkang mata pada pukul 3 pagi tadi tetapi dihidangkan dengan kekalahan ini. Bukanlah saya tidak boleh menerima hakikat tetapi jika kita kalah kepada pasukan yang bermain dengan lebih baik daripada kita, itu hakikat yang harus kita terima. Tetapi dengan Villa yang 95% bertahan dan hanya menjaringkan gol melalui set pieces (tendangan percuma dan tendangan sudut, juga dengan tendangan penalti), adakah kita masih belum belajar tentang cara untuk bertahan dari set pieces? Saya tidak mahu menyalahkan Villa, kerana pengurus mereka, Martin O Neill berhak untuk memilih taktik yang sesuai dengan untuk beraksi di Anfield. Dan ternyata pencaturan taktikal beliau menjadi pada kali ini. Jika bermain lebih terbuka dengan Liverpool pasti padah akan menimpa dan jika bermain dengan lebih bertahan serta mengharapkan serangan balas melalui set pieces, pasti sesuatu akan membuahkan hasil. Cukuplah mengenai Villa, mereka berhak menang perlawanan awal pagi tadi. Rafa ada menegur prestasi beberapa pemain senior beliau terutama sekali Kapitan Steven Gerrard. Rafa berkata pemain-pemain senior perlu bangkit untuk menunjukkan prestasi lebih baik di dalam perlawanan menentang Bolton nanti. Kenapa Gerrard dipersoalkan? Takkan kerana penalti yang diberi oleh beliau lebih kritikal daripada menjaringkan gol sendiri (Gerrard sudah berpuluh kali menjaringkan gol untuk Liverpool). Sudah agak lama saya tidak melihat Gerrard begitu kecewa seperti di dalam perlawanan semalam. Kecewa kerana kurangnya sokongan daripada bahagian tengah untuk membantu beliau untuk menjana serangan bersama-sama Torres. Penyerang utama Liverpool ini pula menjadi sasaran serangan pemain-pemain Villa yang jelas mahu mengagalkan usaha beliau untuk menjaringkan gol. Pengadil perlawanan pula boleh disamakan dengan pengadil yang mengadili perlawanan bolasepak peringkat sekolah tadika (pengadil perlawanan pertama juga bertindak sedemikian). Faktor ini turut menyumbangkan kepada keputusan perlawanan awal pagi tadi. Walaubagaimanapun, peluang untuk menjadi pencabar kepada kejuaraan liga semakin terhakis, Liverpool perlu lebih konsisten dengan kemenangan selepas ini jika masih berhajat untuk membawa trofi Liga Perdana Inggeris kembali ke Anfield. Sebarang keputusan seri haruslah dikurangkan jika mahu kesan daripada margin kekalahan tidak mengugat pungutan mata pada musim ini. Saya mohon maaf jika tulisan pada kali ini lebih banyak perkara negatif yang diutarakan. Bukan tidak yakin dengan kemampuan Liverpool, Cuma saya amat berharap agar Rafa menukar sedikit percaturan taktikal Liverpool jika kita masih berhajat untuk bangkit pada perlawanan selepas ini.


YNWA

Monday, August 24, 2009

BPL : Preview The Reds vs Aston Villa

5-0, itu keputusan musim lepas semasa Liverpool menewaskan Villa di Anfield. Mampukah kita mengulangi keputusan tersebut apabila bertemu semula dengan Villa pada awal pagi hari Selasa nanti? (3 pagi siaran langsung di Astro). Persoalan yang memang boleh kita jawab dengan mudah jika tiada apa-apa perubahan di kesebelasan utama Liverpool. Namun Liverpool kini telah mengalami sedikit perubahan setelah kehilangan salah seorang pemain tengah berkaliber pada musim panas yang lalu. Saya bukan menidakkan peluang Liverpool untuk menang di perlawanan ini, namun kita harus ingat walaupun mencapai kemenangan besar pada musim lepas tetapi ianya bukan menjamin kemenangan kepada Liverpool pada perlawanan itu nanti. Dengan Arsenal dan Manyoo serta Chelsea telah menang masing-masing perlawanan mereka, Liverpool tidak mempunyai sebarang alasan untuk tidak mengutip 3 mata penuh. Bermain di Anfield di hadapan peminat sendiri seharusnya menjadi pemangkin Liverpool untuk mencapai kemenangan. Bagi saya sebarang jaringan tidak menjadi masalah asalkan kita menang pada perlawanan awal musim ini.

Liverpool dilaporkan tidak mempunyai sebarang masalah kecederaan dan saya jangkakan tiada perubahan akan dibuat keatas kesebelasan utama Liverpool kecuali Rafa mahu meletakkan pertahanan tengah terbaru dari Greece. Sotorios Kyrgiakos bagi mengantikan Daniel Ayala. Martin Skrtel juga dilaporkan telah menjalani latihan dan beliau akan dinilai oleh Rafa samada layak untuk beraksi atau tidak menjelang perlawanan itu nanti. Saya seperti anda semua mahukan Lucas diletakkan di bangku simpanan, namun pasti cita-cita kita semua tidak akan kesampaian dengan pujian melambung dari Rafa terhadap beliau (walaupun permainannya hanya berada di tahap biasa sahaja untuk seorang pemain tengah). Maka terpaksalah kita telan segala corak permainan beliau yang memang tidak ada sebarang perubahan semenjak tiga tahun yang lepas. Bukan kita tidak faham dengan situasi tekanan yang terpaksa dihadapi oleh Lucas, namun pada peringkat ini Lucas sepatutnya telah menjadi seorang pemain yang mempunyai corak permainan yang lebih kreatif kerana Liverpool amat perlukan seorang pemain tengah yang mampu menghasilkan killer pass kepada pemain-pemain hadapan Liverpool sepert Gerrard dan Torres. Bukan niat untuk memburukkan Lucas tapi saya sudah bosan menunggu untuk melihat Lucas mencapai tahap permainan sebegitu. Nampaknya kita masih perlu bersabar sehingga kelibat Aquilani akan kelihatan sebaik sahaja beliau sembuh dari kecederaan nanti. Pemain-pemain lain yang diturunkan semasa menentang Stoke City harus dikekalkan dan terdapat kemungkinan Riera akan diturunkan menggantikan Benayoun di sayap kiri.

