Thursday, April 30, 2009

Rush : Teruskan Perjuangan!

Sesekali bila mendengar komen dan pendapat dari barisan lagenda Liverpool memang menarik dan amat membina untuk kelab. Berbanding dengan kelab-kelab Liga Perdana Inggeris yang lain, Liverpool amat beruntung kerana senantiasa mendapat sokongan daripada barisan lagendanya yang saling tak sudah memberikan sokongan mereka. Samada secara terang-terangan di media atau secara tertutup, banyak komen dan pendapat mereka yang boleh kita sebagai peminat baca dan hargai. Yang uniknya, kebanyakan dari lagenda Liverpool merupakan peminat Liverpool itu sendiri! Lagenda-lagenda seperti Kenny Dalglish, John Barnes, Ian Rush dan Steve McMahon sekadar menyebut beberapa nama, merupakan peminat setia Liverpool yang masih mengikuti permainan dan perkembangan Liverpool sehingga sekarang walaupun mereka semua telah lama bersara dari bolasepak. Mari kita lihat pendapat salah seorang lagenda Liverpool mengenai peluang kita untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris musim ini.

Lagenda yang saya maksudkan kali ini ialah penyerang/penjaring gol lagenda Liverpool, Ian Rush. Beliau masih percaya Liverpool masih mampu untuk memenangi kejuaraan ke 19 Liga Perdana Inggeris, 19 tahun selepas beliau menjaringkan gol kemenangan ke atas QPR pada 28 April 1990 yang membawa gelaran liga ke 18 buat Liverpool. Rushie menulis melalui ruangan kolumnya di Liverpool Echo masih percaya, Liverpool tetap berpeluang untuk memenangi gelaran liga musim ini kerana saingan utama iaitu manyoo masih perlu bertemu dengan musuh setempat, Manchester City dan juga Arsenal yang tidak kalah dalam 20 perlawanan. Tambah beliau lagi, jika Liverpool mendahului di dalam persaingan untuk gelaran liga, antara perkara yang tidak diperlukan ialah pertembungan dengan musuh setempat, Everton dan Liverpool tidak perlu risaukan tentang pasukan lain kerana yang lebih penting ialah mengutip mata maksimum untuk 4 baki perlawanan yang ada. Rushie juga percaya persaingan untuk merebut gelaran liga kali ini masih belum berakhir dan Liverpool perlu bersedia untuk mengambil kesempatan di atas sebarang peluang yang ada.

Menurut Rushie lagi, Liverpool berpeluang untuk mengutip 3 mata lagi apabila bertembung dengan Newcastle di Anfield pada Ahad ini. Dan kemenangan 5-1 di St James Park masih segar di dalam ingatan dan perlawanan itu boleh berakhir dengan 10 jaringan untuk Liverpool. Rushie tidak mahu melihat Newcastle tersingkir dari Liga Perdana Inggeris tetapi beliau seperti peminat-peminat yang lain mahukan kemenangan untuk Liverpool bagi meneruskan tekanan ke atas manyoo. Jika Liverpool teruskan kemenangan, maka sebarang kemungkinan boleh berlaku di dalam persaingan merebut gelaran liga ini, tambah beliau lagi.

Mungkin ramai yang sudah lupa dengan jaringan Rushie ketika menang ke atas QPR 19 tahun yang lalu. Di dalam perlawanan tersebut Ray Wegerle meletakkan QPR di depan sebelum jaringan penyamaan oleh Rush dan gol kemenangan oleh John Barnes (yang baru dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Tahunan pada masa itu) melalui sepakan penalti. Dan mungkin ramai juga yang masih tidak percaya Liverpool masih tercari-cari gelaran liga ke 19 sehingga sekarang, 19 tahun dari kali terakhir mereka memenangi gelaran tersebut.

Berbalik kepada Rushie, beliau berharap Liverpool dapat memperkemaskan lagi bahagian pertahanan kerana Liverpool perlu menang baki 4 perlawanan terakhir musim ini. Gol jaringan Geovanni sewaktu menentang skuad rimau tempohari perlu dielakkan. Bagi Rushie, Liverpool mampu melakukannya kerana mereka memang terkenal dengan barisan pertahanan yang mantap di bawah pengendalian Rafael Benitez. Bagi Rushie, Liverpool perlu kembali kepada asas bolasepak iaitu tidak mudah hilang fokus dan bahagian pertahanan perlu lebih fokus untuk menghalang pemain lawan dari menjaringkan gol.

Mantap dan bersemangat pendapat dari Rushie ini. Inilah untungnya kelab yang bernama Liverpool ini, mendapat sokongan yang tidak berbelah bagi dari barisan lagendanya. Walaupun kita semua tahu, masa semakin suntuk untuk merebut gelaran liga, namun semangat mengalah tidak sama sekali wujud di Liverpool. Daripada pengurus, pemain, peminat, lagenda dan semuanya yang berkaitan dengan LIVERPOOL, kami akan pastikan perebutan gelaran liga ini hanya akan berakhir di perlawanan terakhir musim ini. Kepada sesiapa yang berhajat untuk memenangi gelaran liga pada musim ini, kami akan pastikan anda semua akan membayar harga yang mahal untuknya!


YNWA

Wednesday, April 29, 2009

Masalah Lama Rafa : Kena Jual Dulu!

Perkara yang sama dan sama semenjak beberapa musim yang lalu. Sudah muak sebenarnya jika perkara ini masih berterusan. Ya rakan-rakan, maksud saya ungkapan jual dulu selepas itu baru boleh beli berkumandang lagi musim ini. Ungkapan yang saya cukup tidak gemari memandangkan kita seolah-olah mara ke belakang dan bukannya ke depan di dalam pasaran perpindahan pemain. Bukan saya menyalahkan Rafa tetapi seperti di dalam artikel saya sebelum ini, mana perginya sokongan pemilik kepada Rafa dan juga kelab? Jangan gunakan ketiadaan duit atau kemelesetan ekonomi sebagai alasan. Amat menyedihkan jika keadaan ini perlu dilalui oleh Rafa lagi pada musim panas ini. Bagaimana beliau hendak bertarung dengan kelab-kelab yang jauh lebih perkasa dari segi kewangan dalam saingan untuk mencari pemain terbaik untuk Liverpool? Bukan mengatakan kita sebagai peminat lebih pandai dalam hal ekonomi tetapi haruslah diingat jika tidak mampu untuk menjadi pemilik kelab seperti Liverpool, lebih baik bungkus beg baju dan pulang ke kampung halaman.

Khabar terbaru dari Anfield menyatakan Rafa mengakui beliau perlu menjual beberapa orang pemainnya di dalam skuad sekarang untuk membolehkan beliau membawa masuk pemain baru ke dalam pasukannya untuk musim depan. Rafa yang dikaitkan dengan beberapa pemain seperti Gareth Barry, David Villa dan Glen Johnson, harus mendapatkan dana yang cukup melalui penjualan pemain jika mahu pemain yang berkaliber seperti mereka menyarung jersi Liverpool musim depan. Dengan beberapa pemain seperti Babel dan Dossena yang kurang menyengat musim ini dan ada kemungkinan untuk dikorbankan, Rafa berkata beliau telah mempunyai idea sebanyak mana perlu dibelanjakan untuk membeli pemain baru. Rafa juga berpendapat dia perlu menjual beberapa pemainnya untuk tujuan itu tetapi buat masa sekarang masih terlalu awal untuk memperkatakan mengenai jumlah wang dan pemain mana yang akan dikorbankan.

Menurut Rafa lagi, di sepanjang musim ini, skuad peninjau beliau telah mengenalpasti pemain yang diperlukan dan mereka cuba untuk mendapatkan pemain tersebut dengan secepat mungkin pada harga yang munasabah. Adalah penting untuk mendapatkan pemain yang tepat untuk Liverpool dan Liverpool telah mempunyai pemain yang lebih baik dari musim lepas dan amat sukar untuk mencari pemain yang lebih baik dari yang telah sedia ada sekarang tambah rafa lagi. Liverpool telah mencari dan melihat ramai pemain baru di sepanjang musim ini dan telah bersedia untuk masuk ke pasaran pemain pada musim panas ini.

Di sini saya ingin menegaskan, walaupun kekurangan dana dan terpaksa menjual sebelum membeli, kepada Rafa janganlah sesekali anda bertindak untuk menjual Alonso kerana beliau merupakan salah seorang kunci di bahagian tengah Liverpool. Anda hanya perlu menambahkan lagi kekuatan bahagian tengah Liverpool tanpa perlu mengorbankan Alonso. Jangan mengulangi perbuatan kurang cerdik musim lepas (seolah-olah mengadakan lelongan untuk menjual Alonso) kerana saya percaya, jika anda berbuat sedemikian pasti Liverpool akan kehilangan Alonso kelak. Dan yang pasti dapatkah kita menanggung kerugian jika kehilangan Alonso?


YNWA

Tuesday, April 28, 2009

Liverpool : Lagi Konglomerat Menghampiri

Bosan juga bila terbaca mengenai desas-desus pengambilalihan Liverpool oleh pemilik baru kembali bertiup kencang. Bukannya saya tidak bersetuju tetapi semuanya hanya sekadar khabar angin dan tiada yang kesudahan yang positif. Semua peminat sedia maklum, 2 pemilik Amerika sekarang iaitu Hicks dan Gillett banyak menimbulkan masalah di Anfield. Selain daripada percakaran antara mereka berdua, konflik ini juga turut membabitkan pengurus, Rafael Benitez. Kita semua kena faham, sesebuah kelab perlu stabil dan mendapat sokongan sepenuhnya daripada pemilik untuk berjaya. Sudah 2 musim termasuk musim ini Liverpool bermasalah dengan 2 pemilik Amerika ini sehingga nyaris kehilangan Rafael Benitez. Mari kita lihat spekulasi terbaru mengenai pemilikan Liverpool ini.