Lawan Liverpool kali ini iaitu Aston Villa a.k.a The Villans nampaknya menghadapi sedikti masalah di awal musim ini. Mereka telah tewas kepada Wigan pada perlawanan pembukaan musim di Villa Park pada minggu lepas. Dan mereka juga tewas pada perlawanan Europa League pada pertengahan minggu lepas. Villa rasanya masih cuba menyesuaikan diri dengan kehilangan bekas kapten mereka kepada City pada musim panas lalu. Namun begitu, mereka tidak boleh dipandang rendah kerana pemain-pemain senior mereka seperti Petrov, Young, Milner, Heskey, Friedel dan Carew masih menanggotai kesebelasan utama Villa. Anak-anak buah Martin O’Neill ini pasti mahu bangkit daripada kekalahan sebelum ini. Pemain pertahanan tengah mereka, Davies dilaporkan mengalami kecederaan bahu dan Villa akan membuat penilaian menjelang perlawanan itu nanti. O’Neill juga dijangkakan akan menurunkan pemain tengah yang baru dibeli dari Leeds, Fabian Delph. Walaupun masih muda dan cetek pengalaman di Liga Perdana Inggeris, keupayaan Delph harus diawasi oleh bahagian tengah Liverpool.

Walaupun di atas kertas, Liverpool dijangkakan mudah memenangi perlawanan ini, sikap sambil lewa dan memandang rendah keupayaan lawan harus diketepikan sama sekali. Jika tidak, padah yang bakal menimpa seperti perlawanan menentang Spurs sebelum ini. Perlawanan menentang Stoke sebelum ini harus dijadikan sandaran untuk terus bangkit mengibarkan cabaran pada musim ini. Ingat, Aston Villa adalah pasukan yang cukup berbeza dengan Stoke kerana mereka merupakan pasukan yang lebih lengkap dengan banyak lagi pemain berbakat. Saya berharap kita mampu memenangi perlawanan ini dan menutup mulut lebih ramai pengkritik yang sering menidakkan peluang Liverpool untuk memenangi liga pada musim baru ini. Ayuh The Reds, buktikan kemampuan kita sebagai antara pencabar utama liga pada musim ini!


YNWA

Sunday, August 23, 2009

Agger : Rehat Dua Bulan

Setelah menandatangani kontrak baru pada musim panas ini, pemain pertahanan tengah Liverpool dari Denmark, Daniel Agger masih belum beraksi di kesebelasan utama Liverpool. Ini berikutan daripada kecederaan belakang yang dialami beliau belum pulih sepenuhnya. Berita terbaru mengatakan bahawa Agger akan berehat selama dua bulan lagi kerana beliau dijangkakan akan menjalani pembedahan untuk memulihkan kecederaan tersebut di Perancis dalam masa yang terdekat ini. Agger dijangkakan akan pulih sepenuhnya pada pertengahan Oktober nanti dimana Denmark akan beraksi di dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Sweden dan juga Hungary. Kecederaan Agger ini jelas memeningkan kepala Pengurus Liverpool, Rafael Benitez. Rafa kini kekurangan pemain untuk beraksi di bahagian pertahanan tengah Liverpool. Beliau dilaporkan telah terlepas untuk membuat bidaan 17 juta pound terhadap pemain pertahanan tengah West Ham, Matthew Upson yang dikatakan menjadi antara sasaran utama beliau pada musim ini. Namun begitu Rafa telah berjaya dengan bidaan hampir 2 juta pound ke atas pemain pertahanan tengah AEK Athens, Sotirios Kyrgiakos yang dijangka akan menyertai Liverpool pada hujung minggu ini.

Nampaknya kita semua pasti tidak akan dapat melihat kelibat Agger buat sementara waktu disebabkan kecederaan ini. Diharapkan agar beliau tidak mengambil masa yang lama untuk pulih seperti yang dialaminya dengan kecederaan kaki sebelum ini. Jika beliau pulih pada Oktober nanti, ada kemungkin rakan pertahanan beliau Fabio Aurelio turut cergas untuk beraksi di kesebelasan utama Liverpool. Dan tidak lupa juga kepada Aquilani yang diberitakan akan cergas sepenuhnya pada waktu tersebut. Berita-berita kecederaan ini sedikit sebanyak menganggu persediaan Liverpool pada kali ini. Dan diharap Rafa dapat menggunakan sepenuhnya pemain yang beliau ada untuk mengatasi masalah ini. Walaupun kita tidak dapat beraksi pada tahap kekuatan sebenar pada awal musim ini, janganlah ianya dijadikan alasan untuk kita mengalah sebelum berjuang di atas padang. Ini masanya pemain-pemain simpanan menunjukkan kemampuan mereka jika diberi peluang oleh Rafa untuk beraksi di kesebelasan utama.


YNWA.

Saturday, August 22, 2009

Rafa : Kerana Peminat, Kakitangan Dan Pemain Liverpool

Setelah melalui 2 perlawanan awal Liga Perdana Inggeris, Pengurus Liverpool adalah antara pengurus terawal yang dikaitkan dengan berita perletakan jawatan dengan pasukan dari Merseyside ini. Rafa diberitakan tidak gembira dengan kekurangan sokongan kewangan yang diperlukan oleh beliau untuk mengemudi cabaran Liverpool pada musim ini. Namun Rafa dengan pantas telah menafikan desas-desus tersebut dan beliau 100 peratus komited untuk terus bersama-sama dengan The Reds. Setelah kejayaan membenam Stoke City 4-0 di Anfield pada awal pagi Khamis lepas, berita ini semakin pudar di media. Rafa dikatakan menjadi sasaran syarikat pertaruhan yang meletakkan beliau sebagai antara pengurus teawal yang angkat kaki dari Liga Perdana Inggeris. Namun mereka tidak lagi meletakkan boss Anfield ini sebagai pengurus terawal yang akan meletakkan jawatan setelah kejayaan Liverpool menumpaskan Stoke City. Kejayaan ke atas Stoke dikatakan memberikan ruang kelegaan kepada Rafa untuk terus mengemudi skuad The Reds ini.

Namun, di sebalik perlunya Rafa untuk mendapatkan peruntukan bagi membeli pemain-pemain baru, bekas pengurus Valencia itu bertegas yang Liverpool akan tetap mencabar kejuaraan liga pada musim ini samada dengan tambahan pemain baru atau tidak. Rafa telah mengetahui mengenai desas-desus itu yang menyatakan sesuatu akan berlaku di Anfield tetapi janji beliau dengan peminat Liverpool, beliau amat komited dengan kelab ini dan masih mahu kekal di Anfield. Tambah Rafa, jika jika beliau masih mampu memperbaiki pasukan yang sedia ada, beliau amat gembira namun jika tidak, beliau akan mencuba sedaya upaya untuk membawa cabaran Liverpool dengan pemain-pemain yang telah beliau ada sekarang. Bagi Rafa, setelah menandatangani kontrak baru sebelum ini, itu menandakan beliau komited untuk bersama-sama dengan peminat, kakitangan dan juga para pemain-pemain Liverpool. Nampaknya pengurus kita ini amat komited dengan kelab, namun saya pasti kita semua agak gusar jika sokongan yang diterima beliau dari pengurusan Liverpool semakin terhakis. Sesuatu harus dilakukan dan sokongan kepada Rafa harus dipertingkatkan agar kita tidak kehilangan beliau. Kita semua tahu, banyak kelab-kelab luar yang amat berminat untuk mendapatkan khidmat Rafa dan menjadi penghalang hanyalah komitmen Rafa kepada Liverpool. Untuk mengatakan beliau semata-mata menghabiskan duit kelab adalah tidak benar sama sekali kerana Rafa adalah antara pengurus yang paling banyak membuat keuntungan dengan penjualan pemain. Tetapi yang menjadi persoalannya, ke manakah hilangnya wang yang diperolehi itu?