Menurut desas-desus terbaru, Liverpool bakal diambilalih oleh konglomerat India iaitu Kumpulan GMR yang diketuai oleh Grandhi Mallikarjun Rao. Kumpulan GMR ini juga merupakan pemilik pasukan kriket IPL iaitu Delhi Daredevils dan mereka dikatakan sedang meninjau peluang untuk mengembangkan empayar di dalam bidang sukan yang lain. Orang-orang kanan kumpulan ini dikatakan berada di Merseyside pada minggu lepas. Mereka duduk bersama-sama Hicks dan Gillet pada perlawanan menentang skuad senapang tempohari. Hicks dan Gillett perlu mencari rakan kongsi atau pemilik baru bagi mendapat wang untuk membayar hutang sebanyak 350 juta pound yang mereka perolehi untuk membeli Liverpool sebelum ini. Selain dari itu, Liverpool turut dikaitkan dengan Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum dari kerabat DiRaja Dubai dan juga Nassar Al Kharafi dari Kuwait.

Tidak kiralah siapa yang mengambilalih Liverpool kali ini, perlu dipastikan mereka mampu menjamin masa depan kelab dengan kewangan yang lebih baik. Bukan dengan cara berhutang untuk membeli kelab dan kemudian meletakkan risiko tersebut ke atas kelab. Liverpool memerlukan pemilik yang perihatin dengan kedudukan kelab dan bukannya semata-mata mahu mencari keuntungan. Secara logik, jika kelab berjaya maka pemlik juga akan menikmati keuntungan yang berkali ganda. Tetapi jika hendak mengeluarkan belanja bagi kejayaan kelab pun berfikir sampai sepuluh kali, usah bermimpi untuk berjaya di Liga Perdana Inggeris yang sememangnya amat kompetatif. Kejayan bukan datang sekelip mata, banyak pengorbanan yang harus dilakukan pemilik selain dari pemain dan peminat itu sendiri. Jika Liverpool mempunyai pemilik baru selepas ini, diharap mereka akan lebih menyokong Rafael Benitez dan bukannya menikam beliau dari belakang!



YNWA

Monday, April 27, 2009

King Kenny : Sireh Pulang Ke Gagang

Beberapa hari yang lepas saya terbaca di internet mengenai desas-desus kembalinya salah seorang Lagenda Liverpool, Kenny Dalglish ke Anfield. Berita yang tersebar di internet mengatakan King Kenny akan menyertai pasukan Rafael Benitez di Anfield. Warga Scotland yang berumur 58 tahun ini akan diberi tugas untuk membantu pembangunan Akademi Bolasepak Liverpool atau lebih tepat untuk membimbing pemain-pemain muda Liverpool supaya lebih ramai pemain berbakat seperti Gerrard dan Carragher dapat dilahirkan.

Selang beberapa hari selepas itu, King Kenny memberikan jawapannya. Beliau semenjak dari dahulu lagi bersedia membantu Liverpool dalam sebarang aspek yang diperlukan. Syarat beliau amat mudah iaitu ianya mestilah berasaskan kepada ada keperluan di kelab dan Rafael Benitez mahu beliau membantu Liverpool. Jika kelab atau Rafa merasakan kehadiran beliau akan menganggu perancangan Liverpool, Kenny tidak mempunyai masalah dengan perkara itu dan menghormati keputusan tersebut. King Kenny yang mempunyai sejarah selama 14 tahun sebagai pemain dan pengurus Liverpool amat berbesar hati untuk membantu kelab kesayangan beliau ini. Menurut Kenny lagi, tidak banyak yang boleh beliau perkatakan sekarang tetapi jika ada perkembangan terbaru, pasti peminat-peminat Liverpool adalah yang pertama akan mengetahuinya.

Seorang lagi Lagenda Liverpool yang pernah bermain di bawah Kenny, John Barnes pula berkata, kehadiran Kenny di Anfield akan memberi inspirasi kepada semua yang terbabit dengan Liverpool. Kesannya sama seperti yang berlaku di Newcastle setelah kembalinya Alan Shearer untuk membantu mereka sekarang. Menurut Barnes lagi, ramai peminat masih menyanyikan nama beliau dan Kenny dinobatkan sebagai pemian terbaik untuk Liverpool dan juga pengurus terakhir yang membawa pulang piala Liga Inggeris ke Anfield pada tahun 1990. Tiada calon yang lebih tepat untuk mengetuai Akademi dan menghasilkan generasi baru Liverpool selain dari King Kenny, tambah Barnes lagi.

Saya pasti jika benar perkara ini berlaku, satu semangat baru akan lahir di Anfield. Semangat untuk memburu trofi kejuaraan Liga Perdana Inggeris yang sudah lama tidak mengisi kabinet piala di Anfield. Kehadiran King Kenny pasti akan mengujakan kita semua sebagai peminat Liverpool. Apa-apa pun kita berharap Rafa dan pengurusan Liverpool sependapat dengan semua peminat-peminat Liverpool. Jika anda membawa masuk Kenny Dalglish ke Anfield, ianya satu tindakan yang cukup tepat dan bijak. Kehadiran beliau pasti akan mengukuhkan lagi kedudukan Liverpool di persada liga dan eropah amnya. Kepada King Kenny, kami semua menanti kepulangan seorang lagenda ke Anfield.


YNWA

Sunday, April 26, 2009

Harimau Berjaya Dijinakkan

Kita Menang dan Liverpool MENGAUM di KC Stadium malam tadi! Itulah ungkapan yang boleh saya tuturkan pada kali ini. Setelah bertarung selama 90 minit di KC Stadium dengan harimau yang sememangnya garang di kandang sendiri, akhirnya Liverpool berjaya menang setelah seri 4-4 dua kali berturut-turut sebelum ini. Secara keseluruhan pemain-pemain Liverpool beraksi dengan baik walaupun menghadapi tekanan yang hebat pada separuh masa kedua. Mungkin ulasan saya kali ini agak kasar dan bukannya tidak menghargai kemenangan pada malam ini.Ianya bukanlah bertujuan untuk menghentam pasukan kesayangan kita ini. Mohon maaf jika ada rakan-rakan yang tidak bersetuju dengan pendapat saya ini. Sudah lama saya ingin mengulas mengenai individu ini tetapi perlawanan malam tadi merupakan kemuncak ketidakboleharapan beliau kepada pasukan.

Liverpool menurunkan beberapa pemain yang direhatkan ketika bertembung dengan skuad senapang tempohari. Pemain-pemain seperti Insua, Skrtel dan Lucas diturunkan untuk menggantikan Aurelio, Reira dan Agger. Liverpool bermula dengan baik dimana asakan demi asakan oleh Torres, Kuyt dan Benayoun nyaris menghasilkan gol. Tetapi skuad rimau dapat bertahan dengan baik dan menyerap asakan tersebut dengan kemas. Skuad rimau ini juga berjaya melancarkan serangan balas ke kubu Liverpool melalui percubaan daripada Geovanni dan Marney yang ditangkis oleh Reina. Skuad rimau ini juga agak berbahaya melalui tendangan sudut dan juga lontaran jauh dari Ricketts. Setelah percubaan demi percubaan, Liverpool akhirnya memecah kebuntuan melalui tendangan percuma Xabi Alonso setelah Mascherano dijatuhkan. Tendangan Alonso terkena benteng skuad rimau tetapi tendangan susulan dari beliau berjaya menewaskan Myhill. Separuh pertama tamat dengan 1-0 kepada Liverpool.

Separuh Kedua bermula dengan Hull terus mengasak kubu Liverpool untuk mencari gol penyamaan. Tetapi semuanya berubah selepas Folan dilayangkan kad merah kerana kekasaran kepada Skrtel. Skuad rimau yang tidak berpuas hati dengan tindakan pengadil itu dan bermain secara lebih kasar dan akibatnya Fagan diberikan kad kuning kerana sekali lagi terlibat dalam insiden dengan Skrtel. Liverpool mengambil kesempatan dari kekurangan skuad rimau dan menambah jaringan melalui Kuyt yang merembat masuk gol hasil percubaan Skrtel dari sepakan sudut yang diberi oleh Zayatte. 2-0 kepada Liverpool.

Pengurus skuad rimau Phil Brown telah memasukan Mendy dan Cousin sebelum gol Kuyt tersebut dengan tujuan untuk memperkuatkan bahagian serangan mereka. Hasilnya gabungan mereka berdua telah menghasilkan gol pertama skuad rimau pada minit ke 73 melalui Geovanni. Selepas itu, skuad rimau memang menyerang bertubi-tubi ke kubu Liverpool sehinggakan pada pandangan saya Liverpool pula yang bermain dengan 10 pemain! Keseluruhan padang dikuasai skuad rimau dan mereka tanpa putus asa cuba menyamakan kedudukan. Mujurlah Carra dan rakan-rakan di bahagian pertahanan dapat menyerap asakan demi asakan skuad rimau dengan permainan juga semakin kasar dengan terjahan demi terjahan yang membuatkan pengadil terpaksa mengawal keadaan. Torres nyaris menambah gol tapi tandukan beliau mengenai palang pada minit ke 80. Sisa-sisa perjuangan skuad rimau ditamatkan oleh Kuyt dengan gol kedua beliau pada minit ke 88. Kuyt menyudahkan percubaan Arbeloa yang ditangkis oleh Myhill sebelum muntah ke arah beliau. Perlawanan berakhir dengan jaringan 3-1, kemenangan ke 21 Liverpool dalam Liga Perdana Inggeris musim ini.