YNWA

Friday, August 21, 2009

Torres : Terlalu Tinggi Pengorbananmu

Walaupun gembira apabila mendengar berita penyerang utama Liverpool, Fernando Torres secara rasmi telah menandatangani kontrak baru dengan Liverpool baru-baru ini namun terdapat sedikit kebimbangan mengenai situasi Liverpool sekarang yang mungkin akan menjejaskan kedudukan Torres di Anfield pada masa akan datang. Torres dilaporkan telah menerima pendapatan 120 ribu pound seminggu melalui kontrak baru ini dan beliau dijangka kekal di Anfield sehingga 2014. Pengurus Liverpool, Rafael Benitez amat lega dengan perkembangan terbaru ini memandangkan Torres menjadi buruan lanun-lanun yang berada di pasaran perpindahan pemain. Dengan status antara penyerang terbaik di dunia ketika ini, Torres tidak akan terlepas daripada spekulasi perpindahan pada setiap musim. Dengan kontrak baru ini, pasti Rafa mempunyai kelebihan untuk menghalang lanun-lanun tersebut daripada cuba untuk merompak Torres dari Liverpool. Kita semua dapat bayangkan betapa bernilainya Torres kepada Liverpool sehinggakan bidaan 50 juta pound ditolak mentah-mentah oleh Rafa tanpa sebarang kompromi. Jika itu pernilaian Rafa ke atas Torres, kita sebagai peminat pasti tidak mahu menukarkan beliau dengan sebarang harga. Tiada nilai yang dapat digambarkan untuk Torres.

Kenapa saya agak bimbang dengan keadaan Liverpool? Seperti yang kita semua sedia maklum, Liverpool telah kehilangan salah seorang pemain tengah terbaik di kala ini beberapa minggu yang lepas. Secara jujur saya masih tidak bersetuju dengan perpindahan tersebut kerana ianya secara langsung telah melemahkan bahagian tengah Liverpool. Namun tiada guna untuk kita terus menyimpan pemain yang tidak lagi mahu beraksi dengan Liverpool. Dengan Liverpool yang masih belum memenangi sebarang kejuaraan semenjak Piala FA 2006, sesuatu harus dilakukan segera oleh Rafa. Kita harus memenangi mana-mana kejuaraan dalam masa terdekat jika kita tidak mahu kehilangan Torres. Bunyinya agak mustahil memandangkan hubungan yang cukup rapat di antara Torres dengan Liverpool. Bukan saya tidak percayakan Torres, saya percayakan beliau sepenuhnya kerana beliau telah melakukan pengorbanan yang cukup besar untuk berhijrah ke kelab pujaan beliau semenjak dari kecil lagi walaupun terdapat banyak kelab-kelab gergasi yang beratur untuk mendapatkan khidmat beliau. Dan kita sungguh bertuah untuk memiliki penyerang serba boleh ini. Sudah tiba masanya Liverpool membalas kepercayaan Torres dengan memenangi sebarang kejuaraan. Ini adalah musim ketiga Torres bersama-sama Liverpool dan telah banyak rekod dipecahkan oleh penyerang muda Sepanyol ini tetapi itu semua perkara kedua kerana perkara yang pertama adalah untuk memenangi kejuaraan bersama-sama Liverpool. Jika kita boleh memenangi Piala FA atau Piala Liga sebagai permulaan untuk Torres, itu sudah cukup baik. Tetapi ianya akan menjadi lebih manis jika Liverpool berjaya memenangi kejuaraan ke 19 Liga Perdana Inggeris atau membawa balik Liga Juara-Juara Eropah keenam di Anfield pada musim ini.


P.S : Selamat Menyambut Ramadhan Al Mubarak Dari liverpool-malaya kepada semua pembaca setia. Semoga Ramadhan kali ini penuh dengan keinsafan buat kita semua.


YNWA

Thursday, August 20, 2009

BPL : Amukan The Reds Di Anfield

Tahniah untuk skuad The Reds kerana menunjukkan persembahan yang cukup bertenaga ketika menewaskan Stoke City di Anfield dengan keputusan 4-0. Walaupun terdapat cakap-cakap yang mengatakan Stoke City adalah pasukan kerdil dan mudah untuk ditewaskan adalah merupakan satu kenyataan yang kurang tepat. Kenapa? Perlu diingatkan Stoke City berjaya kekal di Liga Perdana Inggeris pada musim lepas dan mereka berjaya menduduki tangga ke 12 pada ketika itu. Pencapaian yang cukup baik untuk pasukan yang baru naik ke Liga Perdana Inggeris. Tambahan pada musim lepas mereka berjaya mengekang Liverpool dengan keputusan 0-0 di Anfield. Statistik perlawanan juga telah menyatakan penjaga gol Stoke, Thomas Sorensen telah banyak menyelamatkan percubaan dari Liverpool. Walauapapun yang diperkatakan, kita sebagai peminat Liverpool berhak untuk meraikan kejayaan Liverpool setelah teruk dipermainkan oleh penyokong pasukan-pasukan lain. Saya amat berharap Liverpool akan terus bangkit daripada kemenangan ini untuk menyemarakkan lagi cabaran kita pada musim ini. Kepada semua peminat, bergembiralah dan nikmatilah kemenangan ini dan jangan kita lupa fokus kita kepada perlawanan hari Isnin nanti, apabila menentang pasukan yang lebih kuat, Aston Villa.

Berbalik kepada perlawanan menentang Stoke City awal pagi semalam, pujian harus diberikan kepada keseluruhan pasukan kerana mereka telah bangkit untuk menutup mulut pengkritik yang kebanyakkannya telah mengenepikan Liverpool semenjak dari awal lagi. Kemenangan yang seharusnya menjadi pembakar semangat untuk Liverpool untuk mengibarkan cabaran pada musim ini. Persembahan mantap dari Kapitan Gerrard serta pemain pertahanan terbaru kita, Glen Johnson telah menjawab kenapa Rafa sanggup berbelanja 17 juta pound untuk mendapatkan beliau. Sepakan gunting ketika menjaringkan gol kedua Liverpool juga membuktikan Johnson akan banyak membantu di dalam usaha Liverpool untuk merampas kembali kejuaraan Liga Perdana Inggeris nanti. Antara penjaring utama musim lepas, Torres serta Kuyt juga turut melakar nama sebagai penjaring gol semalam dan membuka akaun jaringan mereka pada musim ini. Dan Ngog menambahkan gol keempat setelah masuk menggantikan Torres. Kapitan Gerrard meneruskan rutin kebiasaan beliau sebagai penggerak utama Liverpool. Dua umpanan untuk membolehkan gol dijaringkan telah menunjukkan lagi betapa pentingnya beliau kepada Liverpool. Pemain muda Sepanyol, Daniel Ayala mendapat pengalaman berguna setelah bergandingan dengan Carragher di pertahanan tengah Liverpool. Diharapkan pemain muda ini terus meningkat permainannya dibawah bimbingan Rafa. Sedikit kebimbangan dengan kecederaan yang dialami Torres di bahagian mata. Menurut Rafa penyerang utama Liverpool ini memerlukan 10 jahitan setelah belaga dengan pemain pertahanan Stoke, Ryan Showcross. Saya berharap Torres akan cergas sepenuhnya menjelang perlawanan menentang Villa di Anfield pada hari Isnin nanti (5 hari untuk beliau berehat dan cergas untuk bermain semula). Juga terdapat berita terbaru dari Anfield yang menyatakan Liverpool telah bersetuju dengan perpindahan pemain pertahanan tengah Greece dan juga kapten AEK Athens, Sotirios Kyrgiakos ke Anfield. Beliau akan menjalani pemeriksaan perubatan pada hujung minggu nanti. Kepada rakan-rakan semua, perjalanan kita masih jauh dan seperti kata Rafa “gunakan pendekatan satu perlawanan demi satu perlawanan” di dalam mengibarkan cabaran kita pada musim ini. Menang, Kalah atau Seri, kita tetap akan bersama-sama LIVERPOOL FC!!!


YNWA

Wednesday, August 19, 2009

BPL : Analisis Kekuatan The Reds vs Stoke City

Analisis kekuatan Liverpool sebelum perlawanan menentang Stoke City pada awal pagi Khamis ini pastinya akan tertumpu kepada persoalan kemampuan bahagian tengah Liverpool. Jelas yang kita nampak adalah terjejasnya bahagian tengah kita amat terasa apabila kita telah kehilangan salah seorang pemain utama beberapa minggu yang lepas. Saya pasti fokus Rafa adalah untuk mengatasi kelemahan ini dan berikut merupakan beberapa cadangan yang mungkin boleh dipertimbangkan. Babel perlu direhatkan buat sementara dan tempat beliau boleh digantikan oleh Benayoun ataupun Riera di bahagian sayap kiri. Jika Rafa meletakkan Riera di bahagian sayap kiri maka Benayoun boleh menggantikan tempat Gerrard di belakang Torres dan kapten kita untuk boleh menggantikan Lucas di bahagian tengah padang. Gerrard dan Benayoun boleh silih berganti untuk membantu antara satu sama lain di dalam usaha untuk membuat hantaran kepada penyerang utama Liverpool, Fernando Torres di bahagian depan. Pilihan lain adalah dengan menggandingkan Torres dengan Kuyt ataupun Voronin di bahagian depan. Tetapi kedua-dua pilihan ini dikhuatiri kurang berkesan untuk menggempur kubu pihak lawan. Lebih baik meletakkan Benayoun untuk membantu Torres kerana kreativiti Benayoun diperlukan untuk memecahkan kubu pasukan seperti Stoke ini. Kekalkan kehadiran Mascherano serta Kuyt di bahagian tengah dan juga sayap kanan Liverpool.

Berbalik kepada bahagian pertahanan, Reina beraksi cukup cemerlang ketika perlawanan tempohari. Jika tidak kerana beliau mengagalkan Keane, pasti lebih banyak Liverpool akan dibolosi. Sedikit kebimbangan dengan keadaan Skrtel dan juga Carra yang berlaga sesama sendiri tempohari. Saya amat berharap kedua-duanya cergas untuk beraksi di perlawanan menentang Stoke nanti. Dengan Agger yang dilaporkan masih lagi dihantui oleh kecederaan belakang yang dialaminya, Liverpool hanya mempunyai pemain pertahanan muda seperti Daniel Ayala dan Martin Kelly sebagai sandaran. Kelibat Ayala ketika masuk sebagai pemain gantian sewaktu perlawanan lepas agak menarik perhatian. Beliau agak fokus di dalam menangani asakan dari pihak lawan. Pilihan yang agak menarik untuk diturunkan jika salah seorang antara Carra dan Skrtel masih belum pulih sepenuhnya. Di bahagian pertahanan kanan, Glen Johnson tidak menghampakan dan beliau memerlukan lebih banyak permainan untuk lebih serasi dengan kesebelasan utama Liverpool. Larian beliau untuk membantu bahagian atas Liverpool berkesan untuk memberikan tekanan kepada pemain pertahanan lawan. Insua di sebelah kiri juga tidak menghampakan, beliau seperti biasa dengan persembahan mantap di bahagian kiri pertahanan Liverpool. Bakal menjadi pencabar utama kepada Aurelio di kemudian hari. Kita semua amat mengharapkan keputusan positif dari perlawanan pertama di Anfield bagi musim 2009/2010 ini. Diharapkan Rafa mempunyai formula untuk memastikan Liverpool kembali ke landasan yang betul untuk mencabar kejuaraan liga. Untuk mengikuti analisis mengenai kekuatan Stoke City menjelang perlawanan ini, anda boleh ke laman web my-liverpoolfc.com.


YNWA

Tuesday, August 18, 2009

Van der Vaart : Percuma Dari Madrid?

Apa pendapat rakan-rakan sekalian jika pemain tengah Holland dan juga Real Madrid iaitu Rafael Van der Vaart boleh diperolehi tanpa perlu mengeluarkan apa-apa bayaran? Pasti ada di antara anda yang tidak mempercayainya. Namun itulah kemungkinan yang boleh terjadi dengan Van der Vaart jika masalah beliau dengan Real Madrid tidak mempunyai jalan penyelesaian. Peguam Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional FIFA (FIFPro) Will van Megen menyatakan Van der Vaart berhak mendapat pepindahan percuma kerana Real Madrid secara terang-terangan tidak mahu lagi menggunakan khidmat Van der Vaart di dalam pasukan utama mereka dan ini menunjukkan beliau tidak lagi mempunyai nilai buat mereka. Memburukkan lagi keadaan adalah, Van der Vaart langsung tidak diberi nombor jersi untuk musim baru ini. Tambah van Megen lagi, FIFA dan kelab-kelab sentiasa menasihati pemain-pemain profesional supaya menghormati kontrak mereka tetapi di dalam kes Van der Vaart adalah jelas Real Madrid yang tidak menghormati kontrak dengan menafikan peluang Van der Vaart untuk beraksi di atas padang. Pada pendapat van Megen, dengan bertindak sedemikian maka Real telah kehilangan hak untuk menerima sebarang yuran perpindahan buat Van der Vaart. Memang begitulah sikap kelab yang tidak menghargai pemain, bila diperlukan pemain akan dijulang tetapi bila khidmat dikatakan tidak sesuai (walaupun pemain masih mampu beraksi dengan baik) dengan pasukan maka mereka akan diketepikan terus tanpa diberi peluang untuk membuktikan kemampuan.