Jika dilihat dari jumlah jaringan memang saya akui kita agak selesa. Cuma jumlah jaringan itu tidak menunjukkan penguasaan kita sepenuhnya di dalam perlawanan ini. Sebaliknya skuad rimau yang lebih banyak mengawal perlawanan dan jika tidak kerana ketumpulan barisan depan mereka pasti sukar untuk Liverpool membawa balik 3 mata penuh. Kita terhutang budi kepada Alonso dan Kuyt kerana ketajaman mereka membantu kita untuk menang perlawanan ini. Amat mengecewakan pemain muda yang selalu dipuja oleh Rafa iaitu Lucas. Beliau seolah-olah makan angin di tengah padang dan kelihatan "hilang" di tengah-tengah padang. "Hilang" maksud saya di sini ialah tidak berfungsi langsung untuk membantu Torres, Kuyt  dan Benayoun di bahagian depan. Beliau diletakkan sebagai pemain tengah bersama-sama Alonso untuk bertindak sebagai sokongan kepada bahagian dengan Mascherano bertindak membantu pertahanan. Akibatnya pemain-pemain tengah yang lain seperti Alonso, Mascherano, Kuyt dan Benayoun terpaksa membuat kerja yang ditinggalkan oleh anda iaitu menghantar bola ke arah gol lawan dan ini sedikit sebanyak menjejaskan bahagian sayap dan juga tengah selain kurangnya bantuan oleh Mascherano kepada bahagian pertahanan. Ini membolehkan skuad rimau menguasai perlawanan dan hanya dihampakan oleh ketumpulan barisan serangan mereka sahaja. Lucas jika anda hanya mampu membuat hantaran ke belakang sahaja untuk setiap perlawanan dan tidak ada fungsi lain langsung di setiap perlawanan, lebih baik anda bungkus beg pakaian anda dan pulang ke Brazil atau pergi ke Sepanyol untuk bermain dengan Atletico Madrid (seperti yang anda minta).  Anda tidak sesuai dan tidak layak untuk bermain dengan Liverpool. Kritikan saya ini adil setelah melihat anda diberikan banyak peluang oleh Rafa berbanding pemain muda yang lain (yang lebih baik!) tetapi permainan anda langsung tidak meningkat setaraf Mascherano, Alonso jauh sekali Gerrard. Takkan disebabkan anda muda, Liverpool perlu memberi anda sehingga 3 musim untuk menjadi pemain tengah yang baik? Anda perlu ingat, Liverpool merupakan pasukan yang bersaing dalam peringkat teringgi di Eropah dan juga berada di dalam liga yang terbaik di Eropah. Saya berpendapat Insua adalah lebih baik dari anda dan dia jauh lebih muda! Jikalau Spearing diberi banyak lagi peluang untuk bermain, saya pasti beliau akan tendang anda keluar dari kesebelasan utama. Lebih baik anda berkira-kira untuk berpindah kerana anda mungkin boleh berjaya dengan pasukan lain dan bukan Liverpool. Anda memang bernasib baik kerana sentiasa dilindungi Rafa, tetapi cukuplah sehingga akhir musim ini sahaja perjuangan anda di Liverpool.

Sekali lagi saya mohon maaf jika ulasan saya terlalu kasar, bukan niat untuk memperkecilkan Liverpool apatah lagi meletakkan kesalahan kepada individu tetapi saya inginkan perubahan. Saya faham pemain-pemain bolasepak akan ada hari off day nya tetapi lebih baik 4 hari ok dan 1 hari sahaja off day dari daripada 4 hari off day dan 1 hari sahaja ok (memetik kata-kata rakan seforum my-LFC). Liverpool perlu ada pemain gantian yang lebih baik dan konsisten jika Kapitan Gerrard mengalami kecederaan seperti perlawanan semalam. Saya sebagai PEMINAT SETIA Liverpool akan tetap bersama-sama pasukan walau apa pun yang terjadi. Saya tidak mahu menjadi peminat yang hendak menyokong secara membuta tuli dan memekakkan telinga sedangkan sedar ada kalangan pemain yang prestasinya diragui tetapi berlindung disebalik kerja sepasukan yang mantap.  Mengkritik bukan bukan bermakna kita hendak menjatuhkan pasukan tetapi jika tiada kritikan macam mana sesebuah pasukan yang baik itu hendak berjaya? Saya akan tetap MERAH buat selamanya. Tidak sama sekali akan menjadi penyokong yang hanya bising ketika menang dan senyap sunyi ketika pasukan kalah. Dan kepada Kapitan Gerrard cepatlah anda kembali kesebelasan utama, kami peminat sudah tidak tahan melihat barisan tengah Liverpool yang longgar dengan ketiadaan anda. Harapan kami agar anda kembali semasa menentang Newcastle di Anfield pada 3 May depan.


YNWA

Saturday, April 25, 2009

Kuyt : Kita Perlukan Keajaiban

Rata-rata peminat serta pemerhati bolasepak berpendapat Liverpool memerlukan keajaiban untuk memenangi trofi Liga Perdana Inggeris musim ini. Memang tidak dinafikan peluang Liverpool untuk menjulang trofi ini semakin sukar berikutan keputusan seri 4-4 dengan skuad senapang di Anfield tempohari. Bagaimana pula dengan pendapat pemain Liverpool sendiri? Mari kita lihat apa pandangan salah seorang pemain kesebelasan utama Liverpool selepas perlawanan dengan skuad senapang itu.

Pemain yang saya maksudkan ialah penyerang/pemain sayap Liverpool dari Belanda, Dirk Kuyt.  Menurut Kuyt, keadaan semakin sukar buat Liverpool dengan keputusan seri tersebut dan Liverpool memerlukan keajaiban untuk memenangi Liga Perdana Inggeris. Dengan keputusan seri tersebut kelebihan telah berpihak kepada manyoo. Tetapi Kuyt berpendapat lebih baik mendapat keputusan seri daripada kalah di dalam perlawanan tersebut. Jika kalah, Liverpool akan ketinggalan tujuh mata (jika manyoo menang kedua-dua perlawanan dalam tangan) dan keadaan pasti lebih sukar untuk mengejar. Yang positifnya Liverpool masih mempunyai pemain-pemain yang tidak akan berputus asa dan mereka akan berjuang sehingga ke akhir musim. 

Tambah Kuyt, dengan lima lagi baki perlawanan musim ini menentang Hull, Newcastle, West Ham, West Brom dan Spurs adalah amat penting untuk Liverpool mengurangkan kesilapan yang membolehkan pintu gol mudah untuk dibolosi seperti perlawanan menentang skuad senapang. Liverpool bermain baik di dalam perlawanan menentang skuad senapang, cuma 4 kesilapan sendiri telah menyebabkan pintu gol dibolosi. Amat penting untuk Liverpool terus memenangi baki perlawanan yang masih ada. Ini kerana setiap kemenangan akan mendatangkan tekanan ke atas manyoo.

Keajaiban boleh berlaku di dalam bolasepak dan tidak salah untuk kita sebagai peminat Liverpool berharap ianya boleh berlaku. Tetapi nasihat saya sebagai rakan peminat, usah kecewa jika kita gagal kali ini. Kita belajar dari pengalaman musim ini untuk mara ke hadapan. Jika gagal kali ini bukan bermakna gagal buat selamanya untuk Liverpool. Saya faham dengan hasrat semua peminat Liverpool untuk memiliki trofi Liga Perdana Inggeris setelah 19 tahun kita menanti dan ada yang berpendapat kali ini mungkin merupakan peluang yang terbaik. Jangan risau rakan peminat semua, selagi masih ada harapan walaupun sebesar kuman, kita perlu setia menyokong dan bersama-sama pasukan untuk melakukan yang terbaik. Lambat atau cepat, hanya masa yang akan menentukan.


YNWA

Friday, April 24, 2009

Masuk Kandang Harimau MENGAUM

Lawan kita berikutnya, Skuad Rimau Hull City, pasukan yang baru dinaikkan ke Liga Perdana Inggeris pada musim ini. Pengurusnya Phil Brown terkenal sebagai guru disiplin yang tegas kepada anak-anak buahnya. Pernah di dalam satu perlawanan Liga Perdana Inggeris, Phil Brown memberi team talk pada waktu rehat separuh masa pertama bukan di dalam bilik persalinan tetapi di tengah-tengah padang di hadapan ribuan penonton hanya kerana para pemain beliau tidak fokus semasa perlawanan tersebut! Begitulah tegasnya pengurus Hull ini.

Berbalik kepada skuad rimau ini, walaupun prestasi mereka merosot mendadak pada masa sekarang berbanding dengan awal musim ini, keupayaan mereka tidak boleh dipandang rendah oleh Liverpool. Walaupun hanya menang 2 kali daripada 24 perlawanan terakhir, skuad rimau ini menghuni tangga ke 16 Liga Perdana Inggeris dan bergelut untuk menyelamatkan diri dari tersingkir ke Liga Championship. Dan itulah yang merbahayanya skuad rimau ini. Anda semua tentu masih ingat apa yang berlaku kepada Liverpool ketika menentang Boro, satu lagi pasukan yang bergelut untuk kekal di dalam Liga Perdana Inggeris. Satu lagi kelebihan skuad rimau ini ialah perlawanan ini diadakan di tempat mereka, KC Stadium dan pastinya peminat mereka akan berhabisan menyokong skuad rimau ini untuk menewaskan Liverpool.