Satu peluang yang menarik jika benar pemain tengah berusia 26 tahun ini mampu diperolehi dengan percuma. Van der Vaart yang dikatakan bernilai 6 juta pound telah menarik perhatian Chelsea, Liverpool serta terbaru Arsenal. Beliau dilaporkan telah menolak tawaran untuk bermain di Holland, Jerman, Sepanyol dan juga Itali. Dan keutamaan Van der Vaart adalah untuk bermain di Liga Perdana Inggeris. Beliau hanya menanti masa untuk menerima tawaran dari mana-mana pasukan utama Liga Perdana Inggeris. Jika Liverpool berminat untuk mendapatkan Van der Vaart samada secara percuma atau membayar 6 juta pound, beliau boleh dilihat sebagai antara pemain yang mampu mengemudi barisan tengah Liverpool (lebih baik dari pemain yang ada sekarang). Van der Vaart dilaporkan mempunyai kontrak 60 ribu pound seminggu dengan Real dan Liverpool pasti tidak mempunyai masalah untuk membayar jumlah tersebut. Namun yang masih menjadi persoalan kepada saya, Rafa diberitakan telah menafikan kehadiran Van der Vaart di Anfield sebelum ini kerana pemain tengah ini dikatakan turut menjadi sebahagian daripada tawaran balas daripada Real di dalam rundingan perpindahan pemain sebelum ini. Namun itu hanyalah sebahagian daripada desas-desus yang diperkatakan di media dan juga internet. Mungkin juga Rafa tidak pernah ditawarkan pemain tengah ini dan beliau ketika itu tidak berminat untuk mendapatkan pemain Real.


YNWA

Monday, August 17, 2009

BPL : Pengajaran Buat The Reds


Hari yang agak suram buat peminat The Reds. Saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara tersebut. Cuma harapan saya agar perlawanan menentang Stoke City pada awal pagi Khamis nanti tidak akan mengulangi apa yang telah berlaku semalam. Perlu diingatkan Stoke merupakan pasukan yang pasti akan bertahan dengan armada kapal selam mereka di Anfield. Dan mereka amatlah berbahaya apabila menggunakan set piece. Dan itu kelemahan ketara The Reds di dalam perlawanan semalam. Kegagalan untuk menangkis set piece dengan baik mengakibatkan lawan mampu membolosi gol Liverpool. Banyak faktor yang menyumbang kepada keputusan semalam dan ada di antaranya berada di luar kawalan Liverpool. Pemain yang tidak beraksi dengan baik? Saya tidak mahu menunding jari kepada sesiapa tetapi saya amat pasti anda semua tahu siapa yang beraksi di bawah kemampuan sebenar semalam. Cuma saya agak tertarik dengan persembahan Daniel Ayala, pertahanan muda Liverpool. Walaupun hanya beraksi buat seketika, namun beliau agak fokus untuk mempertahankan benteng Liverpool. Mungkin selepas ini kita akan dapat melihat banyak lagi aksi daripada Ayala.

Prestasi semalam seharusnya memberikan amaran awal kepada Rafa tentang barisan pemain yang beliau ada sekarang. Liverpool tidak lagi mampu untuk bergantung kepada pemain-pemain yang bagus untuk 2-3 perlawanan tetapi lingkup untuk berbelas perlawanan. Liverpool memerlukan pemain yang mempunyai prestasi lebih konsisten jika kita berhajat untuk mencabar kejuaraan liga. Kepada rakan-rakan sekalian, saya pasti anda semua sakit telinga pada pagi ini. Tetapi kita sebagai peminat setia The Reds jangan sesekali berputus asa dan kita bukan baru kepada situasi seperti ini. Adat pertandingan, ada yang kalah dan ada yang menang. Walaupun kita tidak gembira dengan keputusan semalam, masih jauh perjalanan kita untuk musim ini. Saya lebih suka menjadi mereka yang ketawa di kemudian hari. Percayalah kepada pasukan kita dan percayalah kepada Rafa untuk mengemudi cabaran kita pada musim ini. Saya amat pasti Rafa sedar dengan keadaan semalam dan beliau pasti akan berbuat sesuatu untuk mengembalikan keyakinan The Reds.


YNWA

Sunday, August 16, 2009

Turner : Harga Jadi Halangan

Nampaknya peluang untuk pemain pertahanan Hull City, Micheal Turner untuk mewakili Liverpool semakin samar apabila kelabnya tersebut meletakkan harga 10 juta pound sebagai bayaran perpindahan beliau. Pengurus Liverpool, Rafael Benitez dikatakan akan menarik diri daripada membida pemain pertahanan Hull tersebut. Rafa kini di dalam pencarian untuk mendapatkan seorang lagi pemain pertahanan tengah untuk memantapkan lagi benteng pertahanan Liverpool untuk bersaing pada musim baru nanti. Walaupun amat berminat untuk mendapatkan pemain pertahanan tinggi lampai berusia 25 tahun ini, Rafa dengan jelas tidak mahu membazirkan wang untuk membayar yuran perpindahan yang terlalu tinggi diletakkan oleh Hull untuk pemain mereka ini. Rafa sanggup menawarkan 6 juta pound atau menawarkan pemain sebagai sebahagian daripada perjanjian namun Hull jelas tidak berminat dan mahukan bayaran yang lebih tinggi. Ini menyebabkan sebarang rundingan untuk Turner dijangkakan tidak akan berlaku.

Selain daripada Liverpool, Turner turut diburu oleh Tottenham, Everton dan juga Fulham di dalam beberapa minggu kebelakangan ini. Namun dengan beberapa perkembangan terbaru, Hull kelihatan akan terlepas peluang untuk menjual pemain pertahanan mereka ini. Tottenham dikatakan sedang mencari pemain lain sebagai ganti dan Everton tidak meneruskan minat mereka untuk mendapatkan Turner. Pilihan yang ada kepada Turner, hanyalah Fulham tetapi Turner tidak berminat untuk berpindah ke Craven Cottage buat masa terdekat. Liverpool pula dilaporkan telah menukar sasaran mereka kepada pemain pertahanan Stoke City, Ryan Showcross sebagai ganti kepada Turner. Liverpool dikatakan mahu membida pemain tersebut pada harga 5 juta pound. Saya tidak nafikan samada Turner atau Showcross, kedua-duanya adalah antara pemain yang mempunyai potensi yang besar di Liga Perdana Inggeris. Namun jika Liverpool gagal untuk mendapatkan mereka, Rafa perlu lebih berani untuk memberi peluang kepada pemain muda beliau untuk beraksi di atas padang.