Skuad rimau ini memiliki beberapa pemain berbakat seperti Geovanni, Turner, Ashbee, Mendy dan jangan dilupakan Barmby serta Boateng. Mereka ini semua merupakan tonggak kepada Hull City dan jika Liverpool mampu menghalang mereka pasti 3 mata akan menjadi milik kita. Skuad rimau ini juga terkenal dengan permainan serangan balas yang pantas dan berkesan. Prestasi mereka yang merosot sekarang ini juga ada kaitan dengan barisan serangan mereka yang tumpul. Keupayaan menjaringkan gol amat terhad dengan bahagian serangan yang diketuai oleh Fagan dan Manucho, pemain pinjaman dari manyoo. Mungkin jika Jimmy Bullard tidak cedera, nasib skuad rimau ini akan lebih baik. Bullard masih cedera semenjak berpindah dari Fulham dengan harga 5 juta pound pada musim ini. Beliau hanya bermain selama 36 minit untuk Hull dan seterusnya cedera sehingga habis musim.

Kapitan Gerrard pula masih belum pulih sepenuhnya dari kecederaan dan akan terlepas perlawanan ini. Selain dari itu Liverpool tidak mempunyai masalah kecederaan. Rafa perlu membuat sedikit perubahan di bahagian pertahanan agar tidak goyah seperti ketika menentang skuad senapang tempohari. Kemasukan Insua dan Skrtel pasti akan membantu memperkuatkan pertahanan Liverpool. Reina pula perlu lebih tangkas dan harapnya tidak leka untuk menepis segala percubaan dari Hull. Bahagian tengah masih diterajui Masch dan Alonso dengan sayap diisi oleh Kuyt dan Babel. Reira kurang menonjol dalam perlawanan sebelum ini. Dan untuk bahagian serangan biarlah Torres dan Benayoun meneruskan gandingan mantap mereka sebelum ini untuk memberikan tekanan kepada pertahanan Hull. Serangan bertali arus pasti akan menyebabkan pertahanan Hul akan goyah. Oleh itu Liverpool perlu bermula dengan pantas untuk mengasak kubu Hull. Menarik corak permainan yang berasaskan serangan yang baru digunapakai oleh Liverpool sekarang ini. Tetapi tiada guna banyak menjaringkan gol jika pada masa yang sama turut bolos dengan banyak. Ini bermakna tiada gunanya untuk menjaringkan dengan banyak pada satu-satu perlawanan tetapi tidak mampu untuk mempertahankannya. Rafa perlu maklum akan kelemahan ini dan harus memperbetulkannya secepat mungkin. Jika tidak, akan berputih mata lagilah kita pada kali ini.

Di atas kertas, skuad rimau ini bukan lawan kepada Liverpool dan 3 mata seharusnya milik kita untuk meneruskan tekanan ke atas manyoo. Tetapi harus diingat, ini tidak bermakna skuad rimau ini dengan mudah untuk menyerah kalah kepada Liverpool. Mereka pasti mahu menang untuk mengutip 3 mata bagi menyelamatkan diri dari tersingkir dan pada masa yang sama untuk menggembirakan peminat-peminat mereka di KC Stadium esok. Jangan ulangi prestasi semasa menentang mereka di Anfield awal musim ini dimana kita diselamatkan oleh 2 jaringan penyamaan oleh Kapitan Gerrard dan beliau tidak terlibat di dalam perlawanan esok!


YNWA

Ancelotti : Gerrard Takkan Tinggalkan Liverpool

Kenyataan yang tepat dari pengurus AC Milan, Carlo Ancelotti apabila ditanya mengenai kemungkinan kelabnya untuk membawa Steven Gerrard ke San Siro pada musim panas ini. Menurut Ancelotti, Gerrard adalah pemain bolasepak yang terbaik tetapi beliau mempunyai keraguan serta tidak yakin Milan akan berjaya menarik minat Kapten Liverpool ini. Ancelotti juga berkata, mereka sekarang melihat ramai pemain tetapi ianya masih terlalu awal untuk diperkatakan.

Masih cuba memancing rupanya AC Milan, sebelum ini pemain mereka Kaka yang bersuara mengenai Gerrard, Sekarang pengurus mereka pula yang mengeluarkan kenyataan mengenai Gerrard. Jangan sesekali gunakan media sebagai alat untuk menarik perhatian pemain seperti Steven Gerrard. Dan nasihat saya, lupakan Gerrard dan jaga bintang-bintang anda yang lain dari disambar pemangsa seperti yang hampir berlaku kepada Kaka. Duit bukan segalanya bagi Gerrard, pendapatan beliau sekarang (dengan kontrak baru) dijangka berada pada 150,000 pound seminggu. Jika glamour dan kemewahan yang dikejar Gerrard, pasti Real Madrid menjadi pilihan beliau selain pasukan Jambatan Runtuh yang hampir berjaya mempengaruhi beliau sebelum ini. Gerrard lahir untuk Liverpool dan beliau sendiri pernah berkata ingin membawa pulang trofi Liga Perdana Inggeris ke Anfield atas kapasiti sebagai Kapten Liverpool. Gerrard adalah Lagenda Liverpool dan saya pasti beliau akan terus kekal dengan pasukan kesayangannya ini.


YNWA

Thursday, April 23, 2009

Insua : Permata Dari Argentina

Sewaktu bersarapan awal pagi tadi, saya mengambil kesempatan untuk berbual-bual dengan rakan sepejabat yang merupakan penyokong skuad senapang mengenai perlawanan di Anfield tempohari. Dalam bertukar-tukar pendapat itulah terkeluarlah topik mengenai pemain muda yang berbakat di dalam kedua-dua pasukan. Dari situ barulah teringat mengenai pemain-pemain muda skuad Liverpool yang memang ramai tetapi peluang yang diberikan amatlah terhad (kecuali Lucas). Nama-nama seperti Stephen Darby, Jay Spearing, Nabil El Zhar, Emiliano Insua sekadar menyebut beberapa nama, memang berbakat untuk diketengahkan.

Di sini saya ingin mengulas mengenai pemain muda Liverpool yang berasal dari Argentina, Emiliano Insua. Berusia 20 tahun, pemain muda berbakat ini mengisi slot pertahanan kiri Liverpool dan juga pasukan Bawah 20 tahun Argentina. Sebelum ke Liverpool, Insua bermain untuk kelab Boca Juniors di Liga Argentina. Bermula sebagai pemain pinjaman dari kelab tersebut, Insua telah dibeli oleh Liverpool dengan harga perpindahan sebanyak 1 juta pound. Bermula dari situ, Insua tidak lagi menoleh ke belakang dengan memberi persembahan terbaik untuk bersaing dengan Aurelio dan Dossena bagi mengisi slot pertahanan kiri Liverpool.

Insua adalah seorang pemain pertahanan kiri yang gemar menyerang dari bahagian kiri dengan menggunakan hantaran lintang ke arah pintu gol lawan. Walaupun mempunyai susuk badan yang agak rendah (1.65m), Insua dapat melakukan tugasnya dengan baik dengan menghalang pemain sayap dan penyerang pasukan lawan meloloskan diri dari bahagian kiri pintu gol Liverpool. Beliau juga pantas untuk menutup ruang disebelah kiri selepas melancarkan serangan ke arah pintu gol lawan. Mempunyai bentesan yang baik serta dapat membaca permainan dengan bijak apabila pasukan lawan melakukan serangan.

Disebabkan persembahan konsisten oleh beliau setiap kali diturunkan, pengurus Liverpool, Rafael Benitez nyata gembira dengan perkembangan pemain muda beliau ini. Yang terbaru ketika diturunkan menentang Blackburn tempohari, Insua sekali lagi membuktikan yang beliau memang layak untuk berada di dalam kesebelasan utama Liverpool. Rafa mahukan Insua bersedia untuk diturunkan di dalam mana-mana 6 perlawanan terakhir Liverpool sebelum musim 08/09 berakhir pada Mei nanti. Rafa berharap Insua akan terus memberikan saingan kepada Aurelio dan Dossena hingga ke akhir musim.

Ada antara peminat yang berpendapat, Dossena tidak perlu dibeli kerana Liverpool telah mempunyai Aurelio dan Insua untuk mengisi slot pertahanan kiri Liverpool. Tapi anda semua harus ingat, Aurelio teralu kerap mengalami kecederaan pada musim lepas dan pembelian Dossena adalah untuk mengatasi masalah ini. Apa yang berlaku pada musim ini, ketiga-tiga pemain kita ini cergas sepenuhnya dan Aurelio pula tidak pula dihantui kecederaan untuk jangkamasa yang lama seperti musim sebelum ini. Hasilnya kita mempunyai 3 pemain yang mampu diturunkan pada bila-bila masa diperlukan. Kecuali Dossena yang kelihatan seperti masih dalam proses menyesuaikan diri dengan corak permainan Liga Perdana Inggeris, Aurelio dan Insua mampu memikul tugas dengan baik setiap kali diturunkan di atas padang.


YNWA

Wednesday, April 22, 2009

Gerrard : Mata Berharga

Rasa mengantuk menyaksikan perlawanan awal pagi tadi masih terasa. Mata pun masih kemerah-merahan kerana kekurangan waktu tidur. Saya seperti rakan-rakan peminat yang lain, pasti berasa kecewa dengan keputusan seri 4-4 dengan skuad senapang ini. Namun jauh di sudut hati, hendak mengalah sebelum perjuangan berakhir tidak sama sekali. Bukan hendak menggembirakan hati yang agak kecewa ini tapi sebagai PEMINAT SETIA kita haruslah sentiasa menyokong pasukan kita ini walau seteruk mana pun keputusan perlawanan yang telah tertulis. Biarlah orang memuji skuad senapang dengan mengatakan mereka lebih baik dari pasukan kita pada awal pagi tadi. Yang pasti pujian harus diberikan kepada barisan depan Liverpool yang diketuai Torres, tidak mengenal jemu untuk membedil kubu skuad senapang sehinggakan mereka juga turut bocor 4 kali pada separuh masa kedua. Jika boleh diundurkan masa, satu gol dari Liverpool di separuh masa pertama pasti akan memberikan kelebihan. Tapi apa yang telah berlaku tetap berlaku. Tergelak juga bila pengulas ESPN Shebby Singh yang mengatakan jika skuad senapang memperolehi dua jaringan di separuh kedua, perlawanan berakhir untuk Liverpool. Tetapi anda memang langsung tersilap nujuman kali ini, 4 gol sebagai bukti mengalah tidak sekali.

Saya tidak mahu mengulas panjang mengenai perlawanan ini, cuma Rafa perlu memperbaiki barisan pertahanan Liverpool yang kelihatan goyah apabila menghadapi serang balas pantas dari skuad senapang. Mungkin disebabkan keterujaan untuk melakukan serangan demi serangan semalam yang membuka laluan kepada skuad senapang untuk menjaringkan gol. Rafa perlu melihat dan memberikan arahan kepada barisan pertahanan agar pantas untuk turun bertahan apabila sesuatu serangan tidak berjaya. Begitu juga dengan barisan tengah agar lebih rajin untuk turun membantu barisan pertahanan. Reina juga perlu lebih fokus untuk membaca corak serangan dan percubaan dari pasukan lawan. Benayoun seperti yang saya katakan, 2 gol dari beliau awal pagi ini membuktikan beliau memang layak untuk bermain sebagai penyerang sokongan (posisi Gerrard) kepada Torres atau bertindak sebagai pemain sayap. Sedikit lega kerana Lucas tidak diturunkan buat pertama kalinya jika Gerrard mengalami kecederaan.

Saya tertarik dengan kata-kata dari Kapitan Gerrard (yang tidak bermain kali ini kerana masih cedera) dan juga Rafa yang mengulas keputusan seri ini. Bagi Gerrard, rakan-rakannya telah mencuba sebaik mungkin dalam perlawanan itu dan kita harus ingat lawan kita adalah skuad senapang di bawah bimbingan Wenger yang memang terkenal dengan corak permainan pantasnya itu. Menurut Gerrard lagi, tidak hairanlah skuad senapang berada di dalam prestasi terbaik ketika ini. Satu mata yang dikutip malam ini memang amat berharga buat Liverpool. Sejauh mana berharganya mata ini, sama-sama kita saksikan di dalam perlawanan-perlawanan akan datang tambah Gerrard lagi. Rafa pula mengatakan kelebihan memang berada di tangan manyoo tetapi mereka pula akan berdepan dengan skuad senapang yang pasti akan dibarisi Adebayor dan Van Persie serta kembalinya perjaga gol dan beberapa tonggak pertahanan utamanya. Manyoo juga mempunyai beberapa perlawanan sukar sebelum berakhir musim 08/09 ini. Menurut Rafa lagi, jika manyoo menang menentang Pompey malam ini, keadaan akan bertambah sukar buat Liverpool. Secara positif, Liverpool bermain baik dan menjaringkan 4 gol dalam perlawanan ini. Semangat melawan dan tidak mengenal putus asa ini harus diteruskan sehingga ke akhir musim ini tambah pengurus Liverpool ini lagi.

Buat rakan-rakan peminat, janganlah terlalu kecewa dan memikirkan mengenai perlawanan ini. Kita harus fokus kepada perlawanan menentang Hull pada hari Sabtu ini. Sebenarnya jika anda semua masih ingat kata-kata Rafa pada awal musim ini, "matlamat utama adalah untuk berada di dalam persaingan merebut kejuaraan liga musim 08/09" dan kita telah mencapainya setakat ini. Buktinya, anda tengok sahaja perang psikologi yang tak kunjung sudah dilancarkan ke atas Rafa dan Liverpool. Itu menunjukkan ada pihak yang tidak senang duduk dan tertekan dengan kebangkitan Liverpool. Untuk Liga Juara-Juara Eropah, secara konsisten Liverpool mara paling kurang ke suku akhir semenjak 2-3 tahun kebelakangan ini. Mungkin ada yang berpendapat, tidak guna berada di dalm persaingan liga tetapi tidak memenanginya. Harus diingat sudah lama Liverpool tidak berada di dalam persaingan liga di hujung musim sehinggalah pada kali ini. Kita berilah peluang kepada Rafa dan anak-anak buahnya untuk membuktikan yang Liverpool mampu menawan gelaran liga ini. Jika tidak musim ini, mungkin musim depan kita akan berjaya lakukannya. Kita perlu sabar kerana Rafa baru 5 musim bersama-sama Liverpool, masih banyak perancangan masa depan beliau. Percayalah rakan-rakan semua, tidak lama sahaja lagi trofi Liga Perdana Inggeris akan pulang ke Anfield jua.


YNWA

Tuesday, April 21, 2009

Berwaspada Dengan Skuad Senapang

Setelah berehat lebih kurang seminggu dari bolasepak, Liverpool kembali menyambung perjuangan di medan peperangan Liga Perdana Inggeris pada esok pagi (Rabu jam 3 pagi untuk lebih tepat). Liverpool turun di Anfield kali ini untuk menentang skuad senapang (mana lagi tepat, meriam or senapang?) yang baru sahaja terkeluar dari saingan Piala FA Inggeris pada Sabtu lepas. Kedua-dua pasukan perlu bangkit dari kekecewaan masing-masing sebelum ini. Saya masih teringat gol cantik jaringan penyamaan oleh Robbie Keane ketika perlawanan di Emirates dan gol tersebut telah dinobatkan gol terbaik bulan Disember 2008. Harap-harap Torres mampu menjaringkan gol sedemikian nanti. Berikut adalah analisis mengenai persediaan dan kekuatan kedua-dua pasukan.

Saya mulakan dengan skuad senapang yang rata-rata dibarisi oleh bintang-bintang muda seperti yang dikatakan oleh pengurusnya Wenger. Tidak dinafikan skuad senapang ini memang berbakat dari segi individu. Masalahnya mereka ini kekurangan pengalaman jika dibandingkan dengan 3 lagi pasukan utama di dalam Liga Perdana Inggeris. Bukan saya memandang rendah, tapi itulah hakikat yang harus diterima oleh peminat-peminat mereka. Mungkin jika diberi sedikit lagi masa dan dengan syarat Wenger tidak menjual bintang-bintangnya maka peluang skuad senapang untuk bersaing dengan pasukan-pasukan utama Liga Perdana Inggeris adalah amat cerah.

Jika diperhatikan skuad senapang ini mula menunjukkan peningkatan selepas kehadiran Arshavin dan kembalinya kapten mereka Fabregas. Untuk mengejar kejuaraan Liga Perdana Inggeris adalah amat tipis (walaupun masih ada yang menaruh harapan), peluang terbaik serta realistik skuad senapang ini hanyalah mengejar kedudukan keempat Liga Perdana Inggeris dan seterusnya layak ke Liga Juara-Juara Eropah musim 09/10. Mereka menggunakan sepenuhnya kemerosotan Aston Villa yang kini berada di tangga kelima untuk mengukuhkan kedudukan mereka di situ. Malah Wenger telah merehatkan Arshavin dan Nasri dalam perlawanan Piala FA Inggeris tersebut untuk memastikan mereka bersedia menghadapi Liverpool di Anfield nanti.

Padah untuk Liverpool jika memandang rendah keupayaan skuad senapang ini. Barisan serangan yang diterajui oleh Adebayor dan Van Persie serta bahagian tengah mereka yang terdiri dari Fabregas, Arshavin, Nasri dan Denilson mampu mengugat Liverpool jika alpa dan mengambil mudah perlawanan ini. Mereka juga mempunyai Walcott yang telah pulih dari kecederaan. Cuma satu kelebihan kepada Liverpool adalah barisan pertahanan skuad senapang yang goyah setelah kehilangan Gallas, Sagna dan Clichy, hanya tinggal Toure sahaja sebagai pertahanan senior yang dibantu oleh Silvestre. Skuad senapang juga kehilangan penjaga gol utama mereka iaitu Almunia yang cedera dan diganti oleh Fabianski yang nyata masih cetek pengalaman. Wenger pasti akan mencari jalan untuk mengatasi masalah ini dan Liverpool pula sepatutnya mengambil kesempatan ke atas kekurangan ini untuk menjaringkan gol.