YNWA

Saturday, August 15, 2009

Reina : Kita Perlu Lebih Positif

Kita perlu lebih positif apabila musim baru bermula nanti. Itulah antara pandangan yang diberikan oleh penjaga gol utama Liverpool Jose “Pepe” Reina apabila ditanya mengenai kemampuan Liverpool pada musim depan. Positif kerana bagi Reina, Liverpool akhirnya berjaya mendekatkan diri dengan juara Liga Perdana Inggeris musim lepas. Walaupun Liverpool tidak membeli sebarang pemain bertaraf bintang pada musim ini, Reina masih yakin pasukan ini mampu untuk bersaing dengan mana-mana pasukan Liga Perdana Inggeris. Reina percaya Liverpool merupakan pasukan terbaik di England beberapa bulan terakhir pada musim 08/09 tetapi beliau mengakui pengajaran harus diambil dari pengalaman musim itu jika Liverpool berhajat untuk membawa pulang trofi kejuaraan Liga Perdana Inggeris kembali ke Anfield pada musim 09/10 yang akan bermula tidak lama lagi. The Reds yang menang berganda ke atas juara Liga Perdana Inggeris musim lepas, telah memenangi 10 dan seri sekali di dalam 11 perlawanan terakhir untuk membawa persaingan liga sehingga ke penhujung musim dan ianya sesuatu yang telah lama tidak berlaku semenjak tahun 1990. Bagi Reina menjadi terbaik untuk beberapa bulan terakhir tidak mencukupi kerana Liverpool perlu menjadi yang terbaik untuk 10 bulan (sepanjang musim 09/10) jika mahu menjadi juara.

Namun begitu Reina dan rakan-rakan sepasukan beliau amat gembira kerana mereka semakin hampir dengan kejuaraan liga tetapi tidak cukup gembira kerana masih lagi belum bergelar juara. Pasukan seperti Liverpool perlu lebih mencabar untuk memenangi kejuaraan liga, tambah Reina lagi. Reina amat kecewa kerana Liverpool banyak keputusan seri pada musim lepas terutama sekali di Anfield dan itulah yang menjadi perbezaannya. Liverpool memiliki perbezaan jaringan yang lebih baik dan juga tewas kurang daripada juara liga musim lepas kata Reina lagi. Rekod Liverpool menentang 4 pasukan gergasi liga juga amat baik pada musim lepas dengan mendapat 14 daripada 18 mata yang dipertandingkan, tambah Reina. Beliau berharap para peminat Liverpool harus lebih yakin pada musim baru nanti kerana Liverpool semakin meningkat musim demi musim yang berlalu. Berdasarkan pengalaman musim lalu, Reina tahu mereka telah mencuba yang terbaik pada musim lepas dan beliau percaya Liverpool akan terus memberikan saingan yang lebih mantap di dalam liga di dalam masa beberapa tahun akan datang. Reina dan rakan-rakannya bangga kerana mereka telah menghampiri kejuaraan liga tetapi mereka akan lebih berbangga jika mampu memenanginya nanti dan itulah langkah berikutnya yang akan dilakukan oleh pasukan dari Merseyside ini.

Walaupun terdapat sedikit kegusaran dengan perpindahan Alonso, Reina tetap yakin Liverpool cukup bersedia untuk memberikan saingan di musim baru nanti. Saya pasti ada di antara rakan-rakan yang telah membaca artikel-artikel mengenai Liverpool samada dari internet ataupun di media cetak. Dan memang banyak pihak telah menafikan peluang Liverpool untuk memenangi liga pada musim baru nanti kerana The Reds telah kehilangan Alonso. Bagi saya, lebih baik kita tumpukan kepada Liverpool daripada melayan artikel-artikel tersebut. Saya akui peluang kita untuk menjuarai liga agak sukar setelah kehilangan Alonso, namun 2 muka iaitu Johnson dan Aquilani pasti akan memberikan yang terbaik kepada Liverpool. Gerrard dan Torres juga akan memastikan cabaran kita lebih mantap pada musim baru nanti. Kepada yang suka mengkritik dan menafikan peluang The Reds, bersiap sedialah untuk menghadapi cabaran sengit daripada kami nanti. Ayuh kita buktikan bermula di perlawanan menentang Tottenham di White Hart Lane Ahad ini.


YNWA

Friday, August 14, 2009

McAteer : Peluang Terbaik Musim Ini

Begitulah pendapat yang diberikan oleh bekas pemain tengah Liverpool, Jason McAteer. Beliau yakin pada musim inilah peluang terbaik Liverpool untuk memenangi Liga Perdana Inggeris setelah 10 musim berlalu. Bekas pemian Liverpool ini yakin anak-anak buah Rafael Benitez memiliki keupayaan untuk memenangi liga pada musim baru nanti. McAteer kini merupakan penolong pengurus kepada lagenda Liverpool John Barnes di kelab Tranmere Rovers dan beliau percaya Liverpool akan bangkit daripada persediaan pra musim yang kurang memberangsangkan sebelum ini. Tambah McAteer memang ramai yang berpendapat Liverpool akan menghadapi masalah berdasarkan kepada keputusan perlawanan pra musim mereka kerana ianya akan menghakis keyakinan pemain di atas padang namun beliau yakin itu bukan masalah utama buat anak-anak buah Rafael Benitez.

Liverpool akan memulakan kempen Liga Perdana Inggeris pada hari Ahad nanti menentang Tottenham di White Hart Lane dan McAteer yakin Liverpool telah bersedia sepenuhnya untuk perlawanan tersebut. Bila tiba hari Ahad nanti anda akan melihat sebuah pasukan yang cukup berbeza kerana itulah yang akan berlaku pada Liverpool apabila mereka mula bermain di perlawanan pertama di permulaan musim ini, kata McAteer. Menurut McAteer, Harry Redknapp telah melakukan kerja yang bagus di Tottenham tetapi Rafael Benitez telah berjaya menghampiri kejuaraan liga pada musim lepas dan beliau mempunyai sebab untuk mara selangkah lagi bagi merampas kembali kejuaraan Liga Perdana Inggeris. McAteer turut mengenepikan peluang manyoo pada musim ini kerana mereka telah kehilangan penjaring utama mereka kepada Real Madrid baru-baru ini dan Chelsea serta Arsenal masih mampu menjadi pencabar utama kejuaraan liga pada musim baru nanti.