Berbalik kepada Liverpool, skuad Sang Merah ini berada pada tahap yang terbaik untuk perlawanan ini. Cuma ketiadaan Kapitan Gerrard yang cedera dijangka akan memberi sedikit kesan kepada bahagian tengah. Saya tidak mahu membuat spekulasi mengenai siapa yang harus menggantikan Gerrard untuk bertindak sebagai penyerang sokongan kepada Torres. Jelas memang Lucas tidak layak untuk bermain di posisi tersebut kerana pergerakan beliau yang memang perlahan serta tidak mempunyai visi untuk membuat umpanan yang boleh memecahkan benteng pertahanan lawan. Pilihan saya untuk posisi ini samada Benayoun atau Babel, dua pemain yang saya rasa dapat melakukan tugas ini dengan lebih baik berbanding Lucas. Babel dengan lariannya pantas dan Benayoun pula dengan daya kreativiti yang menarik pasti akan mampu menjana barisan serangan Liverpool. Tetapi sebagai peminat, saya hanya boleh memberi cadangan dan buah fikiran. Hanya Rafa yang boleh menentukan kesebelasan utamanya. Jikalau Lucas pilihan beliau, saya pasti Torres akan kesorangan di bahagian depan seolah-olah beliau berada di planet lain. Kuyt-Alonso-Mascherano-Riera akan mengisi 4 lagi tempat untuk bahagian tengah Liverpool. Babel dan Benayoun juga mampu bermain untuk bahagian sayap jika Lucas terpilih untuk bermain dengan Torres di hadapan.

Di bahagian pertahanan, Reina pasti di gol dan 4 pertahanan di hadapan beliau akan diterajui oleh Carragher. Gandingan Carra di pertahanan tengah, jika diberi pilihan saya ingin melihat Agger kembali di situ. Agger akan menawarkan sengat tambahan ke bahagian depan Liverpool dengan larian dan sepakan jauh oleh beliau seperti dalam perlawanan menentang Blackburn sebelum ini. Tapi saya agak pasti pemain kesayangan Rafa, Skrtel akan mengisi posisi itu. Di sebelah kanan pasti milik Arbeloa dan sebelah kiri saya jangka Aurelio akan diturunkan walaupun terdapat saingan dari Insua dan Dossena.

Dengan rehat selama seminggu, Liverpool sepatutnya telah membuat persediaan yang rapi untuk perlawanan ini. Dengan rehat yang cukup, pemain-pemain Liverpool adalah lebih cergas untuk perlawanan ini. Liverpool perlu menang dan meneruskan tekanan ke atas pendahulu liga hingga ke akhir musim. Walaupun mempunyai sedikit kelebihan, jangan terlalu yakin kerana ianya akan memakan diri. Bermainlah mengikut strategi serta taktikal yang dibuat oleh pengurus Rafael Benitez. Ulasan yang saya buat dibuat di atas berdasarkan keupayaan serta senarai kecederaan terkini kedua-dua pasukan. Jika ada perubahan pada saat akhir ianya bergantung kepada perancangan pengurus pasukan masing-masing. Berita terbaru yang diterima Van Persie dan Adebayor diketepikan untuk perlawanan ini kerana kecederaan. Tempat mereka akan digantikan oleh Bendtner dan Eduardo. Sagna juga telah pulih dan bersedia untuk diturunkan. Banyak kelebihan kepada Liverpool dan terpulanglah kepada Rafa dan anak-anak buahnya untuk bertindak pada awal pagi ini.



YNWA

Gambar Dari LIVERPOOLKITA

Monday, April 20, 2009

Silva : Liverpool Menanti Anda

Semasa berehat-rehat di hadapan televisyen pada petang Ahad yang lalu sambil menonton Formula One Grand Prix of China di Astro, saya terbaca berita ini melalui laptop yang setia menemani di hari-hari cuti hujung minggu sebegini. Masih ada spekulasi yang mengaitkan pemain sayap Valencia ini dengan Liverpool rupanya. Namun sehingga kini, Silva masih menafikan mengenai spekulasi ini dan menegaskan beliau masih komited dengan Valencia. Mari kita jenguk apa perkembangan yang berlaku dalam masa 2-3 hari ini.

David Jimenez Silva atau lebih dikenali sebagai David Silva oleh peminat-peminat bolasepak dunia amnya. Berumur 23 tahun dan merupakan seorang pemain sayap kiri yang amat berbakat dan ianya terserlah ketika beliau bermain bersama-sama skuad Sepanyol di Euro 2008 yang lepas. Selepas pertandingan itu nama Silva memang menarik perhatian kelab-kelab ternama dunia seperti Real Madrid, Juventus dan juga Liverpool yang tidak terlepas dari spekulasi tersebut kerana pengurus Liverpool, Rafael Benitez adalah bekas pengurus Valencia. Sejauh manakah benarnya spekulasi ini dengan Liverpool?

Spekulasi terbaru di media mengatakan Rafa telah menghantar wakilnya ke Valencia untuk mengadakan rundingan dengan pengarah-pengarah kelab itu mengenai perpindahan David Silva ke Liverpool. Pada asalnya rundingan ini dijalankan secara sulit tetapi menurut Rafa, seseorang di Valencia telah membuka mulut kepada media dan mendedahkan mengenai rundingan tersebut kepada umum. Akibatnya Valencia telah mengenakan harga perpindahan sebanyak 20 juta pound untuk Silva. Rafa yang menganggap keadaan ini sebagai tidak memberi kelebihan kepada Liverpool, telah menarik diri dari terus mengadakan rundingan tersebut. Rafa dikatakan tidak kecewa dengan keadaan ini dan akan mencari pemain sayap lain sebagai ganti kepada kegagalan rundingan Silva ini.

Menurut spekulasi tersebut lagi, Rafa cuba mengambil kesempatan di atas masalah bebanan hutang yang dihadapi oleh Valencia sekarang. Keadaan ini membolehkan Rafa mendapatkan Silva pada harga yang lebih murah dari harga pasaran pemain. Tindakan Valencia yang mengumumkan meletakkan harga 20 juta pound itu dikhuatiri akan menyebabkan berlakunya perang bidaan di antara kelab-kelab ternama yang mahukan khidmatnya. Jika ini berlaku, anda pasti maklum, Valencia pasti akan mendapat untung jika mendapat bidaan yang lebih tinggi dari 20 juta pound. Saya pasti ada kelab di luar sana yang pasti berminat untuk mengeluarkan lebih dari 20 juta pound bagi mendapatkan khidmat Silva. Beliau merupakan salah seorang pemain sayap terbaik di benua Eropah dan pasti kehadirannya ke sesebuah kelab akan membantu menaikkan prestasi kelab tersebut.

Walau bagaimanapun, ini hanyalah spekulasi media yang tak kunjung sudah. Sejauh mana kebenarannya agak sukar untuk ditentukan. Kita semua tahu mengenai pengurus Liverpool, Rafael Benitez. Perancangan beliau dalam urusan perpindahan pemain amat sukar untuk dijangka. Anda lihat sahaja bagaimana beliau membawa masuk Torres ke Liverpool. Tanpa ada angin ribut dalam pasaran perpindahan pemain, Torres telah menandatangai kontrak dengan Liverpool pada musim panas 07/08. Memang itulah cara Rafa, rundingan perlu dilakukan tanpa diganggu oleh unsur-unsur luar yang boleh menjejaskan urusan tersebut. Buat Silva, jika anda mahu menyertai tentera Sepanyol di Anfield, kami mengalu-alukan kedatangan anda untuk mengatasi masalah sayap Liverpool yang tidak konsisten sejak dahulu lagi. Tapi biarlah rundingan perpindahan dibuat dengan cara baik dan bukannya dengan penuh kontroversi yang akan menjejaskan reputasi Liverpool sebagai antara kelab ternama di Eropah.


YNWA


Sunday, April 19, 2009

Rafa : Aper Masalah 2 Orang Tua Ni?

Tersenyum sinis dan tergelak juga saya apabila membaca komentar Bro Amberan di laman LIVERPOOLKITA. Bukan apa, saya masih tertanya-tanya kenapa pengurus manyoo dan Blackburn berganding bahu untuk menyerang Rafa di media. Apa agenda mereka ini? Takkan takut dengan kebangkitan Liverpool di kebelakangan ini? 

Mereka berdua menuduh Rafa membuat isyarat kurang sopan selepas Torres menjaringkan gol kedua Liverpool. Rafa kelihatan tersenyum apabila melihat anak-anak buahnya menjaringkan gol kedua tersebut. Dan ini dianggap oleh Allardyce sebagai hinaan dan tidak hormat kepada pasukannya Blackburn. Dan perkara ini dipersetujui oleh pengurus manyoo melalui temubual di televisyen. Nampaknya ini merupakan serangan terancang dari kedua-dua pengurus ini.

Apa jawapan Rafa kepada tuduhan yang tidak masuk akal ini? Memang mantap serangan dari kedua-dua pengurus yang bersahabat baik ini. Menurut sumber yang terdekat dengan Rafa, yang sebenarnya isyarat dan senyuman dari beliau itu adalah ditujukan kepada anak-anak buahnya yang berada di tengah padang. Isyarat tangan diberikan kepada Insua dan Alonso yang bersedia untuk mengambil sepakan sudut dengan tujuan taktikal. Tetapi Alonso tidak mengikut arahan tersebut dan terus menghantar kepada Torres yang menjaringkan gol kedua Liverpool dalam perlawanan tersebut. Dan senyuman itu adalah kerana pada pendapat Rafa, dalam keadaan tertentu, anak-anak buahnya adalah lebih tepat dalam memburu gol di atas padang.

Nah amik jawapannya dari Rafa, pastinya akan menyebabkan kedua-dua pengurus itu merah muka kerana tuduhan mereka adalah tanpa usul periksa. Allardyce, lebih baik anda uruskan Blackburn yang berada dalam bahaya tersingkir dari Liga Perdana Inggeris setelah dibelasah Liverpool 4-0 di Anfield dan semalam dimalukan Stoke 1-0. Sementara pengurus manyoo pula lebih baik hadapi tekanan dari Liverpool secara anak jantan dan bukannya secara masih gunakan serangan psikologi yang sudah lapuk itu. Semua orang sedia maklum tentang perangai anda jika ada ancaman dari pasukan lain. Ingat, anda telah mengenepikan Liverpool sebagai pencabar kejuaraan liga pada awal musim ini dan terbukti anda bukanlah tok nujum dalam segala hal. Buat Rafa, kami peminat akan tetap bersama-sama anda dalam menangani cabaran dulu, sekarang dan pada masa yang akan datang.