Inilah peluang terbaik Liverpool untuk memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan sudah tiba masanya trofi itu dibawa pulang kembali ke Anfield setelah musim demi musim berlalu, tambah McAteer lagi. Jason McAteer telah mewakili Liverpool sebanyak 100 perlawanan setelah beliau berpindah dari Bolton ke Anfiled pada tahun 1995. Selepas itu beliau turut bermain di Blackburn serta Sunderland sebelum mengakhiri kerjaya bolasepaknya di Tranmere Rovers. Di situlah juga bermulanya kerjaya beliau di dalam bidang kejurulatihan bolasepak. McAteer adalah antara pengulas yang selalu muncul di rangkaian ESPN pada musim lepas untuk memberikan ulasan mengenai perlawanan-perlawanan Liga Perdana Inggeris bersama-sama seorang lagi lagenda Liverpool Steve McMahon. Memang ada benarnya pendapat McAteer ini kerana pada musim baru ini peluang agak terbuka untuk mana-mana 4 pasukan gergasi Liga Perdana Inggeris untuk menjuarai liga. Masing-masing mempunyai kelebihan serta kelemahan. Walaupun kita kehilangan Alonso, ianya tidak perlu dijadikan alasan bagi Liverpool untuk mencabar kejuaraan liga. Bagi saya, jika kita banyak memenangi perlawanan walaupun dengan keputusan 1-0, saya masih dapat meneriman keputusan tersebut walaupun kita tidak bermain di tahap terbaik. Yang paling penting konsistensi kita pada musim lepas perlu dipertingkatkan lagi bagi memastikan kita memperolehi mata maksimum di setiap perlawanan liga.


YNWA

Thursday, August 13, 2009

Pacheco : Komited Kepada The Reds

Liverpool meneruskan usaha mereka untuk memastikan supaya bakat-bakat muda terus memberikan komitmen kepada masa depan kelab. Yang terbaru, penyerang muda Sepanyol Daniel Pacheco telah bersetuju dengan kontrak 3 tahun yang ditawarkan kepadanya oleh Liverpool. Ini telah membuktikan bahawa pemian muda Sepanyol ini mempunyai prospek yang cerah di Anfield dan beliau telah jejak langkah beberapa pemain muda Liverpool yang seperti Jay Spearing dan Stephen Darby yang telah memberikan komitmen mereka kepada Liverpool pada musim panas ini. Pacheco telah berpindah dari Barcelona ketika beliau berusia 16 tahun dan pada ketika itu trend perpindahan pemain-pemain muda amat ketara pada ketika itu. Pemain-pemain muda Sepanyol tidak boleh menandatangani kontrak profesional sehingga berumur 18 tahun. Dan pemain-pemain seperti Cesc Fabregas, Francisco Merida dari Arsenal serta Gerarrd Pique telah berpindah ke Liga Perdana Inggeris di dalam usaha mereka untuk mempercepatkan pembangunan kerjaya profesional mereka.

Penyerang muda kelahiran Malaga Sepanyol ini merupakan antara pemain utama skuad simpanan Liverpool. Beliau telah menjaringkan gol ketika membuat penampilan pertama di skuad simpanan Liverpool ketika menentang Bolton. Pacheco adalah antara pemain utama yang membantu skuad simpanan Liverpool untuk memenangi Liga Simpanan England pada musim 2007-2008. Secara peribadi saya berpendapat Pacheco merupakan antara pemain muda terbaik yang dibeli oleh Rafa. Jika melihat aksi lincah beliau ketika beraksi di perlawanan pra musim sebelum ini, saya yakin tidak lama lagi kita semua akan melihat kelibat Pacheco di atas padang bersama-sama kesebelasan utama Liverpool. Kita perlu ingat beliau masih mempunyai masa yang cukup panjang untuk menjadi pemain yang lebih lengkap di bawah asuhan Rafa kerana beliau masih muda (baru berusia 18 tahun). Dan kita jangan terkejut jika satu hari nanti kita akan melihat gandingan Pacheco-Nemeth mengegar Liga Perdana Inggeris serta pentas bolasepak dengan gol-gol jaringan mereka.


YNWA

Wednesday, August 12, 2009

Honda : Samurai Di Anfield?

Desas-desus yang bertiup kencang dari Holland telah menyatakan bahawa pasukan peninjau Liverpool kini sedang memerhatikan pemain antarabangsa Jepun yang mewakili kelab VVV Venlo di Eredivisie Holland (Liga Utama Holland) iaitu Keisuke Honda. Pengerusi VVV Venlo, Hai Berden telah mendedahkan beberapa kelab utama Eropah telah menunjukkan minat untuk mendapatkan Honda. Perancang tengah VVV Venlo yang memenangi anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) di Eerste Divisie Holland (Liga Kedua Holland) pada musim lepas, memulakan musim baru dengan VVV Venlo di Eredivisie Holland dengan 3 gol daripada 2 perlawanan. Honda adalah antara pemain yang mempunyai prospek yang cukup tinggi di Holland. Menurut Berden lagi, ada di antara kelab-kelab yang berminat itu kini telah bermain di Liga Juara-Juara Eropah. Pasukan peninjau Liverpool dikatakan telah mengikuti mengikuti perkembangan Honda semenjak sekian lama dan pemain berusia 21 tahun ini tidak akan menolak sebarang usaha untuk membawa beliau bermain di Liga Perdana Inggeris. Bagi Honda, bermain di liga yang terbaik seperti Liga Perdana Inggeris pasti akan menjadi idaman setiap pemain seperti beliau dan Honda akan memikirkan dengan serius jika terdapat tawaran yang datang untuk mendapatkan khidmat beliau.

Perancang tengah VVV Venlo yang turut dikenali sebagai Keizer Keisuke di kalangan peminat mereka telah di bawa ke Holland oleh bekas jurulatih VVV Venlo, Sef Vergoossen. Honda telah dibeli oleh VVV Venlo berdasarkan kepada maklumat yang diperolehi melalui Vergoossen yang mempunyai pengalaman melatih Nagoya Grampus Eight di J-League selama semusim. Nampaknya Rafa turut mengarahkan pasukan peninjau beliau untuk memerhatikan pemain-pemain berbakat dari Asia. Ini merupakan satu perkembangan yang baik buat bolasepak Asia secara amnya. Walaupun Honda baru di peringkat ditinjau oleh Liverpool, tidak mustahil beliau dapat menarik minat Rafa untuk membawa beliau ke Anfield. Pada pendapat saya, jika kena pada harganya, tidak rugi bagi Liverpool untuk mendapatkan pemain seperti Honda. Mungkin kebarangkaliannya agak rendah untuk berlaku tetapi di dalam dunia bolasepak, sebarang kemungkinan memang cukup sukar diramalkan. Maka jangan kita terkejut jika Rafa memecahkan tradisi untuk membawa masuk pemain negara matahari terbit ini.


YNWA

Tuesday, August 11, 2009

Mascherano : Juga Mahu Angkat Kaki?