YNWA

Saturday, April 18, 2009

Xabi Alonso : Jangan Pergi

Baru sahaja terdetik untuk menulis artikel mengenai pemain tengah dinamik Liverpool, Xabi Alonso. Sudah agak lama saya bercadang untuk menulis tentang beliau yang merupakan salah seorang daripada pemain tengah terbaik di England dan untuk Liverpool itu sendiri pada masa sekarang. Tiba-tiba pada hari ini, di beberapa laman web utama terpapar berita mengenai pengurus Liverpool, Rafael Benitez mahu mempertahankan Alonso daripada disambar oleh mana-mana pemangsa yang berada di luar sana. Apa yang menyebabkan Rafa tiba-tba bertukar nada ke atas kedudukan Alonso di Liverpool? 

Seperti mana yang anda semua masih ingat ketika musim panas yang lepas sebelum bermulanya musim 08/09, Alonso hendak dijual sebagai cara untuk mendapatkan dana bagi membeli Gareth Barry oleh Rafa. Ini kerana pengurusan Liverpool enggan memberi dana bagi membeli Barry tetapi mereka dengan selambanya mengeluarkan dana untuk membeli Robbie Keane. Bukannya Robbie Keane pemain yang tidak baik, tetapi mungkin gaya permainan beliau tidak sesuai dengan Liverpool. Akibat dari timbulnya spekulasi ini, ramai peminat yang tidak bersetuju ke atas penjualan Alonso. Mereka semua tahu yang Alonso tidak patut dijual kerana beliau merupakan tonggak utama bahagian tengah Liverpool bersama-sama Kapitan Gerrard dan juga Mascherano. Penjualan beliau pasti akan menggangu bahagian tengah Liverpool. Bagi peminat mereka sanggup melihat Alonso bermain di Liverpool biarpun Barry terlepas dari genggaman. Barry boleh menggantikan Alonso tapi bolehkah beliau bermain lebih baik dari Alonso? Lebih baik gunakan dana dari jualan Robbie Keane untuk mendapatkan Barry pada musim panas ini. Jadikan Barry sebagai tambahan kepada kekuatan Liverpool di bahagian tengah. Gandingan Gerard-Alonso-Masch-Barry pasti akan mengegarkan Liga Perdana Inggeris pada musim depan. 

Saya masih ingat pada ketika spekulasi itu timbul, Alonso memang sangat sedih dengan cara dia diperlakukan oleh kelab. Memang apa yang berlaku sedikit sebanyak mempengaruhi emosi beliau sehingga beliau tidak dapat menggambarkan perasaannya ketika ditanya mengenai spekulasi ini. Hanya harapan untuk terus kekal di Liverpool sahaja jawapan dari beliau. Perlu diingatkan, Alonso TIDAK PERNAH meminta untuk berpindah dari Liverpool. Beliau seperti juga dengan Torres dan Reina amat sayangkan Liverpool dan merasa sangat bertuah dapat menabur bakti dengan kelab ini. Jika Alonso bukan pemain tengah yang baik, kenapa kelab-kelab ternama seperti Juventus, Arsenal dan Real Madrid serta Barcelona mahukan khidmat beliau? 

Berbalik kepada Rafa, beliau akan mempertahankan habis-habisan Alonso daripada disambar kepada pemangsa yang mula berkeliaran di sekeliling Liverpool. Secara professional, kemampuan Alonso untuk bangkit dari keadaan semasa beliau dihimpit spekulasi perpindahan tersebut dan memberikan persembahan terbaik buat Liverpool pada musim ini yang menyebabkan Rafa telah bertukar fikiran. Tanpa banyak bicara, beliau menegaskan Alonso adalah sebahagian daripada kunci kepada peningkatan Liverpool pada musim ini. Spekulasi terbaru mengatakan Real Madrid dan Barcelona akan cuba membuat bidaan ke atas Alonso. Goyahkah Alonso jika kelab-kelab ini datang untuk mendapatkan beliau? Adakah beliau masih ingat apa yang berlaku pada musim panas yang lepas? Masa yang akan menentukannya nanti.

Kepada Rafa, sila tebus kesilapan anda yang lalu, pertahankan Alonso dari dijual dan tawarkan kontrak baru kepada pemain tengah yang dinamik ini secepat mungkin. Jika masih berlengah-lengah, padah yang akan diterima Liverpool. Tetapi jika anda gunakan kenyataan anda itu dengan tujuan menaikkan harga Alonso di pasaran pemain maka saya pasti anda akan membuat kesilapan yang paling besar sebagai pengurus Liverpool. Buat Alonso, anda adalah Liverpool dan Liverpool adalah anda. Ayuh bersama-sama Liverpool untuk mencapai cita-cita anda. Semua peminat mahukan anda kekal di Anfield dan menjadi sebahagian daripada lagenda kelab yang penuh dengan sejarah ini. Kepada pengurusan Liverpool, anda semua jangan bermimpi untuk menjual Alonso atas alasan untuk mengumpul dana bagi pembelian pemain baru dan juga atas sebab keuntungan kerana anda pasti akan menerima amarahnya nanti.


YNWA


Friday, April 17, 2009

Kaka : Moh Ke Milan Gerrard

Masa untuk berubah kerana sudah ramai pemain yang berada di penghujung kontrak masing-masing. Jika diberi pilihan, saya pasti akan mengambil pemain seperti Gerrard yang serba lengkap untuk pasukan AC Milan. Beliau cukup sesuai dengan sistem pasukan ini dan pasti akan menjadi salah satu tonggak pasukan.

Satu pujian daripada pemain ternama AC Milan, Kaka kepada Kapitan Liverpool, Steven Gerrard. Juga sebagai umpan untuk menarik perhatian Gerrard kepada AC Milan. Kepada Kaka, anda boleh lupakan hasrat tersebut. Real Madrid dan Chelsea masing-masing telah tersungkur dalam usaha untuk memancing Kapten Liverpool ini. Biasalah menjadi lumrah, kalau pemain terbaik, sudah pasti banyak gergasi yang mencuba nasib dengan Gerrard tanpa mengambilkira kesetiaan beliau kepada Liverpool. Buktinya, beliau sambung kontrak lagi dengan Liverpool hingga 2013.

Bagi saya, bukan Gerrard yang sepatutnya ke AC Milan tetapi Kaka yang sepatutnya ke Liverpool. Sesuatu yang tidak mustahil bukan? Bayangkan gandingan Gerrard – Torres – Kaka. Belum cuba belum tahu.


YNWA

Thursday, April 16, 2009

Babel : Mana Peluang Yang Sebenar?

Merintih nampaknya pemain sayap/penyerang berbakat Liverpool, Ryan Babel. Masakan tidak, peluang untuk beliau bermain adalah cukup terhad. Beliau yang banyak memanaskan bangku simpanan dan hanya digunakan sebagai pemain gantian. Yang terbaru, masuk menggantikan Arbeloa ketika permainan berbaki 5 minit sahaja lagi sewaktu menentang Chelsea pada Liga Juara-Juara awal Rabu lepas. Masa yang cukup singkat untuk beliau memberikan apa-apa impak ke atas perlawanan tersebut.

Beliau juga menyatakan hasil dari perbincangannya dengan jurulatih, selain dari serangan, daya pertahanan di dalam permainannya telah diperbaiki dan telah meningkat jika dibandingkan sewaktu mula-mula menyertai Liverpool. Walau sedemikian beliau nyata tidak gembira kerana kekurangan peluang untuk berbakti kepada Liverpool sedangkan masih banyak yang boleh dilakukannya untuk kelab ini.

Mengenai situasi Babel ini, saya rasa beliau wajar diberikan lebih banyak peluang untuk bermain di atas padang. Selain dari mempunyai kemahiran teknikal yang tinggi, Babel juga punya kepantasan dan sepakan yang amat baik. Mungkin pilihan yang lebih baik dari Lucas untuk bermain bersama-sama Torres semasa ketiadaan Gerrard. Saya masih ingat persembahan menarik beliau semasa menentang Real Madrid di Anfield dalam Liga juara-Juara Eropah. Tidak tamak dan banyak memberi umpanan daripada bahagian sayap kepada bahagian depan Liverpool. Hasilnya kita menang besar dengan 4-0 dalam perlawanan itu.

Persoalannya, kenapa tidak diteruskan peranan beliau seperti dalam perlawanan itu samada sebagai pemain sayap atau serangan? Atau Benitez sudah hilang sabar dengan Babel? Jika keadaan ini berlarutan, tidak mustahil Babel akan mencari jalan keluar dari Liverpool. Dari segi taktikal mungkin Rafa lebih tahu. Tetapi kita sebagai peminat tidak salah untuk memberi pendapat tentang pasukan kesayangan kita ini. Kepada Rafa, pemain seperti Babel perlu dimaksimakan bakatnnya di Liverpool dan bukannya pemain yang prestasinya seperti budak sekolah yang perlu dipertahankan dan diberi lebih banyak peluang dari Babel dari satu perlawanan ke perlawanan yang lain.


YNWA

Wednesday, April 15, 2009

HILLSBOROUGH 89' DALAM KENANGAN



Dalam kenangan 96 peminat yang terkorban dalam tragedi Hillsborough 89'
2206 hrs 15 April 1989
Sumber Dari liverpoolfc.tv

Hampir-Hampir Runtuh!

Sekalung tahniah saya ucapkan kepada pemain-pemain Liverpool yang berjuang habis-habisan di Jambatan Runtuh awal pagi tadi. Kita akur dengan keputusan ini. Walaupun tewas secara agregat, TIADA pasukan di dalam Liga Perdana Inggeris yang mampu menyaingi semangat juang Liverpool. Walaupun dikatakan tiada harapan lagi untuk ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah, Liverpool membuktikan sebaliknya.

Keputusan 4-4 di atas kertas kelihatan tidak adil untuk kita semua setelah Liverpool mendahului 2-0 dan 4-3, kita hampir berjaya meruntuhkan Jambatan mereka. Dengan ketiadaan Kapitan Gerrard yang jelas disimpan untuk perlawanan menentang pasukan senapang di Anfield Selasa depan, sedikit sebanyak mempengaruhi permainan Liverpool. Tindakan bijak Rafa memandangkan kita lebih memerlukan Gerrard di Liga Perdana Inggeris.

Dengan mengeluarkan Mascherano, Arbeloa dan Torres di separuh kedua, tumpuan Rafa adalah jelas kepada Liga Perdana Inggeris. Mungkin bagi Rafa, peluang tahun ini adalah yang terbaik untuk mencabar Liga Perdana Inggeris. Pencaturan yang beliau lakukan pada perlawanan ini iaitu melakukan serangan di hujung perlawanan menyebabkan pertahanan kita agak goyah di saat-saat akhir dan perlawanan berkesudahan 4-4 (2-0 kepada Liverpool di separuh masa pertama).

Saya tidak mahu mengulas lanjut kerana kita tidak harus berfikiran negatif dari perlawanan ini, walaupun tewas secara agregat tapi kita telah membuktikan memang sukar untuk menjinakkan Liverpool di pentas eropah walaupun tanpa kehadiran Kapitan Gerrard. Apapun, anda perlu berbangga kerana menjadi salah seorang penyokong skuad Sang Merah ini. Masih ada satu lagi peperangan untuk kita harungi, skuad senapang anda bersiap sedialah.


YNWA

P.S : Dalam Kenangan Kepada 96 Peminat Yang Terkorban Di Tragedi Hillsborough 89'

Tuesday, April 14, 2009

Suku Akhir UCL : Ayuh Buktikan

Pada awal pagi nanti, Liverpool akan bertandang ke Jambatan Runtuh untuk meneruskan perjuangan dalam Liga Juara-Juara Eropah. Ketinggalan 1-3 dari segi agregat, Tugas besar menanti Liverpool di sana. Ianya tidak dinafikan sukar tetapi tidak mustahil ianya dapat dilakukan.

Membaca komen-komen, tulisan di akhbar dan internet, ramai yang menganggap Chelsea sudah sebelah kaki di separuh akhir. Memang mereka semua berhak untuk berkata begitu kerana keyakinan mereka terhadap rekod Chelsea di Jambatan Runtuh. Mungkin pengurus Chelsea, Hiddink juga agak merasa lega dengan bekalan 3-1 dari Anfield minggu lepas.

Tapi anda semua perlu ingat, lawan anda adalah Liverpool, pasukan yang memang sukar untuk dijinakkan di pentas Eropah. Hiddink memang sedar akan hakikat ini dan beliau pasti akan mengarahkan pasukkannya berhabisan untuk mempertahankan kelebihan mereka itu.

Dengan kedua-dua pasukan menang 4-0 dan 4-3 di dalam saingan Liga Perdana Inggeris Sabtu lalu, momentum ini hendak diteruskan ke dalam perlawanan ini. Essien dengan bangganya mengatakan dia sanggup melakukan kerja kotor demi untuk kejayaan Chelsea. Kerja kotor yang beliau maksudkan ialah menghalang Gerrard dari menguasai bahagian tengah. Mungkin beliau sedikit nyanyuk agaknya, anda lupa kepada Javier Mascherano? Adakah dia anggap Monster Masch bukan lawan kepadanya? Baik anda jaga diri anda sebaik yang mungkin pagi ini Essien, saya pasti Masch akan pastikan anda terduduk di atas padang daripada menghalang Gerrard melakukan tugasnnya.
Dengan bantuan Alonso, pastikan bahagian tengah milik kita pada kali ini.

Kepada Lampard, Ballack dan Malouda, anda terlebih yakin dengan diri anda sendiri bila berhadapan bahagian tengah Liverpool yang tidak berada pada tahap prestasi terbaik minggu lepas. Liverpool bertandang ke Jambatan Runtuh dengan kesebelasan utamanya. Dan kita perlu ingat, permainan Liverpool lebih baik apabila bertandang ke gelanggang lawan. Chelsea pula kehilangan kaptennya, John Terry untuk perlawanan ini dan peluang ini patut digunakan sepenuhnya oleh Liverpool.

Berbalik kepada Liverpool, penyertaan semula Gerrard dan Mascherano ke dalam kesebelasan utama diharap dapat memantapkan lagi bahagian tengah Liverpool. Dengan Torres berada di puncak prestasi, diharapkan Liverpool dapat memberi persembahan terbaik sewaktu perlawanan nanti. Kepada Rafa, kami percaya kepada strategi anda, lakukanlah sesuatu untuk membolehkan Liverpool mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah. Jangan sesekali memandang rendah kepada Chelsea, bolos tiga kepada Bolton bukanlah alasan yang menjadikan tugas kita mudah di Jambatan Runtuh. Yang pasti berikan tentangan yang terbaik, jangan mengalah sebelum berjuang di medan peperangan. Kepada Carragher, kemudi bahagian pertahanan sebaik mungkin dan elakkan kesilapan dari perlawanan yang lalu. Mungkian kita boleh melihat kelibat Agger pada perlawanan ini nanti.

Kepada rakan-rakan peminat, walaupun kalah atau menang awal pagi ini, janganlah sesekali berputus asa. Perjalanan Liverpool baru bermula, SETIA bersama-sama pasukan adalah amat penting sekali, jangan hiraukan peminat-peminat pasukan lain kerana saya pernah berkata, mereka semua tidak tahu apa-apa mengenai Liverpool, hanya kita sebagai peminat setia yang mengetahuinya.


YNWA

Monday, April 13, 2009

Saya Tidak Faham

Apa maksudnya? Saya tak faham apa yang dituturkan oleh beliau mungkin kerana loghat inggerisnya yang terlalu pekat. Ianya menyukarkan saya untuk memahami apa yang beliau katakan mengenai Liverpool. Ringkas tapi dalam maksudnya kata-kata pengurus Liverpool, Rafael Benitez apabila ditanya mengenai pengurus manyoo itu.

Kelakar juga bila membaca itu jawapannya dari seorang pengurus yang berkaliber seperti beliau. Nampaknya jika di musim-musim sebelum ini, pengurus manyoo itu memang suka bermain psikologi dengan pencabar pasukannya. Tapi musim ini, beliau bertemu dengan lawannya. Setiap serangan psikologi dari beliau pasti akan ada serangan balas daripada Rafeal Benitez.

Bak kata Rafa, kalau ada pihak yang bercakap banyak mengenai Liverpool lebih daripada pasukan mereka sendiri, pasti ada sesuatu yang tidak kena, samada mereka takut atau risau dengan peningkatan Liverpool yang semakin ketara sejak kebelakangan ini.

Kepada sesiapa yang berhajat untuk bermain perang psikologi dengan Liverpool, lebih baik anda fikir banyak kali sebelum memulakannya. Ini kerana anda pasti meyesal apabila berhadapan dengan pengurus Liverpool ini. Nasihat saya, lebih baik biarkan bolasepak yang bercakap di tengah padang.

 

YNWA

Sunday, April 12, 2009

Agger : Masa Depan Belum Pasti

Masih belum pasti lagi nampaknya masa depan pertahanan tengah Liverpool, Daniel Agger. Setelah memberikan persembahan yang baik pada perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Blackburn di Anfield malam tadi dan menjaringkan salah satu daripada 4 jaringan Liverpool, nampaknya masih ada yang tidak kena dengan perjalanan perbincangan kontrak baru beliau.

Agger mengakui "hatinya" masih milik Liverpool dan masih mahu menyumbangkan tenaga kepada kelab ini. Menurut beliau, senang hati bila mendengar pengurus Liverpool, Rafael Benitez menyatakan khidmatnya masih diperlukan. Tetapi itu adalah cakap-cakap di akhbar. Bagi Agger yang penting adalah yang berlaku di sebalik tabir menerusi perbincangannya dengan pihak pengurusan Liverpool. Ianya sulit dan Agger tidak mahu membincangkannya secara terbuka.

Agger turut menyatakan sekarang adalah masanya untuk beliau bermain sepenuh masa dan ianya penting untuk masa depannya. Perbincangan kontrak masih belum berakhir dan Agger masih menunggu jawapan yang belum pasti. Beliau berharap musim depan beliau masih bersama-sama Liverpool setelah mengharungi musim ini dengan kecederaan yang menyebabkan beliau hilang tempat di kesebelasan utama Liverpool.

Yang saya pasti gandingan Agger-Skrtel merupakan masa depan Liverpool, dua pemain muda yang berbakat dan ramai peminat yang mahu kedua-duanya terus kekal di Liverpool. Diharap pengurusan Liverpool dapat melakukan sesuatu untuk mengelakkan kita daripada terlepas permata yang berharga ini.


YNWA