Lemau …. Itulah perkataan yang dapat menggambarkan keadaan saya di dalam masa seminggu ini. Kenapa lemau? Kerana masalah peribadi? Pejabat? Rakan-rakan? Semuanya tidak berkaitan sama sekali dengan lemau yang saya alami. Semuanya kerana gara-gara Alonso mengangkat kakinya ke Real Madrid pada minggu lepas. Saya tidak mahu mengulas lebih lanjut mengenai hal tersebut kerana saya tidak mahu mencalari imej Alonso yang telah memberi khidmat terbaik selama 5 musim di Anfield. Apa yang lebih menjadi tumpuan kepada tulisan saya pada kali ini adalah kesan daripada perpindahan tersebut kepada bahagian tengah Liverpool. Lebih spesifik, saya akan membincangkan tentang seorang lagi bintang tengah Liverpool yang turut mendapat perhatian daripada lanun-lanun yang beroperasi di lautan pasaran pemain yang luas. Pemain yang saya maksudkan adalah kapten skuad antarabangsa Argentina iaitu Javier Mascherano a.k.a Monster Masch. Antara persoalan yang akan saya timbulkan, masih setiakah Mascherano dengan The Reds? Adakah beliau turut berpotensi untuk angkat kaki ke kelab lain seperti Alonso?

Sukar sekali untuk kita sebagai peminat bolasepak untuk melihat faktor kesetiaan kepada kelab mengatasi faktor duit yang jelas mendominasi dunia bolasepak sekarang. Walaupun kita masih boleh melihat contoh pemain seperti Steven Gerrard yang masih setia bersama-sama The Reds, pemain sebegini hampir pupus di dunia bolasepak moden. Duit menjadi raja kepada pemain dan seterusnya menyebabkan sukan bolasepak ini semakin hilang daya tarikan kepada peminat-peminat di seluruh dunia amnya. Berbalik kepada Mascherano, di sepanjang musim panas ini, bermacam-macam desas-desus yang timbul mengenai beliau. Walapun berita perpindahan lebih didominasi oleh Alonso, namun perhatian terhadap Mascherano tidak kurang hebatnya. Ini kerana pengurus yang mengejar khidmat beliau adalah Pep Guardiola dan juga rakan sepasukan beliau di Argentina, Leoniel Messi. Kedua-dua mereka ini mewakili Juara Kelab-Kelab Eropah, FC Barcelona. Mereka berdua ini terus-menerus memberikan tekanan kepada Mascherano untuk angkat kaki meninggalkan Liverpool. Namun tindakan mereka ini telah mengundang rasa kurang senang Pengurus Liverpool, Rafael Benitez. Rafa dengan pantas meletakkan harga Mascherano adalah 50 juta pound (minimum) jika ada kelab berminat untuk mendapatkan pemain tengah ini. Tindakan ini sedikit sebanyak berjaya menakutkan kelab-kelab yang berminat untuk merompak Mascherano. Dan jika dilihat betapa sukarnya Real Madrid dalam cubaan mereka untuk merompak Alonso dari Liverpool, pasti jalan yang bakal dihadapi lanun-lanun ini adalah lebih sukar untuk berunding dengan Liverpool.

Mengikut rekod perpindahan Liverpool, belum ada mana-mana pemain kesebelasan utama Liverpool (yang menjadi pilihan utama pengurus) berpindah kelab semenjak daripada peristiwa kehilangan Owen satu ketika dahulu. Perpindahan Alonso (walaupun telah diduga akan berlaku) telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada para peminat Liverpool di seluruh dunia. Kini timbul pula sedikit kerisauan di kalangan peminat Liverpool yang Mascherano turut berpotensi untuk angkat kaki ke Barcelona. Saya pasti Mascherano agak kurang senang apabila Rafa meletakkan harga apabila ada kelab yang cuba memancing beliau dari Liverpool. Rafa seperti yang kita semua tahu, pencapaian sebagai sebuah kelab adalah lebih penting daripada kemahuan seseorang individu dan beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan bagi menjaga kepentingan Liverpool. Desas-desus mengenai Mascherano ini sebenarnya berpunca daripada tindakan beliau sendiri dan juga agennya yang melayan kerenah Barcelona di sepanjang musim panas ini. Jika agennya diarahkan oleh Mascherano supaya tidak melayan Barcelona pasti keadaan ini tidak berlaku. Alasan-alasan seperti masalah keluarga (isterinya tidak menyukai keadaan di England), domestik (tiada visa tetap untuk isterinya) dan juga kontrak (gaji yang dikatakan amat rendah) adalah merupakan masalah yang boleh diatasi dengan perbincangan dengan pihak pengurusan Liverpool sendiri. Ianya tidak perlu diperbesar-besarkan kerana ia jelas akan memerangkap diri sendiri nanti. Kepada Mascherano, kami tidak mahu anda meninggalkan Liverpool dan kami juga berharap agar Rafa dapat mencari jalan penyelesaian secepat mungkin untuk menawarkan kontrak baru kepada anda dengan gaji yang lebih baik (kerana anda sememangnya layak berpendapatan sedemikian).


YNWA

Monday, August 10, 2009

Jackson : Selebriti The Reds

Pasti ramai yang mengenali bintang Hollywood ini, yup beliau adalah pelakon Samuel L Jackson yang diminati ramai. Antara filem hebat lakonan beliau adalah Pulp Fiction, S.W.A.T dan juga tidak lupa kepada lakonan mantap beliau di dalam Trilogi Star Wars sebagai Jedi Master Windu. Kenapa beliau menjadi pilihan tulisan saya pada hari ini? Lihat sahaja pada gambar di atas, anda semua pasti tahu sebabnya. Jackson seperti kita semua merupakan salah seorang peminat The Reds di seluruh dunia. Aktor Hollywood ini dengan bangga menunjukkan jersi replika Liverpool yang tertera nama nama beliau di salah satu festival di Los Angeles baru-baru ini. Pelakon berusia 60 tahun ini pada ketika itu menghadiri majlis tahun Anugerah Sukan ESPY dimana beliau turut menjadi pengacara majlis tersebut. Menurut laporan dari laman rasmi liverpoolfc.tv, Jackson mula meminati Liverpool ketika beliau membuat penggambaran salah satu filem lakonan beliau iaitu “The 51st State” di tengah kota Liverpool pada tahun 2000. Aktor Hollywood ini telah menjadi tetamu kehormat di dalam perlawanan Merseyside Derby di Anfield pada bulan Oktober 2000. Liverpool menewaskan Everton 3-1 hasil jaringan Nicky Barmby, Emile Heskey dan Patrik Berger.

Siapa lagi selebriti yang meminati Liverpool? Pasti ada di antara anda anda yang mengenali kelibat mereka. Di antaranya ialah kumpulan muzik lagenda, The Beatles kerap kali mengelak untuk menjawab apabila diasak dengan soalan pasukan mana yang lebih mereka minati di antara dua pasukan Merseyside ini (Liverpool dan Everton). Mungkin kerana mereka ini ingin menjaga hati para penduduk kota Merseyside yang menjadi tempat lahirnya kumpulan lagenda ini. Namun ada desas-desus yang mengatakan mereka lebih meminati Liverpool tetapi ianya hanya disuarakan secara peribadi. Sama betul atau tidak, sukar untuk dipastikan cerita ini.


YNWA